Thursday, August 02, 2007

Ilmu Islami ibarat sebatang pokok

Oleh: SIDEK BABA

Ilmu Islami adalah ibarat sebatang pokok yang tumbuh rendang menghasilkan bunga dan buah yang cantik dan ranum. Akarnya subur ibarat akidah tauhid yang mantap. Batangnya teguh ibarat amalan ibadah yang berterusan. Dahan dan rantingnya subur ibarat syariah dan fiqah yang sifatnya berkembang. Dan bunga serta buahnya yang cantik dan ranum ibarat akhlak yang menjadi suluh hidup manusia.

Akidah adalah asas utama dalam beragama. Akidah tauhid memberikan asas tasawur mengenai konsep keesaan dan kesatuan. Akar yang subur dengan baja rohaniah yang berkualiti menyebabkan batang pohon menjadi kuat dan teguh. Kekuatan amal dan ibadah mengukuhkan lagi akar tauhid. Solat umpamanya menjadikan manusia berjiwa rukuk dan sujud. Asas ini penting supaya jiwa hamba mampu mencegah manusia melakukan fahsya’ (kekejian) atau kemungkaran.

Ruh al-solat apabila menjadi sandaran dalam kehidupan menyebabkan manusia ingin fokus dalam kerja (khusyuk), mempunyai daya kepimpinan dan kepengikutan yang baik (imam dan makmum), berdiri atas saf-saf yang tersusun rapi (daya kompetensi yang tinggi), terbina jiwa jemaah yang baik (kerja berpasukan) dan mohon keampunan dan barakah dari-Nya ( muhasabah dan natijah kerja yang berkualiti ).

Dalam disiplin ilmu Islami, apa pun cabang-cabang dan ranting-ranting yang menyubur tegak atas tapak akidah yang kuat (tauhid), dipertahankan oleh batang atau ibadah yang berterusan lalu lahir pandangan semesta yang Islami baik dalam perspektif sains dan teknologi, falsafah dan sejarah, ilmu-ilmu keterampilan yang bersifat high- tech dengan ilmu-ilmu kemanusiaan yang bersifat high-touch. Kecenderungan manusia dalam berilmu pada hari ini lebih banyak menumpu kepada aplikasi alat (teknologi) dan menjadikan mereka amat mekanistik dan kurang menumpukan kepada aplikasi peribadi (tingkah laku) yang menuntut adab dan kesantunan.

Apabila ilmu teradun dalam tunjangan aqidah yang mantap, tegak atas ibadah yang subur, mendahan dan meranting dalam cabang-cabang ilmu yang berkembang, pasti akan lahir akhlak yang terpuji. Inilah pedoman yang terbaik bagi manusia beriman supaya keimanan itu terpancar dalam lingkungan amal soleh. Ibarat sebatang pohon, ilmu berkembang dalam tasawur atau pandangan semesta yang tidak memisahkan faktor nyata dengan faktor ghaib.

Keyakinan kita kepada Allah sebagai faktor ghaibiyyat adalah mutlak. Tanda-tanda kebesaran Allah di alam ini dan di sekitar diri manusia adalah jawapan terbaik bahawa tanpa-Nya semua itu tidak akan wujud. Dan dari-Nya manusia mengatur dan menyusun serta mengolah kehidupan. Tanpa pedoman daripada Allah (wahyu) manusia akan kehilangan arah. Inilah sebahagian masalah yang berlaku di Barat dan juga sedang dijejaki oleh umat Islam iaitu ilmu hanya terbangun dengan faktor akal dan rasional semata-mata.

Wednesday, July 18, 2007

Faktor rohaniah yang memancar amal

Oleh: DR. SIDEK BABA

Berbicara mengenai faktor rohaniah akan mengaitkannya dengan faktor dalaman diri manusia. Ia dikaitkan dengan hati dan kalbu serta dihubungkan dengan akidah, iman dan takwa.

Al-Quran memberikan makna iman itu dikaitkan dengan amal soleh, manakala akidah itu dihubungkan dengan Allah sebagai Yang Maha Perkasa dan Maha Berkuasa.

Manusia menurut al-Quran diletakkan sebagai Hamba dan Khalifah. Jiwa kehambaan yang membawa jiwa rukuk dan sujud membayangkan rasa kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran manusia terhadap Allah dan peranan manusia sebagai khalifah.

Pedoman Allah iaitu al-Quran dijadikan sumber pertunjuk untuk memilih jalan yang betul atau jalan yang salah, perkara yang hak dan perkara yang batil supaya manusia hidup dalam reda-Nya.

Ayat-ayat Allah yang menyerapi akal dan kalbu menyebabkan manusia terbangun fikir, akhlak dan peribadinya. Contoh akhlak al-Quran (khuluq al-Quran) yang ada pada Rasulullah s.a.w. dan risalah al-Quran yang memberi pertunjuk dan pedoman menyebabkan akidah tauhid mantap dan risalah kehidupan menjadi teguh dan jalan kemanusiaan menjadi utuh.

Oleh itu, faktor rohaniah yang membangun diri insan berkait rapat dengan faktor akhlak dan amal manusia. Manusia yang mempunyai kekuatan rohaniah atau kekuatan dalaman melakukan sesuatu berpandukan nilai-nilai yang baik dan fitrah seperti yang dianjurkan oleh al-Quran.

Para remaja harus memahami hakikat beragama bermakna mempunyai keyakinan dan amalan. Agama tidak hanya di lihat kepada prinsip, pedoman dan batas syariah yang diberikan tetapi ia terpancar dalam amal hidup manusia. Agama juga tidak terletak pada upaya berfikir yang tinggi tetapi upaya amalnya rendah.

Nilai amanah, jujur, ikhlas, adil, telus, tulus, bijaksana sifatnya rohaniah tetapi boleh diterjemahkan dalam amal dan perbuatan.

Bila kita mengurus sesuatu dengan amanah bermakna sandaran kita kepada Allah adalah tinggi. Pertimbangan Allah menyaksikan dan Maha Mengetahui mengenai apa yang manusia amalkan menjadi batasan bagi manusia melakukan sesuatu.

Sekiranya manusia melakukan sesuatu kerana manusia, tiada jaminan manusia berlaku amanah kerana manusia tidak mampu menyaksikan segala-galanya. Tetapi apabila manusia yakin Allah menyaksikan apa yang dilakukannya ia menjadikan manusia lebih telus.

Oleh itu, kehebatan orang Islam tidak saja dilihat pada keyakinannya tentang Allah dan keindahan Islam itu sendiri. Kehebatan kita di sisi Allah ialah tahap ketakwaan yang kita miliki. Ketakwaan adalah kayu ukur hubungan manusia dengan Tuhannya. Apabila ketakwaan wujud pada diri di setiap masa, maka apa saja perlakuan manusia sentiasa mengambil kira hubungannya dengan Allah.

Pendirian seperti ini akan menyebabkan insaf-ketuhanan atau God-conciousness sentiasa tinggi dan kemungkinan berlakunya kesilapan amal adalah rendah.

Ketinggian rohaniah membangun jiwa yang kudus dan bersih. Bersih rohaniah memandu landasan berfikir yang jernih. Apa yang difikir dan apa yang ada di hati adalah elemen-elemen yang bersih ia bakal memancarkan amal yang bersih juga. Oleh itu, hubungan antara faktor rohaniah dengan faktor ilmu dan juga faktor amal sifatnya satu.

Tidak mungkin seseorang yang memiliki faktor rohaniah yang tinggi, menghasilkan pemikiran yang rosak dan memiliki kualiti rasa yang tercemar. Sekiranya keadaan ini berlaku ia bakal menghasilkan konflik, keliru dan celaru.

Kadang-kadang kita melihat secara zahir seseorang itu tekun melakukan ibadah. Ibadah itu semacam tidak boleh mengubah tabiat dan pekertinya. Pancaran amalnya kadang-kadang mengelirukan.

Manusia jenis ini melihat Islam sebagai agama ritual, melihat faktor dosa dan pahala ibarat kira-kira tolak dan campur. Islam hanya terlihat pada pekerti ritualnya tetapi tidak terpancar dalam pekerti amalnya.

Waktu melakukan solat dia bersusah payah merapatkan saf dan meluruskan barisan, di luar sembahyang dia memiliki tabiat melanggar lampu jalan, tidak hormati peraturan, membuang sampah sesuka hati, payah ikut giliran untuk mendapatkan khidmat malah melakukan sesuatu yang terlarang.

Oleh itu, para remaja harus faham bahawa Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan terhadap yang ghaib tetapi mempunyai nilai untuk mengaturkan cara hidup. Ada juga orang berpendapat bahawa yang penting dalam hidup sebagai seorang Islam ialah akal.

Memang akal adalah sesuatu yang amat berguna bagi mendapatkan ilmu, melakukan sesuatu pertimbangan dan pedoman membuat keputusan bijak.

Dengan akal semata-mata para remaja tidak memiliki upaya mutlak untuk memahami semua perkara. Yang nyata dan bersifat benda pun tidak semua diketahui rahsianya oleh manusia. Yang manusia tahu menerusi kekuatan akal mengenai yang nyata, apa lagi yang ghaib masih sedikit dan terbatas.

Yang sedikit dan terbatas ini pun sekiranya dimanfaatkan oleh manusia sebaik mungkin sudah cukup membimbingnya untuk yakin kepada yang ghaib dan percaya kepada yang nyata.

Tetapi manusia memiliki sifat sombong dan angkuh yang menyebabkan sedikit yang diketahui menjadikannya hilang pedoman. Lalu dengan kuasa dan kedudukan yang ada melakukan kezaliman terhadap yang lain dalam berbagai bentuk. Sedangkan kisah Firaun membuktikan bahawa kuasa manusia adalah terbatas.

Oleh itu, akal manusia tidak segala-galanya. Akal yang dipedoman oleh faktor nakliah yang rohaniah sifatnya bakal mengimbangi perspektif pemikiran manusia mengenai sesuatu. Darinya manusia menjadikan akal sebagai alat untuk mendapatkan sesuatu yang dipandu oleh faktor rohaniah yang sifatnya membimbing.

Justeru amat penting remaja Islam dan generasi muda mengukuhkan faktor rohaniah diri dengan amal ibadah dan makna yang luas, kemudian ilmu menjadi suluh terhadap diri dan kehidupan. Teknologi sebagai alat untuk mencapai matlamat yang lebih baik dan murni dan amal sebagai pancaran rohaniah yang menghubungkan keyakinan mutlak terhadap Allah dan penghayatan manusia sebagai hamba dan khalifah.

Oleh itu, memahami Islam dan faham sekular ialah terlihat dalam perbezaan akal tanpa nakliah, teknologi tanpa nilai dan etika, kemajuan dan perubahan memberikan fokus kepada alat dan benda bukannya insan, moden diukur setakat mana liberal dan sekularnya manusia dalam ilmu dan amalan hingga akhirnya kedapatan manusia terjebak dalam kemelut hidup yang tidak mudah dilerai.

Islam membimbing remaja ke arah maju dan membangun, berubah dan moden atas asas rohaniah dan amaliah dengan memberi fokus kepada rijal atau insan sebagai sumber yang harus dibangunkan seutuh dan sebaik-baiknya. Insan yang terbangun akal-fikirnya, hati budinya, amal-perbuatannya adalah insan yang memiliki kualiti membangun sekitarnya dengan nilai-nilai adab dan tamadun.

Inilah matlamat pembangunan dan kemajuan dalam Islam bermula dengan pembangunan manusia secara menyeluruh dan integratif dan bersifat menyumbang ke arah kebaikan umat manusia.

Al-Quran mengandungi petunjuk saintifik

Oleh: DR. SIDEK BABA

Al-Quran terkandung hudan atau petunjuk yang memberi pedoman kepada manusia mengenai sesuatu yang nyata dan sesuatu yang ghaib. Mukjizat yang disampaikan oleh Allah kepada manusia menerusi Rasul-Nya terkandung hikmah yang amat besar untuk direnung dan difikirkan. Konsep ulul albab seperti yang dianjurkan oleh al-Quran membina jiwa tadabbur iaitu berfikir, mengamati dan memerhati supaya lahir kecenderungan mengkaji dan menyelidik.

Setiap surah dalam al-Quran terkandung maksud dan setiap ayat yang mengisinya terkandung makna. Ayat- ayat Allah ini adalah sesuatu yang hidup dan menghidupkan. Alam ini dan kehidupan yang diciptakan adalah gambaran ayat-ayat Allah yang mempunyai makna yang luas. Perjalanan alam dan sumber-sumber alamiah disebut dalam banyak ayat supaya proses silih gantian, keteraturan dan ketertiban membimbing manusia berfikir tentang kebesaran suatu kuasa iaitu Allah s.w.t.

Terciptanya bumi dengan limpahan rahmah dan nikmat yang banyak adalah gambaran Kekuasaan Yang Maha Mencipta untuk kesejahteraan manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Al-Quran terkandung kisah-kisah manusia terdahulu dengan ragam kerenah yang pelbagai untuk menjadi iktibar manusia.

Apa yang berlaku pada Nabi Adam, perjuangan Nabi Nuh menyebarkan risalah tauhid, Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan kaumnya yang ingkar, Nabi Isa yang mengajak manusia kepada kebenaran tauhid, Nabi Yusof dengan fitnah dan keupayaan perancangan ekonominya adalah sebahagian gambaran manusia dan kerenah zamannya.

Ia berlaku pada masa yang lalu, berulang pada masa kini dan bakal berulang semula pada masa akan datang sekiranya manusia tidak menjadikannya ibrah atau teladan yang perlu diikuti.

Al-Quran juga terkandung prinsip dan ajaran, peringatan dan khabar gembira, pernyataan dan simbol-simbol dan yang amat penting ialah mengajak manusia berfikir tidak saja dalam batas alam nyata tetapi juga cuba memahami kewujudan faktor-faktor yang ghaib. Walaupun al-Quran bukan kitab sains umpamanya tetapi pedoman-pedoman saintifik amat banyak untuk dijadikan rujukan tentang bukti kebenaran dan mukjizat yang amat besar ini.

Para remaja tidak harus memanfaatkan al-Quran dalam batasan tilawah dan hafazan semata-mata. Memang benar terdapat fadilat dari amalan tersebut tetapi fadilat yang lebih besar ialah al-Quran terkandung sumber ilmu yang amat bernilai untuk diteliti dan dikaji supaya darinya terbina pertunjuk yang mempedoman remaja ke jalan yang benar dan diredai.

