Wednesday, December 13, 2006

Potensi diri - Asas kematangan remaja

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA


PADA fitrahnya Allah mengurniakan remaja dengan potensi atau bakat seperti juga manusia lain. Manusia remaja pada asasnya kaya dengan potensi. Bakat yang ada padanya di peringkat yang paling perlu disuburkan dan dibentuk supaya dewasanya nanti memiliki asas kematangan dan kedewasaan. Remaja memiliki potensi/bakat emosi dan rohani yang sangat subur, bakat akal menunggu digilap dan bakat jasmani menunggu untuk dibelai, dilatih dan dibimbing.

Beremosi belum tentu menjadikan kita berakal. Asas akal yang memandu emosi boleh menjadikan remaja lebih mampu mengawal diri. Berakal dan menggunakan akal membolehkan remaja berfikir. Berfikir dulu sebelum melakukan tindakan adalah jalan bijaksana untuk mendapatkan hasil yang baik. Lebih-lebih lagi sekiranya tindakan yang dibuat diiringi dengan nilai yang betul, tentunya ia akan menghasilkan natijah yang lebih bermakna.

Hati juga penting bagi hidup remaja. Hati perlu disuburkan dengan nilai-nilai rohaniah. Daripada hati datangnya niat dan daripada niat timbulnya tindakan. Sekiranya hati terbangun dengan asuhan yang baik, maka pancaran hati juga akan membawa kebaikan. Sebab itu dalam amalan rohaniah orang-orang Islam, tumpuan banyak diberikan untuk memperkukuh dan memperteguh hati. Memperteguh hati di sini bukan bermaksud fizikal saja tetapi lebih penting lagi, ialah bagaimana hati itu memiliki peranan rohaniah yang memandu manusia melakukan sesuatu dengan maksud yang baik atau sebaliknya.

Sifat diri yang jujur, ikhlas, tulus, telus, adil, timbang rasa contohnya datang daripada hati. Sifat demikian terbina hasil hati ini sentiasa disuburkan dengan amalan rohaniah yang baik. Pada hati juga boleh membentuk sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat diri yang keji seperti suka memfitnah, mungkir janji, berbohong, zalim, pecah-amanah dan lain-lain berakibat hati tidak disuburkan dengan kosongnya penghayatan rohaniah yang baik.

Biasanya hilang pertimbangan kawalan diri apabila emosi mengatasi akal dan hati. Apabila ia berlaku, emosi yang dirutun oleh nafsu boleh menyebabkan remaja silap laku. Remaja memerlukan pendekatan bagaimana emosi dapat dikawal dan emosi dijadikan daya dorong ke arah mencapai cita-cita yang baik. Remaja memerlukan pendekatan bagaimana emosi dapat dikawal dan emosi dijadikan daya dorong ke arah mencapai cita-cita yang baik. Remaja juga harus membangun hati dengan penghayatan rohaniah supaya kesuburan emosi dan hati merintis jejak-jejak hidup yang lebih murni.

Ada juga di kalangan remaja yang pada zahir amalan rohaniahnya baik tetapi pekertinya tidak menggambarkan hal yang sama. Hal ini berbangkit akibat amalan rohaniah tidak berada pada tahap penghayatan. Dalam tradisi Islam amalan rohaniah seperti sembahyang, berpuasa, berzikir dan berdoa mestilah dilakukan dengan ikhlas hasil daripada keyakinan yang tinggi terhadap Allah, taqwa yang mendalam terhadap aturan dan pedoman-Nya dan akidah yang mantap terhadap keperkasaan-Nya. Apabila keyakinan ini subur pada diri remaja, barulah kesan penghayatan akan dapat dirasakan dan ia bakal membentuk sifat diri yang baik.

Contohnya, emosi remaja mudah terusik apabila ibu dan ayah memberi nasihat dan pandangan mengenai sesuatu perkara. Ada juga nasihat ibu bapa dianggap sebagai leteran dan teguran dianggap sebagai menghalang. Para remaja harus menginsafi bahawa nasihat dan teguran adalah perlu, apalagi datangnya daripada manusia yang terdekat dalam hidup kita, iaitu ibu dan bapa. Dalam keluarga, ibu bapa adalah orang yang telah lebih dahulu menempuh pengalaman hidup berbanding remaja. Remaja adalah pada peringkat bertatih untuk masuk ke alam belia atau dewasa, sudah tentu memerlukan pedoman dan nasihat malah kadang-kadang teguran.

