Wednesday, June 18, 2008

Nilai kerohanian suburkan integrasi

Bersama Prof Dr Sidek Baba


NILAI KEHIDUPAN: Semangat perpaduan dan hubungan baik antara kaum dan agama hendaklah dipertahankan. - Gambar hiasan


Perbezaan fahaman harus ada etika supaya ia tidak berakhir dengan konflik
ISU perpaduan antara kaum dan bangsa adalah isu yang lahir sejak terciptanya manusia. Al-Quran memberikan asas (surah al Hujurat: 13) fitrah jadinya manusia adalah pelbagai. Faktor kepelbagaian ini amat unik dalam tradisi Islam kerana sifat umat Islam itu adalah alamiah. Alamiahnya Islam, ia tidak saja dianut bangsa Arab saja tetapi juga bangsa lain di seluruh dunia. Asas kesatuan bagi umat Islam ialah aqidah tauhidnya.

Kesatuan tidak saja boleh wujud dalam lingkungan suatu agama tetapi pemahaman yang baik mengenai pancaran tamadun yang berasaskan agama membolehkan asas pemahaman nilai bersama dan nilai yang berbeza berlaku. Malah dalam tradisi Islam yang pelbagai, wujud juga perbezaan yang ketara dan kadang-kadang membangkitkan polemik dan perpecahan.

Al-Quran umpamanya terkandung nilai dan prinsip yang menjadi sumber ikutan dan jalan hidup pemeluknya. Dinamiknya Islam ialah membolehkan kelainan dalam budaya berkembang asal saja yang tidak menyalahi faktor prinsip iaitu akidah dan syarak. Umpamanya tradisi pantun, pepatah, petitih, ungkapan dan perumpamaan banyak yang membawa nilai yang selari dengan nilai Islam itu sendiri. Genre atau jenis tradisi ini banyak memancarkan nasihat kepada manusia supaya berbudi tinggi, cintakan ilmu dan membangun hubungan keinsanan secara kasih sayang.

Al-Quran secara jelas memberikan asas La iqra haafiddeen atau tiadanya paksaan dalam agama yang memberikan asas bahawa Islam itu selamanya agama dakwah yang membawa mesej ajakan, seruan dan nasihat. Dalam ayat lain al-Quran juga memberi pedoman mengenai Lakum deenukum walyadeen yang membawa maksud "Kamu agamamu dan kami adalah agama kami". Ia memberi asas mengenai sempadan perbezaan dalam anutan.

Namun begitu ada asas nilai yang fitrah pada setiap tamadun yang terpancar dari nilai keagamaan yang amat diperlukan oleh manusia. Walaupun wujud perbezaan dari sudut asas kepercayaan tetapi keperluan asasi kehidupan yang baik sentiasa menjadi asas nilai bagi manusia dan kemanusiaan.

Nilai jujur, adil, amanah, timbang rasa, persefahaman umpamanya adalah nilai fitrah yang wujud dalam setiap diri manusia yang ingin kebaikan dan hubungan keinsanan berjalan dengan elok. Umpamanya asas kejujuran dalam berkata-kata adalah asas sejagat bagi manusia. Sekiranya manusia berbohong dan dusta dalam percakapan dan tulisan, ia akan memberi kesan tidak baik terhadap hubungan sesama manusia.

Hal yang sama juga terhadap nilai adil yang sangat penting bagi setiap manusia perlu disuburkan dalam percakapan, layanan, membuat keputusan supaya asas nilai ini dapat menyuburkan rasa percaya yang tinggi sesama manusia. Kalau berlaku sebaliknya, manusia akan berdendam dan mudah tercetusnya konflik. Kekacauan yang wujud selama ini sesama seagama, sesama yang berlainan agama atau sesama manusia adalah akibat ketidakadilan yang berlaku.

Oleh itu pancaran tamadun yang dianut oleh banyak bangsa di dunia perlu memberikan fokus mengenai pentingnya nilai yang bersifat spiritual atau rohaniah disuburkan supaya kualiti kemanusiaan dapat diperkasakan. Kualiti kemanusiaan menjadi semakin tiris dan cair akibat manusia menjadikan faktor lain sebagai sumber yang memandu kehidupan. Kecenderungan yang berlebihan terhadap fahaman kebendaan, individualistik dan fahaman hedonistik (berpoya-poya) umpamanya tidak meletakkan nilai yang fitrah sebagai sandaran. Ia sedang berlaku di kalangan sebahagian penganut semua agama di dunia. Sekiranya nilai fitrah tidak dimurnikan dalam anutan agama ia boleh menimbulkan konflik agama kerana sesetengah penganut berlindung di sebalik tirai agama sebagai asas mempertajamkan lagi hubungan kemanusiaan.

Negara kita umpamanya memiliki penganut agama dari pelbagai tamadun. Sekiranya pancaran nilai tamadun yang mendukung kebaikan sesama manusia disuburkan ia bakal meningkatkan rasa toleransi warganya dan dalam masa yang sama jalan hubungan keinsanan tidak tertutup. Yang berbeza biarlah ia berbeza. Tetapi perbezaan juga harus mempunyai etika supaya ia tidak berakhir dengan konflik.

Hubungan keinsanan dan kemanusiaan masih banyak yang boleh dipelajari dan boleh menjadi sumber pengukuhan negara Malaysia. Mempelajari kekuatan tamadun Cina umpamanya memberikan umat Melayu atau India faedah berbanding yang tinggi terutamanya dalam bidang ilmu dan kemahiran. Perbezaan kaum dan tamadun tidak harus dijadikan asas kita berkonflik dan berselisih dan menimbulkan rasa curiga yang tinggi.

Namun begitu sikap kesalingan perlu ada dalam memahami keunggulan tamadun sesuatu bangsa atau penganut. Umat Melayu umpamanya didukung pemikiran, budaya dan cara hidupnya dengan nilai Islam yang murni. Sekiranya umat Melayu mengamalkan daya kepemimpinan yang sifatnya melindungi dan memayungi, berlaku adil dan jujur terhadap yang lain tidak ada sebab umat lain merasa janggal untuk patuh kepada kepimpinan yang baik.

Hal yang sama boleh berlaku terhadap orang Cina yang mengusahakan makanan halal orang Islam, sekiranya asas kejujuran, keadilan dan amanah dijadikan sandaran dalam melakukan kegiatan keusahawanan dan bisnesnya ia mampu mencetuskan rasa percaya yang tinggi sesama kaum dan menyumbang ke arah perpaduan negara. Asas-asas seperti ini harus disuburkan supaya integrasi sebenar tidak saja terlihat pada faktor zahiri tetapi terpancar dari faktor batini yang banyak mempengaruhi gelagat manusia.

No response to “Nilai kerohanian suburkan integrasi”