Wednesday, March 14, 2007

Memahami Islam secara kulit dan isi

Oleh DR. SIDEK BABA

BANYAK kenyataan dibuat bahawa yang penting dalam Islam ialah isinya, bukan kulitnya. Ada tanggapan bahawa umat Islam hari ini hanya mementingkan kulit.

Kulit bermakna hal-hal luaran yang mementingkan isu berpakaian, cara makan, cara berhubung atau berkomunikasi, hal-hal ritual dan kerohanian. Isi bermakna pemikiran, ilmu, kesediaan untuk berubah dan maju dan keupayaan menampilkan idea-idea dan kajian terkini untuk dimanfaatkan kepada negara dan umat.

Dalam tradisi Islam, asas yang mendasari kehidupan sebagai seorang Islam ialah akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Seorang Islam yang baik memahami hubungan dirinya dengan pencipta, dengan alam dan ilmu. Akidah tauhid memberikan kita asas memahami Allah dan hubungan-Nya dengan alam dan ilmu. Ia membentuk cara berfikir bahawa alam ini dijadikan oleh-Nya dan ilmu atau hikmah adalah pertunjuk dari-Nya.

Ibadah tidak saja memperlihatkan talian rohaniah kita dengan Allah tetapi hubungan kita dengan manusia. Solat umpamanya tidak saja merupakan jalan komunikasi kita dengan Allah tetapi jiwa rukuk dan sujud memberikan asas kekuatan kehambaan dan peranan untuk dilakukan dalam kehidupan.

Syariah adalah amat penting bagi manusia Islam. Syariah memberikan kita pedoman, peraturan dan hukum bagaimana jalan dan jalur hidup harus berlaku.

Fitrahnya manusia memerlukan pedoman, batasan dan peraturan. Tanpanya manusia tidak akan faham maksud disiplin dan adab. Tanpa syariah ia bakal melahirkan manusia yang sifatnya melampaui batas.

Akhlak adalah sumber kekuatan kepada manusia. Akhlak adalah contoh dan teladan peribadi yang dipancarkan menerusi amal dan kerja. Tanpa akhlak manusia cenderung merosakkan fitrah diri dan fitrah alam.

Fitrah diri manusia memerlukan pekerti dan teladan yang baik. Fitrah alam memerlukan daya urus dan daya kendali yang baik. Apabila wujud harmoni antara manusia dan alam, manusia dan sistem maka pancaran akhlak akan terlihat. Sebaliknya, manusia yang tidak memiliki pekerti dan teladan, rakus terhadap alam dan sumbernya, ia bakal mewujudkan ketidakharmonian.

Apabila manusia beriman kepada-Nya bermakna manusia menerima amanah sebagai hamba dan khalifah. Sebagai hamba asas ketaatan, kepatuhan, ketundukan dan keakuran datangnya darinya Allah. Alam ini bergerak dengan teratur, tertib dan taat mengikut sunah-Nya. Sebagai manusia asas kehambaan itu melambangkan pentingnya jiwa hamba itu supaya manusia sentiasa berada dalam keadaan fitrah.

Sebagai khalifah manusia ada asas peranan, tanggungjawab dan amanah yang perlu disempurnakan. Diri manusia adalah amanah Allah. Sumber rahmat dan nikmat yang Allah limpahkan kepada manusia adalah amanah Allah. Bumi ini juga adalah amanah Allah.

Manusia sebagai khalifah harus memiliki upaya mengurus , meneraju dan mengendali yang baik. Untuk mengurus diri manusia Islam memerlukan pemahaman terhadap ilmu fardu Ain yang luas skopnya. Untuk mengurus persekitaran dan sistem, manusia Islam memerlukan ilmu, keterampilan, teknologi dan daya pengurusan yang adil, amanah, telus dan tulus menerusi ilmu fardu kifayah yang dipelajari. Ilmu fardu ain (naqliah) dan ilmu fardu kifayah (aqliah) harus bergerak seiring supaya manusia mampu mengurus dirinya sebagai hamba dan mampu mengurus sistem sebagai khalifah.