Pada hari ini pengajaran agama terhadap remaja mengambil pendekatan umum dan tradisional hingga menyebabkan daya fikir remaja tidak berkembang, pemahaman maksud rohaniah menjadi terbatas, kesan penghayatan semakin menipis dan akhirnya akhlak Islamiah tidak terlihat dalam menghadapi cabaran semasa yang banyak mencabar asas logik dan rasional.

Ia menyebabkan sebahagian remaja tidak merasakan ajaran agama dan pendidikan al-Quran memungkinkan dirinya atau zaman dewasanya nanti berupaya menghadapi serangan pemikiran dari luar lingkungan kehidupan beragamanya atau menjadi keliru dalam menghadapi cabaran ideologi dan fahaman yang berbagai atau terjebak dalam arus memuja dan mengagumi budaya Barat yang negatif dan akhirnya menjadi bercelaru dan hilang arah dalam memahami makna hidup dan kehidupan yang sebenarnya.

Sedangkan al-Quran pada banyak tempat menyebutkan kepentingan akal dan kepentingan pancaindera untuk berfikir dan melihat sesuatu yang diciptakan dan terjadi serta merangsang hati supaya merasakan sesuatu mengenai kebesaran dan kekuasaannya.

Asas-asas saintifik amat nyata ditunjukkan oleh Allah menerusi al-Quran supaya para remaja mendapat pertunjuk-pertunjuk saintifik mengenai kebenaran pencipta dan perkhabaran tentang sumber ciptaan-Nya.

Meskipun al-Quran diturunkan kira-kira 1,400 tahun yang lalu kepada Rasulullah s.a.w, seorang yang ummi iaitu tidak boleh membaca dan menulis atau menghadiri sistem pendidikan sains seperti hari ini, namun kebenaran mukjizat saintifik terus dibongkar oleh para saintis Islam berabad-abad lamanya dan dibongkar oleh saintis zaman kini atau mula mengakui kebenaran mukjizat al-Quran yang memberikan petunjuk saintifik dan sebahagiannya kembali kepada ajaran tauhid yang fitrah.

Pemenang Hadiah Nobel, Albert Einstein pernah menyebutkan: “Sains tanpa agama adalah palsu dan agama tanpa sains adalah buta.”

Al-Quran bukanlah kitab sains tetapi terkandung signs atau ayat-ayat yang memberi petunjuk. Mengikut Dr. Zakir Naik seorang pendakwah terkenal dari India, terdapat lebih 1,000 ayat yang berhubung dengan sains. Petunjuk-petunjuk saintifik dalam al-Quran terkandung kebenaran dan fakta bukan sekadar hipotesis atau teori yang masih dalam kajian dan persoalan.

Amat penting bagi remaja memahami dan menginsafi tentang kebenaran al-Quran mengenai sains supaya darinya remaja dapat membina kekuatan iman dan keyakinan terhadap Pencipta dan menerusi jendela Qurani remaja boleh menjadi orang-orang yang bertakwa terhadap kebenaran dan fakta saintifik yang tidak boleh diragukan lagi.

Al-Quran 21:30 menyebutkan dengan jelas tentang kejadian alam semesta. Teori Dentuman Besar atau Big Bang yang dipercayai oleh para saintis kini menyebabkan berlakunya pembentukan galaksi. Ia berkembang menjadi bintang, planet, matahari, bulan dan sebagainya. Al-Quran juga menyebutkan tentang makna dukhan atau asap atau gas yang menjadi rujukan utama kepada fakta teori Dentuman Besar (al-Quran 41:11).

Pada zaman awal manusia percaya bahawa bumi ini rata. Al-Quran 31:29 dan 39:5 menyatakan dengan jelas tentang bumi ini bulat (spherical). Mereka juga percaya bahawa bulan bercahaya dan sumbernya sendiri sedangkan al-Quran 25:61 & 10:5 & 71:15-16 menyebutkan ia adalah pantulan dari cahaya matahari.

Al-Quran 51:47 juga menyebutkan tentang sifat alam jagat yang mengembang. Konsep musi’un dalam al- Quran menyatakannya dengan jelas dan ia diakui oleh para saintis seperti Edwin Hubble sejak tahun 1925 lagi mengenai kebenaran fakta saintifik al-Quran.

Konsep atom juga tersebut jelas dalam al-Quran 34:3 dengan rujukan zarah yang mengaitkan Allah mengetahui yang kecil dan besar malah sekecil zarah. Gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi (awtad) disebutkan oleh al-Quran 78:6-7 membayangkan pentingkan faktor penstabil bagi bumi bagi mengelakkan bumi dari bergoncang (al-Quran: 21:13).

Malah kalau diteliti lebih jauh, al-Quran memberi kita petunjuk tentang ilmu biologi, botani, zoologi, perubatan, fisiologi, embriologi, psikologi, sains, teknologi dan lain-lain. Bayangkan kalau para remaja mendekati al-Quran dengan jiwa tadabbur maka fakta dan kebenaran saintifik yang terkandung dalam al-Quran bakal membina keimanan dan keyakinan remaja tentang Allah, kejadian dan kebesaran-Nya.

Dari situlah bermula binaan akidah yang diterjemahkan dalam asas ibadah yang luas, berdiri atas faktor syariah yang terkandung maqasid atau maksud dan menghasilkan peribadi-peribadi yang memiliki akhlak tinggi yang memiliki jiwa rukuk dan sujud terhadap pencipta.

Wednesday, June 20, 2007

Teknologi selamanya alat bukan matlamat

Perkembangan teknologi pada hari ini amat luar biasa. Kajian dan penyelidikan yang dibuat menghasilkan teknologi canggih merentasi dari batas teknologi komputer hingga ke teknologi bio yang merintis ke arah penemuan genetik yang menakjubkan.

Teknologi pada perspektif Barat dilihat sebagai matlamat dalam kemajuan dan perubahan. Pergantungan kepada perkembangan dan kemajuan teknologi menjadi bahagian penting dalam dasar dan sistem pendidikan di semua peringkat.

Islam tidak menolak kepentingan teknologi. Teknologi komputer umpamanya amat berguna untuk memperkaya, mempercepat, memperbanyak dan mempermudah kegunaan maklumat sesama manusia. Tetapi Islam melihat teknologi selamanya alat bukannya matlamat.

Teknologi sebagai alat yang dihasilkan untuk membantu manusia mendapat kemudahan dan bantuan dalam kehidupannya. Teknologi menyebabkan gaya hidup berubah dan proses pengajaran dan pembelajaran berkembang.

Teknologi memberikan kesan kreatif dan inovatif dalam dunia pengeluaran dan perkhidmatan. Malah kemodenan dan kemajuan banyak digerakkan oleh kecanggihan teknologi. Pergantungan manusia kepada teknologi atau alat menyebabkan teknologi dirasakan segala-gala.

Manusia di samping memerlukan teknologi atau alat untuk menjadikan kehidupan lebih berkesan dan bermakna memiliki kualiti keinsanan. Manusia memiliki hati dan rasa, emosi dan psiki, pemikiran dan nilai supaya kualiti keinsanan tetap subur dalam keadaan yang fitrah.

Hubungan seorang suami dan isteri dijalin oleh kualiti kasih sayang dan persefahaman. Hubungan anak dengan ibubapa juga banyak berlegar sekitar keperluan contoh dan pengisian naluri dan keinginan supaya ia dipenuhi dengan asuhan, belaian dan tunjuk ajar yang baik.

Hubungan sesama manusia tidak saja dalam batas teknologi alat komunikasi tetapi memerlukan sentuhan perasaan suka dan marah, sayang dan benci, percaya dan yakin antara satu sama lain. Inilah sentuhan keinsanan yang menjadi matlamat hidup.

Sekiranya media cetak dan elektronik yang menjadi jalur komunikasi remaja untuk mendapatkan maklumat, hiburan dan pengetahuan apakah bahan-bahan yang diperolehi baik yang berupa perisian, program, maklumat, data dan kajian, menyumbang ke arah meningkat akal budi insan, menjadikannya lebih berilmu, memberikannya asas maklumat yang benar, memberikannya kesan hiburan yang tidak membawa kelalaian dan lupa terhadap Allah. Kalau itu asasnya teknologi digunakan untuk membangun kualiti insan.

Insan yang berada dalam keadaan fitrah tidak saja memerlukan teknologi untuk memudahkannya mendapat maklumat, tidak saja berguna membawanya dari suatu tempat ke tempat yang lain, tidak saja berfaedah untuknya membuat urusan, tidak saja penting untuk mendapatkan rawatan tetapi kualiti maklumat mesti membimbingnya ke arah ketepatan dan kebenaran.

Kualiti perjalanannya membolehkan ia sampai ke destinasi dengan selamat, kualiti pengurusan tidak saja baik dan berkesan tetapi ramah dan amanah, kualiti rawatan tidak saja meyakinkan tetapi disertai dengan kepakaran dan profesionalisme, maka teknologi dan etika berganding sama.

Oleh itu fokus remaja dalam bidang pengilmuan dan pendidikan tidak harus tertumpu kepada aspek-aspek teknologi yang sifatnya mekanistik semata-mata. Proses pengilmuan dan pendidikan seharusnya mengukuhkan remaja dan generasi muda dengan asas-asas ilmu kemanusiaan dan agama supaya ada sentuhan keihsanan dan keinsanan dalam aplikasi teknologi. Asas ini amat penting dan fundamental dalam strategi membangun modal insan yang integratif.

Memang Barat yang mendukung faham sekular dan liberal mementingkan aspek inovatif dan kreatif dalam menghasilkan teknologi. Barat tidak boleh menolak kepentingan nilai, etika, budaya dan tradisi yang baik dalam membangunkan keperluan teknologi untuk manusia dan perubahan. Oleh kerana teknologi adalah alat, tentu ada asas-asas keinsanan yang boleh memandu aplikasi teknologi bagi mencapai matlamat.

Remaja Islam harus faham bahawa kemajuan teknologi memang berguna untuk perubahan dan kemajuan. Dalam dunia hiburan dan muzik umpamanya peranan teknologi amat luar biasa melakukan revolusi muzik dan hiburan sehingga ia menjadi candu bagi generasi muda. Apakah muzik yang terpancar dalam budaya popular Barat mampu membimbing remaja menjadi manusia yang baik, beradab, tahu harga diri dan warisan bangsa dan umat, mengerti tentang mesej kemanusiaan dan peradaban atau memang budaya popular Barat itu sendiri sedang menanamkan jiwa pesimis, kegilaan kepada cinta murahan, rangsangan kepada seks bebas dan faham hedonisme, tidak melihat nilai agama dan kemanusiaan sebagai penting.

Sekiranya teknologi menjadi wahana menyebabkan lonjakan revolusi budaya tanpa Tuhan dan tanpa agama, maka teknologi telah disalahguna dan ia tidak menyumbang ke arah metlamat membangunkan kualiti insan. Oleh itu menjadi cabaran yang amat rumit bagi remaja Islam mendekati isu hiburan, muzik, dunia persembahan, sumber perisian dengan ilmu yang membolehkan manusia terhibur, memberikan apresiasi terhadap seni atau sesuatu yang indah.

Menghasilkan drama dan filem yang sifatnya mendidik supaya kecanggihan teknologi digunakan sebagai bahan didik yang berkualiti tinggi.

Kalau ia tidak berlaku, remaja Islam akan kekal sebagai pengguna budaya popular Barat dan menjadikan teknologi sebagai alat dan matlamat dan membiarkan dirinya diratah ibarat api yang membakar daun-daun kering di musim kemarau.

Akhirnya akhlak remaja akan menjadi debu dan berterbangan di tengah-tengah taufan nafsu-nafsi yang boleh menyebabkan remaja meminggirkan agama dan menganggap kemajuan dan kemodenan ialah Barat dan pembaratan.

- PROF. DR. SIDEK BABA

Wednesday, June 13, 2007

Barat tidak ditentang pembaratan yang disanggah

Oleh: DR. SIDEK BABA

BARAT sebagai suatu entiti politik dan kebudayaan mengundang perspektif pendapat yang pelbagai. Barat sebagai fokus tamadun menggamit penerokaan faktor berbanding yang menarik. Islam tidak mengambil pendekatan anti Barat. Potensi melakukan dakwah dan mengembalikan manusia ke arah fitrah amat besar sekali.

Sehingga kini terdapat lebih 20 juta umat Islam di Eropah. Islamofobia di Eropah harus dilihat sebagai pertanda untuk warga Barat mengetahui apa itu Islam, bagaimana ia pernah lahir sebagai suatu tamadun dan mengapa Barat suatu ketika dulu terhutang ilmu kepada Islam.

Namun proses pembaratan perlu mengundang kewaspadaan umat Islam. Tamadun sekular Barat tegak atas asas membangun faham liberal dan sistem yang sekular. Ilmu dan juga fokus kemajuan lebih menumpu kepada sains dan teknologi dan wujud kecenderungan menolak agama sebagai asas empirikal.

Matlamat Barat ialah memakmurkan ekonomi atas asas kapitalisme yang mengutamakan pertumbuhan dan memaksimumkan keuntungan. Kekuatan ekonomi bakal menjana pembangunan sains dan teknologi dan akhirnya memperkasa senjata-senjata canggih untuk maksud dominasi dan hegemoni.

Apabila Barat tidak ditentang harus wujud usaha menggiatkan dakwah di Eropah. Pertentangan gereja dan saintis di zaman pertengahan, Islam tidak sempat meletakkan asasnya yang mantap di Eropah, kemelut sosial, keluarga dan individu yang parah, faham kebendaan dan individual yang sangat ketara. Semua ini adalah ruang-ruang yang sangat baik bagi Islam tumbuh dan subur supaya pencapaian sains dan teknologi dapat diimbangi dengan kepentingan nilai yang Qurani dan Islami yang boleh membimbing mereka ke arah hidup yang fitrah.

Kecintaan orang-orang Barat terhadap ilmu, tradisi pengkaryaan yang tinggi menghasilkan buku-buku baru, tradisi penyelidikan yang hebat, penghasilan penemuan-penemuan dalam sains dan teknologi, keutamaan kepada membangun modal insan merupakan faktor-faktor berbanding yang patut di pelajari. Darinya umat Islam dapat diperkasakan wibawanya dalam bidang ilmu Mengurus Sistem.

Umat Islam termaklum hebat dalam ritual dan hal-hal rohaniah yang bersifat intrinsik. Pengaturan sistem, penyusunan sumber, pemerkasaan modal insan berkualiti yang sifatnya holistik amat terbatas. Lalu umat Islam terbelenggu dan tidak mampu melakukan lonjakan dan kekal sebagai pengguna setia kepada citra Barat . Oleh itu Barat tidak harus dimusuhi secara melulu tetapi faktor-faktor berbanding yang bermanfaat bagi umat Islam harus diteroka dan dicari.

