Friday, June 08, 2007

Pentingnya qudwah dalam hidup remaja

Oleh: DR. SIDEK BABA

UMAT Islam di Malaysia merayakan ulang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w. sebagai hari yang amat istimewa. Perjuangan Rasulullah dikenang dan pengorbanannya diingati. Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai pembawa rahmat yang sifatnya alamiah.

Peribadinya disebut-sebut sebagai peribadi yang terbaik. Akhlaknya dirujuk sebagai akhlak teladan. Pada Rasulullah terdapat qudwah (contoh) untuk dijadikan sumber ikutan.

Para remaja hari ini tentu memerlukan contoh ikutan dalam hidup. Selain ibu bapa yang sering dijadikan sumber teladan, para remaja juga amat suka kepada personaliti yang mempunyai daya selebriti seperti artis, pelakon, ahli-ahli sukan dan juga penghibur. Tetapi fitrah remaja akhirnya memerlukan contoh atau qudwah yang lebih kekal dan mendukung nilai-nilai fitrah yang tinggi.

Rasulullah mewakili imej teladan terbaik. Baik pada zaman kanak-kanak mahupun remaja atau setelah diangkat sebagai Rasul pilihan. Peribadi dan akhlaknya amat terserlah dan berjaya memikat hati manusia yang ingin mencari kebenaran dan keabadian.

Para remaja harus melihat konteks qudwah Rasulullah s.a.w. dalam perspektif yang luas. Tidak saja ia merentasi zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua malah selepas wafatnya.

Sejak kanak-kanak lagi, Muhammad terkenal sebagai anak penggembala kambing. Ia suka mengasing diri, melakukan uzlah dan tidak mahu terlibat dalam amalan syirik menyembah berhala yang dilakukan oleh kaumnya. Ia memiliki rasa jujur yang tinggi dan keikhlasan untuk mencari kebenaran.

Semasa mudanya minat kepada berniaga amat besar. Ia membawa dagangan Siti Khadijah ke Yaman dan Syam (Syria). Kejujurannya dalam mengendalikan dagangan Siti Khadijah menyebabkan Siti Khadijah amat tertarik dengan dirinya.

Apabila Rasulullah s.a.w. menerima wahyu yang pertama, Siti Khadijah memberikan kekuatan semangat yang luar biasa kepadanya. Rasulullah s.a.w. mempunyai jiwa yang kental untuk memperjuangkan kebenaran. Di tengah-tengah masyarakat jahiliah bergelumang dengan amalan fahsyak dan mungkar, Rasulullah tampil membawa risalah tauhid bagi membebaskan kaumnya dari amalan syirik.

Apabila berdakwah dengan bapa saudaranya Abu Talib yang banyak melindunginya di Mekah tetapi masih dengan ajaran lamanya, didekati dengan kasih sayang dan hikmah. Rasulullah s.a.w. amat insaf bahawa melakukan dakwah terhadap bapa saudaranya adalah tuntutan Allah tetapi yang memberi hidayah adalah urusan Allah jua.

Rasulullah amat dibenci oleh seorang perempuan Yahudi. Setiap kali Rasulullah lalu di hadapan rumahnya, ia membaling sampah ke arah Rasulullah. Rasulullah menerima ujian itu dengan sabar. Suatu ketika apabila ia lalu di hadapan rumah perempuan itu, ia tidak di baling lagi lalu Rasulullah bertanya apa yang telah terjadi kepada perempuan itu kepada jirannya. Jirannya menyatakan perempuan Yahudi itu sedang sakit.

Dengan izin, Rasulullah menjengah ke rumah perempuan tersebut dan perempuan Yahudi itu amat terkejut melihat orang yang dibencinya siang dan malam datang menziarahinya. Kekaguman perempuan Yahudi terhadap pekerti Rasulullah membawanya kembali kepada fitrah iaitu menganut agama Islam.

Rasulullah s.a.w., seorang yang tegas dalam pendirian terutama yang melibatkan persoalan akidah. Apabila kelompok Abu Jahal dan Abu Lahab berasa amat tertekan dengan dakwah Rasulullah yang memenangi ramai pengikut mereka melakukan strategi memenangi hati Rasulullah dengan tawaran pangkat dan jawatan.

