Wednesday, June 17, 2009

Akhlak, ilmu asas utama Melayu berkualiti

Bersama Prof Dr Sidek Baba

DATUK Johan Jaafar dalam rencana menariknya di Berita Minggu menjentik hati orang Melayu mengenai ‘Melayu Mudah Lupa’. Baiknya rencana itu dipolimikkan dalam perspektif yang berbeza. Kedudukan Melayu dalam Perlembagaan dan makna Melayu dalam Islam adalah istimewa. Tetapi keupayaan Melayu menterjemahkan kedudukannya dalam negara menerima banyak kritikan di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.

Sebagai satu bangsa yang ingin bangun dan maju, sudah tentu banyak cabaran perlu dilalui. Cabaran keilmuan dan pendidikan adalah faktor penting bagi menghasilkan modal insan berkualiti. Apakah sistem pendidikan kita memberi ruang menyeluruh ke arah pembangunan modal insan yang berdaya maju dan memiliki kualiti diri boleh dijadikan teladan.

Cabaran kepemimpinan dan pengikut adalah suatu aspek utama bakal menentukan keupayaan orang Melayu menjadi kelompok teras yang dihormati dan disegani. Apakah persekitaran politik kita memberi ruang kepada yang terbaik memimpin dalam suasana wujudnya kritik membina untuk kebaikan bersama.

Cabaran agama juga menjadi faktor yang relevan dalam proses membangun watak Melayu yang dinamik dan mampu menyunsung zaman. Apakah pendidikan agama dan perjalanan dakwah memberikan dinamika ilmu dan kesuburan dakwah yang tidak saja dalam batas syarak dan fikrah tetapi menyubur dalam model dan alternatif yang terkini.

Apakah personaliti dan institusi yang membabitkan dirinya dengan Islam menampakkan daya profesional tinggi dalam mengurus perubahan atau masih bertahan dalam tembok tradisi yang enggan melakukan islah kerana dibimbangi ia bakal merosakkan ‘keaslian’ agama itu sendiri?

Cabaran yang amat mendesak yang dihadapi orang Melayu kini ialah cabaran persekitaran yang mendukung fahaman sekular dan liberal berdepan dengan cita rasa keagamaan yang masih berpaut dalam skop tradisi yang sifatnya membatasi.

Wujud konflik yang tajam, pada satu pihak ingin memajukan generasi muda dengan asakan budaya popular Barat menerusi media cetak dan elektronik yang tidak terkawal dengan mendorong mereka ke arah jalur hedonistik atau berfoya dengan aktiviti pesta yang mengakibatkan ketirisan watak Melayunya dan juga kualiti agamanya.

Ia berakhir dengan bertambah ramainya generasi muda Melayu berada di pusat serenti. Dilaporkan lebih satu juta anak muda Melayu terbabit dengan penagihan dadah, jenayah juvana yang meningkat secara luar biasa, kerosakan moral dan masalah sosial semakin parah, aktif dalam kegiatan ‘mat rempit’ yang sukar di bendung.

Disebabkan itu, mereka hilang upaya berfikir secara serius menerusi gelagat santai dan timbul kecenderungan budaya siber yang parah membabitkan generasi yang masih lagi mentah dengan cabaran.

Ia tidak bermakna tidak ada orang Melayu yang berkualiti di Malaysia. Banyak bukti orang Melayu sudah berjaya dalam bidang perubatan, penyelidikan, perniagaan, bidang pembuatan, pengurusan, teknologi dan sebagainya.

Tetapi, lonjakannya belum sampai ke suatu tahap di mana ekuiti Melayu mampu melepasi ikatan 18.7 peratus seperti yang terdapat sekarang. Lonjakan itu akan hanya boleh berlaku jika faktor keilmuan dan pendidikan diambil kira, faktor kualiti kepimpinan dan pengikut dijadikan fokus, faktor agama yang mendukung islah dijadikan pertimbangan dan faktor pembudayaan yang perlu diteliti.

Bukan tidak ada peruntukan dan dasar yang ingin mendukung terhadap keperkasaan Melayu tetapi ternyata wujud ketirisan pada pelbagai peringkat.

Globalisasi yang menghimpit bangsa Melayu menyebabkan ruang tanpa sempadan wujud. Dinamik sistem komunikasi dan telekomunikasi menyebabkan cara berfikir manusia berubah. Bangsa Melayu tidak akan terus bertahan dengan mengambil anggapan dan sikap bahawa terdapat peruntukan dasar yang sifatnya ‘istimewa’ semata-mata.

Orang Melayu berhadapan realiti baru yang amat terbuka dan mencabar. Apakah minda Melayu terutama di kalangan generasi muda mempunyai keinsafan tinggi terhadap upaya bangsanya atau sedang dilalaikan dengan hal remeh-temeh dan mengalami ketirisan nilai dan etika yang parah.

Al-Quran memberikan asas jelas bahawa: “Allah tidak mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu sendiri mengubah dirinya.” (Surah al Ra’d). Hadirnya bangsa Melayu sebagai suatu entiti ras di kalangan warga umat manusia adalah suatu fitrah.

Allah menjadikan manusia itu berbangsa-bangsa supaya berlaku proses berkenalan. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai umat manusia kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan kami menjadikan kamu berpuak-puak supaya kamu berkenalan. Sesungguhnya semulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.” (Surah al Hujurat, ayat 13). Allah memberikan prasyarat bahawa yang terbaik di kalangan bangsa ini ialah orang yang muttaqin.

Jiwa takwa apabila disuburkan kepada orang Melayu akan merubah minda dan wataknya bahawa ukuran terbaik ini perlu ada dalam menguasai ilmu pengetahuan, kualiti kepemimpinan dan pengikut yang baik, menyediakan suasana persekitaran dan budaya hidup yang kondusif, merintis jalan dakwah yang dinamik dengan tidak saja menyantuni dakwah secara lisan tetapi menekuni dakwah hal yang membawa kesan perubahan kepada kualiti diri orang Melayu itu sendiri.

Bangsa Melayu apabila ditindik dengan konsep umat, ia menjadikan orang Melayu lebih alamiah. Konsep umat Melayu yang menjadikan ilmu dan akhlak sebagai dukungan utama dalam binaan kepemimpinan dan kepengikutan bakal meletakkan jihad ilmu sebagai yang paling utama.

Daya kepemimpinan dan pengikutan yang amanah sebagai teras dan menyediakan persekitaran budaya yang sihat sebagai landasan. Jika dapat dilakukan dengan bijaksana, bangsa Melayu bakal menjelma sebagai umat yang dihormati dan diteladani.

No response to “Akhlak, ilmu asas utama Melayu berkualiti”