Partisan ialah mengambil sikap memihak kepada sesuatu fahaman atau seseorang. Ia adalah sebahagian daripada resam perjuangan terhadap sesuatu ideologi atau seseorang tokoh yang disanjung. Kadang-kadang sikap partisan yang diambil bukan sangat kerana kebenaran yang didukung tetapi kerana taksub yang melulu.

Ada juga organisasi dakwah mengambil sikap non-partisan untuk menjaga maslahah dakwah. Maslahah dakwah bermaksud ajakan dan seruan itu berkembang tanpa batas parti politik dan fahaman yang diperjuangkan.

 Islam menganjurkan umatnya partisan kepada kebenaran. Kalau sesuatu fahaman itu mendukung makna kebenaran yang amat dituntut, kita wajib patuh kepadanya. Kebenaran adalah milik ALLAH. Ia disampaikan kepada manusia supaya manusia dapat menyampaikannya kepada orang lain sebagai pedoman untuk melakukan kebaikan dan mengelakkan diri daripada kemungkaran.

Hal yang sama juga kepada tokoh. Selagi kebenaran itu diambil daripada sumber al-Quran dan Sunnah dan ditafsirkan oleh ulamak muktabar maka menjadi keharusan untuk kita mentaatinya. Tetapi jika tokoh itu menganjur perpecahan, sengketa sesama umat, kepentingan politik mengatasi agama, tokoh itu tidak patut ditaati.

Mengambil sikap partisan pun memerlukan pedoman syarie yang tinggi, diikuti dengan kajian dan telitian supaya maklumat yang didapati adalah kemas dan meyakinkan. Kita tidak boleh mengambil sikap partisan hanya berasaskan persepsi semata-mata.

Partisan terhadap kebenaran menjadi kewajipan setiap umat Islam. Melakukan kerja dakwah dan tarbiah umpamanya menjadi salah satu cara mendekati mad’u atau sasaran. Sasaran biasanya tidak semua tahu akan maksud kebenaran. Ia perlu disampaikan bijaksana dan kasih sayang.

Para pendakwah dan pendidik dengan sifat kasih sayang dan belas kasihannya sentiasa bersikap terbuka untuk mendekati seseorang. Jika seseorang itu laku kemungkaran, kemungkaran itu tidak bersamanya, tetapi orang yang melakukan kemungkaran itu harus didekati dengan belas kasihan dan bijaksana.

Sekiranya kebencian terhadap kemungkaran mengambil pendirian sama benci dengan orang melakukannya, maka terputus tali dakwah atau dai’ dan mad’u (pendakwah dan sasarannya). Yang melakukan kemungkaran terus melakukan perkara sama.

Tetapi sifat belas kasihan yang mendorong para dai’ melakukan dakwah secara bijaksana dan berkesan, bakal membawa para mad’u kepada perubahan dengan izin ALLAH. Ia bakal menjadi orang yang berubah dan akhirnya menjadi sebahagian daripada orang yang menyukai kebenaran dan tidak mahu lagi kekal dalam kebatilan.

ALLAH tidak mengurniakan kepada sesuatu jemaah, baik dakwah atau siasah dengan seluruh kekuatan dalam menyampaikan kebenaran. ALLAH juga tidak mengurniakan kepada seseorang tokoh dengan kesegalaan ilmu dan kebijaksanaan. Sesuatu jemaah itu berperanan sebagai salah satu jemaah di samping jemaah-jemaah lain. Selagi jemaah-jemaah yang ada melakukan sumbangan berasaskan al-Quran dan Sunnah ia pelengkap kepada jemaah lain.

Tetapi apabila sesebuah jemaah merasakan ia adalah satu-satunya bakal membawa kepada perpecahan dan konflik, begitu juga apabila seseorang tokoh merasakan dia adalah satu-satunya yang paling berwibawa, dan pandangannya harus didengar dengan menafikan kewibawaan orang lain, maka sifat sedemikian bakal melahirkan pengikut yang taksub dan lahirnya elemen-eleman ego dan “pemujaan”.

Sikap partisan sebegini amat bahaya terhadap pemikiran dan kemajuan Islam. Ia bakal mencetuskan retak dan perpecahan sesama Islam. Bayangkan kehebatan ulama fekah seperti Imam Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi menyatakan sesuatu yang usul dan furu’ dalam fekah syarie, mereka mengambil sikap yang amat terbuka terhadap persamaan dan perbezaan. Adab ul ikhtilaf atau etika perbezaan menjadi sandaran yang amat hebat di samping persamaan yang didukung.

Bayangkan sekiranya sikap partisan terhadap kebenaran itu tidak dirumus secara bijaksana dan pendekatan yang diambil menyebabkan wehdah atau kesatuan umat tergugat, ia bakal mendedahkan umat Islam dengan asas pecah-belah, syak wasangka, fitnah memfitnah semata-mata atas dorongan 'aku saja yang betul' orang lain semuanya salah.

Keadaan begini akan digunakan oleh musuh-musuh Islam yang strateginya tersusun rapi untuk melagakan sesama umat Islam dan akhirnya bakal melakukan dominasi dan menyebabkan umat Islam terpinggir.