Wednesday, June 17, 2009

Teroka alam semesta dekatkan manusia dengan pencipta

Bersama Prof Dr Sidek Baba

PENGEMBARAAN angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke angkasa lepas memberi makna besar bagi Malaysia dan orang Islam. Pengembaraan itu tidak saja harus dilihat secara fizikal yang membezakan bumi dan angkasa lepas dalam banyak aspek tetapi harus mendorong manusia memahami kekuasaan Allah mengaturkan alam yang maha luas dan mengajak manusia berfikir mengenai kebesaran-Nya.

Surah al-Baqarah, ayat 164, antara lain memberikan kita asas mengenai penciptaan langit dan bumi, silih gantinya malam dan siang, pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi, terdapat tanda keesaan dan kebesaran Allah bagi kaum yang memikirkan (ulul albab).

Suatu ketika, di zaman penerokaan ilmu mengenai alam (astronomi), saintis Islam sentiasa menghubungkan alam dengan bumi. Bumi itu sendiri mempunyai kaitan yang rapat dengan alam lepas. Sumber al-Quran dijadikan sandaran memahami alam dan fenomenanya dan alam dihubungkan dengan Pencipta. Darinya kajian saintifik Islam tidak saja mengkaji sesuatu itu daripada sudut ‘apa’, tetapi dikaji juga daripada sudut ‘mengapa’. Dari situ, lahir ilmu atau hikmah dalam pencarian kebenaran mengenai yang nyata dengan ghaib, yang tersurat dengan tersirat dan yang terlihat dengan hakikat. Manusia Islam diberi jawapan dan pedoman bahawa sesuatu itu dicipta tidak dengan sia-sia tetapi terkandung hikmah amat besar bagi yang berfikir.

Ilmuwan Islam tersohor, Ibnu Rushd umpamanya, tidak saja hebat dalam bidang falsafah tetapi mempunyai kepakaran dalam sejarah pemikiran manusia. Pada abad ke-12, beliau membahas masalah pertemuan antara sains dan agama. Sayangnya, gagasan yang dikemukakannya tidak banyak difahami di dunia Islam dan disalah fahami di dunia Kristian.

Ada banyak perkara indah dalam Islam yang tersembunyi pada masa lalu perlu digilap kembali supaya sejarah intelektual dan saintifiknya difahami dengan baik atau diberi makna serta dimensi baru dalam menghadapi zaman yang pantas berubah. Pengarah Institut Angkasa Lepas di Paris, Perancis, Dr Bruno Guiderdoni, menjadi contoh terbaik bagaimana pemerhatian, penerokaan dan kajian alam semesta dan cakerawala dikaitkan dengan Tuhan dan agama.

Daripada peristiwa Frank Borman, Jim Lovell dan William Anders pada tahun 1968, menjadi manusia pertama mengelilingi bulan dan melalui jendela kapal angkasa Apollo 8, mereka menyaksikan bumi ibarat setitik bulatan biru yang hilang di keluasan ruang semesta.Gambar bumi yang mereka rakam memberi kesedaran baru mengenai tanggungjawab umat manusia. Dr Bruno pada waktu itu berumur 10 tahun dan berasakan bumi tempat tinggal manusia ini begitu rapuh dan dikepung oleh kegelapan angkasa. Dr Bruno melakukan usaha pencarian mengenai sains dan agama menerusi pengamatan saintifiknya terhadap alam semesta. Dalam siri persidangan Science and the Spiritual Quest, banyak isu beliau bangkitkan menjadi sesuatu yang aneh dalam sejarah Kristian mengenai hubungan antara sains dan agama.

Dalam satu temuramah dengan Eric Stark dari Research News berkenaan hasil tesisnya bertajuk Kosmologi Moden dan Prospek Islam: Satu Dialog dalam Pencarian Ilmu Pengetahuan, Dr Bruno mengajukan pandangan bahawa metafizik Islam dapat menyediakan kunci atau pedoman bagi menafsirkan penemuan sains moden.

Banyak membaca dan mengunjungi Afrika Utara, beliau berasakan pentingnya asas kerohanian pada diri manusia dan akhirnya beliau kembali kepada fitrah iaitu menjadi seorang Islam dengan nama Abdul Haqq.

Bidang kajian dan pemerhatian beliau banyak tertumpu mengenai mekanisme pembentukan galaksi. Beliau cuba memahami bagaimana bintang terbentuk daripada gas dan bagaimana evolusi kosmos memberikan gambaran sejarah manusia sendiri. Beliau banyak terbabit dalam program mengkaji gelombang submilimiter dan inframerah.

Teori Big Bang atau Dentuman Besar amat menarik perhatian beliau. Dalam temuramah itu, beliau menyatakan ilmu alam semesta moden memberikan manusia upaya yang luar biasa. Untuk pertama kalinya dalam sejarah manusia, saintis menemui banyak galaksi dan bintang baru. Pada masa depan, saintis bakal menemui objek langit dalam bentuk ruang dan waktu yang belum terfikirkan sama sekali pada Abad Pertengahan.

Kata Abdul Haqq atau Dr Bruno, “Kita benar-benar melihat keindahan yang amat mempesonakan dalam keteraturan yang menguasai alam semesta ini. Sebagai seorang yang beriman, saya yakin Allah yang menciptakan alam semesta. Keindahan dan keharmonian alam semesta adalah salah satu tanda kebesaran Allah. Dengan demikian menjelajahi alam semesta adalah salah satu cara beribadah kepada-Nya.”

Oleh itu, pengembaraan Dr Sheikh Muszaphar adalah suatu petanda baik bagaimana usaha memahami angkasa lepas dan hubungannya dengan bumi dapat dilakukan dan ia memulakan suatu tradisi sains yang lebih praktis bagaimana kekuatan alat dan teknologi berupaya memberi makna mengenai hubungan ilmu dan alam semesta.

Jika landasan yang sedang diteroka Dr Bruno Abdul Haqq Guiderdoni dapat dijadikan pedoman memahami alam semesta, ia bakal memulakan suatu kebangkitan baru memahami sains dan tradisi astrofiziknya, tidak hanya dalam batasan memahami fenomena alam tetapi juga mengetahui sumbernya dan hikmah di sebalik kejadian alam dan kaitannya dengan manusia.

No response to “Teroka alam semesta dekatkan manusia dengan pencipta”