Taat

Banyak bukti hidup menunjukkan bahawa remaja yang patuh dan taat kepada nasihat dan teguran ibu bapanya jauh lebih berjaya apabila menjalani hidup dewasa, sebaliknya ramai remaja yang menyesal selepas terjebak dengan salah laku sosial akibat tidak mahu menerima nasihat dan teguran ibu bapa. Bayangkan suatu ketika nanti apabila remaja bakal menjadi ibu dan bapa, sudah tentu akan datang tanggungjawab mendidik anak. Pastinya bentuk didikan itu ingin menjadikan anak-anak yang baik dan cemerlang. Bagaimana ia boleh berlaku sekiranya remaja yang bakal menjadi ibu dan bapa berada dalam keadaan yang tidak baik dan tidak cemerlang. Inilah dilema yang banyak dihadapi oleh ibu dan bapa pada hari ini kerana tidak mempersiapkan diri untuk menjadi ibu yang boleh dicontohi dan ayah yang boleh diteladani. Akibatnya akan berlaku kerosakan yang terus menerus dan akibatnya pembinaan generasi yang baik menjadi masalah besar.

Para remaja harus meneliti maksud al-Quran dalam surah Luqman yang antara lain dinyatakan oleh Allah ialah sifat taat kepada ibu bapa. Ketaatan kepada ibu bapa adalah kewajipan utama bagi para remaja. Sudah tentu yang wajar ditaati ialah amalan-amalan dan contoh yang baik daripada ibu bapa. Anjuran kepada yang buruk tidak harus dipatuhi. Lazimnya ibu bapa yang baik akan menunjukkan jalan yang baik kepada anaknya. Percayalah, banyak kerosakan yang berlaku kepada diri remaja dewasa ini akibat tidak patuh dan taat kepada ibu bapa, malah ada yang menderhaka dan melawan ibu bapanya.

Cuba para remaja bayangkan sekiranya suatu hari nanti para remaja akan menjadi ibu bapa kepada anak-anak. Apa perasaan remaja sekiranya anak-anak tidak mendengar cakap, anak-anak sering membantah teguran ibu bapanya, anak-anak yang tidak mengendahkan langsung nasihat dan pesanan ibu bapanya, sudah tentu para remaja yang bakal menjadi ibu bapa akan merasa tersinggung dan marah. Kalau begitu ibu bapa hari ini juga mempunyai perasaan yang sama apabila menghadapi masalah yang serupa. Bagi mengelakkan hal tersebut berlaku, para remaja harus memiliki sifat taat dan kasih kepada ibu bapa supaya apabila para remaja mempunyai anak-anak nanti, terdiri daripada anak-anak yang taat dan patuh terhadap nasihat dan teguran baik ibu dan bapa.

Emosi remaja memang mudah terusik. Remaja harus ada sifat sangka baik dengan ibu bapa dan membawa remaja berfikir bahawa tentu ada sebab mengapa nasihat itu diberi dan teguran itu dibuat. Sekiranya remaja dapat mengimbangkan antara keperluan akal dan emosi, remaja tidak akan bersifat syak wasangka terhadap ibu dan bapa. Akal remaja akan mengatakan bahawa mungkin nasihat itu diberi kerana ibu bapa bimbang mengenai kesejahteraan diri anaknya. Mungkin teguran itu dibuat kerana ibu bapa khuatir tentang akibat pergaulan anak-anaknya. Sekiranya potensi emosi itu diraikan secara positif berasaskan pemikiran yang jernih, potensi ini akan membantu remaja ke arah kedewasaan. Sekiranya berlaku sebaliknya, potensi emosi boleh merosakkan pertumbuhan bakat remaja.

Remaja juga mempunyai potensi akal yang boleh berkembang maju. Pemajuan akal mestilah dengan pengisian maklumat dan ilmu yang bermanfaat. Sekiranya akal berkembang tanpa ilmu dan maklumat yang baik, potensi akal juga boleh berkembang menghasilkan idea-idea dan pemikiran yang tidak sihat. Contohnya minat membaca adalah salah satu cara menambahkan ilmu dan mencanai akal. Sekiranya para remaja menggunakan potensi ini untuk menimba dan mendapatkan ilmu, bermakna ia akan membeli dan memilih bahan-bahan bacaan yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan dan menjadikannya manusia lebih bijaksana. Sebaliknya bahan-bahan yang dibaca tidak meningkatkan kesedaran akal-budi dengan minat membaca bahan-bahan lucah, tahyul dan khurafat, potensi akal telah dibangunkan ke arah pertumbuhan yang negatif.

Begitu juga potensi jasmani yang dimiliki oleh remaja sekiranya dapat dibentuk dan dibimbing sesuai dengan manfaat dan faedah yang baik, bakat jasmaniah boleh digunakan ke arah membina ketangkasan jasmani dan membantu pembesaran dan pendewasaan secara sihat. Sekiranya bakat jasmani itu digunakan untuk menunggang motosikal haram umpamanya, ia boleh membentuk tingkah-laku yang buruk dan boleh mendatangkan akibat yang tidak baik. Potensi jasmani hendaklah digerakkan ke arah mencapai tahap usaha yang tinggi bagi menjaga kesihatan diri dan juga membina kekuatan dan ketangkasan jasmani supaya tanggungjawab membangun fitrah remaja dapat berjalan dengan lebih baik.

No response to “Potensi diri - Asas kematangan remaja”