Friday, December 15, 2006

Benarkah Islam satu agama mundur?

Oleh: DR. SIDEK BABA

Meneliti keadaan umat Islam hari ini , ada yang berpendapat bahawa kemunduran yang dialami akibat kerana agama Islam itu sendiri tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Istilah Islamphobia atau `ketakutan pada Islam’ wujud kerana Islam dihubungkan sebagai agama pengganas, ekstrem dan fanatik. Syariah Islam dianggap tidak sesuai dengan proses kemodenan yang sedang berlangsung. Sesetengah yang lain berpendapat bahawa Islam hanya sesuai untuk ritual atau kerohanian tetapi jangan dicampuradukkan dengan cara hidup.

Kemurnian Islam akan menjadi rosak sekiranya Islam dihubungkan sebagai suatu cara hidup. Malah ramai juga yang berpendapat bahawa kemajuan yang dibawa oleh Barat itu sudah Islam. Mengapa harus heboh-heboh mengenai pengislaman ilmu, ekonomi, pendidikan dan sistem. Ikut saja apa yang Barat buat, maka majulah umat Islam.

Kenyataan seperti di atas harus diperiksa secara ilmiah apakah yang menyebabkan kemunduran umat Islam, mengapa maksud jihad menjadi kebencian orang-orang Barat, mengapa Islam dikaitkan dengan kemunduran dan mengapa Islam sering menjadi ketakutan dan kebencian banyak pihak. Apakah yang silapnya itu ialah penganutnya atau agama Islam itu sendiri. Para remaja sebagai generasi penerus harus memahami dengan baik bahawa menjadi seorang Islam tidak harus dirasakan sebagai beban dan penganut agama itu sewajarnya mempunyai imej maju dan cemerlang.

Remaja hari ini terutama mereka yang sedang berada di pusat-pusat pengajian dan pendidikan negara merupakan generasi yang berpotensi untuk mencetuskan perubahan. Remaja tidak harus menjadi ‘pak turut’ atau pengekor terhadap tanggapan yang negatif kepada Islam. Sebagai remaja Islam, kenyataan-kenyataan yang negatif harus diteliti dengan saksama dan bijaksana di samping kesediaan untuk mengakui bahawa antara kelemahan itu adalah berpunca dari diri remaja dan umat Islam sendiri.

Pertama, harus difahami tentang Islam itu sendiri dari sudut konsep, sejarah dan sumbangannya terhadap pembangunan ilmu dan tamadun. Pemahaman ini amat penting supaya remaja harus dapat membezakan mengenai kekuatan yang ada pada Islam dan kelemahan yang terdapat pada umat. Amat tidak adil kelemahan umat dikaitkan dengan sifat agama itu sendiri. Dan lebih tidak adil jika remaja membuat kesimpulan bahawa agama menghalang umat untuk maju dan moden.

Islam tidak hanya agama dalam bentuk suatu sistem kepercayaan semata-mata. Asas akidah dan iman yang ada pada pemeluknya memberi kesan terhadap akhlak dan cara hidupnya. Kalaulah Islam hanya suatu sistem kepercayaan semata-mata, tidakkah sejarah silamnya mendukung ilmu dan tamadun yang berasaskan sains dan matematik di samping keutamaan kepada sifat amanah, jujur, adil, tulus dan telus.

Oleh itu amat penting remaja Islam memahami agamanya secara menyeluruh dan sumbangan umat Islam terhadap tamadun ilmu di Eropah dan juga umat manusia. Memahami proses sejarah jatuh-bangun sesuatu tamadun memudahkan remaja Islam melihat kekuatan dulu, meneliti kelemahan hari ini dan merancang strategi membangun umat pada masa depan.

Kedua, remaja Islam harus mengkaji pengalaman sejarah penjajahan yang berlaku terhadap umat Islam sehinggalah ke tahap berlakunya globalisasi yang memperlihatkan penguasaan Barat terhadap ilmu, pemikiran dan cara hidup yang mempengaruhi sebahagian besar umat Islam untuk ratusan tahun. Islam tidak mengambil pendekatan menentang Barat dan Timur semata-mata kerana ia berbeza dari sudut geografi atau sejarah.

