Thursday, December 14, 2006

Majunya remaja dalam acuan sendiri

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

PARA remaja tidak boleh mengelak daripada terlibat dengan proses pembangunan dan perubahan. Perubahan dan pembangunan adalah

fitrah.

Manusia sentiasa memikirkan cara dan mencari jalan bagaimana hidup menjadi lebih baik. Maka lahirlah fikiran, rumusan dan pendekatan, malah teknologi bagaimana hidup itu menjadi lebih maju dan

bermakna.

Bangsa-bangsa atau negara-negara tertentu berusaha merancang dan mewujudkan program bagaimana proses bangsa dan negara maju dapat dicapai.

Pada masa lalu manusia membina tamadun dan mengalami perubahan dalam pelbagai bentuk. Sudah tentu dalam konteks remaja Islam, kehidupan yang fitrah menjadi asas binaan kemajuan.

Dalam masa sama para remaja didatangi pengaruh dari luar budaya dan tradisinya. Sudah tentu pengaruh yang baik boleh diambil, tradisi sendiri yang bermanfaat dikekalkan dan akhirnya dibina kemajuan dan perubahan berasaskan acuan kita sendiri.

Kehidupan manusia hari ini melahirkan pelbagai cara dan budaya. Ada budaya yang lahir semata-mata kerana kemahuan naluri tanpa pedoman rohani.

Ada budaya yang lahir dengan kekuatan pengetahuan dan teknologi tetapi menolak nilai-nilai murni. Ada budaya lahir dengan kekuatan nilai dan rohani tetapi tidak memiliki kekuatan ilmu dan ketrampilan.

Budaya atau cara hidup yang diterima Islam berasaskan kekuatan rohani dan melahirkan manusia yang berfikir, berilmu dan mempunyai ketrampilan yang tinggi untuk mengurus kehidupan.

Inilah acuan yang diperlukan oleh kita supaya wujud keseimbangan antara Ilmu Mengurus Diri (Fardu Ain) dan Ilmu Mengurus Sistem (Fardu Kifayah). Islam tidak menentang Barat dan Timur. Sifat Islam ialah agama alamiah atau sejagat.

Pada orang Barat dan Timur ada perkara yang boleh dimanfaatkan dan ada nilai budaya yang boleh di tiru. Orang Barat pada hari ini tekun menyelidik, rajin menghasilkan karya, melakukan usaha penerokaan, menampilkan teknologi tinggi.

Terdapat bangsa Timur yang rajin bekerja, rajin membaca, berdisiplin tinggi yang berguna untuk membangun dan maju.

Yang buruk dari Barat dan Timur harus ditolak. Kehidupan lepas-bebas di kalangan remaja jangan ditiru. Kegilaan terhadap hiburan yang melampau jangan dijadikan ikutan. Tidak semua budaya mereka harus dipelajari dan diikuti.

Para remaja jangan mengambil sikap menentang Barat secara melulu. Yang patut remaja tentang ialah proses pembaratan yang ingin menjadikan cara hidup kita seperti cara hidup mereka.

Oleh itu amat perlu bagi remaja mempunyai daya saring dan daya pilih yang tinggi berasaskan nilai dan manfaat berbanding tradisi kita sendiri.

Teknologi umpamanya harus dilihat sebagai alat. Alat amat berguna kepada kita untuk menjadikan cara hidup kita lebih baik. Tetapi teknologi itu sendiri bukanlah matlamat.

Matlamat kepada teknologi bergantung kepada nilai guna yang terdapat pada alat. Komputer umpamanya adalah alat yang berguna untuk kita mendapatkan maklumat dan berkomunikasi.

Tetapi apakah perisian dan input dalam komputer itu terkandung perkara-perkara yang baik dan bermanfaat atau lebih banyak terkandung bahan-bahan yang boleh merosakkan pemikiran remaja.

Di sinilah perlunya kekuatan nilai dan daya saring bagi remaja memilih yang baik, bermanfaat atau sebaliknya. Bayangkan kalau remaja tidak mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang tinggi, sudah tentu perbuatan melampaui batas boleh berlaku dalam penggunaan komputer.

Oleh itu untuk membangunkan perisian dan input kita sendiri , para remaja di samping mempunyai kemahiran teknologi, harus juga mempunyai kemahiran membina perisian atau program yang sesuai dengan acuan kita sendiri.

Ia menuntut penguasaan ilmu dan nilai yang baik. Dalam masa sama mempunyai daya kreatif yang tinggi menghasilkan perisian yang sesuai dengan fitrah insan.

Dalam tradisi Islam, proses pembangunan bermula dengan pembangunan insan atau pembangunan rijal menurut al Quran.

Insan merupakan fokus untuk dibangunkan kerana pada insan ada potensi akal, rohani dan potensi jasmani. Kemajuan hanya boleh berlaku sekiranya akal membolehkan manusia berfikir.

Daripada fikirlah datangnya ilmu dan maklumat yang membolehkan manusia tahu tentang sesuatu. Akal dan fikiran saja tidak memadai kerana kebolehan manusia berfikir terbatas.

