Wednesday, June 17, 2009

Kembali kepada Islam yang sebenar

Sering berbangkit polemik atau perbincangan tentang apakah maksud Islam yang sebenar. Para remaja kadang-kadang menjadi keliru dan celaru untuk cuba memahaminya. Ada orang berpendapat Islam harus mengikut zaman, bukan zaman mengikuti Islam.

Yang lain berpendapat bahawa ajaran Islam harus berubah supaya ia selari dengan perubahan terkini.

Sesetengah menyatakan bahawa kita harus bersifat liberal. Sebahagian lain pula berpendapat bahawa kemajuan diukur kepada perkembangan semasa. Yang lalu itu sudah ketinggalan zaman. Malah setengahnya pula berpendapat terlalu Islam boleh menyekat kemajuan dan perubahan.

Islam adalah agama yang hidup.

Yang menjadikan umat Islam mempunyai tanggapan yang berbeza ialah jenis ilmu yang dipelajari, skop ilmu yang diketahui dan orientasi keilmuan yang dijalani.

Sesetengah orang Islam memahami Islam sebagai agama warisan dan keturunan. Yang lain menghubungkan Islam sebagai agama ibadah khusus dan tidak ada kena mengena dengan pembangunan sistem. Lalu agama itu ialah sembahyang, doa, zikir, zakat dan sedakah semata-mata. Sedangkan roh solat dan doa, zikir dan zakat sepatutnya memberi kesan penghayatan menerusi amal dan ibadah yang menyangkut tentang ilmu, teknologi dan juga sistem.

Integratif

Tidak berbangkit Islam menyebabkan kemunduran. Kemunduran berpunca kelemahan dan kealpaan kita melihat agama ini sebagai sumber tamadun suatu ketika dulu. Dalam masa yang sama kita tidak bersifat reflektif terhadap faktor-faktor yang membangunkan tamadun silam.

Sumber kekuatan Islam terletak pada kehebatan ajarannya dan ketangkasan pemeluknya. Sejak zaman Nabi, para sahabat, tabie-tabiin dan salaf al soleh, umat Islam berada di barisan depan dalam mengembangkan ajaran dan memperkasa pemeluknya.

Antara sumber kekuatan Islam ialah ilmu yang berkembang amat integratif. Ilmuwan seperti Ibn Nafis, Ibn Sina, al Khawarizmi, al Batani, al Khawarizmi dan ramai lagi membangunkan ilmu tidak saja membangunkan faktor naqliahnya atau wahyu dalam peribadi dan diri tetapi membangunkan secara aqliah dalam sistem.

Mereka memiliki keupayaan berfikir yang tinggi, melakukan ijtihad, terbuka untuk mempelajari sumber kekuatan orang lain dan mempunyai upaya menyaring yang tinggi yang menyebabkan kreativiti dan inovasi berlaku.

Islam yang sebenar ialah Islam yang menjadikan al-Quran dan al-sunah sebagai sumber ilmu dan pedoman hukum, sumber sains dan juga pemikiran, sumber prinsip dan juga petunjuk, sumber kisah dan juga ibrah, sumber khabar gembira dan juga peringatan.

Ia dipelajari dan dihayati sehingga melahirkan peribadi teladan yang tidak menolak keperluan dan kepentingan syarak dipertahankan. Dalam masa yang sama, memberi ruang kepada fuqaha atau ahli fikah menghubungkan kaedah syarak dalam memahami faktor zaman dan cabaran lingkungan dan memberikan jawapan terhadap isu dan persoalan semasa yang berbangkit.

Dinamika Islam menjadikan ilmu yang integratif sebagai sumber utama, ilmu-ilmu yang bermanfaat dari sumber lain sebagai faktor berbanding dan menghasilkan alternatif yang terkini bagi menghadapi situasi yang ada. Dukungan faktor-faktor ini menyebabkan lahirnya institusi dan organisasi yang sifatnya semasa tetapi mengguna pakai kaedah syarak yang terdapat dalam Islam.

