Wednesday, December 13, 2006

Pembinaan pemikiran penyaring remaja terbaik

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

ADA dua perkara yang boleh kita sentuh apabila memperkatakan tentang pemikiran. Pertama, Allah mengurniakan otak untuk membolehkan kita berfikir. Daripada proses berfikir, datangnya maklumat dan ilmu. Berfikir juga menjadikan kita tahu tentang

sesuatu dan menyebabkan kita berpengetahuan. Upaya berfikir membolehkan lahirnya idea-idea yang menyebabkan kita menjadi kreatif.

Kedua, hasil daripada proses fikir menyebabkan lahirnya aliran pemikiran. Aliran pemikiran berkait dengan fahaman dan keyakinan kita terhadap apa yang kita fikir dan meneliti serta menyaring apa yang orang lain fikir. Aliran ini akhirnya menjadi teguh kepada diri seseorang menyebabkan kita tahu konsep dan falsafah hidup serta hala-tuju perjuangan.

Islam adalah agama bagi orang yang berakal. Allah menjadikan alam dan seluruh kejadian untuk mengajak manusia berfikir. Al-Quran diturunkan dengan segala macam kisah dan peristiwa untuk mengajak manusia merenung dan berfikir supaya kita memiliki teladan dan petunjuk. Akal dari sudut Islam ialah alat. Apa yang difikirkan oleh akal menjadi proses dan hasil daripada proses pemikiran boleh memandu manusia mencapai matlamat hidup.

Dalam Islam akal bukanlah segala-galanya. Akal mempunyai keterbatasan. Ada hal-hal dan perkara dalam hidup ini tidak terfikir dan terjangkau oleh kekuatan akal. Ia memerlukan bantuan bagi memahami mengapa kita dihidupkan, apa hubungan Pencipta dengan yang dicipta. Apa hubungan manusia dengan persekitarannya dan ke manakah akhirnya manusia. Dan apakah pedoman-pedoman terbaik bagi manusia melalui hidup ini supaya ia terus berada dalam keadaan fitrah. Oleh itu, maksud pemikiran dari sudut Islam adalah apa yang akal fikirkan ialah titik-tolaknya daripada sumber naqli (wahyu). Kita diberikan kebebasan untuk berfikir tetapi kebebasan itu tidak harus bercanggah dengan faktor-faktor wahyu dan selari dengan syarak. Pemikiran dalam Islam ialah perkembangan idea, maklumat, ilmu dan pengetahuan yang senafas dengan keperluan syarak.

Remaja adalah kelompok yang paling berpotensi untuk membina aliran pemikiran yang betul dan sihat. Input ilmu, maklumat, pengetahuan dan pengalaman yang diterima oleh remaja bukan saja boleh memberi kesan kepada aliran pemikirannya tetapi konsep hidup, falsafah diri dan cara remaja melihat faktor-faktor persekitarannya. Sekiranya remaja menerima input yang didukung sama oleh nilai-nilai murni dan nilai-nilai yang baik, aliran pemikirannya akan cenderung berfikir ke arah kebaikan. Tetapi sekiranya input pemikiran hanya berasaskan apa saja yang datang dan apa saja yang dialami dan tidak merasakan nilai-nilai murni itu penting, aliran pemikirannya akan lebih tidak terarah dan kadang-kadang hilang pedoman.

Bagi remaja, kekuatan akal yang Allah berikan seharusnya digunakan untuk mendapat manfaat ilmu dan hikmah, nilai dan pedoman, maklumat dan kebenaran supaya para remaja terbiasa dengan aliran pemikiran yang sihat dan boleh membantu remaja merancang, melaksanakan buah pemikiran ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Islam tidak menghalang para remaja mengambil sumber-sumber yang baik, bermanfaat dan memiliki faedah daripada tamadun manapun juga. Proses lita`arrafu atau berkongsi kekuatan dan kelebihan orang lain amat dianjurkan, asal sahaja tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan nilai-nilai manusiawi. Cuma para remaja mesti memiliki keupayaan menyaring mana yang baik dan mana yang sebaliknya. Sebagai remaja Islam, pemahaman terhadap ilmu dan pemikiran Islam harus terlebih dahulu diperkukuhkan.

Apabila aliran pemikiran remaja sudah jelas dan menuju kepada kemantapan, remaja tentunya sudah mempunyai syarat asas untuk melakukan penerokaan pemikiran terhadap aliran yang pelbagai. Asas pemikiran Islam yang baik membolehkan kita memperkaya khazanah pemikiran, dan dari situlah datangnya perkembangan pemikiran yang sihat.

Memang benar penggunaan alat yang canggih boleh mengembangkan aliran pemikiran. Internet, SMS, EMS contohnya adalah alat. Alat ini menjadi berguna untuk mengembangkan pemikiran yang baik dan sihat. Ia juga boleh digunakan untuk mengembangkan pemikiran yang tidak sihat dan merosakkan. Sebab itulah para remaja mesti mempunyai nilai pemikiran yang betul supaya alat tidak disalahgunakan. Secanggih manapun alat yang kita gunakan pada masa kini mahupun pada masa depan, ia bergantung kepada kandungan atau nilai-guna yang dihasilkan oleh alat. Apakah ia memberi sumbangan kepada pembinaan minda dan hati budi atau ia menyumbang ke arah pembinaan pemikiran yang sihat di kalangan remaja.

