Wednesday, June 18, 2008

Islam galakkan semangat toleransi, nilai sejagat

Bersama Prof Dr Sidek Baba

KEPEMIMPINAN dalam masyarakat pelbagai bangsa adalah satu amanah yang rumit. Kepelbagaian dalam agama, bangsa dan budaya memerlukan pendekatan bijaksana supaya kepemimpinan yang ditawarkan mendukung faktor menyatukan.

Keupayaan Rasulullah SAW melaksanakan Piagam Madinah dalam situasi masyarakat berbilang menjadi contoh terbaik bagaimana faktor teras mendasari corak kepemimpinan yang mampu mendukung kerjasama dan persefahaman.

Maksud faktor teras ialah bagaimana elemen agama atas tunjangan nilai membina landasan kerjasama yang tinggi ke arah cita-cita menyatupadu. Yang berbeza akan tetap berbeza, tetapi perbezaan yang ada didekati secara bijaksana. Cita-cita seperti amanah kepemimpinan, kebebasan menyatakan sudut pandangan, jaminan hak dan layanan, asas keadilan dan kesaksamaan sentiasa terpelihara.

Kepemimpinan di Malaysia memerlukan faktor teras dipertahankan. Faktor teras bermaksud bagaimana faktor sejarah, budaya, bahasa, agama dan kelainan dijadikan sandaran utama dalam membangun kepemimpinan berwibawa.

Berwibawa di sini bermaksud bagaimana Islam umpamanya mampu menawarkan nilai sejagat yang dapat dikongsi oleh semua. Nilai lain yang terpancar daripada tamadun yang mendukung nilai kemanusiaan tinggi harus disuburkan sama.

Berwibawa juga merujuk kepada pemimpin yang berilmu dan memiliki upaya profesionalisme tinggi, memiliki peribadi contoh yang memancarkan teladan baik, tidak hanya berfikir dalam lingkungan kaumnya semata, tetapi mempunyai kemampuan memperluaskan dimensi kemanusiaan tidak bercanggah dengan fitrah manusia.

Kepemimpinan di kalangan umat Islam sering berlegar di kalangan kaumnya dalam lingkungan setempat dan kurang upaya memancarkan nilai sejagat Islam dalam melaksanakan taklif atau amanah yang tercermin nilai keadilan serta kesaksamaan terhadap yang lain.

Kepemimpinan Islam yang diperlukan kini memberi fokus terhadap pemantapan nilai bersama yang tidak bercanggah dengan fitrah dan bagaimana asas nilai itu dibangunkan dalam sistem supaya penterjemahannya ke dalam sistem membawa asas keadilan serta kesaksamaan yang tinggi.

Upaya itu perlu melampaui batas kaum yang sempit, mengiktiraf wujudnya kepelbagaian dan memahami pentingnya tolak ansur serta kesabaran tinggi asal saja kemurnian nilai yang menyatupadu tidak tercemar.

Kepemimpinan Islam tidak saja mempunyai latar kefahaman terhadap idealisme yang sifatnya memandu, tetapi upaya melaksana yang tinggi supaya Islam tidak hanya terpancar dalam semangat serta kata-kata indah semata-mata, tetapi terlihat keindahannya dalam peribadi dan sistem.

Islam sebagai faktor menyatupadu perlu diungkapkan dalam pengertian wujudnya kepelbagaian dan kelainan dalam strategi binaan kaum serta bangsa supaya tidak lari daripada kepentingan untuk berkenal-kenalan.

Kesediaan mempelajari sesuatu yang positif daripada orang lain dan mengemukakan sesuatu yang positif daripada budaya sendiri penting supaya pengertian dan persefahaman pentingnya kepemimpinan berilmu dan berakhlak dijadikan rujukan teras untuk kejayaan proses kepemimpinan.

