Thursday, December 14, 2006

Bebas bermaruah - Remaja tidak suka dibelenggu

Oleh PROF DR. SIDEK BABA


Kebebasan adalah suatu fitrah. Setiap remaja atau setiap orang perlukan kebebasan. Remaja tidak suka dibelenggu atau di batasi kegiatannya.

Remaja kadang-kadang suka mencari jalan hidup sendiri-sendiri. Remaja tidak suka dileter. Bakat dan potensi yang ada pada remaja menyebabkan remaja terus ingin mencuba. Kadang-kadang banyak peristiwa dan pengajaran yang ada dalam hidup tapi remaja ingin mencuba juga. Tidak cukup dengan peringatan dan nasihat, remaja ingin mengalaminya dulu.

Akibat mahukan kebebasan, ada remaja yang terbabas dan mencari jalan kembali, ada remaja yang terbabas tapi hilang jalan pulang. Ada yang terus mencuba untuk merokok. Mula-mula hanya ikut-ikut, kemudian jadi seronok dan ketagih. Konon dengan merokok ada gaya dan nampak dewasanya.

Remaja diingatkan tentang bahaya dadah. Ramai yang tahu dadah itu bahaya tapi ada remaja yang terus mencuba. Sayang, sesetengahnya susah untuk mencari jalan kembali. Ada remaja yang terlibat dengan pergaulan bebas dan akhirnya terjebak dengan perangkap amalan seks bebas. Sekali terjebak payah untuk mencari jalan pulang. Apakah ini yang dikatakan kebebasan bagi remaja?

Kebebasan

Kebebasan dalam erti kata membangun fitrah remaja, ialah kebebasan yang membawa hasil positif atau pun baik. Kebebasan bukanlah paspot untuk melakukan apa saja hingga merosakkan diri dan hari depan.

Memang benar di peringkat remaja kebebasan itu perlu. Tetapi yang harus dilakukan oleh remaja dalam usaha mencari dan meneguhkan identiti diri, ialah kebebasan yang terarah dan kebebasan yang tidak menyalahi agama.

Remaja mesti tahu batasan yang boleh dan tidak boleh. Boleh dan tidak boleh ini ada falsafahnya dan ada maksud baik di sebaliknya. Contohnya, mengapa Islam melarang percampuran bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram?

Sebabnya dibimbangi percampuran begitu boleh mengheret remaja kepada amalan yang di luar kawalan. Maklum saja nafsu remaja kadang-kadang susah untuk dikawal. Sekiranya kebebasan disalahgunakan ia boleh mengheret remaja ke lembah maksiat.

Kebebasan memang menjadi idaman setiap manusia termasuk remaja. Ia sesuatu yang fitrah. Tanpa kebebasan tidak mungkin akal manusia boleh subur, rohani manusia boleh berkembang dan jasmani manusia menjadi sihat dan tangkas.

Tetapi Allah memandu manusia supaya kebebasan itu mestilah dalam batasan. Allah melarang kita melakukan sesuatu di luar batasan kerana ia boleh membawa kepada kecelakaan.

Dalam al Quran, Allah menentukan batasan halal-haram, dosa-pahala, makruf-mungkar, boleh dan tidak boleh, dengan maksud ia menjadi hudan atau petunjuk kepada manusia. Dalam diri manusia di samping akal, rohani dan jasmani, Allah memberikan nafsu. Dalam hidup remaja di samping nafsu terdapat iblis dan syaitan yang kerjanya sering mempengaruhi manusia ke jalan yang merosakkan.

Kawalan

Sekiranya nafsu tidak dikawal, dilatih dan dididik dengan benda-benda yang baik, ia ibarat kuda liar. Kuda liar akan berlari tanpa kawalan dan bergerak tanpa pedoman. Nafsu harus dididik dan dilatih supaya ia dalam kawalan. Mengawal nafsu amat penting bagi remaja. Nafsu yang mendorong ke arah sesuatu yang baik amat digalakkan. Nafsu yang mendorong remaja ke arah kerosakan harus dihindarkan.

Islam mahukan penganutnya hidup bebas tetapi bermaruah, pemikirannya berkembang tetapi menyumbang, boleh berbeza pandangan tetapi terarah, boleh menikmati seni dan hiburan tetapi yang makruf, boleh bersukan dan riadah tetapi mematuhi batas waktu, batas gaul dan batas aurat.

Islam menganjurkan kebebasan berseni tapi mestilah seni yang tidak melalaikan. Akal yang Allah beri adalah kurnia yang amat berharga untuk membuat perbezaan baik buruknya sesuatu.

Hati yang terdidik baik adalah pengimbang yang berkesan untuk remaja memilih baik buruk sesuatu. Oleh itu akal dan hati harus diberi kebebasan untuk disuburkan supaya ilmu yang diterima dan kesedaran yang ada, boleh membantu remaja hidup sebagai remaja yang berjiwa merdeka.

