Friday, June 08, 2007

Alam ini ibarat buku?

Oleh: DR. SIDEK BABA

DALAM surah al-Alaq ayat pertama al-Quran menyebutkan: Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Makna baca disini bukanlah dalam pengertian yang terbatas. Baca di sini membawa makna yang amat luas.

Tidak saja kita dituntut membaca apa yang tersurat tetapi membaca apa yang tersirat. Membaca yang tersirat memberikan kita makna yang sebenar akan sesuatu.

Al-Quran tidak sekadar terkandung ayat-ayat untuk dibaca. Ia terkandung kisah-kisah tentang manusia, kehidupan dan peristiwa pada zaman terdahulu. Kisah itu menjadi ibrah (teladan) bagi yang terkemudian kerana ia berulang semula dalam kehidupan manusia pada hari ini dan hari depan. Al-Quran juga terkandung prinsip-prinsip keyakinan dan kepercayaan terhadap yang ghaib untuk diimani. Keimanan terhadap Allah, malaikat, alam akhirah, dosa dan pahala, qada dan qadar adalah asas penting beragama.

Al-Quran juga terkandung ilmu, maklumat, fakta dan data tentang kejadian, alam dan kehidupan. Banyak pertunjuk saintifik yang terkandung di dalam al- Quran yang memandu para saintis melakukan kajian dan telitian (tadabbur).

Pedoman tentang hukum dan batasan, nilai-nilai baik dan buruk juga merupakan intisari penting yang ada di dalam al-Quran untuk pedoman manusia. Tanpa pedoman ini manusia mungkin melampaui batas dan menjalani hidup secara tidak fitrah.

Asas tasawur atau pandangan alam secara Islam dibina atas keyakinan sesuatu itu tidak saja dilihat secara nyata dan tampak, boleh dipegang dan dihitung tetapi keyakinan juga terhadap hal-hal yang ghaib. Yang ghaib tidak bermakna ia tidak ada. Ia hanya tidak nampak pada indera manusia tetapi ia tetap ada.

Roh yang Allah kurniakan kepada manusia adalah sesuatu yang wujud. Tanpanya manusia akan mati. Tanpanya benih yang semakin membesar dalam kandungan tidak akan memiliki hayat. Yang menjadi sumber hayat ialah roh. Roh adalah perkara ghaib. Ia adalah hak Allah. Pengetahuan manusia tentangnya amat sedikit.

Anugerah yang paling utama dari Allah ialah alam ini. Ia ibarat sebuah buku. Ia terkandung bab-bab yang menjadi kandungan pada buku. Setiap bab ini mempunyai maklumat, kisah dan cerita tentang sesuatu. Dari bab ke bab apabila dibaca ia memberikan pembaca ilmu, maklumat, data dan fakta tentang sesuatu.

Ibarat sebuah buku tentu ada penulis dan penggubah bab-bab yang berkaitan. Tidak mungkin sebuah buku lahir tanpa penulis atau penggubah. Kalau begitu siapa yang menggubah alam ini. Apakah ia terjadi dengan sendiri atau terjadi secara kebetulan.

Dalam tradisi sebahagian orang-orang Barat yang tidak percaya kepada kewujudan Allah dan berpegang kepada teori evolusi Charles Darwin, alam ini terjadi secara kebetulan. Dalam tradisi orang-orang Islam dan tradisi sainsnya menyatakan alam ini diciptakan. Manusia juga diciptakan. Malah seluruh rahmat dan nikmat dalam kehidupan ini adalah diciptakan. Ibarat sebuah buku tidak mungkin ia terjadi dengan sendiri. Fakta, maklumat dan kisah-kisah yang dirakamkan tidak mungkin berlaku secara kebetulan. Sudah tentu penulis dan penggubah buku tersebut tahu apa yang ditulisnya. Hal yang sama juga boleh diibaratkan terhadap alam ini. Tidak mungkin ia terjadi secara kebetulan atau terjadi dengan sendiri.

Allah s.w.t. mencipta manusia dan makhluk dengan bekalan ilmu, maklumat, fakta dan data. Wahyu diturunkan kepada manusia menerusi Nabi dan Rasul Pilihan. Nabi Muhammad menerima wahyu selama 23 tahun dan dihimpunkan menjadi al-Quran. Ia terkandung sumber ilmu, maklumat, data dan fakta untuk menjadi pertunjuk dan pedoman kepada manusia mengenal dirinya, alam ini dan akhirnya mengenal Allah iaitu pencipta dan penggubah alam ini.

