Wednesday, June 17, 2009

Pendakwah mesti kreatif, proaktif

Oleh Prof Dr Sidek Baba



ISLAM adalah agama yang lengkap. Nabi Muhammad saw dibentuk peribadinya dalam tempoh 23 tahun untuk menjadi contoh umat sezamannya dan terkemudian. Baginda mempunyai qudwah atau contoh sempurna untuk dijadikan sumber ikutan. Kualiti maksum yang ada pada Rasulullah menjadi sebaik-sebaik contoh pesuruh yang memiliki kecacatan sifar yang membolehkan manusia meneladaninya dengan baik.


Qudwah Rasulullah menghubungkan Islam sebagai agama dakwah dan tarbiah. Jalan dakwah dan tarbiah ini pula menempuh banyak dugaan dan cabaran.

Pendakwah terdahulu diuji dengan pelbagai bentuk ujian, tetapi kesabaran mereka dalam menyatakan yang hak, amat luar biasa. (Watawa saubil haq watawa saubis sabr).

Dustur atau rukun dakwah yang berasaskan bil hikmah wal mauizatil hasanah, wajadilhum billati hia ahsan sentiasa menjadi obor kekuatan dalam membina uslub antara gagasan yang besar dengan hakikat yang serba bejat dan mencabar.

Mereka melakukan olahan bijaksana, menekuni bidang keilmuan yang pelbagai, menampilkan contoh sahsiah yang dihormati dan mampu menampilkan jalan alternatif yang sezaman sifatnya. Dengannya wawasan besar Islam dapat disuburkan secara teratur dan berkesan.

Namun, sepanjang zaman itu juga ada pemeluk Islam bangun dalam orientasi atau suasana dewasanya dengan sentuhan ilmu, rempuhan pemikiran, corak amalan dan budaya hidup yang tidak serasi dengan faham Islam yang syamil atau sempurna.

Ada umat Islam yang syahadahnya Islam, tetapi jelmaan amalnya banyak yang bercanggah dengan roh syahadah yang begitu hebat maknanya. Ada umat yang istiqjal atau gopoh, yang mahukan umat berubah ke arah lebih baik dalam masa segera. Sayangnya, pendekatannya tidak mengambil kira faktor tahap kefahaman seseorang, latar pendidikan dan suasana di mana seseorang itu berada.

Ia menuntut pendekatan atau metodologi bagaimana usaha dakwah dan tarbiah dapat dilakukan supaya pintu minda dapat diketuk dengan kalimah kebenaran.

Begitu juga, pintu hatinya dapat diresapi dengan risalah murni yang membawanya kembali kepada fitrah.

Jalan dakwah itu penting diambil. Hal itu supaya di celah-celah lopak pertentangan politik kepartian, faham kelompok dalam jemaah, di tengah-tengah simpang siur globalisasi dan pengaruh media cetak serta elektronik yang serba menghambat, terbina jalan mengajak manusia kepada wehdah atau kesatuan umat secara bijaksana.

Di tengah-tengah kemelut manusiawi yang pelbagai, tersebar kalimah tarbiah disuburkan di hati insan supaya lahir perasaan kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Hal ini bakal mendorong daie dan murabbi mendekati hati yang mati dan rasa yang sudah binasa.

Kemungkaran dari sudut seorang daie dan murabbi atau pendakwah dan pendidik perlu jelas. Tetapi, jiwa daie dan murabbi yang memiliki belas kasihan dan kasih sayang yang tinggi akan sentiasa mencari jalan terbaik bagaimana hati-hati yang mati didekati. Begitu juga bagaimana rasa yang binasa dihidupkan semula.

Kesabaran kental dalam menyatakan kebenaran dan hak serta kebijaksanaan dalam mendekati pelaku kemungkaran dan mengolah strategi akan mengukuhkan perjuangan dakwah.

Bayangkan seseorang daie dan murabbi tidak memiliki rasa kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi yang menyebabkan terputusnya tali-temali dakwah. Begitu juga kebencian mereka terhadap perbuatan seseorang sama seperti kebencian terhadap orangnya.