Banyak akibat boleh berlaku sekiranya remaja menyalahgunakan kebebasan yang ada. Remaja berada dalam satu tahap yang amat berpotensi dari sudut akal, rohani dan jasmani tetapi bakat itu mestilah disuburkan dengan didikan dan latihan yang baik supaya remaja memiliki disiplin yang tinggi dan bijak dalam menggunakan nikmat kebebasan.

Bayangkan remaja yang terlibat dengan amalan salah guna dadah, pergaulan bebas hingga terjerumus kepada kegiatan seks rambang, dijangkiti AIDS, ia berakibat daripada tiadanya kefahaman tentang makna kebebasan.

Salah guna kebebasan atas dorongan hawa-nafsu yang melampau ini menyebabkan remaja atau belia terperangkap dalam amalan keseronokan (hedonisme), ketagihan yang berterusan hingga menyebabkan mereka hilang jalan kembali.

Remaja adalah generasi yang bakal menjadi dewasa, seterusnya bakal diberi amanah untuk memimpin keluarga, masyarakat dan negara. Sekiranya mereka sejak remaja tidak diasuh tentang makna kebebasan, bagaimana demokrasi boleh berkembang berasaskan nilai-nilai yang baik, bagaimana keluarga boleh dipimpin dan bakal membentuk anak menjadi baik, bagaimana masyarakat dapat dipandu dan dipandu di kalangan yang sepatutnya menjadi contoh.

Kebebasan adalah sumber yang amat berharga bagi seseorang remaja. Dengan kebebasan pemikiran, remaja akan berkembang kerana kebebasan berfikir boleh menambahkan ilmu. Kebebasan juga boleh membuat kekuatan kepada jiwa dan rohani kerana kebebasan yang dipandu oleh akal dan hati, membolehkan remaja menilai akibat sesuatu perbuatan dan amalan yang menyalahi erti kebebasan itu sendiri.

Oleh itu memahami makna dan nilai kebebasan mesti bermula sejak kecil lagi. Peranan keluarga adalah amat penting mendidik anak-anak dan remaja tentang cara memanfaatkan kebebasan.

Kebebasan yang diberi harus

terikat dengan disiplin dan adab. Kebebasan yang diminta harus dalam lingkungan peka terhadap dosa dan akibat. Kebebasan yang diamalkan mestilah dalam batas makruf dan mendatangkan kebaikan.

Peranan sekolah juga amat penting untuk menyambung usaha mendidik yang dilakukan oleh keluarga.

Sekiranya sekolah berjaya menyuburkan makna kebebasan di bilik darjah dan di sekolah, amalan ini akan menjadi kukuh dan bakal mendewasakan remaja dalam keadaan menikmati kebebasan yang sebenar. Umpamanya, pelajar harus diberikan dorongan untuk bertanya, berbincang, berbeza pandangan tetapi mestilah dengan adab dan etika yang baik.

Adab dan etika adalah pedoman yang terbaik untuk memberi makna kebebasan yang sifatnya bertanggungjawab. Pihak-pihak di luar keluarga dan sekolah juga mesti berperanan membantu remaja dan belia ke arah kebebasan yang beretika dan bermaruah.

Contohnya, pertunjukan yang bercorak hiburan, pesta dan festival mestilah mengambil pertimbangan utama mengenai kebebasan yang didorong oleh hawa nafsu dan kadang-kadang dirasuk oleh nafsu-syaitan.

Kepentingan

Sekiranya pihak penganjur hanya memikirkan kepentingan dagang atau komersial semata-mata, tanpa mengambil kira kepentingan membangunkan generasi remaja dan belia, bayangkan sekiranya jalan hiburan, pesta dan festival yang boleh merangsang remaja terjebak ke arah menyalahgunakan kebebasan, bukan saja remaja akan terjebak dengan kerosakan diri tetapi secara jangka panjangnya remaja akan menjadi beban kepada negara.

Bayangkan berapa banyak negara terpaksa membelanjakan bagi mengatasi masalah salah guna dadah, AIDS dan kerosakan akibat penyakit sosial.

Hal ini berpunca sebahagian utamanya ialah kealpaan kita tidak mendidik remaja dan belia supaya mempunyai disiplin, adab dan etika yang tinggi, dan bersama-sama pula merangsang belia ke arah menyalahgunakan kebebasan diri hingga menyebabkan daya-juang dan daya-tahannya hilang.

Negara amat memerlukan para remaja yang berkualiti. Para remaja adalah potensi modal insan yang perlu digilap pemikiran dan bakatnya supaya para remaja disediakan menghadapi cabaran membangunkan umat dan negara yang jauh lebih rumit dan mencabar, berbanding dengan masa-masa yang lalu.

No response to “Bebas bermaruah - Remaja tidak suka dibelenggu”