Friday, December 15, 2006

Sekadar ilmu fardu ain tidak mencukupi

Oleh DR. SIDEK BABA

KEPERLUAN mempelajari dan mengamalkan ilmu fardu ain adalah sesuatu yang amat dituntut oleh Islam. Islam tegak atas asas akidah, ibadah, akhlak dan syariah. Asas akidah menghubungkan manusia dengan Pencipta.

Daripada-Nya manusia memahami dirinya diciptakan dan seluruh alam ini diciptakan. Ia tidak terjadi dengan sendiri. Asas ibadah melambangkan jiwa kehambaan yang tinggi antara Pencipta dengan yang dicipta. Jiwa kehambaan membawa asas tunduk, patuh, akur dan taat antara yang dicipta dengan Pencipta. Darinya lahir ketertiban, peraturan, adab dan disiplin. Roh ibadah membimbing manusia menjadi sejahtera dan mensejahterakan orang lain. Itulah makna Islam.

Asas akhlak adalah buah daripada ibadah. Apabila jiwa rukuk dan sujud dihayati dalam hidup maka pekerjaan yang dilakukan adalah sifatnya ibadah. Jiwa rukuk dan sujud menjadikan manusia orang yang amanah, adil, tulus dan telus, jujur serta bijaksana. Nilai-nilai yang membangun akhlak insani ini apabila diamalkan dalam hidup ia tidak sahaja memberi manfaat pada diri pengamal tetapi memberi kepada lain.

Pedoman untuk hidup dengan sempurna tentu memerlukan panduan. Asas syariah memberikan pertimbangan benar, salah, boleh atau tidak boleh akan sesuatu. Asas syariah memberikan manusia batasan dan pedoman supaya manusia tidak melampau batas.

Tentu ada hikmah mengapa Allah memberikan peraturan kepada manusia. Seperti terdapatnya hikmah manusia dan sesuatu itu dijadikan berpasang-pasang, terdapat kejenisan dan terdapat juga kepelbagaian. Tanpa batasan dan pedoman manusia boleh terbabas dan hilang pedoman. Dengan pedoman yang betul manusia akan hidup dalam keadaan fitrah.

Inilah asas fardu ain yang perlu diketahui oleh setiap remaja Islam. Tetapi asas mengenai solat, siyam, zakat, haji, bersuci (taharah) dan seumpamanya belum memadai untuk menjadikan seorang remaja Islam sempurna hidupnya. Corak cabaran yang dihadapi oleh remaja kini tidak hanya berkisar ke persoalan asas mengenai akidah dan ibadah.

Tetapi remaja hari ini sedang teruja dengan masalah pemikiran, keyakinan, contoh teladan malah perkembangan maklumat yang datang dari pelbagai arah.

Memberikan remaja dengan kesedaran rohaniah semata tanpa asas pemikiran dibangunkan ia boleh mendedahkan remaja kepada krisis pemikiran kemudiannya. Pemikiran sekular dan liberal yang amat berkembang di Barat diolah dalam sistem komunikasi dan telekomunikasi canggih dan boleh memberi kesan pengaruh kepada remaja yang tidak kukuh asas pemikirannya. Lebih-lebih lagi zaman remaja adalah zaman anak-anak suka mencuba, menerima perkara-perkara yang baru, dan meneroka benda-benda yang pelik dan mencabar.

Mendidik anak-anak membaca al-Quran tidak harus sekadar membaca untuk fadilat atau pahala saja tetapi harus dimanfaatkan untuk meneliti mukjizat terbesar yang terdapat di dalam al-Quran itu sendiri. Dalam al-Quran terdapat pedoman-pedoman mengenai sains, teknologi, perubatan, psikologi, geologi, astronomi dan banyak lagi yang boleh menyuburkan pemikiran dan ilmu remaja.

Oleh itu pendekatan mendidik fardu sin di kalangan pelajar-pelajar harus diperkukuhkan tidak saja dalam batas amalan ibadah yang bersifat kerohanian semata-mata, tetapi harus disuburkan dengan pemahaman al-Quran yang boleh diterjemah dalam amali atau penghayatan. Ia akan mempertingkatkan ketangkasan pemikiran dan intelek remaja serta tingkah lakunya.

