Wednesday, December 13, 2006

Alam dewasa remaja perlu persiapan ilmu

Oleh: PROf. DR. SIDEK BABA

PERINGKAT remaja adalah peringkat percubaan untuk mengenal, mengetahui, belajar, bertatih dan akhirnya membina sikap, pendirian, watak, tingkah laku, perangai dan kebiasaan terhadap sesuatu perkara atau pun amalan. Peringkat remaja juga adalah tahap yang amat penting untuk membina persediaan masuk ke alam dewasa. Tanpa persiapan yang baik untuk masuk ke alam dewasa, proses pendewasaan remaja tidak akan sampai ke peringkat matang dan menyumbang.

Maksud matang ialah remaja sebelum masuk ke alam dewasa sudah mula membuat persiapan ilmu, meningkatkan pengajian ilmu di peringkat yang lebih tinggi, bersikap positif terhadap kemajuan, perubahan ke arah kebaikan, mengetahui batas pergaulan dan batas keseronokan, merancang ke arah hidup yang lebih bermakna. Menyumbang bermaksud tenaga pemikiran remaja yang dinamik, tenaga fizikal yang tangkas digunakan ke arah kebaikan bukan sahaja untuk diri tetapi juga keluarga dan persekitaran.

Ada di kalangan remaja berpendapat bahawa hidup hanya sekali. Kehidupan remaja yang penuh dengan keseronokan dan kegembiraan hanya sekali. Tempoh itu harus digunakan sepenuhnya untuk bersuka-ria, melakukan dan mengalami apa sahaja yang tergerak di hati dan teringin oleh nafsu.

Remaja harus mencuba dan terus mencuba sesuatu yang dilihat terlarang. Sudah dicuba dan dialami, maka barulah diketahui baik buruknya sesuatu. Kalau terlajak pun taubatnya kemudian. Sikap remaja yang seperti ini amat bahaya dan bakal merosakkan. Sekiranya remaja terlajak lazimnya ia menjadi ketagihan. Merokok, mulanya cuba-cuba akhirnya timbul ketagihan. Mengambil ganja mulanya cuba-cuba, akhirnya menjadi ketagih dan akhirnya terjebak dalam perangkap salah guna yang teruk. Bercampur gaul tanpa batasan juga amat menyeronokkan nafsu-nafsi, akhirnya remaja terperangkap dengan salah-laku seks yang juga menimbulkan ketagihan.

Untuk mencari jalan kembali apabila terlajak, ia amat payah. Lihat saja yang tersadai di Pusat-Pusat Serenti atau di penjara kerana salah-guna dadah, harapan untuk dipulihkan amat tipis sekali. Bayangkan bagaimana potensi tenaga muda disalahguna menyebabkan ia rosak dan menjadi beban pula kepada negara.

Alam dewasa ialah alam yang penuh tanggungjawab dan cabaran. Ada beberapa perkara utama yang akan berlaku di tahap Alam dewasa ini.

1. Alam memenuhi cita-cita dan pengajian.

2. Alam berumahtangga.

3. Alam pekerjaan.

4. Alam beranak-pinak.

5. Alam menyumbang kepada masyarakat.

6. Alam memiliki harta.

Alam memenuhi cita-cita dan pengajian ialah lanjutan daripada cita-cita yang dibina pada zaman remaja, sama ada ia menjadi angan-angan atau realiti. Selepas umur 19 tahun remaja sudah masuk ke alam dewasa, bidang pengajian akan mula ditentukan. Sama ada bidang pengajian selari atau tidak dengan cita-cita. Sekiranya cita-cita di peringkat remaja selari dengan bidang pengajian di peringkat dewasa, ia memberi kekukuhan jalan hidup dewasanya.

Sekiranya tidak berlaku seperti apa yang dicita-cita kerana sebab-sebab tertentu, tentunya seseorang itu akan berada di suatu persimpangan untuk memilih jalan terbaik yang lain. Di tahap ini seseorang harus tahu bahawa antara minat dan bakat serta hasil pencapaian akademik, kadang-kadang menjadi tidak seimbang.

Dalam keadaan seperti ini seseorang harus mampu memilih alternatif terbaik supaya menjalani alam remaja dalam membina cita-cita baru, tidak dijadikan faktor penghalang, malah ia menjadikan seseorang lebih matang, bersedia menghadapi kemungkinan dan cabaran serta sanggup meningkatkan lagi perjalanan ilmu yang memberi manfaat di alam dewasa nanti.

Selepas mencapai cita-cita keilmuan, alam dewasa pastinya mendorong seseorang untuk mencari pekerjaan. Bekerja adalah suatu cara untuk mencari sumber penghidupan dan melakukan khidmat yang terbaik. Cabaran mencari pekerjaan juga adalah sesuatu yang tidak mudah.

Sekiranya sejak zaman remaja seseorang sentiasa cemerlang dengan pencapaian akademik dan ketrampilannya, peluang untuk mendapat kerja tidak begitu rumit. Pekerjaan ini amat penting sebagai penyambung jalan hidup seterusnya. Harus ada tekad di kalangan remaja bahawa ilmu dan ketrampilan yang dicari dan bidang kursus yang diikuti, hanya asas untuk memulakan penghidupan yang lebih bermakna.

