Wednesday, June 17, 2009

Sikap harap bantuan punca daya saing tiris

Oleh Prof Dr Sidek Baba

PERSOALAN minda dan watak Melayu dibangkit sejak sekian lama. Munsyi Abdullah umpamanya mengaitkan Melayu dengan beberapa sifat negatif. Melayu mempunyai watak malas, suka bercinta, membuang masa, bertangguh, tidak menepati waktu dan lain-lain.

Tokoh pembaharuan Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin melihat dari sudut agama orang Melayu suka melakukan khurafat dan memiliki tabiat taklid yang negatif.

Pendita Zaaba, seorang cendikiawan Melayu yang disegani juga melakukan kritik terhadap bangsanya. Dalam tulisannya di majalah Qalam (Bil 19:1952) beliau menyebutkan, “Orang yang membiasakan dirinya meminta tolong dengan tiada berusaha sendirinya itu ialah melatih dirinya menjadi peminta sedekah.

Maka, tidak ia akan sampai ke mana dalam pekerjaan mencapai kejayaan. Jika dapat pun olehnya ketinggian dan kejayaan itu dengan jalan demikian, tidaklah ada apa-apa yang ia boleh berbesar hati kerananya, kerana iaitu bukan dengan kudrat kebolehannya sendiri, hanya dapat dengan pertolongan orang.

Perangai suka meminta tolong saja itu walaupun meminta tolong kepada Allah kita sendiri tidak menjalankan usaha ikhtiar dengan secukupnya – sangat tidak betul kepada Islam ”.

Apa yang disebut oleh Pendita Zaaba itu amat wajar untuk direnung. Sikap bergantung kepada pertolongan orang atau pihak kerajaan semata-mata harus dikaji dengan serius. Jiwa kebergantungan dalam banyak hal menyebabkan daya saing dan jiwa mandiri semakin tiris.

Dalam dunia di mana persaingan terbuka menentukan faktor kejayaan sama ada dalam bidang penguasaan ilmu pengetahuan, penyertaan dalam kegiatan ekonomi dan perniagaan, penerokaan bidang sains dan teknologi, keteguhan dalam sistem keluarga dan masyarakat banyak bergantung kepada kesungguhan serta kekuatan peribadi yang terbabit dengannya.

Kecenderungan menyalahkan orang lain dan bergantung kepada penyelesaian orang lain terhadap masalah yang berbangkit adalah jalan mudah mencari kambing hitam dalam jalan keluar daripada masalah. Malah terdapat kecenderungan yang amat aktif di kalangan orang Melayu yang menaja aktiviti budaya popular baik dalam media cetak dan elektronik mahupun dalam bentuk pesta dan festival yang tambah melalaikan dan merosakkan kualiti jiwa dan emosi generasi muda Melayu sehingga akhirnya berbangkit pelbagai masalah serius dan menyentuh mengenai jatidiri dan kekuatan bangsa Melayu itu sendiri.

Sebatang pokok tidak tumbang semata-mata kerana hentakan mata beliung atau kapak tetapi tumbangnya pokok akibat kayu yang disendalkan dengan beliung yang memberikan hentakan yang amat berkesan supaya pokok kayu itu tumbang. Beliung atau musuh orang Melayu tetap berlagak seperti jerat dan pelanduk. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk. Hingga ada sebilangan orang Melayu berpendapat bahawa menaja kegiatan hiburan yang sifatnya melampau adalah tidak salah malah ia adalah sumber perniagaan.

Bayangkan kerosakan peribadi dan akhlak akibat daripada hiburan yang melampau memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap jati diri generasi muda. Kerosakan yang berlaku tidak tertampung dengan pulangan kewangan yang diterima.

Masalah salah guna dadah sudah mencapai paras tertinggi melepasi satu juta orang. Lebih 70 peratus adalah generasi muda Melayu. Pusat Serenti terpaksa menampung jumlah yang semakin meningkat. Di universiti jumlah kemasukan lelaki muda Melayu semakin berkurang. Bayangkan corak modal insan yang bakal lahir pada masa depan. Generasi muda Melayu yang bermasalah bakal menjadi beban kepada negara. Negara terpaksa menyediakan belanja yang besar bagi mengatasi masalah lain yang berbangkit.

Kurangnya masa berkualiti diberikan ibu bapa terhadap hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak menyebabkan anak rasa terbiar, kekosongan dan kelompangan. Keciciran anak Melayu sedang berlaku sejak awal umur lagi, sedangkan tempoh sejak dalam perut ibu hingga akil baligh adalah tempoh amat kritikal pendidikan anak seharusnya berlaku.

Apabila anak cicir di rumah tidak ada jaminan sekolah bakal mengatasi masalah mereka. Tabiat anak yang cicir akan berterusan di sekolah dan bakal lebih parah lagi apabila berada di tengah-tengah masyarakat.

Ibu bapa Melayu harus memikul tanggungjawab menguruskan anak dengan penuh keinsafan. Dengan siapa anak berkawan, membiarkan anak secara bebas lepas di pusat kafe siber, tidak bertanya anak mengapa lewat pulang, membiarkan anak terbabit dalam kegiatan anti sosial seperti mat rempit, membiarkan bahan media cetak dan elektronik merangsang nafsu dan minda berada di dalam rumah tanpa kawalan adalah antara faktor yang menjinakkan remaja dan generasi muda Melayu kepada jerat yang bakal menjerumuskan mereka ke arah hidup bermasalah.

Pihak di luar keluarga harus turut sama membantu. Sekiranya kelemahan pengurusan keluarga tidak dibantu oleh sekolah atau agensi yang menyumbang ke arah pembangunan generasi muda maka orang Melayu akan terus menerus menghadapi masalah. Masalah sedia ada sudah semakin parah. Ia diburukkan lagi dengan sikap tidak peka dan bertanggungjawab melemahkan jiwa dan peribadi generasi muda Melayu.

Kekuatan kesedaran dan jati diri generasi muda Melayu hari ini adalah penting untuk kelangsungan bangsa Melayu menghadapi cabaran perjuangan. Gelagat sebahagian generasi muda Melayu hari ini tidak membayangkan wujudnya harapan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Globalisasi yang datang kepada bangsa Melayu tidak saja menuntut orang Melayu menguasai ilmu pengetahuan dengan baik tetapi mampu terjun dalam persaingan semakin sengit. Bayangkan jiwa dilumpuhkan sejak awal umur, tidak mungkin bersedia untuk bangun dan bersaing tetapi sebaliknya bakal menimbulkan masalah hari depan.

Setiap hari kita mendengar dan membaca kisah ngeri dan sedih, jarang kedengaran berlaku pada masa lalu. Kisah rompakan, pembunuhan, rogol, penipuan, sindiket dalam pelbagai bentuk, perceraian, pelacuran, kecenderungan terhadap amalan gay dan lesbian dilaporkan silih berganti.

No response to “Sikap harap bantuan punca daya saing tiris”