Wednesday, June 18, 2008

Perkongsian nilai murni pererat hubungan kaum

Bersama Prof Dr Sidek Baba

MASYARAKAT majmuk adalah fitrah dalam kehidupan manusia. Ia terungkap dalam surah al-Hujurat yang menyatakan bahawa pelbagai kaum di dunia memimpin ke arah proses untuk mereka berkenal-kenalan.

Berkenalan membawa maksud yang luas termasuk menyuburkan faktor perbandingan yang memberi manfaat. Ada aspek budaya dan tamadun bangsa yang berbeza menyumbang kepada asas maju dan sifatnya mendukung perubahan.

Pada diri setiap manusia yang diciptakan ada asas fitrah yang sifatnya sejagat. Meskipun ada kelainan dalam sistem kepercayaan, resam budaya dan cara hidup tetapi ada asas perlu dikongsi supaya lahir jalinan kemanusiaan tinggi yang membolehkan kehidupan berlaku dan wujud rasa perkongsian terhadap rasa bersama.

Umat Melayu yang terbina dengan fahaman Islam umpamanya diajar bersikap adil dan amanah. Faktor adil dan amanah adalah faktor sejagat. Sebuah negara Islam, amanah dan keadilan tidak saja berlaku terhadap orang Islam tetapi dituntut berlaku terhadap bukan Islam yang taat kepada negara.

Hakikatnya, mengamalkan ajaran Islam dengan baik menjadikan umat Melayu memiliki kualiti diri yang baik dan menjadi sumber contoh terhadap yang lain. Apabila faktor bangsa menjadi lebih berkuasa, ia mudah mewujudkan persaingan dan konflik.

Tetapi apabila faktor nilai dijadikan pedoman, nilai al-Quran memberikan penganutnya asas jujur, ikhlas dan baik hati. Sebuah negara umat Islam, kepimpinan berasaskan nilai itu sifatnya menaungi bukannya menimbulkan prasangka dan pecah-belah.

Kepelbagaian berasaskan kesuburan nilai sejagat yang membolehkan jalinan komunikasi dan kerjasama berlaku seharusnya menjadi dasar pembentukan negara bangsa supaya integrasi lebih bermakna dapat disuburkan.

Nilai tolak ansur dan timbang rasa umpamanya adalah nilai unggul yang memberi jalan terbaik terhadap kelainan dan perbezaan akibat wujudnya masyarakat majmuk.

Di kalangan ahli perniagaan bukan Melayu yang berjaya umpamanya berasakan penting berkongsi pengalaman dan kaedah terbaik dalam urus niaga dengan peniaga Melayu atas kesedaran bahawa meminggirkan orang Islam boleh menyebabkan wujud ketidakseimbangan penguasaan ekonomi.

Sekiranya hal ini berlarutan, rasa terpinggir boleh menyemai sifat dengki dan dendam. Orang Melayu harus bersedia untuk belajar daripada mereka yang berjaya dan cemerlang, barulah asas kejayaan diraih berasaskan kesungguhan bekerja serta kesabaran menghadapi kerenah.

Melihat gelagat sesetengah orang Cina dalam perniagaan umpamanya tidaklah menggambarkan nilai murni dalam ajaran Kongfuzi. Kongfuzi dalam bukunya “The Analect” menganjurkan falsafah murni seperti adil, kasih sayang, timbang rasa dan berperikemanusiaan.

Seperti juga melihat sesetengah orang Melayu Islam yang suka melanggar peraturan, bengis di jalan raya, suka ketawa dengan jenaka mencarut bukanlah gambaran ajaran Islam yang mulia seperti sabar, timbang rasa, patuh dan taat kepada aturan, bercakap hal bermanfaat.

Kehidupan dalam apa bangsa pun yang tidak dipandu nilai murni terpancar dari agama dan falsafah boleh menyebabkan faktor bangsa menjadi perbezaan yang rapuh terhadap nilai murni. Kehidupan ingin digarap berlandaskan irihati, dendam, syak wasangka akhirnya boleh mencetuskan konflik.

Jika asas kehidupan bangsa bertitik tolak dengan nilai murni, ia mencetuskan rasa kemanusiaan tinggi, pengertian mendalam terhadap maksud perbezaan dan mencari titik persamaan yang didukung atas jalinan kasih sayang.

Perlumbaan manusia hari ini untuk memperkasakan wibawa bangsa tanpa merujuk keunggulan tamadun yang mendukung kualiti kemanusiaan akhirnya mengarah kepada konflik. Yang menemukan kelainan budaya sesuatu bangsa umpamanya ialah asas apresiasi terhadap nilai jujur, peramah, tolak-ansur, setia kawan yang menjadi landasan kerjasama dalam semua aspek kehidupan.

Akhirnya wujud keinsafan bahawa yang berbeza dalam sifat sesuatu bangsa biarlah berbeza dan titik persamaan yang banyak antara bangsa boleh menyumbang ke arah persefahaman dan tolak ansur harus disuburkan.

Tidak ada jalan lain dalam kehidupan masyarakat majmuk yang boleh menemukan nilai fitrah melainkan sesuatu bangsa itu memiliki dukungan ajaran agama dan nilai falsafah menampilkan pekerti bangsa yang murni.

Jika nilai murni dan baik dapat disuburkan dalam interaksi serta komunikasi antara kaum, ia mampu membina acuan integrasi yang bermanfaat. Integrasi kaum bukan bermakna peleburan identiti bangsa.

Islam menekankan pentingnya jiwa berkenal-kenalan dalam wujud rasa saling memahami. Darinya bakal subur nilai bersama dan sejagat yang memungkinkan integrasi berlaku dalam erti kata lebih bermakna.

Tiada integrasi atau perpaduan yang sifatnya luaran, bermuka-muka dan akhirnya boleh meledak dengan pancaran dendam, sakit hati hingga menghasilkan konflik dan pertembungan.

No response to “Perkongsian nilai murni pererat hubungan kaum”