Kita tidak mengambil sikap menentang Barat kerana Barat itu Barat. Tetapi kita agak hati-hati dengan proses pembaratan. Pembaratan adalah suatu agenda. Globalisasi umpamanya adalah agenda Euro-Amerika terhadap pihak lain. Terdapat pro dan kontra daripada proses globalisasi tersebut.

Kemajuan sains dan teknologi Barat boleh dipelajari kerana terdapat manfaat. Isu pengklonan, teknologi nano, robotik, sel stem boleh dipelajari asal saja dikaitkan dengan etika penggunaannya. Teknologi maya dan siber umpamanya adalah berguna, tetapi berlaku penyalahgunaan yang mengundang kemudaratan.

Dalam tradisi Islam, teknologi selamanya alat dan bukannya matlamat. Matlamat ditentukan nilai guna teknologi itu. Contohnya, komputer sebagai alat berguna sebagai saluran mendapatkan dan menyampaikan maklumat. Tetapi input, perisian dan program dalam komputer memerlukan saringan bagi mengelakkan sebahagian kandungannya boleh membawa mudarat terhadap pemikiran dan mentaliti pengguna. Dalam keadaan penggunaan yang lepas bebas, generasi muda mudah terpengaruh dengan bahan yang disajikan. Program lucah umpamanya mudah dicapai dan boleh merosakkan hati budi generasi muda.

Penyediaan input dan perisian ikut acuan kita adalah cabaran yang terbesar kepada umat Islam. Ini kerana terdapat penyedia program yang mementingkan faktor dagang dan pulangan lumayan. Barat kini menempa suatu proses tamadun cara mereka sejak 700 tahun lalu.

Kita sebagai pengguna terhadap apa mereka hasilkan, jauh lagi menjadi penyumbang untuk kemajuan umat manusia. Oleh itu sebahagian kita menjadikan Barat sebagai indikator maju. Untuk maju mesti ikut cara Barat. Seolah-olah Barat dianggap segala-galanya.

Bukan semua sampah-sarap dan pemikiran ke arah seksualiti di Barat harus kita ambil. Kita adalah umat yang mempunyai sumber ikutan dan pegangan. Jika tidak, agenda Barat yang ingin menjadikan globalisasi sebagai agenda penjajahan bentuk baru akan menjadi suatu realiti.

Contohnya, Barat tidak lagi mengamalkan sistem Keluarga Luas (extended family), malah Keluarga Kecil (nuclear family) jumlah tidak sebanyak mana. Tetapi kecenderungan terhadap pola keluarga yang baru seperti gay dan lesbian adalah sesuatu yang amat berkembang di Barat.

Barat bakal menghadapi krisis genetik yang parah pada masa kini dan masa depan. Keyakinan mereka terhadap sistem kekeluargaan yang fitrah sifatnya sudah menjadi suatu tabo (kejanggalan). Oleh itu, kajian mengenai isu genetik semakin subur di Barat kerana isu kekeluargaan sedang mengalami suatu definisi dan struktur baru.

Konsep pasca-modenisme (post modernism) di Barat sudah menghasilkan corak hidup yang anarki (disorderly) dari sudut kehidupan yang lazim dan fitrah. Umat Islam dituntut dengan struktur hidup yang fitrah di mana pembentukan keluarga dan zuriat amat diutamakan. Inilah asas bagi kesejahteraan hidup manusia supaya landasan agama seperti al-Quran dijadikan pedoman terbaik bagaimana pembinaan keluarga dan juga umat manusia harus berlaku.

Pada masa sama kekuatan akliah dan nafsiah dijadikan seimbang supaya corak amal yang dilakukan mendukung kesejahteraan diri dan juga umat manusia. Fokus terhadap manusia inilah yang menjadi faktor utama perubahan berlaku dengan baik dan terarah.

Perubahan dalam perspektif Barat berbeza dengan Islam. Barat lebih mekanistik dan menumpu kepada penghasilan bentuk.Teknologi tinggi umpamanya adalah bentuk yang dianggap mempunyai kuasa merubah pemikiran dan gaya hidup manusia.

Dalam tradisi Islam, keutamaan diberikan terhadap substance atau isi dan makna perubahan itu kepada manusia. Apabila manusia berubah daripada mengamalkan kemungkaran kepada yang makruf, ini adalah sesuatu perubahan yang fitrah. Isu yang berbangkit ialah teknologi tinggi (high-tech) ada manfaat kepada manusia. Bagaimana pula sentuhan keinsanan (high-touch) yang menuntut kualiti amanah, jujur, ikhlas, adil dan bijaksana perlu ada bagi manusia. Tanpa nilai-nilai murni ini sentuhan keinsanan tidak akan terjadi.

Inilah perbezaan asas yang menyebabkan kecenderungan manusia ke arah gelagat yang lebih haiwani terjadi. Amalan gay dan lesbian, homoseksual dan hetroseks, liwat dan lain-lain sedang dikemukakan oleh kelompok neo-liberalis seolah-olah ini puncak kepada perjuangan hak asasi manusia.

Sekiranya pola budaya seperti itu bakal berkembang dalam masyarakat kita, bayangkan jenis kerosakan yang bakal mempengaruhi masyarakat khususnya generasi muda kita. Ia menuntut tidak saja sikap penolakan yang tinggi terhadap amalan itu tetapi tekad membangunkan semula masyarakat kita mengikut acuan yang fitrah supaya kita ini lebih manusiawi dalam binaan watak dan gelagat.