Wednesday, December 20, 2006

Hati-hati dengan proses pembaratan

Oleh: DR. SIDEK BABA

Islam tidak mengambil pendirian anti Barat atau pun Timur. Islam adalah agama dakwah yang mendukung nilai-nilai alamiah. Islam adalah agama rahmah untuk seluruh alam. Pengaruh Islam berada di Barat dan di Timur.

Penganut Islam merupakan penganut agama yang kedua terbesar di kebanyakan negara-negara Barat. Mengambil pendekatan anti Barat bermakna membataskan skop dakwah untuk membawa manusia kembali ke fitrah.

Di Perancis umpamanya terdapat empat cendekiawan terbilang seperti Roger Garaudy, pemikir intelektual Marxis, Maurice Bucaille, seorang pakar ilmu bedah, Jacquis Cocteu, ahli oseanografi dan Bruno Guiderdoni, pakar astrofizik terkemuka kembali kepada fitrah. Islam menjadi lebih menarik di Barat kerana ia didekati secara ilmu dan saintifik dan ia memberi tanda untuk suatu kebangkitan.

Memang benar pada hari ini Barat maju dalam sains dan teknologi. Kemajuan Barat menjadi sumber rujukan utama bagi masyarakat lain yang ingin maju dalam bidang yang sama. Kurikulum dan kaedah pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya mengambil orientasi Barat.

Tidak salah mengambil aspek-aspek berbanding yang boleh memberi menafaat kepada kemajuan kita. Tetapi negara-negara Barat mempunyai orientasinya sendiri bertunjangkan falsafah yang jauh lebih terbuka dan tidak terikat dengan nilai-nilai agama.

Tradisi sains dalam Islam mengambil kira faktor agama. Walaupun al-Quran bukan kitab saintifik, tetapi pedoman-pedoman saintifik di dalamnya memandu tradisi keilmuan berkembang dengan mengambil kira faktor keinsanan, sains dan teknologi supaya manusia menjadi lebih manusiawi.

Para remaja Islam harus insaf bahawa ilmu itu terdapat di mana-mana, sama ada di Barat mahupun di Timur. Oleh itu adalah suatu langkah yang bijak untuk menghantar generasi muda di kalangan yang terbaik untuk menimba ilmu pengetahuan di Eropah, Amerika Syarikat, Russia, Jepun dan China supaya ilmu yang terkini di kalangan mereka dapat diambil dan dibawa kembali ke negara kita.

Usaha seperti ini penting supaya remaja Islam tidak ketinggalan mengetahui dan menguasai ilmu-ilmu terkini yang bermanfaat untuk umat Islam dan juga untuk umat manusia.

Tetapi remaja Islam harus mempunyai persiapan yang baik sebelum dan selepas menguasai ilmu-ilmu dari Barat dan Timur. Pertama fahami dulu falsafah dan tasawwur ilmu dalam tradisi Islam.

Umat Islam pernah melahirkan tamadun yang berasaskan sains, matematik, perubatan, astrofizik pada suatu ketika dulu. Para remaja tentu maklum bahawa Barat amat terhutang ilmu kepada Islam.

Para saintis Islam melakukan penerokaan saintifik yang luar biasa mendahulu orang-orang Barat dalam banyak lapangan. Ini bermakna tradisi sains Islam pernah wujud dan menjadi sumber rujukan Barat dan Timur. Ia diajar di universiti-universiti utama di Eropah untuk berabad-abad.

Memahami falsafah sains Islam adalah amat penting supaya dalam mempelajari ilmu-ilmu Barat, para remaja tidak lupa dengan sejarah dan tamadun sendiri. Menghargai tamadun sendiri menjadikan kita yakin bahawa tradisi sains Islam sentiasa menghubungkan dirinya dengan nilai dan agama.

Mengkaji fenomena yang terjadi dan faktor-faktor alamiah yang terdapat menghubungkannya sebagai ciptaan Allah. Apabila remaja meneliti dan mengkajinya secara Qurani dapat mengukuhkan lagi keimanan dan keyakinan remaja terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah.

Kedua, para remaja harus melakukan kajian berbanding terhadap falsafah tamadun Barat dan juga falsafah tamadun Islam. Di Barat, orientasi keilmuan banyak menumpu untuk mengukuhkan faham sekular dan liberal dan sifatnya bebas nilai.

Pendekatan dalam pembangunan dan perubahan banyak memberikan tumpuan kepada asas-asas yang mekanistik dan menjadikan keupayaan teknologi dan sains sebagai segala-gala. Dalam amalan ekonomi, faham konsumerisme menjadi matlamat.

Dalam media cetak dan elektronik elemen-elemen hedonistik atau berpoya-poya sentiasa menjadi tema dalam penerbitan dan penyiaran.