Penerokaan faktor berbanding di Barat pula jangan sampai kita terjebak dalam proses pembaratan sehingga kita hilang peribadi dan diri. Kekentalan akidah, kehebatan ibadah, pemahaman yang baik terhadap syariah, memperakukan kepentingan akhlak adalah asas terbaik untuk memahami ilmu dan tamadun Barat.

Terdapat kecenderungan generasi muda melihat Barat dengan kesegalaannya. Barat dilihat sebagai model maju dan tamadun. Perubahan yang dibawa oleh Barat dianggap mewakili zaman. Generasi muda dalam rasa rendah diri, belum lagi berjiwa merdeka, tidak faham keperluan tradisi dan agama menjadi pengagum budaya popular Barat. Akibatnya mereka terjebak dalam ketagih hiburan dan pengagum artis dan selebriti hingga menyebabkan kelupaan kepada jati diri sendiri.

Islam yang dilalui dan dipelajari tidak menimbulkan kesan penghayatan, hanya merupakan lintasan nipis dalam hidup dan akhirnya menjadi ketagih terhadap gaya hidup Barat yang asing dengan cara hidup Islami.

Generasi ini bakal rebah dalam belenggu pembaratan dan akhirnya menjadi penyumbang kepada faham materialistik dan hedonisme dan terus berada dalam amalan nafsu-nafsi yang menyebabkan dayatahan umat akan menjadi tiris.

Para remaja harus insaf bahawa banyak hal yang menyumbang dan boleh dipelajari dari Barat. Mengapa tidak dikuasai ilmu semasanya terutama dalam penyelidikan dan pengembangan. Penemuan-penemuan saintifik yang terkini, penghasilan teknologi canggih seharusnya meningkatkan minat generasi muda untuk menguasainya supaya akhirnya apabila dikembangkan dalam tradisi kita ia memberikan warna dan cita rasa baru yang ada dimensi nilai dan etika di dalamnya.

Dimensi nilai dan etika sewajarnya menjadikan ilmu mempunyai arah dan teknologi memberikan manfaat. Generasi muda tidak harus terbawa-bawa dengan fahaman bahawa teknologi adalah matlamat dalam kehidupan.

Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Matlamat yang terhasil, hasil adanya teknologi harus lebih murni dari itu. Di sinilah cabaran yang menunggu generasi muda Islam mengolah kembali aspek-aspek yang mekanistik supaya mempunyai nilai tambah rohaniah yang mampu mengangkat nilai guna ilmu dan teknologi bagi membangunkan peradaban insan.

Masanya sudah lewat untuk membiarkan generasi muda Islam terjebak dan dibelenggu oleh pengaruh budaya popular Barat yang tidak banyak memberi faedah kepada pembangunan generasi muda. Generasi muda Islam tidak saja memerlukan upaya berfikir yang tinggi tetapi dalam masa yang sama memerlukan tahap rohaniah yang meningkat di samping ketangkasan fizikal yang baik. Asas-asas yang fundamental ini amat diperlukan terutama dalam dunia pendidikan dan latihan.

Cabaran kini dan masa depan generasi muda tidak hanya bersifat intelektual tetapi berdepan dengan faktor-faktor moral dan akhlak yang sifatnya behavioral. Kemahiran berfikir tidak saja memadai untuk menjadikan mereka kreatif, inovatif kritikal, strategik dan lateral tetapi dalam masa yang sama generasi muda harus memiliki kualiti amanah, adil, jujur, telus dan tulus supaya dimensi keinsanan tetap teguh dan utuh.

Oleh itu menanggapi Barat dengan segala macam dimensi yang ada harus menjadikan generasi muda bersikap kritis supaya asas-asas yang baik dan bermanfaat diambil dan sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat dihindarkan. Dalam masa yang sama generasi muda Islam harus ingat bahawa globalisasi yang sedang melakukan hegemoni mempunyai agenda tersendiri.

Dendam Salibiah yang masih wujud di kalangan mereka dan zionisme yang berkembang dalam berbagai bentuk adalah asas strategi melakukan deIslamisasi di kalangan umat khususnya di kalangan generasi muda. Sebab itu media cetak dan elektronik, cable tv dan astro, perisian, Internet dan laman web menggambarkan budaya hedonistik yang ketara seolah-olah nilai agama sudah tidak lagi menjadi sandaran hidup mereka.

Sebaliknya generasi muda Islam harus kenal asas tradisi Islam yang menampilkan kehebatan ilmu, budaya, seni dan hiburan pada zaman puncaknya. Harus ada kecenderungan di kalangan generasi muda mengkaji secara reflektif terhadap hal-hal tersebut.

Ia supaya wujud suatu keadaan di mana generasi muda amat berbangga dengan kehebatan tradisi tamadunnya dan dalam masa yang sama tetap terbuka melakukan adaptasi atau penyesuaian terhadap faktor-faktor ilmu dan tamadun yang bermanfaat dan menyumbang untuk manusia seluruhnya.

Islam adalah sistem kepercayaan dan cara hidup

Oleh: DR. SIDEK BABA

Pemahaman terhadap Islam di kalangan umatnya ada berbagai-bagai. Ada yang melihat Islam sebagai agama warisan. Ada yang melihat Islam sebagai agama orang Melayu. Lalu timbul pemahaman budaya bahawa Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam.

Islam tidak difahami sebagai Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Berlaku campur aduk Islam yang sebenar dengan faham-faham yang banyak bercanggah dengan maksud Islam itu sendiri. Lalu ketulenan amalan Islam tidak terlihat.

Ada ketika yang tampak pada amalan orang-orang Melayu ialah adat dan tradisinya yang bercampur baur dengan agama dan kebiasaan. Lazim juga agama itu diamalkan pada saat-saat tertentu seperti nikah kahwin, perceraian dan kematian, doa dan tahlil tetapi tidak pada amalan-amalan lain. Malah lebih banyak yang mengadunkan cara hidup Barat yang negatif ke dalam dirinya lalu watak Islaminya hilang.

Sebagai remaja, fahaman dan amalan amal Islami perlu jelas. Ia adalah titik tolak untuk menjadi seorang Islam yang baik tidak saja pada akidah, ibadah, syariah tetapi juga akhlaknya. Hal-hal yang bercanggah jika dilakukan, ia tidak menjadikan remaja seorang yang mewarisi suatu sistem kepercayaan dan juga cara hidup Islami.

Islam sebagai suatu sistem kepercayaan tidak boleh disamakan dengan sistem kepercayaan lain. Kepercayaan remaja terhadap perkara-perkara yang ghaib sudah tentu ada bezanya dengan keyakinan penganut agama lain tentang supernaturality atau hal-hal yang ghaib yang mereka yakini.

Keyakinan remaja terhadap Allah, Tuhan yang satu adalah mutlak. Keyakinan remaja terhadap-Nya tidak saja berasaskan ainul yakin iaitu memahami tanda-tanda kebesaran-Nya menerusi apa yang dilihat semata-mata. Tetapi juga dengan ilmul yakin iaitu sumber ilmu seperti al-Quran yang memandu jiwa tadabbur iaitu pengkajian dan penyelidikan hingga membawa kepada haqqul yakin.

Ia adalah keyakinan yang sebenar-sebenarnya terhadap Allah dan faktor-faktor ghaibiyyat yang lain. Ia adalah suatu pemahaman rohaniah dan akliah yang berasaskan ilmu dan petunjuk. Al-Quran sebagai suluh dan alam sebagai bukti adalah asas terbaik bagaimana sistem kepercayaan dapat dibina.

Apabila sistem kepercayaan itu terbina, hal-hal yang membawa kepada syirik dan khurafat tidak akan ada. Keyakinan remaja terhadap Allah satu-satu-Nya adalah mutlak. Keyakinan itu dibina dengan pemahaman berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan sunah Rasul.

Lalu asas tasawwur atau pandangan semesta alam atau cara kita memahami sesuatu terbentuk.

Ada sistem kepercayaan dalam agama berasaskan pendekatan falsafah. Ahli-ahli falsafah terdahulu menghasilkan buah pemikiran yang berguna. Orang-orang terkemudian menjadikannya agama dan suatu sistem kepercayaan. Ada juga ajaran agama yang sifatnya samawiyyat atau datang dari langit. Tetapi berlaku penyimpangan di waktu terkemudian hingga menyebabkan sistem kepercayaannya menjadi rosak malah menimbulkan faham ketuhanan yang menyalahi.

Kepercayaan kepada Allah yang satu ada pada Islam. Dari situ lahir konsep wahdah atau kesatuan. Ia membawa makna bahawa alam dan kehidupan berada dalam suatu kesatuan yang unik. Allah itu sifatnya Menjadikan lalu lahirlah alam, manusia dan kehidupan. Sama ada alam, manusia dan kehidupan berada dalam ketentuan-Nya.

Alam diuruskan dengan peraturan yang telah ditetapkan-Nya dan itulah sunnatullah. Manusia diberikan status sebagai hamba dan khalifah dan darinya lahir jiwa kehambaan yang tinggi iaitu sifat patuh, taat, tunduk dan akur yang penting bagi manusia. Ia juga menjadikan manusia sebagai khalifah di mana amanah pengurusan dan pengendalian hidup diletakkan supaya ia berjalan secara fitrah.

Memahami alam membawa remaja memahami proses penciptaannya. Al-Quran memberi petunjuk kepada saintis Islam bagaimana proses kejadiannya dalam masa enam hari. Memahami matahari dan bumi ialah memahami proses putarannya. Allah menyebutkan di dalam al Quran mengenai bujurnya bumi (dahaha) dan semuanya berjalan atas tertib sunnatullah.

Al Quran menyebutkan turunnya air ke bumi untuk menghidupkan tanah-tanah yang mati dan kering. Lalu tumbuhlah pohon-pohon yang menghasilkan buah untuk rezeki manusia.

Allah juga mencipta manusia dari Nabi Adam kepada Hawa sehinggalah kepada remaja hari ini. Surah al-Alaq memberikan para remaja asas kejadian yang menghubungkan kejadian insan dari darah beku atau alaqa akibat petemuan benih lelaki dan perempuan. Proses embriologi ditunjukkan oleh al-Quran dalam tiga tahap yang unik.

Allah jadikan gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi (awtad) untuk membolehkan perimbangan pada alam dan keseimbangan wujud dalam kehidupan. Allah jadikan sungai dan laut supaya air sungai masuk ke laut dan berlakunya proses pembersihan di mana wap air laut naik ke angkasa, bertukar menjadi awan, lebat airnya, turun ke bumi sebagai hujan bagi menghidupkan manusia dan haiwan serta tumbuh-tumbuhan. Baik manusia dan haiwan, manusia dan pokok-pokok adalah saling memerlukan.

Air adalah salah satu sumber terpenting kehidupan mereka. Dari Allah air itu datang dan darinya ia memakmurkan kehidupan manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan.

Islam juga memahami remaja mengenai cara hidup. Alam ini dijadikan secara sistematik. Ia berjalan ikut ketertiban dan peraturan-Nya. Tanpanya planet akan berlanggar dan galaksi akan bertembung. Upaya manusia tidak ada untuk mengatur sumber-sumber yang terjadi dalam alam ini melainkan sedikit.

Manusia mengatur sistem lebuh raya yang canggih namun perlanggaran dan kesesakan kenderaan terus berlaku. Bayangkan berbilion bintang dan galaksi yang beredar dengan pantas dan laju, tidak berlaku perlanggaran dan kesesakan melainkan dengan takdir-Nya.

Sistem kepercayaan beragama yang ada pada remaja Islam bakal memberikan jalan kepada cara hidup Islami. Islam tidak saja wujud dalam tasawwur atau proses memahami sesuatu tetapi sesuatu itu difahami secara suatu kesatuan. Manusia dan sumber-sumber yang ada di sekelilingnya mempunyai kaitan yang amat rapat. Air, minyak, gas, uranium, pokok-pokok, haiwan dan sayur-sayuran adalah datangnya dari Allah.

Ia menjadi sumber rezeki dan sumber tenaga kepada manusia. Sebagai hamba dan khalifah ia harus diuruskan dengan betul, taat dan amanah. Kalau tidak wujud kecenderungan salahguna atau eksploitasi di kalangan manusia.

Sumber-sumber yang disebutkan menjadi sumber ekonomi yang amat baik. Bagaimana pemasaran, jual beli harus berlaku, Allah tunjukkan dalam berjual-beli dan untung rugi supaya tidak terjadinya riba.

Sumber-sumber itu harus diagihkan dengan adil dan saksama. Lahirlah sistem ekonomi yang menekankan kepentingan kebajikan benda yang Allah kurniakan dengan kepentingan kebajikan dan kemakmuran hidup insan. Sumber-sumber itu sekiranya diambil dengan seimbang ia boleh memantapkan kesihatan manusia.

Sekiranya manusia membazir terhadap sumber itu atau menyalahgunakan pengurusannya ia boleh menyebabkan krisis sesama manusia dan boleh mencetuskan jurang kaya dan miskin. Inilah asas kepercayaan dan cara hidup yang ada dalam Islam.

Friday, June 08, 2007

Perlunya remaja hidup dalam lingkaran syarak

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

FAKTOR syarak dalam kehidupan Islam bermaksud memberikan batasan dan pedoman supaya jalur kehidupan berada dalam batasnya. Jalur syarak juga mentertibkan insan supaya terus berada dalam fitrah. Kehidupan yang fitrah adalah kehidupan yang serasi dan syarak dan ia membawa barakah. Keyakinan manusia kepada faktor yang nyata dengan pedoman faktor yang ghaib akan membimbing manusia ke jalan hidup yang sebenarnya.

Agama mengaturkan kehidupan yang baik untuk manusia. Syarak adalah sendi utama mempedoman manusia jalan yang di redhai atau sebaliknya. Faktor manusia tidaklah mutlak untuk memberikan kawalan dan pedoman. Faktor Ilahi menunjukkan pedoman yang terbaik untuk manusia. Menjadi manusia yang hidup berteraskan syarak menjadikannya hamba yang sentiasa patuh, akur, taat dan tunduk kepada-Nya. Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia dan peraturan ada batasnya. Kepatuhan dan ketaatan kepada Allah adalah telus kepada-Nya dan tidak ada hijab yang menghalangnya. Walaupun apa yang kita lakukan manusia lain mungkin tidak mengetahui tetapi di sisi Allah ia diketahui.