Apabila asas-asas ini menjadi pedoman kepada manusia Islam tidak timbul masalah isi dan kulit, citra luaran dan keupayaan ilmu. Semuanya terangkum dalam satu ikatan bahawa tanpa kulit tidak mungkin ada isi dan tanpa isi kulit tidak akan memberi makna apa-apa. Kulit menggambarkan citra luaran manusia.

Apabila Allah mewajibkan manusia menutup aurat ia adalah pancaran dari syariat Allah. Daripadanya lahir kesantunan dan jiwa amanah yang tinggi terhadap diri.

Oleh itu seorang gadis yang menutup aurat mempunyai amanah besar untuk menjaga citra Islam itu sendiri. Sebagai gadis yang menjaga kesantunan dan wibawa diri, ia harus mempunyai ilmu. Dari sumber ilmu yang dipelajari menjadikan gadis ini orang yang cerdik dan bijak. Ilmu yang menjadi suluh terhadap dirinya apabila dimanfaatkan kepada masyarakat dan sistem ia akan menjadikan masyarakat dan sistem maju.

Pergaulan antara remaja dengan remaja tidak boleh berlaku tanpa mengambil kira keperluan faktor syarak. Mematuhi faktor syarak tidak membataskan remaja dari bergaul tetapi pergaulan itu berlaku dengan sihat dan terhindar dari fitnah. Remaja yang menuntut ilmu pengetahuan diharuskan untuk berbincang atas maksud ilmu atau maksud-maksud lain yang baik. Batasan pergaulan bukan bermakna menyekat perkembangan ilmu dan intelektual.

Mementingkan perkara-perkara rohaniah tidak harus juga dianggap kulit. Islam adalah agama rohaniah yang menyentuh tentang kepercayaan, nilai, fikir dan hati. Mengukuhkan diri dengan amalan rohaniah mendekatkan manusia dengan Allah. Kedekatan remaja dengan Allah menjadikannya mempunyai keinsafan terhadap Allah Yang Maha Melihat dan Allah Yang Maha Mengetahui. God-Conciousness atau insaf keTuhanan ini menyebabkan remaja sentiasa hidup dalam pedoman dan bimbingan Allah.

Tetapi kekuatan rohaniah harus dipancarkan dengan amal perbuatan yang baik. Al-Quran memberi penegasan tentang pentingnya iman dan amal soleh menjadi kerangka yang amat dasar bagi seseorang Islam. Iman dan amal soleh, rohaniah dan ibadah dalam erti kata yang luas adalah ibarat isi dengan kulit, saling kukuh mengukuh dan saling meneguhkan hubungan manusia dengan Pencipta dan hubungan manusia sesama manusia dan sistem.

Dalam Islam tidak ada dikotomi atau garis pemisah antara isi dan kulit. Islam memberikan remaja asas keseimbangan (wasata) supaya remaja jangan melampaui batas. Apabila qada atau ketentuan Allah berlaku, terciptalah alam dan manusia. Darinya Allah menurunkan rahmat dan nikmatnya. Tetapi semua kejadian itu ditentukan oleh kadarnya. Mengapa manusia tidak tinggi setinggi pohon kelapa tentu ada hikmah di sebaliknya. Mengapa memasak lauk dengan kadar garam, asas, santan yang seimbang. Ia membolehkan memakan bahan-bahan yang seimbang.

Apabila remaja digalakkan menguasai kecemerlangan ilmu dengan sendirinya ia terkait dengan kekuatan keterampilan. Apabila memiliki ilmu dan keterampilan remaja juga perlu mempunyai akhlak yang baik. Ilmu dan keterampilan tanpa akhlak yang baik bakal mendatangkan salahguna.

Akhlak dalam erti kata yang luas ialah komitmen remaja dengan Allah dan komitmen remaja terhadap manusia dan sistem. Apabila remaja mengukuhkan talian hubungannya dengan Allah dengan sendiri pedoman Allah akan sentiasa menjadi sumber ikutannya. Apabila ikutan itu diterjemahkan dalam amal dan perbuatan maka kecemerlangan akan berlaku dan kebaikan akan terjadi.

No response to “Memahami Islam secara kulit dan isi”