Globalisasi yang sedang menyemarak pengaruhnya terhadap dunia hari ini bakal memberi kesan terhadap pola-pola kehidupan remaja. Faedah berbanding dari faktor globalisasi perlu diambil.

Dalam masa yang sama para remaja harus mempunyai daya saring yang tinggi membezakan yang bermanfaat atau sebaliknya. Tanpa asas ini globalisasi boleh menjadikan proses pembaratan terhadap umat Islam berlaku secara sistematik.

Ketiga, para remaja yang berpeluang belajar di Barat dan di Timur harus mempelajari aspek-aspek positif dalam sikap dan mentaliti mereka. Kerajinan mereka melakukan penyelidikan, menghasilkan karya-karya dan tulisan yang ilmiah, kesungguhan dalam pengurusan dan kreatif dalam penghasilan kerja seharusnya menjadi sumber teladan dan ikutan.

Ramai remaja kita yang berkesempatan belajar di Barat mengambil aspek-aspek negatif dalam kehidupan, kebudayaan dan gaya hidup Barat sehingga ada yang tercabut akar Islamnya dan menjalani hidup lepas bebas tanpa pegangan agama dan nilai-nilai murni.

Keempat, harus ada tekad dan azam di kalangan remaja Islam untuk menyesuaikan keunggulan ilmu dan teknologi yang diterima ke arah binaan acuan sendiri. Acuan sendiri mengambil kira faktor nilai dan falsafah supaya arah tuju pembinaan dan penyuburan ilmu dalam masyarakat Islam tidak mengenepikan faktor-faktor akidah, akhlak, ibadah dan syariah dalam erti kata yang luas.

Pembinaan ilmu yang integratif dalam tradisi Islam diibaratkan sebagai sebatang pokok. Akarnya diibaratkan akidah. Ilmu tanpa asas akidah akan berdiri atas asas faham sekular, rasionalisme, saintisme, liberalisme dan pragmatisme Barat menolak faktor ghaibiyyah sebagai landasan ilmu. Ilmu tanpa akidah akan kehilangan tapak untuknya berdiri.

Batang bagi pokok diibaratkan sebagai ibadah dalam maksud yang luas. Sembahyang umpamanya sering dikaitkan sebagai tiang agama. Akar tanpa batang tidak membolehkan pokok tegak dan berdiri.

Kekuatan batang menyebabkan tumbuhnya dahan. Dahan adalah cabang-cabang atau disiplin ilmu yang berbagai. Ilmu yang berkembang atas akidah dan ibadah berdiri atas nilai.

Mempelajari sains dan matematik yang terpancar dari akidah dan ibadah mendekatkan remaja dengan Allah. Inilah asas-asas syariah yang menyebabkan ilmu berkembang dalam batasan-batasan yang diredai-Nya.

Puncak dari tegaknya sebatang pokok ialah buah. Buah adalah gambaran akhlak yang ada pada remaja. Ilmu yang berupaya menampilkan akhlak remaja yang baik adalah ilmu dari dahan, batang dan akar yang mengakui kebesaran dan kekuasaan alam terhadap apa yang dicipta-Nya.

Asas ini sangat penting bagi remaja supaya ilmu tidak hanya dipelajari sekadar ilmu tetapi ilmu harus memberi guna kepada remaja supaya dengan menjadi ahli ilmu nantinya remaja akan dapat meningkatkan iman dan amal secara Islami.

Oleh itu, para remaja harus hati-hati dengan proses globalisasi dan pembaratan yang sedang berlangsung. Perancang-perancang globalisasi sudah tentu mempunyai agenda tersendiri mengenai manusia, perubahan, kemajuan dan pemodenan.

Tetapi remaja Islam harus lebih bijaksana untuk menerima sesuatu dari Barat secara melulu sebaliknya dengan kekuatan kefahaman mengenai tasawwur, sejarah dan tamadun Islam, remaja Islam akan terus terpandu untuk memanfaatkan faedah berbanding yang terbaik dari Barat dan Timur dan mengungkapnya kembali dalam acuan sendiri secara bijaksana supaya manfaatnya tidak saja menyumbang kepada pembangunan diri tetapi juga kepada negara, umat dan manusia seluruhnya.

Friday, December 15, 2006

Sekadar ilmu fardu ain tidak mencukupi

Oleh DR. SIDEK BABA

KEPERLUAN mempelajari dan mengamalkan ilmu fardu ain adalah sesuatu yang amat dituntut oleh Islam. Islam tegak atas asas akidah, ibadah, akhlak dan syariah. Asas akidah menghubungkan manusia dengan Pencipta.

Daripada-Nya manusia memahami dirinya diciptakan dan seluruh alam ini diciptakan. Ia tidak terjadi dengan sendiri. Asas ibadah melambangkan jiwa kehambaan yang tinggi antara Pencipta dengan yang dicipta. Jiwa kehambaan membawa asas tunduk, patuh, akur dan taat antara yang dicipta dengan Pencipta. Darinya lahir ketertiban, peraturan, adab dan disiplin. Roh ibadah membimbing manusia menjadi sejahtera dan mensejahterakan orang lain. Itulah makna Islam.