Untuk menjadi seorang remaja Islam yang baik dan beriman mematuhi faktor syarak adalah suatu tuntutan dan kewajipan. Faham tentang batas dosa dan pahala, tahu tentang batas halal dan haram, mengerti tentang situasi fasad dan mungkar, maklum tentang wajib dan harus memberikan remaja pedoman yang terbaik dalam hidup. Menjadi remaja menyebabkan banyak cabaran yang menunggu. Sekadar pertimbangan akal dan nafsu semata tidak ada jaminan jalur syarak dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional saja tidak memadai jalan syarak diikuti. Sekadar berpandukan orang ramai melakukan maka tiada salahnya remaja melakukannya belum ada jaminan ia selari dengan syarak.

Remaja harus yakin bahawa keyakinan kepada jalur syarak memberikan landasan keimanan yang teguh. Iman yang teguh menghubungkan remaja kepada Penciptanya dan Pengatur alam dan kehidupan ini. Ia bukan bermakna remaja tidak menggunakan pertimbangan akal. Akal hanya alat yang belum tentu sempurna apa yang difikir dan dibuat tanpa pedoman syarak. Pertimbangan akal mungkin boleh menyuluh remaja ke jalan yang betul dan belum tentu membimbing jalan yang benar. Kebenaran ada pada jalan syarak kerana darinya manusia melakukan sesuatu berasaskan huhum-hakam dan peraturan Allah.

Secara akal memang betul dijadikan lelaki dan perempuan dengan sifatnya berpasang-pasang. Secara akal fitrah teruna dan dara memiliki perasaan cinta dan sayang yang tinggi. Secara akal juga memang perempuan memiliki daya tarikan yang tinggi terhadap lelaki. Haiwan juga sedemikian. Jantan dan betina dijadikan berpasang-pasang. Naluri nafsu dan keinginan tidak mengira tempat dan keadaan. Kadang-kadang bunuh membunuh menjadi kelaziman.

Pada remaja Allah berikan akal bagi membolehkan proses berfikir berlaku. Pada remaja Allah kurniakan hati untuk memberikan timbangan yang baik terhadap salah benarnya sesuatu. Faktor manusiawi yang ada pada remaja membolehkan remaja mencontohi sesuatu daripada yang lebih dewasa dan lebih arif tentang hukum hakam. Faktor manusiawi juga membolehkan remaja mendapat pedoman dari ibu bapa dan guru tentang salah benarnya sesuatu. Dari situ jiwa keinsanan wujud dan pedoman keihsanan lahir.

Faktor syarak tidak harus dianggap sebagai sifatnya menghalang dan membelenggu. Sifat alam dan sifat manusia mempunyai batasan. Bintang-bintang dan planet, sistem solar dan bimasakti, perjalanan galaksi dan sistem radiasi mempunyai batasan dan landasan. Alam dan planet yang banyak diurus di bawah sunatullah atau ketentuan Allah. Manusia dan kehidupan sekitarnya diurus berasaskan fitrah. Sunatullah dan fitrah memiliki kesalingan. Mempelajari secara mendalam sunah Allah memberikan manusia pedoman tentang kehidupan yang fitrah.

Sifat alam dan isinya sentiasa patuh dan taat kepada sunatullah. Sifat manusia memiliki jiwa hamba yang tinggi yang juga patuh dan taat kepada Allah. Bila keadaan ini berlaku di bawah jalur syarak bayangkan tangan-tangan yang mentadbir rumah tangga berada di tahap yang amat fitrah. Suami akan merasakan para isterinya adalah amanah Allah dan amanah waris wala’nya. Anak-anak bakal berada di bawah didikan, asuhan dan lindungan ibu dan bapa yang pengasih dan penyayang. Mereka merasakan anak-anak adalah harta yang amat berharga. Nantinya anak-anak apabila menjadi insan soleh dan solehah, ia bakal menghubungkan yang pergi dengan yang tinggal.

Tangan-tangan yang memimpin jabatan dan pemerintahan akan merasakan bahawa kepimpinan dan urus tadbir adalah suatu amanah. Amanah itu tidak saja terhadap manusia yang dipimpin dan diurus tetapi yang lebih utama ialah terhadap Allah s.w.t..

Oleh sebab itu kedapatan hari ini anak-anak yang cicir disebabkan ibu bapa tidak merasakan anak itu sebagai harta atau aset. Harta yang bersifat benda dianggap paling utama. Sedangkan harta yang bersifat benda memang perlu dicari kerana ia rahmah dan nikmat Allah tetapi anak-anak itu sendiri adalah harta yang tidak ternilai yang menunggu kasih sayang dan perhatian untuk dididik dan diasuh dengan teladan dan ilmu.

Oleh sebab itulah kedapatan orang-orang terlibat dalam urus tadbir dan kepimpinan tidak bersifat amanah, terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa kerana tidak merasakan faktor syarak itu penting sebagai benteng menentukan hak dan batil, adil dan zalim serta fasad dan mungkar.

Bila ia berlaku keluarga akan pincang, masalah sosial di kalangan remaja akan berlaku, faham kebendaan akan subur, tempiasan nafsu nafsi berlaku tanpa batas akibat pupusnya rasa takwa terhadap Pencipta. Ketakutan manusia sesama manusia boleh dielakkan dan boleh dicari jalan keluar. Tetapi keimanan manusia kepada Allah menyebabkan manusia ada benteng. Benteng syarak inilah yang memandu manusia memilik jalan yang baik dan jalan yang sebaliknya.

Apabila remaja lazim dengan hidup berasaskan syarak, ia dapat menentukan batasan benar dan salah serta baik dan buruk akan sesuatu. Baik di rumah, mahupun di sekolah atau melalui pergaulan hidup sehari-hari, remaja yang beriman akan sentiasa menjadikan batas syarak sebagai pedoman. Perlanggaran kepada batas syarak berlaku boleh menyebabkan banyak akibat yang terjadi.

Bila remaja terlibat dalam amalan salah guna dadah, bermakna remaja ini sudah melampaui batas halal dan haram. Penglibatan sebahagian remaja dalam zina menunjukkan sempadan syarak dilanggar kerana tidak ada kesedaran dosa dan pahala. Bila remaja terlibat dalam kegiatan Mat Rempit menunjukkan batas undang-undang dilanggar dan batas malu hilang.

Sebab itu Islam memilih pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati. Kaedah syarak terkandung kaedah mencegah. Bayangkan apa yang berlaku pada hari ini ibarat nasi sudah menjadi bubur. Kesedaran syarak, kepentingan iman dan takwa adalah asas-asas pencegahan supaya remaja sentiasa berada dalam keadaan fitrah. Tanpa keinsafan syarak remaja akan terus hanyut dan jalan kembali ke pantai hidup sukar sekali dan kerosakan generasi terus berlaku.

Islam adalah agama yang hidup

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

Terdapat sesetengah remaja menghubungkan agama terhadap sesuatu yang silam. Islam dianggap sebagai suatu tradisi. Yang tradisional itu ialah yang sudah berlalu. Lalu yang sudah berlalu itu dianggap sudah ketinggalan.

Apalagi bila dihubungkan dengan zaman moden atau pasca-moden, agama ditanggapi sebagai tidak relevan.

Islam tidak boleh disamakan dengan ajaran agama atau falsafah lain terutama yang direka oleh manusia. Islam sifatnya samawiyat iaitu diturunkan dari langit oleh Allah s.w.t. Ia tidak saja mempunyai suatu sistem kepercayaan tetapi juga mengatur cara hidup. Ia membina sistem kepercayaan tentang alam nyata dan alam ghaib. Yang nyata dan yang ghaib menyebabkan berlakunya kehidupan.

Kehidupan yang Islami bergerak atas pola akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Pola-pola utama kehidupan manusia berputar atas asas ini. Tanpa aqidah manusia tidak akan ada asas menghubungkan dirinya dengan Yang Ghaib dan tiadalah asas Penciptaan. Dengan akidah juga membina keyakinan manusia bahawa Allah bersifat Rahman dan Rahim terhadap hamba dan makhluk-Nya. Dengan akidah tauhid manusia percaya bahawa Allah itu tidak ada sekutunya melainkan Dialah yang Satu-Satunya.

Dengan ibadah manusia memiliki jiwa hamba yang tinggi. Jiwa hamba mendidik manusia menjadi patuh, taat, akur dan tunduk. Perkara-perkara lain dalam alam semuanya patuh atas asas Sunnatullah.

Planet dan cekerwala, sistem solar dan bimasakti semunya bergerak atas asas ketentuan dan ketaatan terhadap Penciptanya. Darinya lahir ketertiban dan keteraturan. Dengan ibadah manusia memiliki jiwa rukuk dan sujud. Jiwa rukuk dan sujud mendidik manusia patuh dan taat kepada titah-perintah Allah. Darinya kehidupan menjadi teratur dan tersusun seumpama tertibnya alam ini.

Melalui syariah terdapat maksud had dan batasan. Had dan batasan membolehkan landasan hidup berada di tempat yang betul. Tanpanya, manusia boleh menyimpang dan melampaui batas. Kerosakan yang berlaku terhadap manusia sepanjang sejarahnya akibat manusia alpa tentang batas akal, had nafsu, upaya hati dan jangkauan fikir. Kerosakan oleh manusia memberi jejasan terhadap yang lain.

Natijah akhir dari akidah yang mantap, ibadah yang berterusan, dipandu oleh syariah yang teguh bakal menghasilkan akhlak yang baik. Akhlaklah yang menjadi buah iman dan takwa.

Akhlak juga menjadi cerminan manusiawi insan. Manusia dirujuk kekuatan akhlaknya kerana ia adalah pancaran rohani yang tinggi. Sesuatu yang sifatnya rohaniah tidak saja sifatnya kedalaman. Rohaniah terpancar menerusi akhlak yang baik. Tulus dan telus, jujur dan ikhlas, adil dan bijaksana, amanah dan tanggungjawab adalah pancaran rohaniah seseorang.


Sifatnya mempengaruhi dan memberi kesan terhadap tingkahlaku dan perbuatan seseorang. Hidup secara rohaniah menghubunghkan diri dengan Pencipta. Dari Allah manusia dijadikan dengan sebaik-baik ciptaan dan kepada Allah dipertontonkan sebaik-baik kelakuan.

Islam ialah agama yang bersifat ajaran. Darinya lahir usaha dakwah dan tarbiah. Fokus dakwah dan tarbiah ialah kepada insan. Al-Quran tidak turun kepada gunung-ganang, batu-batan dan pokok-pokok. Ia turun kepada manusia yang dikurniakan akal dan hati.

Akal membolehkan manusia berfikir dan hati memandu manusia menimbang. Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia dan mereka yang muttaqin. Darinya manusia mengetahui kisah-kisah silam hidup untuk dijadikan pedoman hidup masakini dan hari depan. Ibrah sebegini amat penting bagi manusia kerana kisah mengulangi jejak.

Maksud ajaran Islam ialah memperkasa manusia supaya terus berada dalam fitrah. Fitrah manusiawi atas landasan akidah yang mantap, ibadah yang berterusan, kepatuhan kepada syariah bakal membentuk pekerti atau akhlak yang mulia.

Manusia yang berada dalam keadaan fitrah sifatnya semasa dan sezaman. Meski ruang dan waktu berubah, fitrah manusia tetap kekal dan tidak berubah. Manusia akan rosak sekiranya faktor zaman merubah fitrah.

Al-Quran umpamanya, mengaturkan prinsip pergaulan dan sosialisasi antara remaja terutama yang bukan mahram. Prinsip itu adalah sesuatu yang fitrah. Remaja suka berkawan dan berkomunikasi.

Faktor syarak mengaturkan remaja jalan dan jalur komunikasi supaya remaja tidak melampaui batas. Maqasid syariah antaranya bertujuan menjaga agama dan keturunan supaya remaja terus berada dalam keadaan fitrah.

Apabila berlaku pergaulan dan sosialisasi yang melampaui batas mahram, remaja tidak lagi berada dalam keadaan fitrah. Atas dorongan hawa nafsu, remaja mungkin bergaul lepas bebas tanpa batasan. Bila nafsu merajalela berlakulah sesuatu di luar batasan. Ia boleh mendorong kepada zina dan perlakuan-perlakuan yang seumpamanya. Ia boleh menyebabkan lahirnya anak diluar nikah. Diwujudkan prinsip pergaulan dalam Islam bertujuan untuk menjaga agama dan keturunan. Amalan zina adalah merosakkan agama dan keturunan.

Islam juga mengaturkan manusia supaya menikmati seni dan keindahan. Sama ada ia lagu, lirik , rentak dan gerak, prinsip Islam menganjurkan manusia batasan supaya manusia tidak lalai dan lupa. Maksud keindahan dalam Islam mendekatkan manusia kepada kebesaran Pencipta. Melihat alam yang terbentang luas, cahaya matahari dihujung petang, kicau burung diwaktu pagi, desir angin di banjaran gunung, debur ombak di kaki pantai terkandung rasa harmoni yang tinggi antara yang dicipta dengan inderawi manusia.

Apresiasi manusia tentang faktor alamiah menyebabkan manusia rasa terusik. Rasa terusik itu boleh menyebabkan manusia semakin dekat kepada Pencipta. Ini kerana semua yang terlihat, terdengar, terasa datangnya dari kekuasaan Allah. Apa yang direka dan digubah oleh manusia cuba mendekati tahap harmoni Ilahi untuk membimbingnya menjadi insan yang kuddus kepada Pencipta. Itulah puncak seni hamba dan Penciptanya.

Para remaja harus menginsafi bahawa Islam membawa perubahan pada zaman bukannya zaman membentuk prinsip Islam. Fitrah manusia harus selari dengan fitrah zaman. Islam adalah agama yang hidup. Ia bukan agama yang ketinggalan zaman. Takdirnya zaman menjadi rosak, manusia hanyut dengan faham kebendaan dan nafsu nafsi yang melampau, Islam tidak boleh menurutinya.

Zaman yang harus mematuhi prinsip Islam. Kerosakan yang ditanggung oleh remaja Islam hari ini akibat pendewaan terhadap zaman yang dibawa oleh budaya Barat umpamanya cuba disesuaikan dengan prinsip Islam. Budaya Barat tegak atas pedoman manusiawi yang nafsu-nafsi menyebabkan fitrah remaja menjadi rosak.

Akibatnya sesetengah remaja menuduh Islam ketinggalan zaman kerana tidak mengikut perubahan sedangkan perubahan yang dibawa oleh budaya Barat boleh menjerumuskan remaja kepada muflis diri dan muflis akhlak.

