Wednesday, June 17, 2009

Memperkasa ilmu hadapi cabaran globalisasi

FIRMAN Allah bermaksud: “Apakah orang yang taat beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, ia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?

Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar, ayat 9) Ayat ini menyebutkan apakah sama orang yang berilmu dengan tidak berilmu. Rasulullah SAW menyebutkan bahawa ilmu itu adalah wajib dituntut oleh lelaki dan perempuan. Untuk hidup di dunia, perlukan ilmu. Begitu juga, untuk keperluan akhirat juga perlukan ilmu.

Ilmu adalah sesuatu yang amat bernilai kepada manusia. Ia menjadi suluh dan pedoman dalam kehidupan. Ia menghasilkan natijah bersifat ibadah apabila bertemu dengan Allah nanti. Orang Islam perlukan ilmu mengurus diri seperti akidah, ibadah, akhlak, syariah dan sebagainya sebagai sumber mengurus akal dan hati.

Orang Islam dituntut menguasai ilmu mengurus sistem supaya sumber rahmah dan nikmah yang dikurniakan Allah dapat diurus dengan baik dan amanah. Pengupayaan ilmu yang sepadu sifatnya ini amat penting bagi memperkasa umat Islam dalam menghadapi cabaran globalisasi yang pantas dan deras. Allah menjadikan manusia dengan tiga potensi utama iaitu akal, rohani dan jasmani.

Membangunkan kekuatan akal tanpa kekentalan rohani akan mewujudkan ketidakseimbangan. Membangunkan kekuatan rohani tanpa kekuatan ilmu dan akal menyebabkan umat Islam kehilangan cara dalam mengaturkan kehidupan. Membangunkan ketangkasan jasmani tanpa memperkasa akal dan hati akan menyebabkan hilangnya daya fikir dan zikir.

Sesetengah umat Islam memahami Islam hanya dalam batas rohaniah atau mengamalkan jalan hidup Islam dalam batas fardu ain atau ilmu mengurus diri. Ramai beranggapan sekiranya sudah ada seseorang menyempurnakan tanggungjawab ilmu fardu kifayah, dosa yang lain tertanggung. Pemahaman seperti ini boleh menyebabkan kemunduran umat dalam amal Islaminya.

Faktor rohaniah dianggap sebagai akar tunjang dalam kesuburan sebatang pohon. Kekuatan akar itu membolehkan pohon menjadi rimbun, menghasilkan bunga dan buah untuk manafaat manusia dan kehidupan. Harus wujud pencernaan rohaniah dalam bentuk kejujuran terlihat terhadap isteri, anak dan di tempat kerja. Harus tertampak keikhlasan dalam melakukan amanah dan tanggungjawab dalam keluarga, di tempat kerja atau dalam masyarakat supaya manfaat keikhlasan boleh menyebabkan kepercayaan menjadi tinggi dan telus. Harus tersaksi amanah dan keadilan dilakukan dengan baik supaya hubungan sesama manusia menjadi baik dan keyakinan terhadap sesama manusia menjadi subur.

Amalan solat sifatnya rohaniah, tetapi latihan rukuk dan sujud penting dalam membina jiwa hamba supaya asas patuh, tunduk dan taat wujud dalam diri manusia. Tanpa asas ini, tidak mungkin wujud hubungan manusia dengan Pencipta dan lahirnya hubungan manusia sesama manusia.

Apabila orang Islam mempunyai sifat patuh, tunduk dan taat yang tinggi, apa saja amanah yang diberikan kepadanya akan berjalan dengan baik. Kepatuhan itu tidak saja disandarkan kepada peraturan dan etika di pejabat, malah dihubungkan dengan Pencipta iaitu Allah.

Memperkasa ilmu untuk kesejahteraan dan keperkasaan umat seharusnya dalam konteks kefahaman yang sepadu. Amat penting umat Islam menguasai ilmu mengurus sistem seperti sains, teknologi, pengurusan dan ekonomi. Tetapi, penguasaan ilmu dan keterampilan itu akan hanya memberi natijah duniawi sekiranya faktor nilai seperti adil, amanah, jujur, telus, bijaksana dan tulus tidak dijadikan pedoman. Nilai inilah yang memberi arah dan kesan kerana ia terkandung sesuatu yang baik bukan saja untuk manusia, malah untuk perjalanan sistem.

Sekiranya kita meneliti pembangunan tamadun Islam pada masa kegemilangannya, asas ilmu dalam Islam berkembang ibarat sepohon pokok. Akar tunjang pokok adalah gambaran akidah yang mantap. Akar lain memberikan asas ibadah, akhlak, syariah dan sebagainya. Akar mantap yang dibaja oleh kefahaman rohaniah tinggi akan menyuburkan batang dan dahan serta bunga dan buah untuk akhirnya menjadikan kepentingan manusia terhadapnya lebih baik.

Dahan yang bercabang diibaratkan disiplin ilmu pelbagai yang menjadikan kehidupan lebih bermakna. Disiplin ilmu yang subur dan berkembang disebabkan akar yang disuburkan dengan baja rohaniah bermutu. Manifestasi kekuatan rohaniah menyebabkan amal Islami orang Islam menjadi teguh. Akhirnya orang Islam berupaya menghasilkan tamadun yang besar di mana bunga dan buah pohon itu mampu mensejahterakan kehidupan manusia.

Asas inilah seharusnya menjadi agenda utama umat Islam pada hari ini. Tanpa pengupayaan ilmu dalam bentuk bersepadu, tidak mungkin dapat melahirkan suatu tradisi keilmuan yang sifatnya menyumbang atau menghasilkan corak kehidupan yang maju dan dipandu nilai baik yang fitrah sifatnya. Maju dalam fitrah nilai yang baik tidak saja mampu membangunkan akal dan hati, malah sekali gus membangunkan persekitaran dan sistem. Ini kerana pada diri insan Muslim memiliki kekuatan rohaniah dan akliah yang tinggi dan perkasa. Inilah pengupayaan ilmu yang amat dituntut oleh agama.

No response to “Memperkasa ilmu hadapi cabaran globalisasi”