Wednesday, June 17, 2009

Modal insan bermutu tuntut sahsiah tinggi

PEMBANGUNAN modal insan adalah agenda utama Malaysia dalam perancangan menjadikan Malaysia negara maju memenuhi matlamat Wawasan 2020 yang meletakkan Malaysia maju dalam bidang sains dan teknologi berasaskan acuan sendiri.

Pada Rancangan Malaysia Kesembilan, faktor modal insan menjadi agenda utama dalam menentukan pembangunan Malaysia yang mementingkan ilmu dan kepakaran untuk mencapai tahap negara maju.

Modal insan yang berkualiti tidak sekadar mempunyai ilmu dan kepakaran, keahlian dan profesionalisme tinggi, tetapi mendukung sahsiah tinggi. Sahsiah tinggi penting dihayati kerana jenis cabaran dalam bidang masing-masing tidak saja sifatnya intelektual, teknikal dan profesional tetapi menuntut kualiti amanah, adil, telus dan tulus pada diri.

Modal insan berkualiti tidak saja terbabit dengan kerja mekanikal, profesional dan saintifik tetapi memerlukan etika dan nilai supaya urusan menjadi tulus dan telus. Modal insan yang terbabit dengan salah tadbir, rasuah, mementingkan diri sendiri, oportunis umpamanya tidak akan menjadikan organisasinya cemerlang.

Amalan salah menjadi belenggu dirinya. Dirinya tidak ada kemerdekaan kerana perbuatannya bakal merosakkan negara dan sistem. Amat penting kesedaran etika dan nilai dikaitkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat dan menyaksikan apa yang berlaku.

Asas ihsan ini penting dalam melaksanakan amanah pengurusan. Dalam Islam amanah pengurusan ialah suatu ibadat. Melaksanakan sesuatu atas niat ibadat dan apabila melakukannya yakin akan penyaksian Allah SWT mempunyai daya dorong tinggi untuk berlaku jujur dan ikhlas. Inilah asas ihsan yang menjadi tunggak dalam menguruskan sesuatu.

Membina kualiti ihsan membangunkan modal insan adalah penting. Al-Quran ada menyebut kecemerlangan insan dilihat pada takwanya (Surah al-Hujurat, ayat 13) sebagai asas menjadikan manusia insaf bahawa sesuatu yang berjalan dan berlaku sentiasa terhubung dengan Allah SWT.

Insaf ketuhanan menjadi faktor penting menyebabkan etika dan nilai berjalan. Ia dapat memerdekakan diri manusia daripada melakukan perkara tidak baik.

Kemerdekaan serta pembangunan modal insan memerlukan ilmu dan nilai. Pembangunan modal insan tidak hanya cukup dengan latihan yang sifatnya mekanistik. Upaya mekanistik akan menjadi lebih bermakna jika asas nilai dan pedoman bersamanya.

Baik ia seorang saintis, pakar teknologi dan seumpamanya, keperluan terhadap nilai baik dan pedoman berguna adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Apalagi. jika nilai itu datangnya daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Kemerdekaan dalam erti kata luas ialah membebaskan manusia daripada belenggu perasaan rendah diri, malas terhadap kerja, cuai terhadap tanggungjawab, lebih kurang dalam pengurusan, tidak menepati waktu, tiadanya muafakat dalam membuat keputusan, kualiti dan produktiviti.

Membebaskan belenggu itu harus dihubungkan dengan ganjaran lebih besar mengenai kerja dan tanggungjawab. Jika kerja dihubungkan dengan amanah dan tanggungjawab, lonjakannya akan lebih hebat.

Seseorang tidak akan hanya bekerja kerana rutin untuk mendapatkan gaji tetapi kerja dilihat sebagai tempat melakukan ibadat dalam erti kata luas. Menepati waktu, rasa kepunyaan dan kekitaan terhadap organisasi, jujur terhadap tugas dan tanggungjawab, serius dalam melaksanakan amanah kerja, kualiti dan produktiviti dijadikan keutamaan adalah gambaran bagaimana kualiti modal insan yang berjiwa merdeka dan memiliki daya ihsan tinggi.

Pembangunan modal insan di negara kita perlu mengambil pendekatan intergratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan. Pendidikan intergratif menjadikan asas nilai dan etika sebagai sumber utama dan ia diharap dapat membentuk watak pekerja yang sentiasa mengaitkan asas nilai dan etika dengan apa saja jenis pekerjaan dilakukan.

Pekerja Islam umpamanya, tidak harus ada masalah melakukannya. Keyakinan tinggi terhadap Allah adalah faktor utama yang memberikan daya kawalan manusia supaya tidak terbelenggu dengan niat dan cara bercanggah dengan konsep amanah serta telus.

Keyakinan kepada Allah menjadi penggerak dan pendorong manusia melakukan sesuatu. Apabila nilai dan etika Islam sebati dalam niat dan amalan, maka manifestasi amal akan berjalan seiring. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang faham makna dosa dan pahala, halal dan haram akan dapat membezakan yang mana satu amalan baik atau sebaliknya.

Membelenggu diri dengan amalan salah berkait rapat dengan rezeki diterima. Rezeki yang diterima mungkin tidak halal dan tiada berkatnya apabila dibawa balik ke rumah. Jika keinsafan ini ada bagi setiap orang Islam, dengan sendirinya apa saja pekerjaan dilakukan dikaitkan dengan ibadat.

No response to “Modal insan bermutu tuntut sahsiah tinggi”