Friday, June 08, 2007

Beriman kepada yang Ghaib

Rukun iman antara lain memberikan asas kepercayaan tentang qada dan qadar yang datangnya dari Allah. Umat Islam dituntut percaya kepada asas ini. Tasawwur Islami memberi asas bahawa yang diimani oleh orang-orang Islam tidak saja hal-hal yang nyata tetapi juga beriman kepada yang ghaib.

Ini asas kepada orang-orang yang beragama dan bezanya dengan yang tidak beragama. Orang Islam percaya bahawa Allah itu ghaib walaupun ada penganut-penganut agama lain menjelmakan tuhan itu dalam bentuk patung-patung dan berhala iaitu benda-benda yang nampak untuk disembah.

Ghaib tidak bermakna ia tidak ada. Ghaib itu sesuatu yang wujud dan sifat wujudnya adalah sedemikian.

Yang ghaib tidak sama dengan benda-benda atau yang dilihat oleh manusia di alam ini. Ghaib yang menghubungkan sesuatu itu sebagai tidak ada, adalah persepsi akliah. Suatu yang pasti dalam keyakinan orang-orang Islam bahawa faktor ghaib menjadikan sesuatu itu menjadi ada dan nyata.

Angin sifatnya ghaib tetapi tiupan angin dirasakan. Elektrik adalah suatu kuasa yang mengalir, tanpanya lampu tidak akan menyala. Roh di badan adalah sesuatu yang ghaib tapi amat berkuasa menghidupkan anggota. Tanpa angin cuaca menjadi panas, tanpa elektrik kuasa dan tenaga tidak ada dan tanpa roh manusia akan mati. Ia adalah pertanda tentang kuasa kepada yang ghaib.

Alam ini terdapat tanda-tanda yang menyebabkan manusia bertanya. Sesuatu itu tidak terjadi dengan sendiri melainkan adanya Pencipta. Sebuah buku tidak akan dapat ditulis melainkan ada penulisnya. Sebuah lagu tidak akan dapat digubah melainkan ada penggubahnya.

Sebuah kereta tidak akan terjadi melainkan ada perekanya. Logiknya alam ini terjadi dengan segala rahsianya yang sudah diketahui dan belum diketahui tentu ada Penciptanya.

Tidak mungkin alam terjadi dengan sendiri kerana ia menyalahi logik akal. Tidak mungkin pohon tumbuh sendiri dan menghasilkan bunga dan buah tanpa adanya proses kejadian. Tidak mungkin pada gas dan minyak terdapat sumber tenaga kalau tenaga tidak diciptakan. Tidak mungkin manusia akan hidup selama-lamanya kerana adanya roh dalam tubuh manusia itu adalah sementara.

Manusia membina kepercayaan bahawa tentu ada Pencipta yang menciptakan alam dan seluruh isinya kerana manusia tidak melakukan penciptaan. Yang sedia dicipta baik pokok, tanah, buah, haiwan dan ikan di gubah dan diproses oleh manusia untuk dijadikan benda-benda yang kreatif dan boleh dipasarkan atau disimpan.

Qada dan qadar adalah faktor Pencipta yang memiliki kuasa dalam timbangan kadarnya.

Alam ini terjadi dalam masa beberapa hari adalah dengan qada dan qadar Allah. Manusia dijadikan berpasang-pasang dengan qada dan qadarnya terkandung hikmah yang amat tinggi. Dijadikan alam dan planet berputar dalam silih gantian yang tidak pernah mungkir adalah atas ketentuan qada dan qadarnya.

Qada Allah bermula dari sesuatu yang ghaib dan sebahagian kejadian Allah itu terlihat dengan nyata. Matahari, bulan, bintang, api dan air terlihat manusia dengan nyata. Semuanya terkandung hikmah yang amat besar.

Meyakini perkara-perkara yang ghaib ialah meyakini perkara-perkara yang tampak dan nyata yang terdapat dalam alam ini. Ia adalah bukti dan tanda adanya kewujudan yang Maha Berkuasa yang menentukan wujudnya alam ini dan yang mengatur perjalanannya.

Manusia tidak mengatur perjalanan alam kerana ia bukan Penciptanya. Allah mengaturkan alam ini dengan tepat dan sempurna. Bintang-bintang yang berputar, beredar dalam sistemnya secara teratur dan tepat.

