Wednesday, December 13, 2006

Pelajar penyokong reformasi? -- Kesedaran politik tidak bermakna aktif berpolitik - Dr. Sidek



MUKADIMAH
SEJAK penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara melihat 'kebangkitan' segelintir pelajar institusi pengajian tinggi yang menjadi penentang, antikerajaan dan pucuk pimpinan (sedangkan pada masa yang sama mereka adalah pemegang biasiswa kerajaan).

Fenomena ini dikatakan berlaku hampir di setiap pusat pengajian tinggi, dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dikaitkan sebagai universiti yang paling 'aktif' dengan masalah ini.

Malah, UIA juga didakwa kononnya telah memberi sokongan kuat kepada gerakan reformasi berdasarkan insiden penahanan Timbalan Rektor Hal Ehwal dan Disiplin Pelajar UIA, Dr. Sidek Baba di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 21 September lalu.

Dr. Sidek yang juga bekas Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM 1993 hingga 1997), yang dibebaskan tanpa syarat pada 8 Oktober lalu dikenali sebagai salah seorang rakan paling akrab Anwar Ibrahim.

Untuk mengetahui intipati permasalahan ini, sama ada tuduhan itu berasas atau tidak, ikutilah luahan hati Dr. Sidek dalam wawancara beliau dengan wartawan Mingguan Malaysia, Ruhaidini Abd Kadir di pejabatnya di UIA, baru-baru ini.

SECARA peribadi, saya akui bahawa UIA telah menjadi fokus semua pihak pada waktu ini. Dengan jujur saya nyatakan bahawa tidak mudah untuk menguruskan pelajar-pelajar yang berjumlah hampir 12,000 orang di mana Anwar Ibrahim pernah menjadi presidennya.

Pasti sentimen terhadapnya memang ada. Namun pada saya, 'keresahan' yang wujud adalah sesuatu yang lazim dan natural kerana pertalian hubungan Anwar dengan UIA sudah agak lama.

Sudah pasti ia menuntut kesabaran yang tinggi terutama usaha mendekati pelajar-pelajar yang emosinya 'terusik' berikutan apa yang telah berlaku sejak akhir-akhir ini.

Sebab itulah saya mengharapkan pengertian yang amat mendalam di kalangan semua pihak supaya mempunyai kejernihan pandangan terhadap UIA, satu-satunya universiti contoh sebagai universiti Islam pada peringkat antarabangsa yang menjadi kebanggaan kita.

Di universiti ini juga terdapat 2,000 orang pelajar antarabangsa yang datang dari 96 buah negara.

Pada saya, universiti ini adalah universiti kita bersama. Tanggungjawab bersama harus wujud supaya masalah yang berbangkit dapat didekati dengan bijaksana.

Kalau masyarakat mahu tahu gambaran di kampus UIA hingga setakat ini hanya lima orang pelajar dan dua kakitangan UIA sahaja telah ditahan polis di luar kampus kerana didakwa terlibat dengan gerakan reformasi.

Mereka ini telah ditahan dan disiasat kemudian dibebaskan dengan ikat jamin, seterusnya akan menjalani proses undang-undang yang ditentukan oleh mahkamah.

Pihak UIA telah menyiasat kesemua mereka untuk mengetahui latar belakang penglibatan mereka dan tindakan yang wajar akan diambil berasaskan keputusan yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Bagaimanapun keadaan di kampus UIA adalah terkawal. Sejak berbangkitnya isu reformasi hanya terdapat beberapa kejadian kecil seperti penyebaran risalah dari luar, pemasangan kain rentang, menaburkan akhbar lama berlaku di sini.

Bagaimanapun tidak berlaku demonstrasi besar-besaran atau tindakan di luar kawalan yang boleh mengganggu ketenteraman universiti.

Bagi membendung keadaan ini, ada beberapa langkah telah kami ambil iaitu berbincang dengan pemimpin pelajar di pelbagai peringkat tentang pentingnya menjaga kestabilan universiti.

Pada masa yang sama, kita juga telah mengeluarkan beberapa memo atau peringatan bertujuan mengingatkan pelajar-pelajar tentang peraturan, disiplin dan batasan-batasan kegiatan di dalam serta di luar kampus.

