Wednesday, June 18, 2008

Muflis keintelektualan hancurkan umat

Bersama Prof Dr Sidek Baba

PENGERUSI Institut Kemajuan Islam Malaysia (Ikim), Tan Sri Ahmad Sarji, dalam Majlis Pelancaran Projek Akademik Mega Ahmad Ibrahim ‘Sebuah Biografi dan Telaah Pemikiran’ menyatakan pentingnya ahli ilmu dihargai dan diteliti ilmu dan pemikirannya supaya generasi akan datang mengenal sejarah silamnya dengan kekuatan berfikir wira karyawan, ilmuan dan seniman berwibawa.

Saranan ini amat penting dalam konteks menghasilkan peribadi unggul berjasa menterjemahkan pemikiran bernas dan praktik terhadap zamannya. Ia penting supaya warisan silam diletakkan pada tempatnya dan menjadi sumber rujukan untuk generasi depan.

Sekarang kita sedang berdepan dengan cabaran generasi muda yang kurang cenderung mengkaji warisan pemikiran dan ilmu wira bangsa dan umatnya terdahulu. Kecenderungan lebih banyak tertumpu kepada ‘wira’ popular semasa di sekitar dunia hiburan dan artis, sukan dan muzik sehingga wira gigih memberikan sumbangan ilmu dan tradisi intelektualisme semakin dilupakan. Budaya santai dalam pembacaan, ‘chatting’, web-log dan hiburan sudah menjadi trend atau aliran ketara.

Akibatnya fokus sebahagian besar generasi muda, malah masyarakat umum lebih banyak berkisar kepada kehidupan artis dan penghibur popular, gosip bertiup silih berganti, tinjauan kisah filem cinta yang dangkal dan kenafsian, lirik lagu mengalunkan ratapan sedih dan kecewa, adegan tahyul dan sensasi dalam sinetron yang mengasyikkan penonton di samping anugerah dan festival yang mengangkat ‘martabat’ budaya popular saduran daripada budaya Hollywood dan Bollywood.

Dalam suatu arus yang lain, umat Islam dianjurkan supaya membangun modal insan berkualiti, mendukung peribadi unggul perlu diteladani, membanteras amalan salah guna dadah dan ketagihan terhadap budaya hedonistik dan kembali kepada jalur ketamadunan berasaskan acuan kita sendiri.

Dilema ini menuntut daya renung yang tinggi dan mendalam betapa kita menghadirkan dua keadaan yang sifatnya tidak saling melengkapi malah boleh melanjutkan kekeliruan dan pertentangan yang sempadan akhirnya mempertajamkan lagi jurang dan konflik yang sedia ada.

Banyak terbazir memikirkan jalan keluar dari kemelut keruntuhan akhlak yang sedang berlaku. Selalunya pendekatan natijah akhir yang dijadikan tumpuan sedangkan punca atau akar sebab daripadanya terabai. Lalu pendekatan diambil banyak bersifat ‘superficial’ dan wabak berlaku semakin merebak.

Di sinilah perlunya tradisi intelektualisme berteraskan ilmu dan keahlian dibina supaya acuan kita sendiri berdiri atas asas tradisi dan warisan kukuh, menghargai pemikiran ilmuan tersohor, menjadikan wira besar dan kecil dalam memperjuangkan budaya tinggi sebagai teladan dan akhirnya bersikap terbuka terhadap manfaat berbanding dari Barat dan Timur sifatnya menyumbang.

Budaya santai boleh menjadi penghalang terhadap pertumbuhan ilmu dan intelektualisme. Buku dibaca dan bahan ditonton dalam media cetak dan elektronik banyak menampilkan tema cinta murahan berunsur lucah, adegan sensasi yang merangsang nafsu dan akhirnya kecenderungan hedonistik menjadi makanan minda dan hati. Budaya ilmu tidak akan lahir dan akhirnya budaya santai boleh menyebabkan ketandusan berfikir dan juga kemuflisan daya intelek.

Tamadun Islam di zaman puncaknya terbangun dengan budaya intelek yang tinggi. Umara dalam beberapa tradisi kepimpinan menjadi penaung kepada tradisi intelektualisme yang sihat. Perdebatan dan perbezaan pendapat berlaku tetapi di kalangan mereka mempunyai etika tinggi untuk menerima yang berbeza itu berbeza dan yang sama itu sama. Asas ini mencetuskan perkembangan idea dan ilmu dan akhirnya lahir tamadun ilmu dalam banyak bidang sama ada berkisar kepada ilmu wahyu mahupun ilmu berkaitan dengan pengurusan sistem.

Ketika ini sebahagian besar umat Islam tidak saja kagum setia terhadap sesuatu yang datang dari Barat, malah sesetengah dari mereka mula meremeh warisan dan tamadun yang pernah lahir dari tradisinya sendiri. Lalu mereka menjadi penganut faham liberal dan pluralis yang melulu sehingga faham feminisme dan hak asasi tafsiran Barat menjadi petunjuk utama untuk maju dan membangun.

Daya intelektual umat Islam seharusnya reflektif terhadap keunggulan tradisi ilmu zaman lalu dan proaktif terhadap perubahan hari ini. Prinsip dan tradisi yang diasaskan tamadun silam seharusnya menjadi penggerak kepada kemajuan berfikir yang tidak menolak kepentingan syarak untuk mengembalikan umat Islam ke landasan yang betul. Konsep maju dan berubah dalam acuan sendiri seharusnya memberi ruang kepada tradisi unggul pada masa lalu berkembang dan tidak menolak faedah berbanding dari lingkungan budaya lain bermanfaat supaya tercetus suatu paradigma baru mengembalikan manusia dan sistemnya kepada fitrah.

Kelesuan berfikir di kalangan umat mesti diatasi menerusi keperkasaan ilmu dan ketrampilan, pendidikan integratif sewajarnya melandasi pembinaan peribadi holistik, pemikiran yang kreatif dan inovatif sepatutnya berkembang dan akhirnya upaya strategik dalam pemikiran dan perancangan sepatutnya menjadi agenda yang hidup di sepanjang zaman.

Tanpa asas ini tradisi intelektualisme tidak akan lahir, sebaliknya bakal lahir golongan populis menguasai massa tanpa mementingkan keteguhan ilmu dan nilai dan akhirnya bakal menjadikan generasi muda muflis dengan daya intelektualisme dan korban pemujaan terhadap proses pembaratan yang sedang bermaharajalela.


No response to “Muflis keintelektualan hancurkan umat”