Terdapat di kalangan para orientalis (yang mengkaji tentang Timur) mengatakan al-Quran merupakan buah fikiran Nabi Muhammad atau kutipan dari kitab-kitab terdahulu. Asas ini tentunya tertolak apabila didapati Nabi Muhammad adalah seorang yang ummi ( tidak boleh membaca dan menulis).

Remaja Islam harus memahami bahawa pedoman memahami alam ialah menerusi kitab al-Quran. Al-Quran datangnya dari Allah maka logiknya alam ini adalah ciptaan Allah. Al-Quran menyatakan kepada kita tentang alam dan perjalanannya, alam dan rahsianya dan alam tentang akhirnya.

Pedoman-pedoman saintifik mendorong para saintis Islam mengkaji dan menulis tentang tanda-tanda kebesaran Allah itu. Semakin dikaji dan semakin ditemui sedikit rahsia kebesaran Allah semakin mendekatkan manusia dengan Penciptanya.

Teori Dentuman Besar atau Big Bang menyebutkan seluruh alam bermula dengan sistem Nebula yang besar. Berlakunya Dentuman Besar (Secondary Separation) menyebabkan lahirnya galaksi-galaksi. Ia menghasilkan bintang, planet, matahari, bulan dan sebagainya. Al-Quran 21:30) menyebutkan dengan nyata hakikat kejadian ini. Para saintis juga mendapati sebelum galaksi terbentuk terdapat awan atau elemen gaseous seumpama asap. Al Quran (41:11) menyebutkan tentang konsep dukhan dalam proses kejadian langit.

Pendapat awal tentang bumi ialah bumi ini rata. Al-Quran (31:29 & 39:5) menyatakan dengan jelas bahawa bumi ini bulat (spherical). Francis Drake (1597) yang mengelilingi dunia mendapati bahawa bumi ini bulat. Tamadun awal manusia menyatakan bulan mendapati cahaya dan sumbernya sendiri. Para saintis kemudiannya mendapati cahaya bukan adalah cahaya pantulan. Al-Quran (25: 61) menyebutkan dengan jelas pantulan cahaya matahari terhadap bulan.

Suatu ketika dulu ahli falsafah dan saintis Barat berpendapat bumi berdiri tegak sebagai pusat alam dan planet-planet lain berputar sekitarnya. Sejak zaman Ptolemy dan Copernicus pelbagai pendapat tentang alam, matahari dan sistem solar dikemukakan. Pada 1609, seorang saintis German Yohannus Keppler dalam teori Astronomia Novanya menyatakan tidak saja planet berputar di sekeliling matahari tetapi yang lain-lain juga berputar di sekeliling aksisnya.

Al-Quran (21:33 & 36:40) menyatakan dengan jelas konsep yasbahun yang membawa makna perputaran. Ia merujuk tentang bagaimana matahari juga berputar dalam lingkungan aksisnya. Pada 1925, Edwin Hubble mendapati galaksi berjarak antara satu dengan lain dan membuat andaian bahawa alam ini mengembang. Al-Quran (51:47) menyatakan dengan jelas konsep musi‘un yang merujuk sifat alam yang berkembang.

Malah Stephen Hawking dalam bukunya, A Brief History of Time menyatakan penemuan tentang alam ini berkembang merupakan revolusi intellectual yang terhebat di abad ke-20. Al-Quran telah menyatakan hal yang tersebut sejak 1400 tahun yang lalu.

Para remaja harus menginsafi banyak lagi ayat al-Quran yang memberi perisyaratan sains yang memerlukan kajian dan telitian. Orang Barat mampu melakukannya kerana mereka memiliki ilmu alat. Oleh itu membaca alam adalah pancaran membaca ayat-ayat Allah. Penggubah alam adalah Allah. Al-Quran adalah kalam-Nya untuk remaja tahu tentang ciptaan-Nya, rahsia tentang sesuatu dan tanda-tanda kebesaran-Nya.

No response to “Alam ini ibarat buku?”