UIA juga telah menubuhkan sebuah task force untuk membantu mewujudkan suasana yang lebih mantap di kampus.

Bagi pelajar-pelajar antarabangsa, mereka telah diingatkan supaya jangan sekali-kali terlibat dengan kegiatan yang menyalahi peraturan universiti serta negara. Alhamdulillah, mereka semua memberikan kerjasama yang baik.

Saya menafikan dakwaan mengatakan bahawa dengan adanya Akta Universiti dan Kolej (AUK) menyebabkan pelajar lesu dan menyekat pergerakan mereka, sebaliknya dengan menyertai demonstrasi mereka menjadi lebih aktif.

Pada saya pandangan itu kurang tepat. Sebenarnya ruang untuk pelajar bergiat masih luas. Di samping beban akademik yang semakin meningkat pelajar perlu kreatif dalam perancangan dan kegiatan supaya mereka mampu mengimbangi keperluan akademik dan juga keperluan membina daya kepimpinan.

Pelajar adalah aset penting bagi negara. Kesedaran politik juga perlu ada. Tetapi itu tidak bermakna mereka perlu terlibat dengan kegiatan politik kepartian.

Kegiatan berpersatuan di kampus adalah persiapan awal terhadap membina kesedaran pentingnya kepimpinan berkesan di luar kampus.

Tetapi kegiatan di dalam kampus ada batasnya. Ia terikat dengan beberapa peraturan yang ada untuk kebaikan pelajar-pelajar. Di luar kampus juga pelajar-pelajar tertakluk dengan peraturan negara.

Sekiranya para pelajar terlibat dengan perbuatan menyalahi di luar kampus ia juga boleh melibatkan kedudukannya dalam kampus.

Saya selalu tekankan bahawa keutamaan pelajar-pelajar ialah menimba ilmu pengetahuan sebanyak-banyaknya.

Sebagai institusi pengajian tinggi, pada hemat saya universiti harus diberikan kebebasan akademik dan perkembangan intelektual yang sihat supaya ia mampu membina scholar atau tradisi keilmuan yang tinggi.

Kekuatan sesebuah universiti bergantung kepada keupayaannya melahirkan tradisi berbincang yang sihat di kalangan warganya, tradisi penyelidikan yang mampu dibanggakan dan tradisi berbeza fikiran yang menyuburkan semangat muzakarah.

Pada masa yang sama kita memerlukan pelajar-pelajar yang memiliki idealisme. Tetapi idealisme mestilah berasaskan realiti.

Idealisme saja diibaratkan seperti bunga kiambang, yang tidak jejak di atas realiti, mereka mudah hanyut dibawa arus kerana kiambang akarnya tidak berjejak di bumi.

Saya sering menasihatkan pelajar-pelajar supaya melakukan tiga perkara untuk mencapai perubahan berkesan. Pertama, pelajar-pelajar mestilah memiliki kesedaran yang tinggi dalam apa keadaan sekalipun.

Kedua, kesedaran itu mesti diikuti dengan mengupayakan diri berasaskan kekuatan ilmu, keterampilan dan pengalaman yang berguna (high level of empowerment) dan ketiga, kesedaran dan pengupayaan perlu diikuti dengan daya pelaksanaan yang bijaksana kerana kita menghadapi realiti Malaysia yang bersifat majmuk.

Bercakap tentang pandangan saya terhadap sikap pelajar yang anti-establishment, secara jujur saya melihat bahawa sikap itu bukanlah sesuatu yang baru bagi pelajar kita.

Pada saya, sikap anti-establishment juga bersifat sementara. Tidak salah bagi saya pelajar-pelajar memiliki sifat sukakan kebenaran, keadilan dan kejujuran mengikut cara mereka. Cuma, sifat ini memerlukan proses pematangan apabila mereka menjadi sebahagian daripada establishment nanti.

Isunya, mampukah nanti mereka mempertahankan obor kebenaran, keadilan dan kejujuran secara paling bijaksana menginsafi realiti kampus adalah tidak sama dengan realiti dalam establishment dan realiti dalam masyarakat.