Islam mempedomankan remaja supaya terus berada dalam fitrah. Pemikiran sedemikian membolehkan remaja mengolah dengan kreatif terhadap sesuatu dengan dipandu oleh ajaran Islam yang membimbing remaja supaya terus berada dalam fitrah. Inilah keindahan Islam, mengaturkan manusia supaya berada dalam fitrah dan melakukan sesuatu selari dengan fitrah manusiawi.

Beriman kepada yang Ghaib

Rukun iman antara lain memberikan asas kepercayaan tentang qada dan qadar yang datangnya dari Allah. Umat Islam dituntut percaya kepada asas ini. Tasawwur Islami memberi asas bahawa yang diimani oleh orang-orang Islam tidak saja hal-hal yang nyata tetapi juga beriman kepada yang ghaib.

Ini asas kepada orang-orang yang beragama dan bezanya dengan yang tidak beragama. Orang Islam percaya bahawa Allah itu ghaib walaupun ada penganut-penganut agama lain menjelmakan tuhan itu dalam bentuk patung-patung dan berhala iaitu benda-benda yang nampak untuk disembah.

Ghaib tidak bermakna ia tidak ada. Ghaib itu sesuatu yang wujud dan sifat wujudnya adalah sedemikian.

Yang ghaib tidak sama dengan benda-benda atau yang dilihat oleh manusia di alam ini. Ghaib yang menghubungkan sesuatu itu sebagai tidak ada, adalah persepsi akliah. Suatu yang pasti dalam keyakinan orang-orang Islam bahawa faktor ghaib menjadikan sesuatu itu menjadi ada dan nyata.

Angin sifatnya ghaib tetapi tiupan angin dirasakan. Elektrik adalah suatu kuasa yang mengalir, tanpanya lampu tidak akan menyala. Roh di badan adalah sesuatu yang ghaib tapi amat berkuasa menghidupkan anggota. Tanpa angin cuaca menjadi panas, tanpa elektrik kuasa dan tenaga tidak ada dan tanpa roh manusia akan mati. Ia adalah pertanda tentang kuasa kepada yang ghaib.

Alam ini terdapat tanda-tanda yang menyebabkan manusia bertanya. Sesuatu itu tidak terjadi dengan sendiri melainkan adanya Pencipta. Sebuah buku tidak akan dapat ditulis melainkan ada penulisnya. Sebuah lagu tidak akan dapat digubah melainkan ada penggubahnya.

Sebuah kereta tidak akan terjadi melainkan ada perekanya. Logiknya alam ini terjadi dengan segala rahsianya yang sudah diketahui dan belum diketahui tentu ada Penciptanya.

Tidak mungkin alam terjadi dengan sendiri kerana ia menyalahi logik akal. Tidak mungkin pohon tumbuh sendiri dan menghasilkan bunga dan buah tanpa adanya proses kejadian. Tidak mungkin pada gas dan minyak terdapat sumber tenaga kalau tenaga tidak diciptakan. Tidak mungkin manusia akan hidup selama-lamanya kerana adanya roh dalam tubuh manusia itu adalah sementara.

Manusia membina kepercayaan bahawa tentu ada Pencipta yang menciptakan alam dan seluruh isinya kerana manusia tidak melakukan penciptaan. Yang sedia dicipta baik pokok, tanah, buah, haiwan dan ikan di gubah dan diproses oleh manusia untuk dijadikan benda-benda yang kreatif dan boleh dipasarkan atau disimpan.

Qada dan qadar adalah faktor Pencipta yang memiliki kuasa dalam timbangan kadarnya.

Alam ini terjadi dalam masa beberapa hari adalah dengan qada dan qadar Allah. Manusia dijadikan berpasang-pasang dengan qada dan qadarnya terkandung hikmah yang amat tinggi. Dijadikan alam dan planet berputar dalam silih gantian yang tidak pernah mungkir adalah atas ketentuan qada dan qadarnya.

Qada Allah bermula dari sesuatu yang ghaib dan sebahagian kejadian Allah itu terlihat dengan nyata. Matahari, bulan, bintang, api dan air terlihat manusia dengan nyata. Semuanya terkandung hikmah yang amat besar.

Meyakini perkara-perkara yang ghaib ialah meyakini perkara-perkara yang tampak dan nyata yang terdapat dalam alam ini. Ia adalah bukti dan tanda adanya kewujudan yang Maha Berkuasa yang menentukan wujudnya alam ini dan yang mengatur perjalanannya.

Manusia tidak mengatur perjalanan alam kerana ia bukan Penciptanya. Allah mengaturkan alam ini dengan tepat dan sempurna. Bintang-bintang yang berputar, beredar dalam sistemnya secara teratur dan tepat.

Tidak berlaku perlanggaran dan kesesakan melainkan dengan takdir-Nya. Manusia dengan upaya yang terbatas mengaturkan sistem jalan raya di mana beradanya ribuan kereta lalu-lalang. Sering berlaku perlanggaran dan kesesakan kerana upaya manusia terbatas.

Bayangkan kalau bintang-bintang berlanggar dan mengalami kesesakan nescaya rosaklah sistem alam ini. Lalu kita terus bertanya, kuasa apakah yang mengatur dan menyusun semuanya itu kalau tidak Kuasa Yang Maha Mencipta dan Maha Pengatur iaitu Allah.

Qada Allah itu tidak berlaku begitu saja. Ia wujud dan hadir dalam sistem berasaskan kadarnya. Sama ada benda kecil yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar mahupun benda besar yang hebat terbentang semuanya diciptakan dengan kadarnya dan berfungsi berasaskan sifat kejadiannya.

Air, sifat jadinya mengalir, lembut dan berbentuk cecair kerana ada keperluan manusia untuk minum, keperluan pokok untuk diresapi akarnya, dan keperluan kotoran supaya mudah dibersihkan. Angin, sifatnya bertiup, memberi perimbangan kepada cuaca, menjadikan manusia selesa dan berfungsi memindahkan benih-benih untuk menjadi sumber rezeki manusia.

Setiap kejadian yang Allah jadikan itu terdapat kadarnya dan itulah asas matematikal yang cuba dipelajari oleh manusia.

Asas matematikal yang ada pada manusia banyak merujuk kepada ukuran, timbangan, angka dan kadar terhadap hal-hal yang nyata. Tidak banyak hal-hal yang tidak nyata atau ghaib yang dihubungkan dengan kadar. Dosa dan pahala, baik dan buruk adalah kadar terhadap perlakuan.

Apabila manusia melakukan kebaikan maka natijahnya ialah pahala dan bila manusia melakukan kefasadan maka natijahnya ialah dosa.

Bila manusia menipu orang lain, ia adalah sesuatu yang buruk dan bila manusia bercakap sesuatu yang benar maka ia melakukan kebaikan. Kadar perlakuan manusia walaupun tidak boleh diukur tapi boleh dilihat menerusi perlakuannya.

Asas sains dalam tradisi Barat adalah matematikal sifatnya. Kekuatan akal yang terbatas dijadikan sandaran mutlak mengukur dan menilai sesuatu supaya asas rasional melihat yang nyata menjadi ukuran yang mutlak.

Betapa terdapatnya perkara-perkara yang bersifat tingkahlaku yang terlihat natijahnya dalam pekerti manusia yang tidak boleh diukur tetapi amat mempengaruhi manusia dalam kehidupan.

Kezaliman manusia terhadap yang lain, pembohongan yang berlaku, tipu daya dan muslihat yang terjadi, kerosakan terhadap akhlak manusia yang sedang berlaku, sikap kepura-puraan yang menjadi-jadi adalah gambaran sebenar tentang gelagat manusia hari ini.

Sekiranya asas matematik hanya mampu mengukur hal-hal yang nyata dan bersifat benda sudah tentu tingkahlaku manusia terdapat alat untuk mengukurnya. Sebab itu dalam tradisi Islam bukan akal yang dijadikan ukuran mutlak terhadap baik buruknnya sesuatu . Ia merujuk pada hati yang menghubungkan diri dengan faktor-faktor ghaibiyyat yang menjadi barometer atau pengukur tentang perlakuan.

Orang yang melakukan perkara-perkara yang menyalahi amat mengetahui dari kata hatinya walaupun orang lain tidak mengetahui. Hati sebagai neraca tertinggi bagi manusia yang beriman menyandarkan faktor-faktor yang ghaib dan sifat-Nya Maha Mengetahui yang menyebabkan dirinya terkawal kerana setiap kadar perlakuannya diketahui oleh Allah.

Ini kerana metamatikalnya hidup ini tetap diketahui oleh Penciptanya walaupun sebesar zarah. Itulah kekuatan bagi orang-orang yang beriman kepada yang ghaib.

- PROF. DR. SIDEK BABA

Alam luas tetapi akal terbatas

Oleh DR. SIDEK BABA

SEJAK lahirnya manusia di muka bumi dan berkembang menjadi kaum dan bangsa, manusia berusaha mencari jawapan tentang asal usul kejadiannya, manusia dan hubungannya dengan alam bumi dan alam lepas.

Hubungan bumi dengan planet-planet yang lain, hubungan manusia terhadap benda yang nyata dan hubungan manusia terhadap perkara-perkara yang ghaib.

Nabi Adam manusia terawal diciptakan memulakan kehidupan di syurga. Hawa diciptakan dengan maksud supaya adanya pasangan supaya umat manusia berkembang. Mereka dihantar ke dunia kerana sebab tertentu dan darinya manusia membiak dan bertebaran di muka bumi.

Manusia sejak awal sejarahnya sudah membina sistem kepercayaannya. Melihat bumi yang luas, alam angkasa yang lepas bebas, bintang-bintang yang berkerdipan, matahari dan bulan yang memancarkan cahaya, lautan yang merentasi benua, ribut dan taufan yang mendatangkan bencana, haiwan yang melata, pohon-pohon yang menghasilkan buah dan bunga semuanya menimbulkan persoalan kepada manusia.

Rahsia Allah

Manusia mula membina sistem kepercayaan bahawa ada suatu kuasa atau kuasa-kuasa yang maha berkuasa yang menjadikan sumber kepada semua ini.

Sesetengah menghubungkan yang berkuasa itu dengan matahari, gunung-ganang, api, lautan, batu-batan malah setengahnya menterjemahkan kepercayaan terhadap yang berkuasa dengan patung-patung yang disembah. Kuasa-kuasa itu dikaitkan dengan keselamatan diri, rezeki dan anugerah, kebaikan dan kejahatan.

Sejak Nabi Adam lagi risalah Nubuwwah membawa manusia kepada keesaan Allah atau jalan hunafa yang membawa kepada ketuhanan yang satu. Sejarah turunnya Nabi-Nabi dan para Rasul adalah suatu rangkaian sejarah manusia yang sebahagiannya patuh dan sebahagian lainnya ingkar.

Keadaan tersebut wujud sehingga kini lebih-lebih lagi setelah tamatnya tradisi kerasulan untuk manusia.

Alam yang maha luas ini ibarat kitab yang perlu dikaji. Di dalamnya terdapat rahsia yang amat banyak. Setiap bab yang diselak terkandung maklumat, ilmu dan hikmah yang belum diteroka dan dikaji. Kemampuan akal manusia untuk mengetahui rahsia alam ini seluruhnya amat terbatas.

Allah mengumpamakan kajian tentang rahmah dan nikmatnya ibarat air laut dijadikan dakwat untuk mencatatkan seluruh rahsia Allah nescaya kering tujuh lautan, rahsia kebesaran Allah itu tidak akan mampu dicatat.

Alam ini amat luas untuk dikaji oleh manusia. Ufuk minda yang terbatas menjadikan kajian berasaskan benda-benda yang tampak tetapi terbatas kepada hal-hal yang ghaib. Perhatikan bagaimana manusia asalnya tidak ada, kemudian ada dan akhirnya mati (tidak ada). Yang menjadikan manusia hidup ialah roh yang tidak nampak yang berada dalam diri manusia.

Kekuatan akal manusia berfikir kerana adanya roh yang menghasilkan hayat berfikir. Kehebatan manusia bergerak adalah kerana adanya roh yang membolehkan manusia bergerak.

Kekuatan hati dan nafsu yang dimiliki oleh manusia juga akibat adanya roh yang ghaib. Tanpa roh seluruh akal, jasad, hati dan emosi manusia tidak akan memberi makna apa-apa. Yang menghidupkan manusia ialah roh.

Reputnya jasad manusia disebabkan roh telah pergi daripadanya. Yang manusia tahu tentang roh adalah sedikit kerana itu adalah urusan penciptanya iaitu Allah.

Dengan akal yang terbatas, ia tidak mampu menjangkau alam yang luas. Dengan pancaindera yang tidak jauh jangkauannya membatasi manusia mengetahui faktor-faktor yang nyata apalagi hal-hal yang ghaib. Sebahagian besar orang Barat hanya bergantung kepada kekuatan akal untuk mendapat jawapan terhadap kemusykilan mengenai alam ini.

Tradisi sains Barat banyak mengkaji tentang apa dan kurang bertanya tentang mengapa. Tradisi sains Islam tidak saja mengkaji tentang apa tetapi terus bertanya mengapa sesuatu itu begitu dan begini. Darinya manusia mula berfikir hikmah di sebalik kejadian. Darinya lahir keyakinan manusia kepada pencipta yang Maha Berkuasa dan kedudukan manusia yang maha kerdil.

Tradisi sains Islam menjadikan akal sebagai alat. Akal ini dipandu oleh al-Quran sebagai sumber pertunjuk yang memberikan manusia pedoman tentang manusia, alam nyata dan alam ghaib, hubungan manusia dengan alam dan Pencipta dan peranan manusia terhadap alam dan Pencipta.

Wujudnya pedoman dari Allah Pencipta alam ini adalah suatu hal wajar. Rahsia alam ini tentu ada pada Penciptanya. Hatta manusia yang diciptakan oleh Allah rahsia untung nasibnya juga berada pada kudrat Allah. Yang manusia tahu tentang dirinya amat sedikit. Yang sedikit itu sudah cukup untuk menjadikannya berjiwa hamba yang tinggi kerana akhirnya pada Allahlah yang bakal menentukan segala-galanya.

Kesedapan duniawi

Jalan berfikir begini amat penting diketahui oleh para remaja Islam. Tidak mungkin manusia dijadikan tanpa sebab dan tujuan. Kalaulah manusia dihidupkan untuk maksud makan dan minum saja atau hiburan dan seks sahaja, haiwan juga sedemikian. Tentu ada sebab manusia diberi akal, hati dan nafsu.

