Wednesday, June 18, 2008

Interaksi masyarakat mampu tangani kecelaruan remaja

Oleh Prof Dr Sidek Baba


ISU identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan peri lakunya, malah dihubungkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan dikaitkan dengan potensi hari depan.



Lebih jauh daripada itu identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepemimpinan dan kepengikutan yang bakal mewarisi kepemimpinan dan kepengikutan negara. Ia sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjadi beban yang berpanjangan kepada masyarakat.

Ada petanda yang merisaukan banyak pihak mengenai identiti remaja kini.

Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej remaja sejak 30 tahun lalu cenderung kepada mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat.

Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi menghimpit, kecenderungan sebahagian remaja banyak terjebak dalam zon selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri. Mereka turut terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina ilmu dan bina negara.

Statistik di kalangan remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan. Jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala Aids/HIV juga menakutkan.

Apakah imej yang sedang melanda remaja kini disebabkan ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan hingga remaja menjadi mangsanya? Adakah ia akibat kealpaan kita terhadap peranan mendidik, memberikan idea pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara diterjemahkan secara bijaksana dan strategik kepada mereka?

Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma positif dalam kehidupan.

Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola yang bukan fitrah sifatnya. Ia juga dikaitkan dengan remaja yang mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa.

Remaja yang terjebak dengan kecelaruan itu bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara.

Amat tidak adil jika anggapan dibuat bahawa semua remaja terjebak dengan masalah kecelaruan ini. Tetapi, petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk membina rasa bimbang dan resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas:-


Gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan.


Proses pembaratan yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram dan kehilangan arah.


Kehidupan beragama sedang menjadi pertikaian antara halal haram, pelanggaran salah benar dan makruf mungkar.


Memburu makna maju dan moden tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).


Hilangnya rasa hormat dan adab terhadap tradisi, hilang malu terhadap orang tua, ibu bapa, guru malah masyarakat.


Tiadanya cita-cita besar untuk bina bangsa, bina umat dan bina tamadun hingga menyebabkannya pudar.

Banyak sebab yang boleh diberikan mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah masa amat kritikal dalam hidup seseorang manusia.

Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk.

Membentuk imej, watak dan tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini. Ia termasuk :-


Kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan sewajarnya dalam pembentukan watak anak.

Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan.

Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak. Ramai anak yang mengalami 'keciciran' sejak awal umur lagi.


Ibu bapa tidak mempunyai ilmu dan keterampilan keibubapaan berkesan dalam mendidik anak-anak. Tidak ramai ibu bapa yang faham proses pertumbuhan minda anak-anak, perkembangan psikik dan emosi mereka serta hubung kaitnya dengan tingkah laku yang diamalkan.

Akibatnya wujud kelompangan dalam hati dan minda anak. Akhirnya anak membentuk minda, hati dan tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitarnya.


Sekolah banyak berperanan menyediakan anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku.

Berlakulah 'keciciran' kedua di kalangan anak. Umur yang amat kritikal bagi seseorang manusia dari sudut Islam adalah dari kelahiran hari pertama hingga ke tahap akil baligh.

Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik pada tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula.


Masyarakat tidak menyediakan suasana yang kondusif supaya remaja dapat membentuk diri dan peribadinya ke arah peka masyarakat dan keadaan sekeliling secara positif.

Sebahagian remaja terbabit dengan kerenah rakan sebaya yang menampilkan kegiatan negatif dan akhirnya terjebak dengan amalan merokok, ketagih dadah dan pergaulan lepas bebas.


Sistem kenegaraan sendiri tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja.

Orientasi dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan akhlak dalam pembinaan diri remaja. Tetapi, media cetak dan elektronik tidak dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan ketara apa yang dididik di sekolah dan rumah dengan apa yang dipaparkan media.

Akhirnya wujud konflik di kalangan remaja dan keadaan seperti ini melahirkan kecelaruan.


Keadaan di atas diburukkan dengan isu keagamaan yang dipertikaikan secara terbuka tanpa pendekatan mendidik dan ilmiah sehingga menyebabkan sumber rujukan remaja bercelaru.

Ada isu yang bercorak keagamaan boleh dibahaskan secara terbuka dan ada yang perlu dibincangkan di kalangan yang mempunyai keahlian.

Bayangkan isu agama, imej ula-ma dan persepsi mengenai Islam menjadi polemik tidak sihat. Keadaan ini boleh mempengaruhi remaja yang sedang mencari identiti diri dan sumber pengetahuan yang boleh dijadikan sandaran pembentukan pemikiran dan keyakinan dirinya.

No response to “Interaksi masyarakat mampu tangani kecelaruan remaja”