Pada saya, banyak faktor yang memerlukan kekreatifan dan kebijaksanaan para pelajar apabila berdepan dengan realiti hidup.

Banyak bukti menunjukkan ramai bekas pimpinan pelajar yang suatu ketika dulu anti-establishment semasa di universiti akhirnya menjadi sebahagian daripada establishment itu sendiri.

Menjadi sebahagian daripada establishment tidaklah salah. Yang salahnya ialah kehadiran dalam establishment tidak bersifat menyumbang, sebaliknya menjadi beban pula.

Seperti yang saya katakan tadi, senario ini tidak semestinya kekal dan dasar kerajaan untuk terus membantu memberikan mereka biasiswa tanpa mengira latar belakang anutan politiknya adalah satu langkah yang bijak dan berpandangan jauh.

Perlu diingat bahawa pelajar-pelajar adalah aset kepada negara dan merupakan kelompok berpotensi generasi penerus yang perlu dibina, dimatangkan daya persepsi serta analisisnya.

Jadi universitilah tempatnya bagi pelajar-pelajar didedahkan dengan ilmu dan fakta yang betul tentang sesuatu perkara.

Pelajar-pelajar harus sedar dan mengetahui makna perkataan menghargai dan mengenang budi. Tentang pentingnya bersifat menyumbang dan kesediaan untuk membangunkan negara serta masyarakat.

Sekiranya hakikat ini dialpakan tunggulah masanya apabila pelajar-pelajar ini menjadi pemimpin nanti, dan bagaimana rasanya apabila generasi pelajar yang mereka pimpin ketika itu tidak memiliki tradisi menghargai dan mengenang budi sehingga wujud jurang generasi yang terlalu tajam hingga menyebabkan wujudnya konflik yang berterusan.

Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, akan wujud pembaziran sumber tenaga di kalangan generasi muda dan mereka tidak lagi menjadi aset tetapi bertukar menjadi beban atau liability kepada negara dan masyarakat.

Saya bersetuju bahawa tugas ahli akademik sekarang semakin mencabar dalam mengembalikan semula keyakinan para pelajar khususnya dalam menghadapi reformasi sekarang.

Ini kerana, pelajar-pelajar hari ini tidak hanya disogokkan dengan maklumat formal di bilik-bilik kuliah tetapi banyak terdedah dengan maklumat tidak formal di luar bilik kuliah dan juga menerusi rangkaian sistem maklumat yang ada iaitu Internet.

Para pensyarah harus mampu membimbing pelajar membuat klasifikasi dan justifikasi yang lebih tepat supaya sebarang peristiwa yang berlaku dapat dianalisis dengan betul dan meyakinkan. Maklumat dalam Internet umpamanya, tidak semua mengandungi fakta yang betul dan bermanfaat.

Dalam pada itu para pensyarah juga mempunyai tanggungjawab membimbing dan mendidik mereka supaya para pelajar memiliki keupayaan menyaring (filtering abilities) yang baik dan dapat membezakan maklumat yang sahih atau sebaliknya.

Di samping itu pelajar juga harus sedar supaya apabila sesuatu pihak dikritik dan dibidas, ia jangan sampai membunuh keyakinan dan kepercayaan orang lain.

Apalagi dalam konteks bina negara (nation building), amat perlu sikap terbuka dalam proses memberi dan menerima supaya akhirnya sikap yang diambil tidak bersifat fitnah atau prasangka semata-mata.

Ramai yang membangkitkan persoalan apakah fenomena yang melanda pelajar-pelajar yang aktif bereformasi sejak akhir-akhir ini hanya bersifat sementara atau seterusnya akan menyaksikan kelahiran generasi akan datang yang antikerajaan ?

Pada saya, sementara atau kekalnya fenomena ini bergantung kepada keupayaan kita mendidik para pelajar dengan maklumat yang tepat dan betul.

Hari ini, kita sedang berhadapan dengan generasi muda yang dirangsang oleh tahap kemajuan dan perkembangan sistem komunikasi dan telekomunikasi yang canggih. Ia menjadikan watak generasi muda lebih kompleks.

