Wednesday, July 18, 2007

Faktor rohaniah yang memancar amal

Oleh: DR. SIDEK BABA

Berbicara mengenai faktor rohaniah akan mengaitkannya dengan faktor dalaman diri manusia. Ia dikaitkan dengan hati dan kalbu serta dihubungkan dengan akidah, iman dan takwa.

Al-Quran memberikan makna iman itu dikaitkan dengan amal soleh, manakala akidah itu dihubungkan dengan Allah sebagai Yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.

Manusia menurut al-Quran diletakkan sebagai Hamba dan Khalifah. Jiwa kehambaan yang membawa jiwa rukuk dan sujud membayangkan rasa kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran manusia terhadap Allah dan peranan manusia sebagai khalifah.

Pedoman Allah iaitu al-Quran dijadikan sumber pertunjuk untuk memilih jalan yang betul atau jalan yang salah, perkara yang hak dan perkara yang batil supaya manusia hidup dalam reda-Nya.

Ayat-ayat Allah yang menyerapi akal dan kalbu menyebabkan manusia terbangun fikir, akhlak dan peribadinya. Contoh akhlak al-Quran (khuluq al-Quran) yang ada pada Rasulullah s.a.w. dan risalah al-Quran yang memberi pertunjuk dan pedoman menyebabkan akidah tauhid mantap dan risalah kehidupan menjadi teguh dan jalan kemanusiaan menjadi utuh.

Oleh itu, faktor rohaniah yang membangun diri insan berkait rapat dengan faktor akhlak dan amal manusia. Manusia yang mempunyai kekuatan rohaniah atau kekuatan dalaman melakukan sesuatu berpandukan nilai-nilai yang baik dan fitrah seperti yang dianjurkan oleh al-Quran.

Para remaja harus memahami hakikat beragama bermakna mempunyai keyakinan dan amalan. Agama tidak hanya di lihat kepada prinsip, pedoman dan batas syariah yang diberikan tetapi ia terpancar dalam amal hidup manusia. Agama juga tidak terletak pada upaya berfikir yang tinggi tetapi upaya amalnya rendah.

Nilai amanah, jujur, ikhlas, adil, telus, tulus, bijaksana sifatnya rohaniah tetapi boleh diterjemahkan dalam amal dan perbuatan.

Bila kita mengurus sesuatu dengan amanah bermakna sandaran kita kepada Allah adalah tinggi. Pertimbangan Allah menyaksikan dan Maha Mengetahui mengenai apa yang manusia amalkan menjadi batasan bagi manusia melakukan sesuatu.

Sekiranya manusia melakukan sesuatu kerana manusia, tiada jaminan manusia berlaku amanah kerana manusia tidak mampu menyaksikan segala-galanya. Tetapi apabila manusia yakin Allah menyaksikan apa yang dilakukannya ia menjadikan manusia lebih telus.

Oleh itu, kehebatan orang Islam tidak saja dilihat pada keyakinannya tentang Allah dan keindahan Islam itu sendiri. Kehebatan kita di sisi Allah ialah tahap ketakwaan yang kita miliki. Ketakwaan adalah kayu ukur hubungan manusia dengan Tuhannya. Apabila ketakwaan wujud pada diri di setiap masa, maka apa saja perlakuan manusia sentiasa mengambil kira hubungannya dengan Allah.

Pendirian seperti ini akan menyebabkan insaf-ketuhanan atau God-conciousness sentiasa tinggi dan kemungkinan berlakunya kesilapan amal adalah rendah.

Ketinggian rohaniah membangun jiwa yang kudus dan bersih. Bersih rohaniah memandu landasan berfikir yang jernih. Apa yang difikir dan apa yang ada di hati adalah elemen-elemen yang bersih ia bakal memancarkan amal yang bersih juga. Oleh itu, hubungan antara faktor rohaniah dengan faktor ilmu dan juga faktor amal sifatnya satu.

Tidak mungkin seseorang yang memiliki faktor rohaniah yang tinggi, menghasilkan pemikiran yang rosak dan memiliki kualiti rasa yang tercemar. Sekiranya keadaan ini berlaku ia bakal menghasilkan konflik, keliru dan celaru.