Sekiranya dengan kelulusan yang ada menjadikan remaja lebih kreatif, berusaha sendiri, terlibat dalam perniagaan dan industri kecil dan sederhana kemudiannya, masalah pengangguran tidak akan berbangkit. Kalau hanya bergantung kerja dengan pihak kerajaan atau swasta saja tanpa ada hasrat untuk bekerja dan berniaga sendiri, peluang mencari rezeki akan jadi terbatas.

Para remaja yang bakal masuk ke alam dewasa harus bersikap positif bahawa rezeki Allah ada di mana-mana. Kuasai ilmu asas yang baik dalam apa jua bidang yang ingin kita ceburi, pupuk disiplin diri, bina tekad dan azam dan sertailah dunia perniagaan dan industri secara kecil-kecil dahulu, dan apabila sudah mempunyai modal dan pengalaman yang bertambah, meningkatlah lebih tinggi lagi dengan harapan akan menjadi pengusaha dan peniaga yang berjaya suatu ketika nanti.

Inilah jalan berfikir yang ada di kalangan ramai remaja yang bukan Islam kerana menginsafi bahawa bergantung kepada peluang kerja yang ditawarkan oleh pihak kerajaan amatlah terbatas, dan bumi kita ini menunggu penglibatan kita untuk meneroka dan mencari rezeki yang halal.

Mempunyai pekerjaan yang diminati memberikan laluan seterusnya untuk memikirkan teman hidup pula. Memasuki gerbang perkahwinan adalah fitrah bagi mereka setelah ada pendapatan dan mampu melakukan penyaraan. Menjadi bakal suami dan isteri adalah suatu tahap yang sangat penting dalam hidup seseorang. Tanpa ilmu dan akhlak yang baik, suami isteri akan menghadapi kesulitan mengaturkan kehidupan.

Apabila sudah beranak pinak, ibu dan ayah mempunyai amanah pendidikan yang besar. Bolehkah pendidikan berjalan dengan baik sekiranya diri ibu dan ayah tidak menjadi teladan yang terbaik bagi anak-anak? Di peringkat ini amat penting ilmu ketrampilan keibubapaan dipelajari dan dikuasai. Lebih-lebih lagi mendidik anak pada zaman kini yang banyak dirangsang oleh faktor media cetak dan elektronik yang amat mempengaruhi minda dan tingkah-lakunya.

Kadang-kadang kerana kesibukan mencari rezeki anak-anak jadi terbiar. Belaian, kasih sayang dan didikan tidak dapat diberikan sepenuhnya. Kebimbangan yang ada ialah berlakunya keciciran dalam proses membesarkan anak-anak. Dan tempoh yang amat kritikal dalam proses mendidik seseorang manusia ialah bermula lahirnya dalam keadaan fitrah sehingga tempoh akil balighnya.

Tempoh ini memerlukan belaian dan kasih sayang yang tinggi, contoh teladan yang baik, persekitaran yang menyuburkan akhlaknya kerana anak-anak mempunyai naluri meniru dan meneladani.

Katakan seseorang di alam remajanya tidak bercita-cita tinggi, tidak peduli untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang berguna, terlibat dalam pergaulan bebas tanpa batasan, bergaul di kalangan remaja yang suka berseronok-seronok, cuai kepada pesan dan nasihat ibu bapa, tidak patuh kepada ajaran agama, sifat ego yang tinggi dan melulu, berfikir secukup hidup dan lain-lain, alam dewasa yang bakal dimasuki tidak memberikan janji yang baik.

Alam dewasanya tidak akan memberikan kematangan dan kedewasaan pada dirinya. Alam dewasa membebankan hidupnya kerana banyak tanggungjawab perlu dilakukan. Akhirnya seseorang akan kehilangan arah dan hala tuju hidup. Pada waktu inilah ia mudah terjebak dengan amalan-amalan negatif sama ada terlibat dengan amalan salahguna dadah, hidup berseronok-seronok, malah mungkin terlibat dengan jenayah dan kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang sehingga tempoh dewasanya berakhir dengan tragedi ngeri.

Persiapan, pengalaman dan bakat yang terbina dengan baik pada zaman remaja akan melanjutkan amalan, tingkah-laku, tabiat dan pekerti pada zaman dewasa seseorang. Seseorang kena ingat pentingnya membina potensi, minat dan bakat secara sihat pada peringkat awal umur kerana peringkat awal umur ialah tahap di mana proses peniruan berlaku.

Pada peringkat sebelum remaja atau pada zaman remaja, bakat akal, bakat rohani dan jasmani adalah di peringkat pembentukan dan penyuburan. Sekiranya proses pembentukan dan penyuburan tidak berlaku secara fitrah, ia akan mewujudkan ketempangan. Sebaliknya pembentukan berlaku secara positif, ia ibarat menyediakan tapak yang kukuh, bakat yang terserlah dan kecenderungan yang positif ke arah peningkatan seterusnya.

No response to “Alam dewasa remaja perlu persiapan ilmu”