Akal membolehkan manusia berfikir tentang diri dan kehidupannya, dari hati manusia boleh menimbang tentang baik buruk sesuatu dan dari nafsu lahirnya keinginan dan kemahuan yang sekiranya dikawal memberi nikmat yang amat bermakna bagi manusia.

Mendalami sains yang Islami bagi remaja mendekatkan dirinya kepada Allah. Mengetahui batasan terhadap rahsia alam ini menginsafi bahawa kekerdilan manusia tidak diberikan segala-gala. Kekuasaan Allah mengetahui apa saja. Sesuatu yang berlaku pada diri, pada alam, pada manusia semuanya terkandung hikmah bagi yang berfikir dengan akal dan mata hati.

Akal hanya mengetahui zahirnya sesuatu sementara mati hati yang terpancar dari rohani yang tinggi memberikan intuisi yang amat diperlukan oleh manusia.

Oleh itu remaja jangan hanya menagih kesedapan duniawi dan zahiri yang sifatnya sia-sia. Remaja Islam harus mencari kelazatan rohani yang mampu melahirkan manusia yang ikhlas, jujur, amanah, adil, bertimbangrasa, bijaksana dan telus kerana pancaran amal rohaniah ini mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah.

Sebagai pelajar umpamanya, alam yang luas ini membolehkan remaja mengetahui tentang Allah dan tanda-tanda kebesaran-Nya. Dari tanda-tanda yang sifatnya saintifik bakal menemukan remaja tentang rahsia kadar dan angka. Dengannya remaja mendapat kefahaman tentang pentingnya titik-keseimbangan yang amat diperlukan dalam hidup ini.

Remaja akan terpedoman bahawa alam ini diaturkan sedemikian rupa oleh Penciptanya. Manusia tidak mampu melakukan pengaturan ini.

Kembalinya remaja menginsafi tertib kadar yang ada (matematik) memahami alam benda yang pelbagai (fizik), meneroka dunia hayat yang beragam (biologi), meneliti susunan alam yang berbeza-beza kedudukan dan manfaatnya (geologi), menyiasat sebab dan punca penyakit (perubatan), menawarkan ubat-ubatan dan khazanah alam yang diciptakan (farmasi), menghasilkan alat-alat bagi memudahkan kehidupan (teknologi) adalah asas ilmu yang amat berguna kepada manusia.

Al-Quran memberi pedoman kepada manusia atas semuanya kerana dari-Nya Allah mencipta sesuatu dan darinya rahsia alam diperolehi. Darinya menjadikan manusia bersyukur tentang kebesaran-Nya.

Ilmu yang bermanfaat perlu dicari

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

Al-Quran memberikan asas tentang ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan yanfaunnas atau sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia. Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi keilmuan orang lain.

Ada asas-asas universal yang terdapat pada ilmu yang berkenaan yang tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak.

Kunjungan al Biruni ke India, pengembaraan Ibn Battuta ke serata ceruk dunia, penguasaan al Farabi, Ibn Sina terhadap ilmu-ilmu falsafah Greek-Yunani, anjuran Rasulullah supaya ilmu dituntut hingga ke negeri China.

Begitu juga kaedah menebus diri tawanan perang dengan mengajarkan anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis pada zaman Rasulullah. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain harus dicari selagi ia tidak bercanggah.

Lebih-lebih lagi dewasa ini umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan bakal menjadi kuasa besar.

Penaklukan dan penjajahan kini tidak seperti dulu. Kehebatan teknologi langit terbuka, rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi, kesuburan media cetak dan elektronik, rangkaian Internet dan sistem komputer yang canggih telah memberikan bentuk ‘penjajahan’ baru kepada umat Islam.

Cabaran untuk mengetahui aspek-aspek teknologi amat dituntut supaya umat Islam tidak selamanya menjadi pengguna kepada keunggulan ilmu dan teknologi Barat umpamanya sehingga Barat dijadikan indikator maju, moden, membangun dan berubah secara mutlak.

Mempelajari teknologi atau ilmu alat tidaklah salah. Teknologi dari sudut Islam selamanya alat. Ia bukan matlamat. Matlamat dalam komputer dan Internet umpamanya ialah untuk memperkaya, mempercepat dan mempelbagaikan maklumat supaya pemikiran manusia menjadi lebih luas.

Secara mekanistiknya tidaklah salah. Tetapi terdapat sesetengah maklumat, perisian, input dan program dalam komputer dan Internet mengandungi hal-hal yang sifatnya menyalahi. Ia memerlukan daya saring yang tinggi di kalangan pengguna supaya pengguna dapat membezakan yang baik dengan yang buruk dan yang bermanfaat atau sebaliknya.

Adalah menjadi cabaran remaja untuk memahami keadaan ini supaya para remaja tidak terjebak dalam perangkap Barat atau yang boleh merosakkan minda remaja. Persoalan maklumat berkait rapat dengan pemikiran. Orientasi maklumat yang datang dari budaya orang lain kadang-kadang membawa orientasi dan nilai yang tidak sama dengan nilai-nilai Islam.

Apa yang patut dilakukan oleh remaja ialah memiliki tekad dan azam yang tinggi untuk mempelajari sesuatu yang bermanfaat dari orang lain, tradisi lain malah tamadun lain. Oleh kerana sifat sains dan teknologi berkembang, para remaja harus bersedia untuk menguasai ilmu-ilmu baru supaya umat Islam sentiasa semasa dengan perkembangan zaman.

Namun begitu para remaja harus terlebih dahulu menguasai asas-asas ilmu dan pemikiran Islam. Ulama dan ilmuwan Islam di zaman gemilang dulu menguasai ilmu-ilmu mengenai akidah, syariah, ibadah dan akhlak supaya mereka memiliki jati diri sebagai seorang Islam yang berilmu dan menghayati ilmu.

Asas-asas ini sangat penting untuk memberikan para remaja kekuatan diri menghadapi maklumat, data dan fakta dari sumber-sumber orang lain atau sumber berbanding.

Apabila dewasa kelak, ia akan berkembang kerana sifat ilmu dan maklumat tidaklah statik. Batas fardu ain umpamanya tidak memadai bagi remaja. Ini kerana corak cabaran semasa jauh menuntut supaya penguasaan ilmu alat seperti sains dan teknologi, komputer dan penyelidikan, pengurusan dan perundangan, ekonomi dan kajian ilmu-ilmu kemanusiaan, tamadun dan sistem nilai supaya remaja mempunyai perspektif yang betul dan asas yang jelas mengenai ilmu Islam dan kaitannya dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat dari sumber orang lain.

Adalah tidak memadai seorang umat Islam yang menguasai ilmu fardu kifayah maka semua yang terlepas dosa. Ia adalah syarat fikah yang minimum.

Budaya

Ilmu dan maklumat bukanlah sesuatu yang sifatnya berkecuali. Tumbuhnya ilmu dan suburnya maklumat adalah dari pengalaman budaya dan sistem nilai yang dimiliki dan diwarisi oleh sesuatu bangsa dan tamadun. Tamadun Barat pada hari ini banyak menumpukan kepada faktor-faktor memajukan benda dan pemikiran berasaskan faham sekular dan liberal.

Faham ini amat berbahaya bagi orang-orang Islam kerana ia menolak kepentingan agama dan sistem nilai.

Oleh itu para remaja yang memiliki asas ilmu Islam yang baik tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan sumber-sumber dari Barat atau Timur sekiranya para remaja dapat membezakan buruk-baik akan sesuatu dan dapat mengenal sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.

Teknologi komputer umpamanya adalah sesuatu yang baik untuk di pelajari. Dari sudut perkakasan (hardware) dan teknologinya tidaklah ada masalah bagi remaja mempelajarinya. Tetapi apabila menggunakannya sistem nilai dan kekuatan agama adalah perlu bagi memandu remaja melayari yang baik dan menghindarkan yang tidak berfaedah.

Yang memberikan perbezaan dari segi penggunaan ialah sistem nilai dan etika yang dimiliki oleh remaja.

Sekiranya sistem nilai dan etika itu lahir dari penghayatan tradisi Islam, maka para remaja akan memiliki kekuatan serta berupaya memilih dan menyaring sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama, remaja harus rasa tercabar untuk meneroka dan menghasilkan perisian yang selari dengan proses pembudayaan dan pemikiran yang sejalan dengan nilai-nilai Islam. Ia adalah proses yang tidak mudah dan menuntut masa yang lama dan panjang kerana sifat teknologi dan maklumat selalunya dinamik dan tidak statik. Ia adalah suatu usaha yang berterusan.

Cara sebegini jugalah yang pernah berlaku di Eropah dalam proses memanfaatkan ilmu-ilmu Islam di kalangan sarjana mereka. Walaupun mereka menguasai bahasa di mana ilmu Islam itu lahir dan tumbuh tetapi sumber ilmu ditatang dengan menggunakan bahasa Latin dan Ibrani dan dewasa dalam kehidupan zaman reformasi dan Renaissance sehingga menjadikan ilmu itu terpisah dengan sistem nilai dimana ilmu itu asalnya subur.

Lama kelamaan ilmu itu menjadi sekular dan berkembang secara liberal tanpa terikat dengan nilai-nilai agama.

Remaja Islam harus mempunyai tekad untuk menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik sehingga dewasanya nanti memiliki keahlian dan kepakaran dalam bidang-bidang yang tertentu. Kesediaan dan keterbukaan perlu ada untuk memanfaatkan faedah-faedah berbanding dalam ilmu-ilmu dari sumber dan tamadun lain supaya akhirnya ilmu tersebut berkembang dalam orientasi dan budaya Islam.

Inilah asas-asas integrasi dan Islamisasi yang sedang berlaku supaya ilmu-ilmu yang bermanfaat terbentuk dalam acuan kita sendiri. Darinya umat Islam akan menjadi maju di samping keunggulan ilmu dan tamadunnya sendiri.

Penyuburan ilmu-ilmu Islam seharusnya berlaku supaya ia menjadi teras membangun acuan sendiri yang sifatnya menyumbang dan memperkayakan.

Alam ini ibarat buku?

Oleh: DR. SIDEK BABA

DALAM surah al-Alaq ayat pertama al-Quran menyebutkan: Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Makna baca disini bukanlah dalam pengertian yang terbatas. Baca di sini membawa makna yang amat luas.

Tidak saja kita dituntut membaca apa yang tersurat tetapi membaca apa yang tersirat. Membaca yang tersirat memberikan kita makna yang sebenar akan sesuatu.

Al-Quran tidak sekadar terkandung ayat-ayat untuk dibaca. Ia terkandung kisah-kisah tentang manusia, kehidupan dan peristiwa pada zaman terdahulu. Kisah itu menjadi ibrah (teladan) bagi yang terkemudian kerana ia berulang semula dalam kehidupan manusia pada hari ini dan hari depan. Al-Quran juga terkandung prinsip-prinsip keyakinan dan kepercayaan terhadap yang ghaib untuk diimani. Keimanan terhadap Allah, malaikat, alam akhirah, dosa dan pahala, qada dan qadar adalah asas penting beragama.

Al-Quran juga terkandung ilmu, maklumat, fakta dan data tentang kejadian, alam dan kehidupan. Banyak pertunjuk saintifik yang terkandung di dalam al- Quran yang memandu para saintis melakukan kajian dan telitian (tadabbur).

Pedoman tentang hukum dan batasan, nilai-nilai baik dan buruk juga merupakan intisari penting yang ada di dalam al-Quran untuk pedoman manusia. Tanpa pedoman ini manusia mungkin melampaui batas dan menjalani hidup secara tidak fitrah.

Asas tasawur atau pandangan alam secara Islam dibina atas keyakinan sesuatu itu tidak saja dilihat secara nyata dan tampak, boleh dipegang dan dihitung tetapi keyakinan juga terhadap hal-hal yang ghaib. Yang ghaib tidak bermakna ia tidak ada. Ia hanya tidak nampak pada indera manusia tetapi ia tetap ada.

Roh yang Allah kurniakan kepada manusia adalah sesuatu yang wujud. Tanpanya manusia akan mati. Tanpanya benih yang semakin membesar dalam kandungan tidak akan memiliki hayat. Yang menjadi sumber hayat ialah roh. Roh adalah perkara ghaib. Ia adalah hak Allah. Pengetahuan manusia tentangnya amat sedikit.

Anugerah yang paling utama dari Allah ialah alam ini. Ia ibarat sebuah buku. Ia terkandung bab-bab yang menjadi kandungan pada buku. Setiap bab ini mempunyai maklumat, kisah dan cerita tentang sesuatu. Dari bab ke bab apabila dibaca ia memberikan pembaca ilmu, maklumat, data dan fakta tentang sesuatu.

Ibarat sebuah buku tentu ada penulis dan penggubah bab-bab yang berkaitan. Tidak mungkin sebuah buku lahir tanpa penulis atau penggubah. Kalau begitu siapa yang menggubah alam ini. Apakah ia terjadi dengan sendiri atau terjadi secara kebetulan.

Dalam tradisi sebahagian orang-orang Barat yang tidak percaya kepada kewujudan Allah dan berpegang kepada teori evolusi Charles Darwin, alam ini terjadi secara kebetulan. Dalam tradisi orang-orang Islam dan tradisi sainsnya menyatakan alam ini diciptakan. Manusia juga diciptakan. Malah seluruh rahmat dan nikmat dalam kehidupan ini adalah diciptakan. Ibarat sebuah buku tidak mungkin ia terjadi dengan sendiri. Fakta, maklumat dan kisah-kisah yang dirakamkan tidak mungkin berlaku secara kebetulan. Sudah tentu penulis dan penggubah buku tersebut tahu apa yang ditulisnya. Hal yang sama juga boleh diibaratkan terhadap alam ini. Tidak mungkin ia terjadi secara kebetulan atau terjadi dengan sendiri.

Allah s.w.t. mencipta manusia dan makhluk dengan bekalan ilmu, maklumat, fakta dan data. Wahyu diturunkan kepada manusia menerusi Nabi dan Rasul Pilihan. Nabi Muhammad menerima wahyu selama 23 tahun dan dihimpunkan menjadi al-Quran. Ia terkandung sumber ilmu, maklumat, data dan fakta untuk menjadi pertunjuk dan pedoman kepada manusia mengenal dirinya, alam ini dan akhirnya mengenal Allah iaitu pencipta dan penggubah alam ini.

Terdapat di kalangan para orientalis (yang mengkaji tentang Timur) mengatakan al-Quran merupakan buah fikiran Nabi Muhammad atau kutipan dari kitab-kitab terdahulu. Asas ini tentunya tertolak apabila didapati Nabi Muhammad adalah seorang yang ummi ( tidak boleh membaca dan menulis).