Kadang-kadang kita melihat secara zahir seseorang itu tekun melakukan ibadah. Ibadah itu semacam tidak boleh mengubah tabiat dan pekertinya. Pancaran amalnya kadang-kadang mengelirukan.

Manusia jenis ini melihat Islam sebagai agama ritual, melihat faktor dosa dan pahala ibarat kira-kira tolak dan campur. Islam hanya terlihat pada pekerti ritualnya tetapi tidak terpancar dalam pekerti amalnya.

Waktu melakukan solat dia bersusah payah merapatkan saf dan meluruskan barisan, di luar sembahyang dia memiliki tabiat melanggar lampu jalan, tidak hormati peraturan, membuang sampah sesuka hati, payah ikut giliran untuk mendapatkan khidmat malah melakukan sesuatu yang terlarang.

Oleh itu, para remaja harus faham bahawa Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan terhadap yang ghaib tetapi mempunyai nilai untuk mengaturkan cara hidup. Ada juga orang berpendapat bahawa yang penting dalam hidup sebagai seorang Islam ialah akal.

Memang akal adalah sesuatu yang amat berguna bagi mendapatkan ilmu, melakukan sesuatu pertimbangan dan pedoman membuat keputusan bijak.

Dengan akal semata-mata para remaja tidak memiliki upaya mutlak untuk memahami semua perkara. Yang nyata dan bersifat benda pun tidak semua diketahui rahsianya oleh manusia. Yang manusia tahu menerusi kekuatan akal mengenai yang nyata, apa lagi yang ghaib masih sedikit dan terbatas.

Yang sedikit dan terbatas ini pun sekiranya dimanfaatkan oleh manusia sebaik mungkin sudah cukup membimbingnya untuk yakin kepada yang ghaib dan percaya kepada yang nyata.

Tetapi manusia memiliki sifat sombong dan angkuh yang menyebabkan sedikit yang diketahui menjadikannya hilang pedoman. Lalu dengan kuasa dan kedudukan yang ada melakukan kezaliman terhadap yang lain dalam berbagai bentuk. Sedangkan kisah Firaun membuktikan bahawa kuasa manusia adalah terbatas.

Oleh itu, akal manusia tidak segala-galanya. Akal yang dipedoman oleh faktor nakliah yang rohaniah sifatnya bakal mengimbangi perspektif pemikiran manusia mengenai sesuatu. Darinya manusia menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu yang dipandu oleh faktor rohaniah yang sifatnya membimbing.

Justeru amat penting remaja Islam dan generasi muda mengukuhkan faktor rohaniah diri dengan amal ibadah dan makna yang luas, kemudian ilmu menjadi suluh terhadap diri dan kehidupan. Teknologi sebagai alat untuk mencapai matlamat yang lebih baik dan murni dan amal sebagai pancaran rohaniah yang menghubungkan keyakinan mutlak terhadap Allah dan penghayatan manusia sebagai hamba dan khalifah.

Oleh itu, memahami Islam dan faham sekular ialah terlihat dalam perbezaan akal tanpa nakliah, teknologi tanpa nilai dan etika, kemajuan dan perubahan memberikan fokus kepada alat dan benda bukannya insan, moden diukur setakat mana liberal dan sekularnya manusia dalam ilmu dan amalan hingga akhirnya kedapatan manusia terjebak dalam kemelut hidup yang tidak mudah dilerai.

Islam membimbing remaja ke arah maju dan membangun, berubah dan moden atas asas rohaniah dan amaliah dengan memberi fokus kepada rijal atau insan sebagai sumber yang harus dibangunkan seutuh dan sebaik-baiknya. Insan yang terbangun akal-fikirnya, hati budinya, amal-perbuatannya adalah insan yang memiliki kualiti membangun sekitarnya dengan nilai-nilai adab dan tamadun.

Inilah matlamat pembangunan dan kemajuan dalam Islam bermula dengan pembangunan manusia secara menyeluruh dan integratif dan bersifat menyumbang ke arah kebaikan umat manusia.

No response to “Faktor rohaniah yang memancar amal”