Rasulullah menyatakan kepada mereka bahawa sekiranya diletakkan matahari di tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya supaya ia memberhentikan ajakan dan seruan, Rasulullah s.a.w. akan terus berjuang bagi mengembalikan akidah Islamiah terhadap yang syirik.

Dalam mengatur strategi, Rasulullah amat teliti memilih orang-orang yang dipercayainya. Bila berada di Gua Thur, Rasulullah s.a.w. memilih Abu Bakar sebagai teman yang amat dipercayai terutama dalam saat yang kritikal.

Anak-anak Abu Bakar seperti Abdallah dan Asmak amat membantu daripada segi maklumat risikan dan juga bekalan makanan.

Semasa di Madinah, Rasulullah mengatur strategi bijak untuk mempertautkan ukhuwah atau persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Ia membantu Rasulullah dalam memberikan asas kestabilan terhadap Madinah dan akhirnya mampu membangunkan sebuah kota contoh.

Dalam usaha pertama untuk kembali semula ke Mekah, Rasulullah disekat di Hudaibiah. Berlaku perundingan supaya Rasulullah dan rombongannya datang pada tahun berikutnya.

Saidina Omar sahabat Nabi amat menentang cadangan itu. Rasulullah menerima cadangan itu secara positif kerana kesediaan kelompok Mekah menerima rombongan Nabi Muhammad untuk datang pada tahun berikutnya adalah suatu kemenangan moral.

Jejak-jejak sirah ini apabila diteliti oleh remaja boleh menimbulkan keinsafan betapa seorang tokoh terbilang seperti Rasulullah s.a.w. mempunyai hemah dan wibawa yang tinggi dalam memperjuangkan risalah kerasulannya sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Islam yang dibawanya dikembangkan oleh para sahabat, para tabie dan tabien dengan menjadikan Madinah sebagai model tamadun dan akhirnya tegak tamadun Abbasiah yang cemerlang dan menghasilkan Andalusia yang gemilang.

Selama hampir tujuh abad Islam menyumbang terhadap tamadun dunia sewajarnya menjadi renungan kepada remaja pada hari ini. Tamadun yang berlangsung tidak saja memberi keutamaan terhadap akhlak mulia dan dalam masa yang sama ia membangunkan kekuatan ilmu yang bersifat naqliah (wahyu) dan juga ilmu yang bersifat akliah iaitu pemikiran.

Integrasi di antara kedua-dua ilmu tersebut menghasilkan peribadi hebat seperti Ibnu Nafis, Ibnu Sina, al-Batani, al-Khawarizmi, Ibnu Haitam, Muhammad al-Idrisi, al-Zahrawi dan ramai lagi yang amat unggul dengan tradisi penyelidikan, pengkaryaan dan pengembangannya.

Rujukan kekuatan ini kembali kepada qudwah atau contoh unggul yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sekiranya remaja Islam mengimpikan kembalinya suatu zaman yang gemilang pada hari depan, Rasulullah s.a.w. seharusnya menjadi qudwah terbaik.

Para sahabat adalah penerus perjuangan Nabi dan para ulama adalah pewaris Nabi. Asas ini sekiranya dapat dikembangkan secara reflektif dan strategik ia bakal mencetuskan suatu arah baru dalam pengupayaan ilmu dan pendidikan.

Remaja Islam tidak harus mudah terjebak dengan konsep idola dan diva yang dikembangkan oleh Barat. Proses pemBaratan yang sedang berjalan menjadikan fokus selebriti, hiburan, muzik sebagai sumber memikat dan menghancurkan nilai-nilai murni mereka.

Remaja Islam harus insaf bahawa tanpa nilai dan akhlak Islami tidak mungkin tamadun Islam mampu lahir. Umat Islam akan terus menjadi pengguna dan pengkagum kepada gaya hidup Barat. Contoh atau qudwah yang terbukti menjadi rujukan kepada tamadun seharusnya menjadi ikutan remaja. Pada diri Rasulullah s.a.w. terdapat qudwah yang hebat untuk membangunkan umat bagi mendepani cabaran pembaratan dan globalisasi.

No response to “Pentingnya qudwah dalam hidup remaja”