Remaja Islam harus memahami bahawa pedoman memahami alam ialah menerusi kitab al-Quran. Al-Quran datangnya dari Allah maka logiknya alam ini adalah ciptaan Allah. Al-Quran menyatakan kepada kita tentang alam dan perjalanannya, alam dan rahsianya dan alam tentang akhirnya.

Pedoman-pedoman saintifik mendorong para saintis Islam mengkaji dan menulis tentang tanda-tanda kebesaran Allah itu. Semakin dikaji dan semakin ditemui sedikit rahsia kebesaran Allah semakin mendekatkan manusia dengan Penciptanya.

Teori Dentuman Besar atau Big Bang menyebutkan seluruh alam bermula dengan sistem Nebula yang besar. Berlakunya Dentuman Besar (Secondary Separation) menyebabkan lahirnya galaksi-galaksi. Ia menghasilkan bintang, planet, matahari, bulan dan sebagainya. Al-Quran 21:30) menyebutkan dengan nyata hakikat kejadian ini. Para saintis juga mendapati sebelum galaksi terbentuk terdapat awan atau elemen gaseous seumpama asap. Al Quran (41:11) menyebutkan tentang konsep dukhan dalam proses kejadian langit.

Pendapat awal tentang bumi ialah bumi ini rata. Al-Quran (31:29 & 39:5) menyatakan dengan jelas bahawa bumi ini bulat (spherical). Francis Drake (1597) yang mengelilingi dunia mendapati bahawa bumi ini bulat. Tamadun awal manusia menyatakan bulan mendapati cahaya dan sumbernya sendiri. Para saintis kemudiannya mendapati cahaya bukan adalah cahaya pantulan. Al-Quran (25: 61) menyebutkan dengan jelas pantulan cahaya matahari terhadap bulan.

Suatu ketika dulu ahli falsafah dan saintis Barat berpendapat bumi berdiri tegak sebagai pusat alam dan planet-planet lain berputar sekitarnya. Sejak zaman Ptolemy dan Copernicus pelbagai pendapat tentang alam, matahari dan sistem solar dikemukakan. Pada 1609, seorang saintis German Yohannus Keppler dalam teori Astronomia Novanya menyatakan tidak saja planet berputar di sekeliling matahari tetapi yang lain-lain juga berputar di sekeliling aksisnya.

Al-Quran (21:33 & 36:40) menyatakan dengan jelas konsep yasbahun yang membawa makna perputaran. Ia merujuk tentang bagaimana matahari juga berputar dalam lingkungan aksisnya. Pada 1925, Edwin Hubble mendapati galaksi berjarak antara satu dengan lain dan membuat andaian bahawa alam ini mengembang. Al-Quran (51:47) menyatakan dengan jelas konsep musi‘un yang merujuk sifat alam yang berkembang.

Malah Stephen Hawking dalam bukunya, A Brief History of Time menyatakan penemuan tentang alam ini berkembang merupakan revolusi intellectual yang terhebat di abad ke-20. Al-Quran telah menyatakan hal yang tersebut sejak 1400 tahun yang lalu.

Para remaja harus menginsafi banyak lagi ayat al-Quran yang memberi perisyaratan sains yang memerlukan kajian dan telitian. Orang Barat mampu melakukannya kerana mereka memiliki ilmu alat. Oleh itu membaca alam adalah pancaran membaca ayat-ayat Allah. Penggubah alam adalah Allah. Al-Quran adalah kalam-Nya untuk remaja tahu tentang ciptaan-Nya, rahsia tentang sesuatu dan tanda-tanda kebesaran-Nya.

Pentingnya qudwah dalam hidup remaja

Oleh: DR. SIDEK BABA

UMAT Islam di Malaysia merayakan ulang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w. sebagai hari yang amat istimewa. Perjuangan Rasulullah dikenang dan pengorbanannya diingati. Rasulullah s.a.w. dianggap sebagai pembawa rahmat yang sifatnya alamiah.

Peribadinya disebut-sebut sebagai peribadi yang terbaik. Akhlaknya dirujuk sebagai akhlak teladan. Pada Rasulullah terdapat qudwah (contoh) untuk dijadikan sumber ikutan.

Para remaja hari ini tentu memerlukan contoh ikutan dalam hidup. Selain ibu bapa yang sering dijadikan sumber teladan, para remaja juga amat suka kepada personaliti yang mempunyai daya selebriti seperti artis, pelakon, ahli-ahli sukan dan juga penghibur. Tetapi fitrah remaja akhirnya memerlukan contoh atau qudwah yang lebih kekal dan mendukung nilai-nilai fitrah yang tinggi.

Rasulullah mewakili imej teladan terbaik. Baik pada zaman kanak-kanak mahupun remaja atau setelah diangkat sebagai Rasul pilihan. Peribadi dan akhlaknya amat terserlah dan berjaya memikat hati manusia yang ingin mencari kebenaran dan keabadian.

Para remaja harus melihat konteks qudwah Rasulullah s.a.w. dalam perspektif yang luas. Tidak saja ia merentasi zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua malah selepas wafatnya.

Sejak kanak-kanak lagi, Muhammad terkenal sebagai anak penggembala kambing. Ia suka mengasing diri, melakukan uzlah dan tidak mahu terlibat dalam amalan syirik menyembah berhala yang dilakukan oleh kaumnya. Ia memiliki rasa jujur yang tinggi dan keikhlasan untuk mencari kebenaran.

Semasa mudanya minat kepada berniaga amat besar. Ia membawa dagangan Siti Khadijah ke Yaman dan Syam (Syria). Kejujurannya dalam mengendalikan dagangan Siti Khadijah menyebabkan Siti Khadijah amat tertarik dengan dirinya.

Apabila Rasulullah s.a.w. menerima wahyu yang pertama, Siti Khadijah memberikan kekuatan semangat yang luar biasa kepadanya. Rasulullah s.a.w. mempunyai jiwa yang kental untuk memperjuangkan kebenaran. Di tengah-tengah masyarakat jahiliah bergelumang dengan amalan fahsyak dan mungkar, Rasulullah tampil membawa risalah tauhid bagi membebaskan kaumnya dari amalan syirik.

Apabila berdakwah dengan bapa saudaranya Abu Talib yang banyak melindunginya di Mekah tetapi masih dengan ajaran lamanya, didekati dengan kasih sayang dan hikmah. Rasulullah s.a.w. amat insaf bahawa melakukan dakwah terhadap bapa saudaranya adalah tuntutan Allah tetapi yang memberi hidayah adalah urusan Allah jua.

Rasulullah amat dibenci oleh seorang perempuan Yahudi. Setiap kali Rasulullah lalu di hadapan rumahnya, ia membaling sampah ke arah Rasulullah. Rasulullah menerima ujian itu dengan sabar. Suatu ketika apabila ia lalu di hadapan rumah perempuan itu, ia tidak di baling lagi lalu Rasulullah bertanya apa yang telah terjadi kepada perempuan itu kepada jirannya. Jirannya menyatakan perempuan Yahudi itu sedang sakit.

Dengan izin, Rasulullah menjengah ke rumah perempuan tersebut dan perempuan Yahudi itu amat terkejut melihat orang yang dibencinya siang dan malam datang menziarahinya. Kekaguman perempuan Yahudi terhadap pekerti Rasulullah membawanya kembali kepada fitrah iaitu menganut agama Islam.

Rasulullah s.a.w., seorang yang tegas dalam pendirian terutama yang melibatkan persoalan akidah. Apabila kelompok Abu Jahal dan Abu Lahab berasa amat tertekan dengan dakwah Rasulullah yang memenangi ramai pengikut mereka melakukan strategi memenangi hati Rasulullah dengan tawaran pangkat dan jawatan.

Rasulullah menyatakan kepada mereka bahawa sekiranya diletakkan matahari di tangan kanannya dan bulan di tangan kirinya supaya ia memberhentikan ajakan dan seruan, Rasulullah s.a.w. akan terus berjuang bagi mengembalikan akidah Islamiah terhadap yang syirik.

Dalam mengatur strategi, Rasulullah amat teliti memilih orang-orang yang dipercayainya. Bila berada di Gua Thur, Rasulullah s.a.w. memilih Abu Bakar sebagai teman yang amat dipercayai terutama dalam saat yang kritikal.

Anak-anak Abu Bakar seperti Abdallah dan Asmak amat membantu daripada segi maklumat risikan dan juga bekalan makanan.

Semasa di Madinah, Rasulullah mengatur strategi bijak untuk mempertautkan ukhuwah atau persaudaraan antara Muhajirin dan Ansar. Ia membantu Rasulullah dalam memberikan asas kestabilan terhadap Madinah dan akhirnya mampu membangunkan sebuah kota contoh.

Dalam usaha pertama untuk kembali semula ke Mekah, Rasulullah disekat di Hudaibiah. Berlaku perundingan supaya Rasulullah dan rombongannya datang pada tahun berikutnya.

Saidina Omar sahabat Nabi amat menentang cadangan itu. Rasulullah menerima cadangan itu secara positif kerana kesediaan kelompok Mekah menerima rombongan Nabi Muhammad untuk datang pada tahun berikutnya adalah suatu kemenangan moral.

Jejak-jejak sirah ini apabila diteliti oleh remaja boleh menimbulkan keinsafan betapa seorang tokoh terbilang seperti Rasulullah s.a.w. mempunyai hemah dan wibawa yang tinggi dalam memperjuangkan risalah kerasulannya sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam.

Islam yang dibawanya dikembangkan oleh para sahabat, para tabie dan tabien dengan menjadikan Madinah sebagai model tamadun dan akhirnya tegak tamadun Abbasiah yang cemerlang dan menghasilkan Andalusia yang gemilang.

Selama hampir tujuh abad Islam menyumbang terhadap tamadun dunia sewajarnya menjadi renungan kepada remaja pada hari ini. Tamadun yang berlangsung tidak saja memberi keutamaan terhadap akhlak mulia dan dalam masa yang sama ia membangunkan kekuatan ilmu yang bersifat naqliah (wahyu) dan juga ilmu yang bersifat akliah iaitu pemikiran.

Integrasi di antara kedua-dua ilmu tersebut menghasilkan peribadi hebat seperti Ibnu Nafis, Ibnu Sina, al-Batani, al-Khawarizmi, Ibnu Haitam, Muhammad al-Idrisi, al-Zahrawi dan ramai lagi yang amat unggul dengan tradisi penyelidikan, pengkaryaan dan pengembangannya.

Rujukan kekuatan ini kembali kepada qudwah atau contoh unggul yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sekiranya remaja Islam mengimpikan kembalinya suatu zaman yang gemilang pada hari depan, Rasulullah s.a.w. seharusnya menjadi qudwah terbaik.

Para sahabat adalah penerus perjuangan Nabi dan para ulama adalah pewaris Nabi. Asas ini sekiranya dapat dikembangkan secara reflektif dan strategik ia bakal mencetuskan suatu arah baru dalam pengupayaan ilmu dan pendidikan.

Remaja Islam tidak harus mudah terjebak dengan konsep idola dan diva yang dikembangkan oleh Barat. Proses pemBaratan yang sedang berjalan menjadikan fokus selebriti, hiburan, muzik sebagai sumber memikat dan menghancurkan nilai-nilai murni mereka.

Remaja Islam harus insaf bahawa tanpa nilai dan akhlak Islami tidak mungkin tamadun Islam mampu lahir. Umat Islam akan terus menjadi pengguna dan pengkagum kepada gaya hidup Barat. Contoh atau qudwah yang terbukti menjadi rujukan kepada tamadun seharusnya menjadi ikutan remaja. Pada diri Rasulullah s.a.w. terdapat qudwah yang hebat untuk membangunkan umat bagi mendepani cabaran pembaratan dan globalisasi.

Imej Islam terletak pada ajaran dan penganutnya

Oleh DR. SIDEK BABA

SUATU ketika dulu imej Islam dipandang hebat oleh dunia Barat dan Timur. Rasulullah s.a.w. membina asas tamadun dengan menjadikan Madinah sebagai model asas dan dikembangkan oleh para sahabatnya, tabie tabien, para ulama dan ilmuan yang terbilang sehingga menjadikannya tamadun yang bertahan hampir 700 tahun.

Baitulhikmah dibangunkan dengan tradisi perpustakaan dan ilmu yang amat menakjubkan. Zaman Abbasiyyah adalah zaman yang menampilkan keunggulan tradisi sains dan matematik yang amat mengkagumkan. Andalusia menjadi tempat rujukan ilmu dan Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam.

Orang-orang Barat melihat Islam di Andalusia sebagai agama tamadun. Darinya lahir ilmuan terbilang dalam berbagai bidang. Karya-karya mereka diterjemahkan ke bahasa orang-orang Barat iaitu bahasa Latin dan Ibrani dan ilmunya diambil untuk dijadikan sandaran dalam membangun ilmu-ilmu falsafah, astronomi, sains, perubatan, geografi, matematik, muzik dan sebagainya.

Darinya Barat membangun kekuatan sebagai bangsa maju dan akhirnya menjadi penakluk dengan mengembangkan ilmu dan tamadun dalam orientasi baru kepada umat manusia terutamanya orang-orang Islam.

Ratusan tahun umat Islam dijajah sudah tentu meninggalkan kesan yang amat besar terhadap tradisi ilmu, kehidupan dan juga sistem. Faham sekular berkembang dalam masyarakat Islam. Akhirnya sebahagian umat Islam mengagumi kekuatan Barat dalam melakukan pemodenan dan perubahan dalam acuan Barat.

Pada hari ini umat Islam terpalit dengan imej buruk sehingga menimbulkan fobia atau ketakutan bagi sesetengah orang di Barat hingga timbul kebencian mereka terhadap kebangkitan Islam itu sendiri. Islam dianggap agama yang membimbing manusia ke arah kepengganasan, pelampau dan menyuburkan faham fundamentalis. Sistem pondok, pesantren, madrasah dan seumpamanya menghasilkan taliban-taliban yang bakal menghancurkan seluruh kepentingan Barat. Apakah itu benar?

Samuel Hutington dalam analisis politiknya mengenai ‘Pertembungan Tamadun’ (Clash of Civilization) merupakan suatu kesengajaan lanjutan daripada teori konflik Barat yang sifatnya sentiasa mempertembungkan.

