Wednesday, December 13, 2006

Syawal - Gambaran kemenangan iman

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA

SYAWAL yang dirayakan boleh memberi makna yang besar kepada remaja. Banyak cabaran hidup dilalui semasa remaja dan belia. Mencari identiti diri, mengimbangi pengaruh kawan dan sekitar, mencari jalan keluar kepada tekanan emosi, angan-angan dan cita-cita, terdedah dengan gaya-hidup terkini yang pantas berubah, kebimbangan mencari pasangan hidup yang sesuai adalah antara cabaran-cabaran peribadi yang sering dihadapi oleh remaja. Amalan puasa sepanjang bulan yang dilalui, sekiranya dihayati dengan keinsafan yang mendalam bahawa sebagai hamba Allah, remaja tidak dilahirkan ke dunia bukan sekadar menambah jumlah manusia yang sedia ada atau menambah masalah keremajaan yang sedia terdapat, tetapi mempunyai misi murni untuk dicapai.

Ramadan yang dilalui setiap tahun adalah sekolah rohaniah untuk melakukan pembersihan dan perimbangan jiwa dan hati supaya remaja sentiasa berada dalam keadaan fitrah. Berada dalam keadaan fitrah bermakna kembali kepada asal diri sewaktu remaja dilahirkan. Rasulullah mengumpamakan seseorang bayi yang dilahirkan itu ibarat sehelai kain yang putih bersih. Belum dicorakkan dengan warna dan pengaruh persekitaran yang berbagai. Remaja yang fitrah adalah remaja yang menserasikan diri dengan faktor-faktor yang baik dan bermanfat di luar dirinya. Sekiranya seseorang remaja bersifat jujur, ikhlas, tulus dan telus dalam melakukan sesuatu, ia melakukan sesuatu dalam rangka fitrah. Sekiranya seseorang remaja menghisap rokok, menagih dadah, melakukan hubungan seks yang lepas bebas tanpa batasan, ketagih arak, berhiburan sehingga lupa daratan, berbangga dengan status kebendaan adalah bayangan sesuatu yang di luar fitrah. Berada di dalam fitrah bermakna berada dalam kehidupan yang Allah redha.

Aidilfitri yang dirayakan sewajarnya dilihat sebagai pelengkap dan pengukuh terhadap amalan yang dilakukan supaya sahsiah yang fitrah itu menjadi pedoman hidup. Meskipun kadang-kadang pengaruh rakan sebaya atau persekitaran jauh lebih kuat, namun tapak kekuatan diri dan peribadi yang sudah sedia ada tidak menyebabkan kita hilang pedoman. Hatta sekiranya terlanjur dalam perbuatan dan amalan, remaja ada tapak untuk berdiri kembali.

Banyak amalan para remaja kini yang sudah menyimpang daripada fitrah. Corak pendidikan dan suasana persekitaran yang ada menjadi faktor penyebab keadaan tersebut berlaku. Rangsangan media cetak dan elektronik menyebabkan ramai di kalangan remaja terikut-ikut dengan corak pakaian, cara berhibur, cara bergaul, membina `idola', kegemaran makanan dan minuman sehingga tidak nampak lagi di mana identiti diri remaja dan apakah akar budaya yang pernah ada pada bangsa dan agama remaja. Pada sesetengahnya adab dan malu sudah pupus. Lahir tingkah laku yang kasar dan bahasa yang tidak santun diucapkan baik dalam pergaulan hari-hari, bahasa bergurau dan juga bahasa SMS. Orang-orang yang lebih berumur kurang dihormati, kemudahan-kemudahan awam dirosakkan, peraturan di jalan raya tidak dipatuhi sebaliknya kegemaran menaiki basikal dan motosikal cara lasak sangat digemari. Kalau inilah gambaran yang merisaukan banyak pihak, apakah harapan hari depan terhadap remaja yang bakal menjadi dewasa.

Islam adalah agama yang sentiasa ingin mengekal dan mengembalikan remaja supaya terus berada dalam fitrah. Amalan-amalan yang berbentuk rohaniah mempunyai hikmah yang amat besar bagi membentuk watak remaja. Solat umpamanya memberi kesan yang besar kepada remaja sekiranya ia dilakukan kerana Allah (ikhlas). Hikmah (kebaikan) melakukan solat bakal membentuk watak dan peribadi remaja. Amalan rukuk dan sujud mendidik remaja supaya mempunyai sifat patuh dan taat kepada ajaran Allah. Ajaran daripada Allah memberikan batasan perkara baik dengan yang buruk, halal dan haram, makruf dan mungkar kepada remaja. Apabila remaja mengenali batasan-batasan ini, ia mengekalkan remaja dalam keadaan fitrah. Sebaliknya apabila remaja melanggarnya ia meletakkan remaja berada di luar fitrah. Lima kali sehari semalam remaja melakukan solat ibarat melalui lima pusat pemeriksaan untuk memurnikan niat, perbuatan dan amalan. Sekiranya penghayatan solat ini membekas di hati remaja, para remaja akan mempunyai daya kawalan yang baik terhadap diri dan ia akan memantapkan fitrah diri remaja.