Yang menjadi masalah bagi umat Islam kini ialah ilmu tidak dibangunkan secara integratif. Keupayaan berfikir tidak berkembang. Kehebatan melakukan tadabbur atau kaji selidik tidak berlaku. Metodologi baru dalam dakwah, pengajaran dan pembelajaran tidak dijadikan fokus.

Penghasilan karya-karya dan tulisan-tulisan yang menangani isu besar tidak banyak. Akhirnya meletakkan umat Islam bergantung kepada kekuatan Barat untuk memajukan dirinya.

Umat Islam tidak boleh mengambil semuanya dari Barat tanpa ada saringan. Orientasi Barat dalam proses pengilmuan dan pendidikan tidak semuanya mendukung kepentingan nilai dan mengembalikan manusia kepada kedekatannya dengan Pencipta.

Agama dilihat sebagai sesuatu yang dogmatik. Agama bukanlah sesuatu yang rasional dan saintifik. Akhirnya faham sekular berkembang.

Remaja Islam harus memiliki rujukan sumber dalam memahami perubahan zaman dan juga cabaran lingkungan. Atas nama Islam, al-Quran dan al-sunah adalah sumber utama dalam proses pengilmuan dan kemajuan.

Tradisi tafasir yang ada, kaedah fikah yang terdapat, proses ijtihad dan ijmak yang pernah ada, keupayaan berfikir yang tidak bercanggah adalah antara asas-asas yang boleh membimbing remaja ke arah memahami Islam yang sebenar.

Interaksi

Remaja Islam harus terlebih dahulu mempelajari agamanya. Sebabnya asas agama dalam dimensi akidah yang luas, pemahaman ibadah yang komprehensif, pengertian syariah yang membimbing kebijaksanaan dan keunggulan akhlak yang mecerminkan teladan dan sumber ikutan adalah asas-asas yang boleh mendukung dan memajukan Islam sebenar. Tidak timbul isu moden dan liberal dalam memahami proses kemajuan tamadun.

Keterbukaan generasi muda mempelajari perkara baru mestilah dalam semangat ia tidak bercanggah dengan faktor syarak. Darinya akan lahir olahan bijaksana bagaimana prinsip dalam al-Quran dan al-sunah mendepani faktor zaman yang sifatnya dinamik. Lalu tradisi Islam yang mengungkap kecemerlangan mampu menjadi penyumbang ke arah kemajuan dan perubahan yang lebih bermakna.

Model-model Islam perlu melakukan interaksi dengan budaya semasa. Islam juga harus memberi pedoman tentang jalan komunikasi dan telekomunikasi yang senafas dengan syarak.

Oleh itu, generasi muda harus bersedia belajar melakukan sinergi atau gabungan antara faktor-faktor tradisi dengan faktor terkini. Darinya bakal lahir sesuatu yang lebih bermakna dan mampu memberi jawapan terhadap keperluan semasa.

Islam yang sebenar ialah agama yang tidak menjadikan dirinya sebagai celupan orang lain. Faham liberal dan sekular yang menjadi tunjang perubahan dan kemajuan di Barat tidak semestinya menjadi rujukan mutlak.

Oleh itu, dengan perkembangan sains dan teknologi terkini, proses perubahan dan kemajuan terkini tidak seharusnya menjadikan remaja gamam atau terpukau sehingga lupa terhadap tradisi dan kekuatan agamanya.

Model Rasulullah s.a.w di Madinah berkembang dan menghasilkan Baitul Hikmah yang amat dikagumi, Andalusia yang menjadi rujukan Barat dan Timur dan melayakkan umat Islam sebagai penyumbang terhadap kemajuan yang sebenar terhadap Barat dan Timur.

Selepas 700 tahun umat Islam terjajah sudah tentu banyak kesan negatif yang berlaku khususnya di kalangan generasi muda yang menjadi sasaran globalisasi budaya yang sedang berlaku.

Sekiranya para remaja menginsafi bahawa Islam memiliki tamadun kukuh untuk dilakukan upaya reflektif yang tinggi, umat Islam akan berada di landasan yang benar.

No response to “Kembali kepada Islam yang sebenar”