Wednesday, June 17, 2009

Penguasaan ilmu Barat biar berteraskan syarak

GLOBALISASI tidak saja mengukuhkan fahaman sekular, tetapi merintis jalan hidup yang liberal. Fahaman liberal tidak sama dengan fahaman kebebasan dan hak asasi. Dalam tradisi Islam kebebasan mesti dalam kerangka syarak.

Faktor syarak bagi seorang Muslim memberikannya pedoman supaya kehidupan berada dalam keadaan fitrah. Maqasid syariah sentiasa memberikan fokus untuk memelihara agama, keturunan dan harga diri.

Menjadi liberal sebenarnya ingin menjadikan kita sebagai sebahagian kebudayaan sekular. Ada aspek tradisi di Barat memiliki faedah berbanding yang tinggi. Tradisi berilmu, kecenderungan mengkaji dan menyelidik, tradisi berkarya adalah baik.

Tetapi, fahaman liberal yang berkembang mendedahkan diri umat Islam kepada fahaman kebendaan dan hedonisme.

Fahaman ini berbahaya kepada umat kerana asas tumbuhnya lebih banyak memberi kesan negatif terhadap pembangunan manusia dan membina jiwa kemanusiaan.

Budaya liberal itu terlihat dan tergambar dengan program dan perisian di media elektronik dan cetak, aktiviti kepenggunaan yang sedang berjalan, fesyen pakaian, pemujaan kepada artis dan kegemaran filem ganas dan seram yang mengkhayalkan, faham individualistik menjadi ketara, sikap oportunis yang menjadi-jadi dan akhirnya terbabit dalam skandal meruntuhkan rumah tangga serta masyarakat.

Makna kebebasan dalam Islam ialah selagi mana ia tidak melanggar batas syarak. Islam tidak menghalang umatnya berhibur, asal saja jangan timbul kealpaan kepada Allah.

Islam tidak menyekat penganutnya menghargai dan aktif dalam kegiatan seni, asal saja seni itu menampilkan keindahan yang menjadi fitrah kegemaran manusia, tetapi seni indah itu mendekatkan manusia kepada Allah.

Islam tidak melarang penganutnya bersukan, tetapi ia diatur dalam batas aurat, batas gaul dan juga batas waktu. Islam tidak mencegah umatnya melakukan pelancongan kerana darinya akan terlihat tanda kebesaran Allah pada alam, sejarah dan tamadun.

Kebebasan beretika perlu bagi manusia. Seperti juga diaturkan sistem jalan raya yang tertib, sistem trafik memberi pedoman, sistem pejabat teratur, sistem keluarga harmoni, sistem masyarakat tersusun, sistem negara telus adalah perlu supaya ia berjalan dengan subur dalam suasana yang baik.

Kerosakan atau kepincangan akan berlaku jika terdapat kalangan manusia cuba melanggar atau tidak mematuhinya.

Amalan beragama juga demikian. Walaupun perubahan dan kemajuan akan terus berlaku, asas penting dalam beragama tidak harus diremehkan.

Membangun ekonomi negara berasaskan keperluan syarak adalah usaha menarik membangunkan bank, takaful, sistem kewangan Islam di negara ini.

Ia mendidik masyarakat semua agama mengamalkan prinsip keadilan dalam sistem mualamah negara. Usaha ke arah memperkasa makanan halal adalah langkah bijak mendidik masyarakat Malaysia supaya pengeluaran makanan mestilah dalam kerangka kod etika yang boleh diterima semua.

Usaha itu harus dilanjutkan dalam bidang kebudayaan, seni, sukan, permainan, hiburan, dengan mengambil kira faktor syarak.

Kelemahan yang ada pada kita dalam beberapa hal ialah kesedaran dan keupayaan yang lemah untuk menghasilkan sesuatu berasaskan tuntutan jati diri sehingga mudah merelakan minat dan kecenderungan menerima apa saja datang dari Barat hingga akhirnya menjadikan kita keliru dan bercelaru.

Kebudayaan, seni, sukan, hiburan dan permainan pastinya memerlukan adaptasi.

Oleh itu, keinsafan mengenai budaya, seni, sukan, hiburan dan permainan harus mampu diolah secara kreatif dan inovatif hingga kita mampu membina sesuatu berasaskan acuan sendiri. Acuan yang menemukan faktor syarak dan faktor kreativiti hingga meninggalkan kesan harmoni yang tinggi.

Di sinilah letaknya tuntutan kefahaman Islam bukan hanya dalam batas istiadat dan upacara. Islam seharusnya difahamkan sebagai agama ilmu, agama kebudayaan dan agama tamadun. Pengalaman Islam bertarung dengan Barat bukan perkara baru. Dendam Salibiyyah yang berjalan sejak lama belum ada penghujungnya.

Pemahaman terhadap akidah, ibadat, syariah dan akhlak perlu dilihat dalam perspektif yang luas dan merangkumi.

Jangan sampai berlaku pemahaman kita mengenai Barat hebat sekali, pengertian kita mengenai Islam amat sedikit. Jangan juga sampai pemahaman kita mengenai Islam hebat dalam fardu ain, tetapi kerdil menguasai ilmu mengurus sistem. Ia bakal meminggirkan umat Islam.

Sewajarnya berlaku ialah kehebatan kita menguasai ilmu Barat sama hebatnya dengan pemahaman terhadap tamadun Islam itu sendiri. Pemahaman terhadap faktor syarak diikut dengan tradisi fikah yang terkini dan memiliki daya menyelesaikan masalah baru berbangkit berasaskan ijtihad dan ijmak ulama terkini.

Pemahaman kita terhadap masalah tidak hanya dalam lingkaran khutbah dan syarahan, tetapi diikuti tradisi mengkaji dan menyelidik sehingga kita memiliki kemampuan memberikan jawapan dan alternatif terbaik tanpa memandang remeh kepentingan syarak itu sendiri.

Hal ini penting diinsafi supaya umat Islam memiliki asas penting dalam memahami agama dan pada masa sama, terus meningkatkan kefahaman terhadap sains dan teknologi dipandu falsafah dan pandangan semesta Islami yang memungkinkan lahirnya corak perubahan dan kemajuan berasaskan acuan kita sendiri.

Ia perlu dirancang secara bijaksana dengan mengutamakan pembangunan modal insan yang menguasai ilmu dengan bersepadu dan memiliki upaya strategik yang tinggi ke arah perubahan.

No response to “Penguasaan ilmu Barat biar berteraskan syarak”