Tadabbur

Rahsia surah yang pertama al-Alaq turun kepada manusia terkandung maksud dan hikmah yang amat besar. Maksud baca atau iqra' dalam ayat pertama harus dilihat dalam konteks yang luas. Alam ini Allah jadikan terkandung rahsia dan hikmah yang amat luar biasa. Apabila jiwa iqra' disuburkan dalam maksud yang tersurat dan tersirat ia menjadi sumber ilmu memandu manusia melakukan tadabbur atau uji kaji yang tidak saja menemukan manusia dengan sumber kejadian tetapi mempertautkan manusia dengan tanda-tanda kebesaran Allah.

Memahami kewujudan Allah tidak saja dengan faktor rohaniah dan ayat-ayat yang tersurat tetapi mendalami, mengkaji dan meneliti hikmah di sebalik kejadian menyebabkan manusia akur dan tunduk bahawa tidak mungkin ia terjadi tanpa Penjadinya iaitu Allah s.w.t.

Lima ayat awal dalam surah al-Alaq itu tidak saja membimbing remaja untuk melakukan pembacaan dalam erti kata yang luas, tetapi juga menemukan remaja dengan ilmu mengenai kejadian manusia. Alaqa atau darah beku itu adalah hasil dari proses pertemuan benih atau kromosom. Ia memberikan remaja ilmu asas tentang sains atau ilmu mengenai embriologi.

Bayangkan ilmu ini tidak datang dari Nabi Muhammad yang ummi iaitu tidak boleh membaca dan menulis dan tidak ada universiti-universiti terkenal yang melakukan kajian dan penyelidikan sains tabie seperti yang terdapat sekarang. Sudah tentu ia diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada manusia.

Ayat yang awal dari surah ini juga memberikan asas tentang ilmu dan kalam. Tanpa ilmu dan pemahaman tentang konsep kalam yang luas tidak mungkin manusia mampu membaca alam dan memahami hikmah di sebalik kejadian. Sebab itulah turunnya al-Quran ialah untuk memerangi faham tahyul dan khurafat kerana al-Quran membimbing manusia berfikir rasional, logikal dan mantik iaitu sesuatu yang selari dengan akal. Asas inilah yang perlu dikembangkan secara Qurani tidak hanya menjadikan akal itu segala-gala. Faktor naqliah atau pun yang wahyu yang mempedoman akal, akan mendekatkan remaja kepada Pencipta dan menjadikan remaja orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.

Oleh itu kandungan ilmu fardu ain yang diajarkan harus disemak kembali supaya asas ilmunya berkembang memperkasa pemikiran dan kefahaman remaja. Metodologi pengajaran dan pembelajaran tidak hanya dibatasi dalam skop kerohanian yang terbatas tetapi asas kerohanian yang merujuk kepada kekuatan hati dan nilai-nilai yang terpancar darinya boleh diterjemahkan dalam amalan kehidupan supaya menafaat darinya diperolehi.

Mempelajari nilai-nilai kerohanian tidak hanya menjadikan remaja orang memiliki rasa tawaduk yang melulu. Tetapi kekuatan dalaman remaja harus dipancarkan dalam amal Islaminya supaya keindahan dan kebesaran Allah itu terlihat dalam pekerti manusia. Melakukan tadabbur atau usaha pemerhatian, pengamatan dan pengkajian di kalangan remaja adalah sesuatu yang dianjurkan oleh al Quran.

Menginsafi kebesaran Allah dengan mengagumi tanda-tanda kebesarannya tidak memadai dengan lafaz Subhanallah atau Allahu Akbar tetapi ia akan menjadi lebih bermakna apabila para remaja mempunyai tekad melakukan kajian dan penelitian terhadap ayat-ayat Allah mengenai pelbagai tafsir dan takwil yang dilakukan oleh mufasir yang muktabar tetapi dengan bakat sains yang ada pada remaja tafsir itu didekati secara saintifik, ia akan mengukuhkan keimanan dan ketaqwaan remaja tentang tanda-tanda kebesarannya. Inilah asas yang harus ditinjau kembali supaya pengajaran dan pembelajaran ilmu fardu ain dilihat dalam skop yang luas dan merintis jalan ke arah memperkasa remaja ke arah penguasaan ilmu-ilmu fardu kifayah yang juga menjadi tuntutan terhadap umat Islam khususnya di kalangan yang pakar dan ahli dalam bidang masing-masing.

No response to “Sekadar ilmu fardu ain tidak mencukupi”