Di peringkat remaja, pembinaan aliran pemikiran adalah sangat mustahak. Salah aliran yang dibina tidak mudah untuk mengubahnya apabila dewasa nanti. Sekali remaja terbiasa dengan pemikiran yang baik, ia akan menjadi landasan bagi remaja untuk menjadikan kebaikan sebagai asas mengembangkan pemikiran. Walaupun kadang-kadang remaja tersua dengan aliran pemikiran yang bercanggah dengan kebaikan tetapi asas kebaikan yang sudah ada pada pemikiran remaja boleh menjadi penyaring yang terbaik ke arah membezakan yang baik dan sebaliknya.

Dalam tradisi Islam, aliran berfikir dibentuk oleh tasawwur atau pandangan semesta atau tanggapan terhadap sesuatu berasaskan dimensi menegak dan merentas. Dimensi menegak bermaksud apabila remaja berfikir, remaja akan mengaitkan keupayaan berfikir dengan Allah. Dalam bahasa yang mudah, apabila remaja berfikir tentang sesuatu, sumber berfikir itu dipandu oleh sumber wahyu. Pedoman dan saripati al-Quran dijadikan landasan untuk berfikir. Contohnya untuk para remaja mengetahui tentang faktor yang ghaib seperti Allah, malaikat, qada dan qadar, ia tidak boleh difahami tanpa mengaitkan al-Quran sebagai sumbernya. Al-Quran memberitahu remaja bahawa bukti adanya Allah ialah adanya alam ini.

Alam ini tidak terjadi dengan sendirinya melainkan ada proses penciptaan. Manusia tidak boleh melakukan penciptaan. Segala sesuatu dalam alam dan hidup ini semuanya datang daripada Allah. Manusia hanya melakukan gubahan dan rekaan terhadap sesuatu yang telah dicipta. Daripada pokok di hutan yang diciptakan Allah, ditebang, diracik dan dibuat kerusi-meja atau pun rumah. Daripada bahan besi dan logam di perut bumi, diambil dan di proses menjadi bahan-bahan teknologi. Daripada daun-daun dan akar, dikenalpasti dan dijadikan ubat-ubatan.

Alam ini berfungsi berasaskan suatu sistem atau sistem-sistem yang cukup teratur. Manusia mengatur sistem jalan raya dengan dipandu oleh alat dan teknologi bagi menentukan lalu-lintas berjalan dengan baik. Tetapi kemalangan dan kesesakan tetap juga berlaku. Bintang-bintang yang beredar dengan jumlahnya yang amat banyak dan beredar dengan kelajuan yang amat luar biasa, tetap teratur dan tertib mengikut jalur perjalanannya. Siapakah pengatur sistem ini kalau tidak ada suatu kuasa yang Maha Perkasa. Apabila al-Quran dijadikan sumber berfikir, para remaja akan dipandu dengan jalan berfikir yang akhirnya membawa remaja kepada kebenaran.

Apabila para remaja menjadikan al-Quran sebagai pedoman berfikir, dimensi merentas akan berlaku. Dimensi merentas bermaksud bagaimana jalur berfikir itu dihubungkan dengan manusia dan kehidupan. Contohnya, al-Quran memberitahu remaja bahawa gunung-ganang itu diciptakan sebagai pasak-pasak bumi. Pasak-pasak bumi bermaksud sebagai pengimbang terhadap perjalanan bumi dan kehidupan. Secara sainti-

fik, adanya gunung-ganang, pokok-pokok dan sungai-sungai memperlihatkan adanya suatu ekosistem yang saling menyokong untuk keperluan kehidupan. Bayangkan sekiranya gunung dan bukit diruntuhkan, hutan ditebang sesuka hati, tiada sumber air yang menyebabkan sungai menjadi kering dan cetek, ia bakal memberi kesan kepada cuaca dan kehidupan. Lapisan ozon akan menipis dan cuaca akan menjadi panas, ia akan memberi akibat kepada tumbuh-tumbuhan.

Oleh itu, maksud berfikir secara merentas di sini ialah bagaimana remaja menghubungkan pedoman Allah tentang kepentingan kehidupan. Sekiranya pedoman daripada Allah ini dapat dijadikan asas membantu para remaja mengetahui sebab sesuatu itu diciptakan, maka barulah manusia dapat merasakan bahawa rahmat dan nikmat yang Allah wujudkan, sebenarnya untuk kesejahteraan manusia. Apabila jalan berfikir remaja sudah sampai ke tahap sedemikian, maka barulah aliran berfikir remaja akan sentiasa dipandu dengan dimensi menegaknya, iaitu berfikir kerana Allah dan berhikmah untuk manusia. Dalam bahasa yang mudah ialah berfikir secara ikhlas untuk mencari kebenaran dan apabila pemikiran dipandu oleh kebenaran, maka tibalah makna kepada diri. Itulah ilmu, dan ilmulah yang menjadikan manusia tahu dan hikmah atau petunjuk daripada Allah menjadikan hidup kita lebih bermakna.

No response to “Pembinaan pemikiran penyaring remaja terbaik”