Sistem komunikasi yang berkembang pesat menjadikan jalinan hubungan antara seorang pelajar dengan yang lain berlaku dengan cepat dan pantas.

Negara juga harus mampu mengimbangi kepesatan ini supaya taburan maklumat yang banyak terutama dari luar lingkungan budaya dan nilai kita tidak sampai merosakkan pemikiran serta sikap mereka hingga menyebabkan mereka antimasyarakat dan antinegara.

Sikap antinegara amat bahaya kerana ia boleh melemahkan sistem kemasyarakatan dan kenegaraan. Pada hemat saya, negara kita masih mempunyai asas-asas kukuh dan dasar-dasar penting mengekalkan suburnya sistem nilai dan sistem kepercayaan di kalangan masyarakatnya.

Pembinaan UIA umpamanya, cuba mendukung falsafah perkembangan ilmu yang berteraskan sistem nilai dan agama supaya matlamat UIA akhirnya mampu melahirkan pelajar yang berwibawa.

Proses ini adalah proses yang lama dan menuntut perancangan yang rapi serta metodologi yang berkesan.

Sekiranya ini dapat dikembangkan secara bijaksana di kalangan pelajar-pelajarnya, saya percaya proses kematangan dan pendewasaan akan tetap menjadikan pelajar-pelajar sebagai faktor penyumbang ke arah pembangunan dan negara.

Walau apa pun, pada pandangan saya pelajar-pelajar perlu ada emosi supaya wujud rasa kepekaan terhadap sekitarnya. Tetapi bermain dengan emosi semata tanpa merujuk kepada fakta dan rasionaliti ada bahayanya.

Kita boleh terbawa-bawa oleh arus peristiwa. Kadang-kadang, arus peristiwa boleh menenggelamkan kita. Kita perlu mengimbangi kekuatan emosi dengan kekuatan fakta supaya asas kepekaan terhadap sesuatu menjadikan kita lebih objektif.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa asas di atas boleh membantu para pelajar menghadapi faktor perubahan. Perubahan adalah sesuatu yang lazim bagi masyarakat yang ingin maju.

Soalnya, apakah generasi pelajar sudah membuat persiapan ke arah perubahan alaf mendatang? Sekiranya pengaruh sistem telekomunikasi dan komunikasi menjadi isu, apakah universiti dan para pelajar sudah diperkukuhkan dengan ilmu itu.

Pelajar tidak harus diletakkan sebagai pengguna setia kepada faktor-faktor kemajuan yang datangnya dari luar lingkungan budaya serta nilai hidup kita, sebaliknya secara strategik berubah menjadi penyumbang yang amat bermakna kepada perubahan sejagat.

Ini tidak mustahil untuk kita lakukan. Islam umpamanya, bukan hanya berkembang atas teguhnya suatu sistem kepercayaan, tetapi bagaimana sistem kepercayaan itu dapat diterjemahkan hingga mampu membina suatu peradaban. Islam pernah muncul dengan peradabannya yang cukup gemilang.

Kegemilangan itu, pada pandangan saya, ditandai oleh keteguhan ilmu dan tradisi berfikir yang cukup hebat.

Aspek syariah tidak hanya berkembang dalam batas fikah dan legalistik sifatnya tetapi mendasari pembangunan disiplin ilmu dalam pelbagai bidang. Melakukan Islamisasi tidak boleh didekati secara simplistik.

Ia tidak hanya selesai dengan menampilkan retorik yang panas semata-mata tetapi memerlukan perancangan yang rapi dalam pembinaan ilmu, pembinaan institusi yang melahirkan sumber tenaga manusia yang bukan saja menyumbang ke arah perubahan tetapi perubahan ke arah mana yang dimahukan.

Bagi saya, UIA amat berharga kepada Malaysia dan dunia Islam. Kekuatan dan keteguhan UIA, insya-Allah boleh membantu ke arah keteguhan Malaysia masa depan dan keteguhan dunia Islam juga.

One response to “Pelajar penyokong reformasi? -- Kesedaran politik tidak bermakna aktif berpolitik - Dr. Sidek”

Anonymous said...

saya setuju dengan pandangan Doktor..