Dengan adanya kekuatan rohani yang dibentuk oleh nilai-nilai Qurani yang tinggi penyerasian akal dan hati membolehkan amalan yang baik berlaku.

Contohnya, al-Quran menganjurkan insan mencari dan menemui kebenaran. Kebenaran itu hanya daripada Allah.

Allah menurunkan al-Quran sebagai sumber petunjuk dan hikmah serta membolehkan kebenaran itu ditemui. Bercakap jujur dan berlaku adil adalah anjuran al-Quran.

Apabila kejujuran dihubungkan dengan Allah dan keadilan dihubungkan dengan Allah jua, manusia tidak akan melakukan salah guna dan penyelewengan kerana faktor rohaniah akan memandu apabila kita tidak berlaku jujur terhadap orang lain, Allah mengetahui apa yang kita lakukan.

Apabila kita berlaku zalim terhadap diri kita dan orang lain, kezaliman itu bakal merosakkan diri kita dan orang lain, dan akan menerima balasan setimpal kemudian nanti.

Asas keinsafan begini, iaitu menghubungkan akal sebagai alat mencari kebenaran yang dipandu oleh al-Quran menjadi hidup insan selamat dan sejahtera dan hidup orang lain juga menjadi aman dan bahagia.

Oleh itu, menjadi kewajipan para remaja Islam menyediakan diri dengan kekuatan akal, rohani dan jasmani.

Kagum dengan kemajuan teknologi komputer dan digital saja tidak memadai sekiranya para remaja tidak mengukuhkan diri dengan kekuatan iman dan taqwa. Ilmuan Islam pada masa lalu memiliki kekuatan ini.

Ramai di kalangan mereka yang hafaz al-Quran di peringkat awal umur, mempelajari ilmu tafsir dan bahasa, mendalami al-Quran yang dihubungkan dengan kaji-selidik yang berwibawa, menghasilkan karya-karya besar yang original dan melakukan penerokaan saintifik yang menghasilkan tradisi sains yang tidak bercanggah dengan Islam.

Akhirnya mereka mampu mencetuskan perubahan dan kemajuan yang bersifat tamadun . Barat, terhutang ilmu kepada tamadun Islam. Daripadanya menyumbang kepada tamadun Barat.

Proses sejarah menyebabkan Barat menjadi kuasa besar dan menjajah umat Islam. Hari ini globalisasi menjadi alat bagaimana Barat 'menjajah' semula pemikiran dan cara hidup kita.

Para remaja harus mampu melepasi diri daripada belenggu ini. Dalam mengkaji kehebatan tamadun kebendaan Barat, para remaja jangan menjadi pengguna setia yang melulu sehingga lupa kepada jati diri, tradisi, budaya dan kemurnian nilai-nilai agama.

Dalam mengagumi kekuatan Islam pada masa lalu, para remaja tidak saja nostalgik terhadap keupayaan silam tetapi harus bersikap reflektif tentang pra-syarat kejayaan, kemudian mengungkapkannya kembali secara

kreatif dan praktikal sesuai dengan situasi masa ini.

Pengungkapan kembali tidak semestinya menggunakan acuan lama untuk diaplikasikan dalam realiti yang berubah.

Para remaja harus selektif dan kreatif untuk menyaring dan memilih asas-asas ilmu yang sesuai, kemudian diolah kembali secara kreatif tanpa menjejaskan faktor akidah, syar'iyah dan akhlak yang menjadi teras dalam mencapai maksud maju dan berubah.

Maju dan berubah dalam konteks acuan sendiri memberikan asas keterbukaan kita terhadap faktor-faktor menyumbang dan bermanfaat daripada orang lain.

Dalam masa yang sama tumpuan kepada membangun ilmu, teknologi dan nilai berasaskan tradisi pengilmuan dan pendidikan yang sepadu, bakal memberikan landasan yang lebih seimbang supaya majunya kita dalam pembangunan tidak melupakan nilai-nilai keinsanan yang tinggi supaya pembangunan menjadi sumber rahmah bukannya sumber musibah.

Ia menuntut kecekalan remaja untuk menguasai ilmu-ilmu Mengurus Diri dengan baik di samping menguasai atau mengkhusus kepada bidang-bidang Ilmu Mengurus Sistem secara profesional. Kekuatan ini membolehkan kemajuan dan perubahan bergerak dalam acuan yang lebih fitrah.

Budaya, seni dan hiburan yang kita bangunkan tidak menjadikan kita lalai dan melampaui batas. Sistem perbankan dan takaful yang kita wujudkan sebagai asas untuk membangunkan sistem ekonomi yang lebih seimbang.

Pendidikan yang kita wujudkan bakal melahirkan manusia yang mempunyai daya fikir dan zikir. Dan akhirnya pembangunan kita akan lebih manusiawi dengan mengambil pertimbangan pembangunan insan seutuhnya bagi mengendalikan sistem dengan amanah, adil, bijaksana dan sejahtera.

No response to “Majunya remaja dalam acuan sendiri”