Umat Melayu yang kebetulan diberikan amanah kepemimpinan perlu menjadi pemimpin teras yang mempunyai wibawa ilmu dan kebijaksanaan yang perlu dikembangkan dan perubahan diraikan. Faktor ini penting difahami kerana daripadanya bakal lahir pendekatan kepemimpinan bersifat merentasi.

Kepemimpinan bukan Melayu perlu menerima asas yang boleh membawa kepada titik persefahaman tinggi bahawa faktor etika dan nilai dapat mengukuhkan kualiti amanah dan keadilan, mengurangi perbezaan dan menyuburkan persamaan, daya toleransi tinggi sebagai cara menyatupadu.

Malaysia memerlukan kepemimpinan yang mampu menjalin serta memperkukuh integrasi dan toleransi. Integrasi dipupuk dalam konteks nilai bersama yang boleh dikongsi dan nilai sejagat yang boleh diterima.

Toleransi bermakna perbezaan yang ada tidak dijadikan asas untuk berkonflik, tetapi persamaan yang banyak harus disuburkan secara sedar supaya kebaikan daripada nilai bersama yang dikongsi boleh menghilang perbezaan akibat kejahilan dan prasangka.

Oleh itu, kepemimpinan yang mempunyai kualiti menyatupadu amat dituntut supaya jenis pembangunan dan perubahan ingin dilakukan mengambil kira pertimbangan masyarakat yang berbilang dan dalam masa sama menyuburkan maksud amanah, keadilan, kesaksamaan dan toleransi dalam hal yang tidak menjejaskan nilai murni yang boleh membawa kebaikan kepada semua.

Pada prinsipnya memang Islam menganjurkan konsep berkenal-kenalan dengan bangsa serta tamadun lain. Sari pati budaya dan tradisi yang baik dan sesuai daripada orang lain harus dapat disesuaikan supaya menjadi elemen mengukuhkan lagi kesuburan tamadun.

Sejarah silam tamadun Islam terbukti berfaedah untuk Barat dan Timur. Betapa tradisi itu dapat dijadikan strategi menyatupadu supaya realiti yang pelbagai mampu didekati dengan bijaksana kerana matlamat akhir konteks bina negara ialah sikap saling menghargai dan melaksanakan sesuatu demi kebaikan semua.

Intipati

Keupayaan Rasulullah SAW melaksanakan Piagam Madinah dalam situasi masyarakat berbilang menjadi contoh terbaik bagaimana faktor teras mendasari corak kepemimpinan yang mampu mendukung kerjasama dan persefahaman.

Kepemimpinan di Malaysia memerlukan faktor teras dipertahankan. Faktor teras bermaksud bagaimana faktor sejarah, budaya, bahasa, agama dan kelainan dijadikan sandaran utama dalam membangun kepemimpinan berwibawa.

Pemimpin yang berilmu dan memiliki upaya profesionalisme tinggi, memiliki peribadi contoh yang memancarkan teladan baik, tidak hanya berfikir dalam lingkungan kaumnya semata, tetapi mempunyai kemampuan memperluaskan dimensi ke-manusiaan tidak bercanggah dengan fitrah manusia.

Kepemimpinan Islam tidak saja mempunyai latar kefahaman terhadap idealisme yang sifatnya memandu, tetapi upaya melaksana yang tinggi supaya Islam tidak hanya terpancar dalam semangat serta kata-kata indah semata-mata, tetapi terlihat keindahannya dalam peribadi dan sistem.

One response to “Islam galakkan semangat toleransi, nilai sejagat”

mnasir251 said...

Salam.
perbincangan yg baik dan menepati keperluan semasa dan bi'ah di malaysia. Perkongsian yang amat bijak. Kalau boleh disertakan sekali darimana artikel ini dikeluarkan samama da paper/jurnal atau majalah mana2 utk senang peminat2 Prof.Sidek mengikutinya perbincangan yg keseterusnya.
Saya amt berminat utk merujuk kepada hubungan etnik-islam -situasi Malaysia.
Perkongsian bijak.