Jika ini keadaannya, pasti perubahan sukar untuk berlaku dan kemungkaran akan terus bermaharajalela.

Hakikatnya, meskipun Islam itu agama sempurna, tetapi pemeluknya mempunyai banyak kekurangan. Ada yang memahami Islam sebagai agama rohaniah semata-mata, tanpa menghubungkan agama itu dengan tanggungjawab keilmuan, membangun keluarga, taklif sosial, amanah pendidikan dan sebagainya. Ia tidak menampilkan Islam sebagai suatu cara hidup yang boleh dicontohi.

Akhirnya, kepincangan umat akan berterusan kerana kecenderungannya lebih banyak terhadap perkara asas dan ketidakmampuan mengembangkan faktor asas supaya natijahnya membangun sistem.

Daie dan murabbi harus memiliki ilmu asas Islam secara baik. Dirinya harus menjadi contoh dalam hal kebijaksanaan, kesabaran, tasamuh atau tolak ansur. Ia juga perlu memiliki pengertian mendalam mengenai keperluan manusia dikembali dan dikekalkan dalam keadaan fitrah.

Perkara itu bertambah penting, pada era teknologi maklumat dan telekomunikasi yang kepentingan alat lebih banyak digunakan bagi mengembangkan maklumat dan alat perhubungan. Namun, hakikatnya ia belum tentu mampu membangun minda manusia, menunjuk jalan kebenaran atau memberi keinsafan terhadap pentingnya budaya pesan memesan ke arah kebaikan dan kemakrufan serta budaya tukar menukar maklumat untuk mendekatkan manusia kepada Tuhannya.

Oleh itu, pendakwah dan pendidik mesti bersedia untuk mengharungi cabaran dan ujian yang lebih getir. Hal ini kerana kesyumulan Islam tidak akan dapat diterjemah tanpa tekad tinggi semua pihak bahawa cabaran globalisasi adalah besar sekali.

Ia dapat dilakukan dengan tekad dakwah tinggi dan sifat murabbi yang dapat dicontohi, terutama yang mampu menjadi daya tarik umat, khususnya generasi muda ke arah pemikiran yang lebih fitrah dan budaya hidup yang lebih terarah.

Ia menuntut pengolahan dan pendekatan dakwah kreatif dan proaktif kerana minat di kalangan sasaran hari ini berubah dengan pesatnya.

Di kalangan daie dan murabbi seharusnya bersedia terjun ke tengah-tengah gelanggang menangani cabaran yang sebenar, bukan sekadar mengungkapkan gagasan Islam yang besar.

Tetapi tidak dapat difahami oleh sasaran, khususnya generasi muda yang jurang kefahamannya dengan pengaruh sekitarnya yang cukup membimbangkan. Di sini, letaknya kebijaksanaan dan kesabaran pendakwah dan pendidik merancang lantaran musuh Islam, bukan saja merancang, malah sedang melaksanakannya.

One response to “Pendakwah mesti kreatif, proaktif”

prihatin said...

salam
Sasaran dakwah yang menonjol dan mendapat perhatian utama Dr adalah gulungan remaja. Tentunya mereka mempunyai ciri tertentu yang perlu di fahami terlebih dahulu dan cara pendekatan yang marhamah, yang mesra dan mudah diterima. Lantaran itulah perlu ada satu kumpulan pendakwah pakar untuk kumpulan sasaran ini. Mereka memerlukan satu institusi atau badan yang dalam memberi bimbingan, panduan, galakan dan kemudahan. Harapnya ada satu gagasan untuk menubuhkan institut dakwah bagi melahirkan pendakwah yang berilmu, berketrampikan dan berwibawa untuk gulungan ini. Disarankan badan seperti Jam'iyah dakwah Islamiah mengambil inisiatif ke arah ini. Saya yakin Dr sedia memberi nasihat lanjutan. wassalam