Hal yang sama juga apabila remaja tekun melakukan puasa dengan keinsafan bahawa remaja yang berada dalam fitrah ialah remaja yang dapat mengawal hawa nafsunya dengan baik. Ibadah-ibadah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan adalah latihan rohaniah yang intensif membolehkan hikmah yang maksimum dapat dimanfaatkan. Sekiranya menerusi amalan berpuasa yang tulen remaja tentu tahu betapa bahayanya amalan diri sekiranya hawa nafsu menjadi pedoman tindakan dan amalan hidup. Dengan penghayatan puasa, remaja akan menginsafi pentingnya nafsu diimbangi dengan kekuatan iman dan kekuatan taqwa, kekuatan ilmu dan kekuatan pemikiran, keteguhan peribadi dan kejelasan amal. Inilah hikmah yang terunggul dalam tarbiyah rohaniah Ramadan.

Dengan penghayatan Ramadan, remaja akan kenal tentang pentingnya al-Quran sebagai sumber pedoman dalam hidup. Tadarus yang dilakukan tidak sekadar untuk dapat fadilat bacaannya saja tetapi harus dilanjutkan dengan amalan meneliti kandungan dan tafsir al-Quran supaya manfaat ilmu yang lebih besar diperoleh. Melakukan sunat terawih, witir dan solat sunat yang lain adalah pengukuh kepada tarbiyah rohiyah supaya penghayatan tunduk dan taat kepada Allah bertambah teguh. Melakukan sedekah adalah amalan yang murni terutama kepada yang memerlukan. Amalan ini adalah bayangan nilai-nilai manusiawi disuburkan sesama insan. Ia mengikis sifat bakhil dan kedekut manusia.

Sekiranya di tahap remaja lagi amalan ini sudah berlaku, bayangkan zaman dewasa seseorang sudah tentu terus berada dalam keadaan fitrah. Status fitrah inilah yang menjadi idaman setiap manusia terutamanya remaja kerana menyimpang daripada fitrah diri boleh menyebabkan remaja terjebak dalam perbuatan yang melampaui batas.

Aidilfitri yang disambut adalah lambang puncak tarbiyah rohiyah selama sebulan dan ia amat mencabar diri remaja. Remaja boleh terdedah dengan percampuran yang lepas bebas. Remaja juga boleh terlibat dengan pesta-pesta keraian yang boleh melanggar syarak. Remaja boleh berbangga-bangga dengan pakaian yang mahal dan berjenama, remaja boleh mengunjungi pusat-pusat hiburan yang boleh melalaikan atau remaja boleh menonton filem-filem yang tidak sesuai hingga akhirnya seluruh pengalaman puasa lebur kerana puasa yang dilakukan bukan untuk menimbulkan kesan penghayatan tetapi tidak lebih ia suatu budaya kerana malu kepada keluarga dan masyarakat memaksa seseorang remaja berpuasa.

Aidililfitri dalam konteks Islam menjadikan remaja lebih cermat dan berhati-hati dalam pergaulan dan hiburan supaya roh Ramadan dan praktik Syawal adalah pengukuhan tarbiyah rohaniah dengan amalan. Merayakan Aidilfitri adalah gambaran kemenangan iman melawan runtunan hawa nafsu yang negatif. Aidilfitri bagi remaja dilambangkan dengan amalan memohon maaf kepada ibu bapa, anggota keluarga dan rakan-rakan tentang kesilapan yang pernah berlaku. Aidilfitri mendorong berlakunya ziarah di kalangan keluarga dan jiran, mengunjungi mereka yang tidak bernasib baik, memberi sedekah dan membawa oleh-oleh, menjaga adab pergaulan dan menyuburkan tegur sapa terutama terhadap mereka yang berumur atau lebih tua.

Bayangkan seorang remaja yang menziarahi seorang perempuan tua yang sudah ketiadaan suami dan anak-anak pada pagi Syawal dan telah sekian lama tinggal keseorangan akan merasakan makna Aidilfitri kerana masih ada manusia yang masih ingin bertanya khabar dan membawa buah tangan yang perlu. Bayangkan pula orang tua yang sama tidak diziarahi dan tidak dikunjungi sesiapa, terbiarlah ia dengan linangan air mata mengenang suami yang telah pergi, kerabat yang sudah tiada dan merasakan hidup kosong kerana kemanusiaan sudah hilang, Aidilfitri hanya laungan takbir dan tahmid yang tidak memberi erti ukhuwah, mahabbah dan kemanusiaan. Di sinilah cabaran para remaja menginsafi bahawa Aidilifitri memberi kemenangan kalangan yang beriman yang kekal fitrah dirinya.

2 Responses to “Syawal - Gambaran kemenangan iman”

Unknown said...

Salam buat Prof dan semua pembaca.
Terima kasih kerana merungkai pemahaman tentang erti Ramadhan dan Aidil Fitri mengikut Fitrah seorang remaja.
Ini perlu diperhalusi dan diparaktikkan agar remaja terus subur dan mantap dirinya.
Tahniah.

djmansor
019-6622585

Unknown said...

Saya amat berharap dapat berhubung bersama Prof.
sila hubungi saya di 019-6622585