Wednesday, June 17, 2009

Islam angkat daya intelek Melayu

Pedoman al-Quran berhasil mengetepikan kepercayaan tahyul, syirik

MELAYU satu bangsa dan Islam adalah agama. Kewujudan bangsa Melayu itu adalah suatu fitrah. Al-Quran memberikan asas bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa ( surah al-hujurat, ayat 13).

Bangsa Melayu adalah salah satu bangsa yang wujud di dunia. Islam ialah ajaran dan agama yang datang daripada Allah. Diturunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW untuk disampaikan kepada manusia supaya mendapat petunjuk dan membina takwa.

Al-Quran turun kepada bangsa Arab. Bermula dengan Rasulullah SAW, kemudian berkembang kepada bangsa lain termasuk Melayu, Cina, India dan lain-lain. Islam adalah agama rahmat, ajarannya mendukung sifat alamiah, ia tidak terbatas kepada bangsa Arab tetapi juga kepada seluruh bangsa yang ada di dunia ini.

Bangsa Melayu pada asalnya menganut faham anamisme. Kemudian ditindikkan keyakinan Melayu dengan agama Hindu dan Buddha. Melayu yang anamisme, Hindu dan Buddha dibentuk oleh kepercayaan dan cara hidup yang sesuai dengan ajaran agama itu. Apabila Islam datang, cara berfikir, tradisi dan budaya yang dibina dan cara beribadah adalah mengikut jalan Islam.

Islam membebaskan keyakinan orang Melayu daripada faktor tahyul dan syirik. Islam mengangkat minda dan intelek orang Melayu supaya berfikir selari dengan fitrah akal. Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan tetapi ia mengatur kehidupan.

Islam dalam sejarahnya di Alam Melayu sudah membangunkan suatu tamadun sama ada dalam kepemimpinan dan kepengikutan mahupun dalam karya yang terhasil serta sistem pendidikan yang berlangsung.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana ajaran Islam. Ajaran Islam menjadikan orang Melayu beralih daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah yang satu. Dari situ lahirnya kesedaran tauhid bahawa Allah adalah Pencipta bukannya direkabentuk seperti berhala dan benda hasil buatan manusia kemudian disembah sebagai tuhan.

Bangsa Melayu menjadi hebat kerana dilatih taat kepada imam dan pemimpin selagi imam dan pemimpin tidak melakukan perkara terlarang. Al-Quran, sumber utama ajaran Islam tidak saja menghasilkan kisah manusia terdahulu untuk dijadikan teladan bagi orang terkemudian tetapi mengajar bangsa Melayu mengenai prinsip hidup, kekeluargaan, masyarakat dan negara.

Al-Quran juga mengatur kehidupan orang Melayu dengan prinsip syariah atau hukum, mengetahui benda yang makruf dan mungkar, wajib dan haram supaya orang Melayu tidak melampaui batas. Daripada ajaran itu, bangsa Melayu membentuk budaya hidupnya selari apa yang terkandung dalam al-Quran.

Oleh itu, kekuatan bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan dengan ajaran Islam. Islamlah yang membentuk jalan berfikir, jalur budaya dan pedoman hidup yang mendorong mereka untuk maju dan cemerlang tidak saja di dunia, juga di akhirat.

Hal yang sama juga berlaku kepada bangsa Arab dan juga bangsa lain. Mereka mampu membina tamadun dan menghasilkan penerokaan ilmu sains dan teknologi kerana menerima perisyaratan dan pedoman daripada al-Quran.

Al-Quran menjadi sumber petunjuk untuk membangunkan jiwa tadabbur (kaji selidik), mengajak mereka berfikir mengenai tanda kebesaran Allah. Terdapat kira-kira 2000 ayat al-Quran memberi pedoman perkara sains yang akhirnya mencetuskan Baghdad dan Andalusia dalam satu siri tamadun menakjubkan.

Bangsa Melayu yang ditindikkan dengan Islam mendukung maksud ummah dalam erti kata yang luas. Al-Quran memberi pedoman mengenai konsep khaira ummah atau umat terbaik sebagai asas kejayaan.

Umat terbaik terdiri di kalangan bangsa yang melakukan hal makruf, mencegah kepada yang mungkar dan beriman kepada Allah. Apabila bangsa Melayu cintakan kebaikan, bencikan kejahatan dan sentiasa menghubungkan perbuatan serta gelagatnya untuk mendapatkan keredaan Allah, maka bangsa Melayu menjadi sebahagian daripada umat Islam yang berjaya, maju dan cemerlang.

Umat Melayu bertukar menjadi sebahagian umat yang lebih besar. Makna alamiah dalam Islam menjadikan dukungan terhadap tamadun mengatasi dukungan terhadap bangsa itu sendiri. Apabila asas tamadun Islam dijadikan landasan membangunkan kekuatan berfikir, kehebatan bekerja, kebaikan peribadi umat Melayu, dengan sendirinya umat Melayu berada dalam barisan bangsa contoh.

Bayangkan bangsa Melayu yang tidak menghayati cara hidup Islam, ia boleh menyebabkan kemungkaran dan kefasadan hanya perkara biasa. Kezaliman dan pecah amanah menjadi amalan. Kebendaan dan nafsu-nafsi menjadi matlamat hidup. Akhirnya bangsa Melayu akan kecundang dalam pertarungan sengit untuk memajukan bangsanya.

Menjadi Islam tidak harus menjadikan kita mundur kerana Islam mendorong bangsa Melayu untuk maju. Berpegang kuat kepada ajaran Islam tidak harus dikaitkan dengan halangan untuk maju kerana tamadun silam diambil oleh Barat untuk memajukan diri mereka.

Berpegang kepada watak amanah dan adil tidak harus menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang kerana rasuah, salah guna kuasa, lupa amanah untuk membangunkan Melayu, mementingkan diri sendiri, oportunis terhadap peluang dan kesempatan terbukti menyebabkan bangsa Melayu tiris dalam banyak bidang.

Pemahaman Islam secara dinamik dan diaplikasikan dalam budaya hidup serta bekerja umat Melayu adalah jawapan terbaik untuk membangun Malaysia di bawah acuan kita sendiri. Tidak menolak faedah berbanding yang terdapat daripada Barat dan Timur, mengunggulkan jati diri bangsa yang berfaedah dan menjadi sebahagian daripada tamadun umat.

No response to “Islam angkat daya intelek Melayu”