Memang niat kuasa-kuasa Barat untuk menjadi kuasa penakluk dalam bentuk baru ternyata berkesan. Hanya bangsa kulit putih dianggap mampu melakukan pencerahan budaya dan tamadun terhadap orang lain. Sebab itulah globalisasi berlaku dengan maksud tersirat untuk melakukan hegemoni atau penguasaan politik, ketenteraan, teknologi, budaya, sistem komunikasi dan telekomunikasi terhadap umat Islam dan juga umat manusia.

Bush menyerang Iraq menggunakan alasan Saddam Hussein memiliki senjata pemusnah dan membantu perjuangan Osama bin Laden. Ternyata selepas Iraq dihancurkan tiada pula senjata pemusnah itu ditemui. Yang nyata Iraq menjadi huru-hara. Perang saudara sedang berlaku. Dasar pecah-belah dan perintah ini adalah bayangan teori konflik yang telah berjalan sejak lama.

Tetapi mengapa pertembungan tamadun tidak dihalakan kepada agama Kristian atau orang-orang Yahudi dan Zionis yang banyak mempengaruhi dasar-dasar utama kuasa-kuasa besar atau kepada agama Buddha dan Hindu. Tentu ada sebab yang tersirat mengapa imej agama Islam dirosakkan semahu-mahunya dan umat Islam ditekan dan dihimpit sesuka hati mereka.

Meneliti ajaran Islam itu sendiri, ia mengajak manusia kepada nilai-nilai baik seperti adil, amanah, kemanusiaan tinggi, adab dan santun. Mengapa nilai-nilai ini dibenci dan dihina.

Dalam masa yang sama media Barat berhempas pulas menyemaikan budaya popular yang meruntuhkan nilai-nilai murni dan tata kemanusiaan seolah-olah itulah makna kemajuan dan tamadun baru yang hendak disuburkan. Imej Islam dirosakkan tanpa batasan. Imej orang-orang menutupi aurat dan berjubah atau berketayap di Barat menjadi objek sendaan dan kehidupan umat Islam semakin disukarkan.

Oleh itu, amat penting umat Islam terutama di kalangan para remajanya melihat kembali hal-hal yang berbangkit supaya mereka tidak terjebak dalam perangkap pemikiran dan nilai, ilmu dan maklumat atas nama teknologi canggih sehingga akhirnya menjadikan remaja Islam sebagai penciplak unggul terhadap tamadun Barat tanpa usul periksa.

Lebih strategik

Dalam masa yang sama umat Islam harus lebih strategik dalam menampilkan imej Islam supaya wujud titik keseimbangan yang tinggi antara cita-cita untuk merubah dengan kemampuan ilmu untuk merubah.

Pokoknya, bila kita menyebut Islam terdapat dua perkara yang dijadikan fokus. Pertama ajarannya dan kedua ialah pemeluknya. Allah memberi jaminan bahawa al-Quran akan tetap terpelihara sehingga hari kiamat.

Al-Quran sebagai sumber ajaran tetap tidak berubah. Prinsip hukumnya tetap sama sampai bila-bila. Pedoman saintifiknya tetap utuh sampai bila-bila. Peraturan sosialnya tetap tidak berubah walaupun gaya hidup manusia berubah.

Sebagai agama yang menganjurkan ajaran dan pendidikan sudah tentu Islam mempunyai dinamika untuk menghadapi faktor zaman yang berubah. Soal utamanya ialah apakah yang berubah?

Faktor asasi manusia tidak berubah. Yang berubah ialah cara manusia hidup dan mencapai sesuatu dalam kehidupan. Ada manusia membangunkan hidup hanya dengan berpandukan logik akal dan nafsu semata-mata. Tetapi Islam menganjurkan kehidupan manusia di pedoman dengan ajaran yang benar dan dengan nilai-nilai yang benar. Ajaran dan nilai yang benar datangnya dari Allah.

Mengenal kebenaran dan nilai adalah tanggungjawab manusia dalam proses pengilmuan dan pendidikannya. Tanpa pedoman kebenaran manusia akan hilang pedoman dan arah dalam hidup. Al-Quran, kalam Allah memberikan manusia pedoman tentang hal-hal yang mereka tidak tahu supaya pengetahuan manusia tentang pencipta, alam, ilmu, insan dan persekitarannya berada dalam landasan yang benar.

Para remaja harus dapat membezakan asas-asas dari Barat dan Timur yang sifatnya universal atau sejagat dan terkandung faedah berbanding yang bermanfaat. Dalam masa yang sama ajaran dan prinsip Islam yang terdapat memerlukan olahan bijaksana bagi menangani faktor cabaran zaman yang sifatnya dinamik berubah.

Remaja Islam dituntut untuk menekuni ilmu-ilmu mengurus diri seperti akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Dalam masa yang sama para remaja harus mempunyai tekad untuk mempunyai keahlian dan kepakaran dalam ilmu-ilmu mengurus sistem seperti sains dan teknologi.

Kekuatan ilmu-ilmu mengenai nilai dan kemahiran, nilai dan sains sekiranya dapat diadun dengan kreatif dan inovatif, ia bakal melahirkan suatu tradisi keilmuan yang berada dalam acuan sendiri.

Asas ini penting menjadi fokus remaja supaya umat Islam akhirnya mampu menguasai bidang ilmu mengurus diri dengan baik supaya jati diri Islamnya tinggi dan imej umat Islam menjadi terserlah.

Dalam masa yang sama pembangunan modal insan berkualiti akan terjadi kerana umat Islam tidak membelakangkan kepentingan ilmu mengurus sistem. Jika ajaran Islam diolah secara lebih strategik dan futuristik imej Islam akan menjadi lebih teguh dan utuh.

Islam itu agama - Muslim itu penganutnya

REMAJA Islam harus bijak memahami bahawa Islam adalah agama yang benar. Mengajar ilmu menerusi suluh al-Quran, memandu akal manusia supaya kreativiti akal membawa kepada kebenaran.

Kekuatan dan kelemahan pemeluknya bergantung setakat mana ilmu Islam difahami dan setakat mana ajaran Islam dihayati.

Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu, darjah penghayatan Islamnya menjadi rendah. Kalaulah Islam hanya dilihat sebagai agama kepercayaan semata-mata, maka amalan ke arah kebaikan hidup dan kesejahteraan diri tidak akan berlaku.

Muslim adalah pemeluk kepada agama Islam itu sendiri. Menjadi seorang Muslim mungkin belum memadai sekiranya ilmu Islam tidak difahami dan diamalkan. Tidak semestinya setiap orang menjadi muaallim iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi. Tetapi sebilangan orang perlu ada supaya ilmu dan pemikiran Islam terus berkembang. Hubungan manusia dengan Allah boleh menjadikan seorang Islam berstatus mukmin.

Darjah keimanan yang tinggi boleh meletakkan kemantapan asas akidah dan amal berjalan seiring. Ia bakal melahirkan orang-orang yang muttaqin.

Darjah tertinggi yang menjadi idaman seorang mukmin ialah menjadi muhsin di mana talian hubungan dengan Allah begitu erat sehingga manusia memiliki daya ihsan (kebaikan) yang tinggi terhadap Allah dan juga manusia.

Islam tidak saja agama yang memberikan suatu sistem kepercayaan dan keyakinan kepada manusia tetapi ia mengatur kehidupan. Prinsip-prinsip dan pedoman yang terdapat di dalam al-Quran bermaksud memandu manusia menghasilkan ilmu bagi mengatur sistem yang lengkap.

Al-Quran memberi pedoman tentang maksud manusia diciptakan, bumi dan alam ini dijadikan. Al-Quran memberi pedoman bagaimana manusia dapat mengurus diri dan mengurus sistem berasaskan pendekatan yang adil dan amanah.

Al-Quran menyatakan kisah-kisah manusia pada masa lalu untuk menjadi ibrah atau pedoman bagi manusia pada hari ini kerana apa yang berlaku pada masa yang lalu boleh berulang kembali. Kitab suci ini juga mengaturkan pedoman dalam muamalah dan berekonomi, kepentingan institusi keluarga dan sistem sosial yang subur dan berkembang dalam fitrah di samping menganjurkan manusia berfikir dan mengkaji supaya ia boleh memberi menafaat kepada manusia lain.

Islam sebagai suatu agama yang menghasilkan cara hidup menuntut umatnya supaya mempunyai ilmu dan sentiasa mengamalkannya. Yang berlaku sebahagiannya pada hari ini ialah Islam hanya berkembang dalam batas kerohanian yang sempit dan tidak diterjemahkan sebagai suatu cara hidup yang lengkap.

Dalam keluarga umpamanya, peranan ibu bapa adalah penting dalam membangun sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera. Apabila masa yang berkualiti bagi ibu dan ayah dihabiskan di luar rumah, anak-anak menjadi terbiar.

Hati dan jiwa anak-anak menjadi lompang dan kosong. Akhirnya anak-anak tercicir dalam binaan keluarga dan setengahnya terlibat dengan salahguna dadah dan salah laku dalam kehidupan remaja.

Ada ibu bapa yang berpendapat bahawa aset atau harta yang sebenar ialah kekayaan benda dan menganggap anak-anak bukan aset. Sedangkan anak-anak yang diberi perhatian dan kasih sayang yang baik, didikan dan teladan yang baik bakal menjadi modal insan yang berguna.

Lalu keperluan anak-anak hanya dilihat kepada keperluan pakaian dan makan-minum atau keperluan-keperluan lain yang bersifat kebendaan sahaja. Kasih sayang tidak diberikan, tunjuk ajar tidak dilakukan, ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman yang baik tidak terjadi. Keakraban komunikasi tidak berlaku dan akhirnya menghasilkan jurang yang amat dalam antara anak-anak dan ibu bapa.

Menganut

Islam juga sering dilihat sebagai agama warisan. Seseorang menjadi Islam kerana ibu bapanya Islam. Orang Melayu menjadi Islam kerana bangsanya menganut agama Islam. Remaja Islam tentu memahami bahawa Islam secara warisan tidak semestinya menjadikan kita umat Islam yang sejati.

Menjadi Islam tidak hanya pada faktor warisan tetapi warisan dari keluarga Islam seharusnya mendorong remaja untuk mendalami ilmu Islam supaya penghayatan Islam menjadi lebih nyata.

Lebih-lebih lagi dengan cabaran kehidupan pada masakini amat menuntut remaja memahami Islam untuk memberi pedoman dalam mencari makna pergaulan, pemahaman tentang seni dan budaya, hiburan dan riadah supaya remaja tidak mudah terjebak dengan amalan yang bercanggah.

Amalan remaja yang bercanggah tidak membantu untuk memberikan imej Islam yang baik. Amalan-amalan salah laku seperti salahguna dadah, seks bebas, ‘mat rempit’, ketagihan terhadap bahan-bahan lucah sering dikaitkan dengan remaja atau orang Islam.

Tentu ada yang tidak kena tentang cara Islam diajar mahupun pada pemeluknya. Sedangkan pada umumnya remaja Islam sudah mengikuti pengajaran fardu ain di sekolah-sekolah, khatam al-Quran dan juga diajar tentang sembahyang, puasa, dosa-pahala dan syurga-neraka oleh ibubapa dan juga para pendidik.

Mengapa asas-asas yang diajar kurang memberi kesan sehingga ia tidak menjadi benteng memisahkan yang maaruf dengan yang mungkar. Memahami yang buruk dengan yang baik dan mengerti tentang amal perbuatan dan juga akibat dari sesuatu amalan dan tindakan.

Pancaran

Amat penting pancaran rohaniah dalam ajaran Islam yang menghubungkan remaja dengan faktor-faktor ghaibiyyat seperti Allah, malaikat, qada dan qadar, hari akhirat dikaitkan dengan tradisi ilmu yang menghubungkan faktor-faktor ghaibiyyat dengan tanda-tanda kebesaran Allah yang banyak terdapat pada alam ini. Harus dicetuskan jiwa tadabbur atau kaji selidik supaya pengaruh sains dan teknologi Barat hari tidak sampai membawa remaja Islam jauh dari Tuhannya atau agamanya.

Secara rohaniahnya memahami kewujudan Allah ialah memahami diri remaja sendiri. Pada diri remaja terhadap sumber akal untuk membolehkan remaja berfikir. Terdapat sumber hati dan dan emosi yang membolehkan remaja memiliki rasa dan keyakinan. Terdapat sumber fizikal yang membolehkan remaja bergerak dan melakukan kegiatan.

Memahami diri remaja sudah tentu membawa remaja merenung tentang sumber kekuatan yang menyebabkan kehidupan berlaku. Itulah faktor roh yang amat penting bagi remaja. Tanpa roh remaja dan manusia akan mati. Sehebat mana akal fikir remaja, emosi remaja dan keaktifan fizikal remaja, ia akan menjadi kaku bila roh tercabut dari tubuh badan.

Roh itu milik siapa? Al-Quran menggambarkan roh itu adalah milik Allah dan dipinjamkan sementara kepada manusia. Yang diketahui oleh manusia adalah amat sedikit. Asas ini membolehkan remaja menginsafi bahawa di samping faktor diri yang sifatnya kelihatan dan nyata ada faktor dalam diri yang sifatnya wujud tetapi ghaib.

Memahami hakikat roh membina keyakinan manusia tentang faktor yang ghaib iaitu Allah. Ghaib bukan bermakna tidak ada tetapi ghaib dalam konteks pemahaman terhadap Allah menunjukkan Ia ada dan amat berkuasa terhadap manusia dan alam ini.

Pada alam ini sendiri terdapat tanda-tanda kebesaran Allah. Upaya kita sebagai manusia untuk memahami alam dan hakikatnya amat terbatas. Tetapi berlakunya proses silih gantian siang dalam malam adalah di luar kemampuan manusia mengaturnya, perputaran cakerawala mengikut landasan yang tepat dan teratur bukanlah upaya manusia menggerakkannya.

Sudah tentu ada kuasa yang maha perkasa menentukan segalanya. Ia membawa remaja memahami tentang Allah kerana memerhatikan hakikat kebesaran-Nya.

Apalagi bila al-Quran iaitu kalam Allah, mengkhabarkan kepada manusia dan para saintis tentang asal usul kejadian alam, kejadian manusia, kejadian sumber-sumber rahmah yang melimpah ruah, tentang berlakunya silih gantian dan kehidupan yang berpasang-pasang, tentang awan yang menghasilkan air, turun ke bumi menyuburkan tanah-tanah yang mati dan menumbuhkan pohon-pohon yang menghasilkan buah untuk rezeki manusia.

Petunjuk al-Quran itu adalah selari dengan kajian saintifik masa kini. Oleh itu mengkaji al-Quran mendekatkan manusia kepada sains dan membina keyakinan manusia tentang Allah.