Sifat Islam yang sejagat mengemukakan nilai-nilai yang fitrah untuk dijadikan pedoman dan pertunjuk untuk seluruh umat manusia. Terdapat manfaat berbanding dalam perkembangan sains dan teknologi Barat yang tidak menghalang umat Islam memanfaatkannya. Cuma Islam memberi keutamaan kepada akhlak pengguna. Teknologi sebagai alat digunakan oleh remaja Islam yang berakhlak dan ia akan memberi nilai guna yang tinggi.

Kritik kita tentang Barat ialah asas pemikiran dan kemajuannya tidak merujuk kepada agama sebagai sumber. Epistemologi atau asas binaan ilmu di Barat banyak bergantung kepada kekuatan akal sedangkan Islam menghubungkan faktor agama untuk memimpin akal. Oleh itu tasawwur atau pandangan semesta Barat tentang sesuatu, banyak yang bercanggah dengan kefahaman Islam itu sendiri.

Agama Islam adalah agama yang memberi pedoman kepada manusia bagaimana ilmu dan pendidikan harus dibangunkan, bagaimana ekonomi dan pengurusan harus berlaku, bagaimana kemajuan yang seimbang dapat dicetuskan dan bagaimana maqasid atau maksud kepada syariah atau hukum Islam menjaga kepentingan agama, keturunan, akal, maruah dan harga diri umat manusia dapat dilaksanakan dengan bijaksana.

Sebagai agama dan Cara Hidup Islam menghubungkan pemikiran, ilmu, pendidikan dan kemajuan dengan nilai-nilai baik supaya manusia mempunyai nilai-nilai manusiawi yang tinggi dan memiliki teladan yang menjadi contoh ikutan.

Ketiga, orientasi berfikir dan hidup masyarakat Islam sudah bercampur aduk. Islam tidak menolak adanya kepelbagaian dan asas litaarafu yang disebutkan dalam al-Quran dengan maksudnya yang luas supaya isu kelainan bangsa, agama, budaya dan sistem nilai didekati dengan bijaksana, namun ayat-ayat Allah atau pun al-Quran adalah pedoman yang sentiasa hidup dan menghidupkan untuk faedah umat manusia.

Ayat al-Quran yang pertama disampaikan kepada Nabi Muhammad iaitu Al Alaq menekankan tentang kepentingan ilmu. Maksud Bacalah dengan nama Tuhanmu memberi asas yang kuat tentang kepentingan ilmu tidak saja meneliti apa yang tersurat tetapi mengkaji apa yang tersirat. Maksud Alaqa dalam surah tersebut memberikan asas tentang ilmu sains embriologi atau kejadian manusia dan konsep al Kalam memberi makna yang amat besar tentang kepentingan ilmu dimana akal dan pancaindera manusia sebagai alat terhadap perkembangan ilmu dan ilmu yang dipandu oleh hikmah atau al-Quran memberikan manusia kekuatan untuk melakukan penerokaan saintifik tetapi dipandu oleh petunjuk dan perisyaratan dari Allah. Darinya bakal lahir ilmuan dan saintis yang melakukan tadabbur (kaji selidik) terhadap hikmah kejadian dan dalam masa yang sama beriman terhadap kebesaran dan keperkasaan Allah mencipta dan mengaturkan alam ini dengan tertib, tersusun berasaskan Qada dan Qadar (ketentuan-Nya) Allah.

Oleh itu dalam siri-siri seterusnya saya akan berkongsi ilmu, pemahaman kepada remaja tentang Islam sebagai agama yang sering menimbulkan salahfaham orang Bukan Islam malah orang Islam sendiri. Islam sering dikaitkan dengan kemunduran sedangkan Islam adalah agama yang maju dan sering mendukung kemajuan.

Bezanya, perspektif Barat dan Islam mengenai kemajuan sudah tentu terdapat perbezaannya. Islam dalam erti kata sebenar diletakkan dalam suatu ‘penjara’ dan umat Islam hari ini diletakkan dalam sebuah ‘rumah kaca’ untuk dilihat serba tak kena dan menjadi punching-bag atau beg tinju bagi mereka memburukkan lagi Islam.

Para remajalah sewajarnya melakukan pencerahan dan penjernihan kembali Islam supaya gambaran tentang ajaran, sejarah dan tamadunnya menyumbang ke arah kemajuan dan perubahan yang sifatnya manusiawi.

No response to “Benarkah Islam satu agama mundur?”