Wednesday, June 17, 2009

Didikan rohani bendung anak hilang nilai akhlak

Bersama Prof Dr Sidek Baba

IBU bapa adalah contoh atau teladan kepada anak. Sifat zaman berkembang dan rentak perubahan terus berlaku masa kini memerlukan ibu bapa mempunyai contoh teladan diperlukan bagi anak.

Ibu bapa perlu memiliki kualiti bimbingan yang baik supaya anak berada dalam pengaruh budaya keluarga yang sihat. Terlalu banyak pengaruh di luar diri ibu bapa dan keluarga sedang menunggu untuk mempengaruhi anak. Bimbingan yang wajar ditumpukan ialah bimbingan kerohanian atau bimbingan hati.

Umumnya, ibu bapa masa kini sibuk bekerja untuk mencari sumber rezeki. Masa yang berkualiti amat terbatas dengan anak menyebabkan jiwa mereka sering kosong dan lompang.

Tempoh menunggu ibu bapa balik dari kerja amat meresahkan. Sekiranya anak tidak dibimbing dengan tunjuk ajar dan sumber teladan yang baik, naluri mereka akan tersalur menerusi cara yang tidak fitrah. Ia boleh menyebabkan watak, minda, minat dan kecenderungan anak beralih daripada ibu bapanya.

Hari ini kita dapati sebahagian daripada anak hilang nilai akhlaknya yang murni sebaliknya, hanyut dalam arus kerosakan. Ada yang terjebak dalam salah guna dadah, terbabit dalam salah laku sosial parah seperti amalan seks bebas, jenayah juvana semakin meningkat, ada yang meninggalkan rumah tanpa pengetahuan ibu bapa, terbabit dengan zina dan mengandung pada awal umur.

Inilah gejala yang sedang melanda anak dan faktor utamanya ialah apabila institusi keluarga tidak lagi berperanan, ruh keibuan dan kebapaan tercabut daripada rumah dan faktor persekitaran yang merangsang kepada kerosakan minda, emosi, pemikiran, jiwa serta tingkah laku anak.

Jalan fitrah membangun peribadi dan bakat anak ialah memberi tumpuan kepada pembangunan hati dan nurani. Asas rohaniah ini perlu disuburkan supaya akhlaknya berkembang secara sihat. Akhlak anak adalah kunci kepada binaan peribadi.

Kerosakan berlaku kepada anak hari ini ialah akibat asas rohaniahnya tidak subur dan menyebabkan tingkah laku terjejas. Apabila tapak hati tidak terbina dengan nilai baik, jujur, ikhlas, amanah, taat, hormat, yakin diri, anak tidak lagi berada dalam keadaan fitrah.

Tapak hati yang fitrah hanya boleh berjalan menerusi contoh teladan yang ada pada ibu bapa, persekitaran rumah yang merangsang keceriaan dan kasih sayang, anak sentiasa didekati dengan tunjuk ajar berterusan, kesilapan anak ditegur dan diatasi dengan bijaksana serta komunikasi baik antara ibu bapa dengan mereka.

Tapak rohaniah yang dimaksudkan tidak saja berlegar pada sekitar mengajarnya melakukan solat, puasa dan amalan fardu ain lain, tetapi faktor rohaniah adalah pancaran dari hati yang terbina dengan nilai baik dan terlihat pada amal perbuatan.

Anak belajar dari contoh yang ditunjukkan ibu bapa. Setiap pekerti dan perbuatan ibu bapa adalah cermin pembentukan peribadi anak. Amat penting ibu bapa menjadi contoh terbaik kerana anak belajar daripada contoh dan contoh yang hidup dalam keluarga bermula dengan ibu bapa.

Ibu bapa yang taat suruhan Allah boleh mempengaruhi anak melakukan hal sama. Ibu bapa yang sentiasa menjadikan kasih sayang, belaian dan tunjuk ajar kepada anak boleh membantu ke arah kesuburan binaan peribadi mereka.

Bahasa dan kalimah diucapkan oleh ibu bapa secara lembut, jelas dan mendidik boleh mempengaruhi tingkah laku anak. Bercakap jujur, menepati janji, gelagat terpuji, menghormati orang lain, adab sopan adalah antara ramuan rohaniah yang amat perlu bagi anak.

Anak perlu dididik dengan perasaan malu dan syukur. Nilai malu kepada Allah membawa anak malu kepada ibu bapa. Malu dalam erti kata yang luas ialah asas kepatuhan tinggi terhadap perkara baik dan asas penolakan tinggi perkara tidak baik.

Apabila anak diasuh dan ditunjukkan hal baik dan tidak baik dalam tingkah lakunya sambil dinyatakan akibat perbuatan baik serta tidak baiknya terhadap diri dan orang lain, maka malu kepada Allah seharusnya dijadikan sandaran.

Anak perlu disemai dengan jiwa taat kepada Allah dalam bercakap dan melakukan sesuatu, berbahasa dengan ibu bapa dan orang lain dengan menghubungkan perbuatan anak sentiasa dalam pemerhatian Allah.

Adalah suatu amalan yang memalukan kepada Allah sekiranya anak berbohong, tidak jujur, tidak menepati janji, sombong serta takbur kepada ibu bapa dan orang lain. Malu kepada ibu bapa dan orang lain ialah dalam batas selagi perbuatan itu dapat di lihat, tetapi di belakang ibu bapa atau orang lain, Allah amat mengetahui. Malu kepada Allah memberikan daya kawalan baik terhadap hati dan perbuatan diri.

Anak juga harus dididik dengan sifat syukur kepada Allah yang membawa anak kenal diri dan sentiasa terpandu dalam melakukan sesuatu.

No response to “Didikan rohani bendung anak hilang nilai akhlak”