Wednesday, June 17, 2009

Akhlak penentu darjat kemuliaan manusia

Bersama Prof Dr Sidek Baba

AKHLAK adalah mutiara yang sangat bernilai dan penting bagi manusia. Ia mempunyai harga dan cahaya yang menambahkan kecantikan. Tanpa akhlak, manusia hilang harga diri dan tidak dihormati.

Dalam tradisi Islam, akhlak tidak sama dengan moral. Moral, bahasa latinnya 'mores' membawa makna nilai amalan yang normatif atau lazim berlaku dan menjadi amalan semasa.

Akhlak mempunyai makna lebih luas iaitu zahir batin yang merujuk kepada 'Khuluq al-Quran' atau 'akhlak al-Quran'. Ia menjadi rujukan akhlak Nabi Muhammad SAW seperti disebutkan isterinya Saidatina Aishah.

Moral biasanya amalan serta penampilan baik dilakukan dan sifatnya berubah-ubah. Amalan gay dan lesbian yang berlaku di Barat suatu ketika dulu dianggap salah, tetapi hari ini ia sudah diterima sebagai sesuatu yang lazim.

Akhlak berasaskan al-Quran membawa nilai yang tetap dan fitrah kerana Islam menjaga kemaslahatan manusia di mana asas kesejahteraan menjadi kuncinya. Meminum arak, berjudi, bertenun nasib, berzina umpamanya adalah amalan tidak berakhlak.

Pedoman al-Quran itu tidak akan berubah disebabkan faktor masa dan zaman kerana ia berkaitan pekerti buruk yang boleh merosakkan kesejahteraan hidup manusia walaupun majoriti manusia memilih jalan itu.

Akhlak dalam tradisi Islam tidak difahamkan dengan maksud yang terbatas melalui penampilan tingkah laku, budi bahasa dan tutur kata saja. Ia sebenarnya berkait dengan komitmen amal seseorang.

Apabila akhlak Rasulullah SAW digambarkan sebagai akhlak al-Quran, ia bermakna ajaran al-Quran itu hidup pada diri, cerminan pada peribadi dan amalannya. Akhlak al-Quran tidak saja mengajar umat beriman mengenai tauhid dan takwa, tetapi menampilkan watak amali mendukung makna tauhid dan takwa dalam amalan serta perbuatan.

Tauhid mendidik manusia yakin bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Perkasa, Dialah Pencipta dan Pentadbir Alam ini. Jika ada manusia mempunyai pendirian bahawa dirinya maha berkuasa, penentu akan segala, maka terlihat pada dirinya ialah sifat zalim, angkuh dan sombong yang bercanggah dengan akhlak Islam.

Takwa memberi makna mengenai insaf-ketuhanan yang tinggi dan ukuran kepada kecemerlangan amal. Al-Quran dalam surah al Hujurat, ayat 13, memberikan asas bahawa, "kemuliaan manusia itu berlandaskan takwa."

Insaf-ketuhanan adalah kunci perlakuan seseorang. Apabila manusia bertakwa ingin melakukan sesuatu dan meyakini bahawa orang lain tidak melihatnya, tetapi Allah melihatnya, pada dirinya sudah wujud daya kawalan dan pedoman menyebabkan ia berada dalam sikap serta pendirian terpandu. Natijah perbuatan dan amalannya akan menjadi baik dan memberi kesejahteraan kepada yang lain.

Akhlak Rasulullah SAW terlihat pada kesabaran dan jihad ilmunya yang tinggi. Seorang perempuan Yahudi yang berasa tidak senang dengan Rasulullah SAW yang membawa risalah tauhid membalingnya dengan sampah setiap kali Rasulullah SAW lalu depan rumahnya.

Ia membayangkan kebencian amat sangat terhadap diri Rasulullah SAW yang membawa risalah kebenaran. Rasulullah SAW sabar menghadapi kerenah itu kerana hakikatnya ia tidak tahu maksud risalah yang dibawa.

Suatu hari perempuan itu sakit dan tidak lagi membaling sampah apabila Rasulullah SAW lalu di hadapan rumahnya. Rasulullah SAW berhenti di rumah jiran perempuan itu dan bertanya khabar mengenai dirinya. Lalu dikatakan beliau sedang sakit.

Rasulullah SAW meminta izin menziarahinya. Amat terkejut perempuan Yahudi itu terhadap pekerti mulia seorang manusia yang amat dibencinya menziarahi ketika dirinya sakit. Akhlak Rasulullah SAW memikat perempuan Yahudi itu lalu memeluk agama Islam.

Akhlak Rasulullah SAW juga terlihat dalam binaan jemaah di Madinah dan mengendali halaqah untuk menyebarkan kefahaman serta amalan mengenai ilmu al-Quran. Walaupun Rasulullah SAW seorang yang buta huruf, komitmen terhadap ilmu begitu besar sekali.

Islam perlu didukung dengan kekuatan ilmu. Al-Quran adalah sumber ilmu daripada Allah untuk memberi petunjuk kepada manusia khususnya orang yang bertakwa.

Amal Islami tanpa dukungan ilmu menjadikan Islam longgar dan kosong. Diturunkan wahyu kepada manusia menjadikan manusia terpedoman dan memiliki petunjuk memahami hakikat sesuatu yang nyata dan mengetahui mengenai yang ghaib.

Oleh itu, kepentingan akhlak bagi manusia ibarat mutiara yang sangat berharga. Hari ini mutiara itu semakin hilang. Tingkah laku manusia sudah menjadi kaca dan pasir yang tidak memberi cahaya lagi. Faham diri dan individualistik menjadi nyata dan fahaman kebendaan, nafsu-nafsi menjadi ikutan.

Manusia akhirnya bakal kehilangan cahaya dan perlakuan manusia tidak lebih lanjutan sifat haiwani yang hidup kerana perut dan nafsu. Yang lahir daripada perut itu adalah gambaran yang diburu dan dicari tanpa pertimbangan akhlak yang membawa kemuliaan manusia di sisi Penciptanya dan kemuliaan manusia sesama manusia.

Akhlak adalah cerminan diri kerana daripadanya manusia memiliki contoh dan teladan. Ibarat cermin yang bersih dan berkilau, manusia mampu melihat diri dengan jelas. Pantulan wajahnya mampu memperlihatkan dirinya secara telus.

Cermin yang berdebu dan hilang kilauannya menyebabkan kekaburan pada wajah dan diri. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang boleh diteladani kerana memang fitrah manusia ingin meneladani contoh yang baik daripada orang lain.

No response to “Akhlak penentu darjat kemuliaan manusia”