Tidak berlaku perlanggaran dan kesesakan melainkan dengan takdir-Nya. Manusia dengan upaya yang terbatas mengaturkan sistem jalan raya di mana beradanya ribuan kereta lalu-lalang. Sering berlaku perlanggaran dan kesesakan kerana upaya manusia terbatas.

Bayangkan kalau bintang-bintang berlanggar dan mengalami kesesakan nescaya rosaklah sistem alam ini. Lalu kita terus bertanya, kuasa apakah yang mengatur dan menyusun semuanya itu kalau tidak Kuasa Yang Maha Mencipta dan Maha Pengatur iaitu Allah.

Qada Allah itu tidak berlaku begitu saja. Ia wujud dan hadir dalam sistem berasaskan kadarnya. Sama ada benda kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar mahupun benda besar yang hebat terbentang semuanya diciptakan dengan kadarnya dan berfungsi berasaskan sifat kejadiannya.

Air, sifat jadinya mengalir, lembut dan berbentuk cecair kerana ada keperluan manusia untuk minum, keperluan pokok untuk diresapi akarnya, dan keperluan kotoran supaya mudah dibersihkan. Angin, sifatnya bertiup, memberi perimbangan kepada cuaca, menjadikan manusia selesa dan berfungsi memindahkan benih-benih untuk menjadi sumber rezeki manusia.

Setiap kejadian yang Allah jadikan itu terdapat kadarnya dan itulah asas matematikal yang cuba dipelajari oleh manusia.

Asas matematikal yang ada pada manusia banyak merujuk kepada ukuran, timbangan, angka dan kadar terhadap hal-hal yang nyata. Tidak banyak hal-hal yang tidak nyata atau ghaib yang dihubungkan dengan kadar. Dosa dan pahala, baik dan buruk adalah kadar terhadap perlakuan.

Apabila manusia melakukan kebaikan maka natijahnya ialah pahala dan bila manusia melakukan kefasadan maka natijahnya ialah dosa.

Bila manusia menipu orang lain, ia adalah sesuatu yang buruk dan bila manusia bercakap sesuatu yang benar maka ia melakukan kebaikan. Kadar perlakuan manusia walaupun tidak boleh diukur tapi boleh dilihat menerusi perlakuannya.

Asas sains dalam tradisi Barat adalah matematikal sifatnya. Kekuatan akal yang terbatas dijadikan sandaran mutlak mengukur dan menilai sesuatu supaya asas rasional melihat yang nyata menjadi ukuran yang mutlak.

Betapa terdapatnya perkara-perkara yang bersifat tingkahlaku yang terlihat natijahnya dalam pekerti manusia yang tidak boleh diukur tetapi amat mempengaruhi manusia dalam kehidupan.

Kezaliman manusia terhadap yang lain, pembohongan yang berlaku, tipu daya dan muslihat yang terjadi, kerosakan terhadap akhlak manusia yang sedang berlaku, sikap kepura-puraan yang menjadi-jadi adalah gambaran sebenar tentang gelagat manusia hari ini.

Sekiranya asas matematik hanya mampu mengukur hal-hal yang nyata dan bersifat benda sudah tentu tingkahlaku manusia terdapat alat untuk mengukurnya. Sebab itu dalam tradisi Islam bukan akal yang dijadikan ukuran mutlak terhadap baik buruknnya sesuatu . Ia merujuk pada hati yang menghubungkan diri dengan faktor-faktor ghaibiyyat yang menjadi barometer atau pengukur tentang perlakuan.

Orang yang melakukan perkara-perkara yang menyalahi amat mengetahui dari kata hatinya walaupun orang lain tidak mengetahui. Hati sebagai neraca tertinggi bagi manusia yang beriman menyandarkan faktor-faktor yang ghaib dan sifat-Nya Maha Mengetahui yang menyebabkan dirinya terkawal kerana setiap kadar perlakuannya diketahui oleh Allah.

Ini kerana metamatikalnya hidup ini tetap diketahui oleh Penciptanya walaupun sebesar zarah. Itulah kekuatan bagi orang-orang yang beriman kepada yang ghaib.

- PROF. DR. SIDEK BABA

No response to “Beriman kepada yang Ghaib”