Asas akhlak adalah buah daripada ibadah. Apabila jiwa rukuk dan sujud dihayati dalam hidup maka pekerjaan yang dilakukan adalah sifatnya ibadah. Jiwa rukuk dan sujud menjadikan manusia orang yang amanah, adil, tulus dan telus, jujur serta bijaksana. Nilai-nilai yang membangun akhlak insani ini apabila diamalkan dalam hidup ia tidak sahaja memberi manfaat pada diri pengamal tetapi memberi kepada lain.

Pedoman untuk hidup dengan sempurna tentu memerlukan panduan. Asas syariah memberikan pertimbangan benar, salah, boleh atau tidak boleh akan sesuatu. Asas syariah memberikan manusia batasan dan pedoman supaya manusia tidak melampau batas.

Tentu ada hikmah mengapa Allah memberikan peraturan kepada manusia. Seperti terdapatnya hikmah manusia dan sesuatu itu dijadikan berpasang-pasang, terdapat kejenisan dan terdapat juga kepelbagaian. Tanpa batasan dan pedoman manusia boleh terbabas dan hilang pedoman. Dengan pedoman yang betul manusia akan hidup dalam keadaan fitrah.

Inilah asas fardu ain yang perlu diketahui oleh setiap remaja Islam. Tetapi asas mengenai solat, siyam, zakat, haji, bersuci (taharah) dan seumpamanya belum memadai untuk menjadikan seorang remaja Islam sempurna hidupnya. Corak cabaran yang dihadapi oleh remaja kini tidak hanya berkisar ke persoalan asas mengenai akidah dan ibadah.

Tetapi remaja hari ini sedang teruja dengan masalah pemikiran, keyakinan, contoh teladan malah perkembangan maklumat yang datang dari pelbagai arah.

Memberikan remaja dengan kesedaran rohaniah semata tanpa asas pemikiran dibangunkan ia boleh mendedahkan remaja kepada krisis pemikiran kemudiannya. Pemikiran sekular dan liberal yang amat berkembang di Barat diolah dalam sistem komunikasi dan telekomunikasi canggih dan boleh memberi kesan pengaruh kepada remaja yang tidak kukuh asas pemikirannya. Lebih-lebih lagi zaman remaja adalah zaman anak-anak suka mencuba, menerima perkara-perkara yang baru, dan meneroka benda-benda yang pelik dan mencabar.

Mendidik anak-anak membaca al-Quran tidak harus sekadar membaca untuk fadilat atau pahala saja tetapi harus dimanfaatkan untuk meneliti mukjizat terbesar yang terdapat di dalam al-Quran itu sendiri. Dalam al-Quran terdapat pedoman-pedoman mengenai sains, teknologi, perubatan, psikologi, geologi, astronomi dan banyak lagi yang boleh menyuburkan pemikiran dan ilmu remaja.

Oleh itu pendekatan mendidik fardu sin di kalangan pelajar-pelajar harus diperkukuhkan tidak saja dalam batas amalan ibadah yang bersifat kerohanian semata-mata, tetapi harus disuburkan dengan pemahaman al-Quran yang boleh diterjemah dalam amali atau penghayatan. Ia akan mempertingkatkan ketangkasan pemikiran dan intelek remaja serta tingkah lakunya.

Tadabbur

Rahsia surah yang pertama al-Alaq turun kepada manusia terkandung maksud dan hikmah yang amat besar. Maksud baca atau iqra' dalam ayat pertama harus dilihat dalam konteks yang luas. Alam ini Allah jadikan terkandung rahsia dan hikmah yang amat luar biasa. Apabila jiwa iqra' disuburkan dalam maksud yang tersurat dan tersirat ia menjadi sumber ilmu memandu manusia melakukan tadabbur atau uji kaji yang tidak saja menemukan manusia dengan sumber kejadian tetapi mempertautkan manusia dengan tanda-tanda kebesaran Allah.

Memahami kewujudan Allah tidak saja dengan faktor rohaniah dan ayat-ayat yang tersurat tetapi mendalami, mengkaji dan meneliti hikmah di sebalik kejadian menyebabkan manusia akur dan tunduk bahawa tidak mungkin ia terjadi tanpa Penjadinya iaitu Allah s.w.t.

Lima ayat awal dalam surah al-Alaq itu tidak saja membimbing remaja untuk melakukan pembacaan dalam erti kata yang luas, tetapi juga menemukan remaja dengan ilmu mengenai kejadian manusia. Alaqa atau darah beku itu adalah hasil dari proses pertemuan benih atau kromosom. Ia memberikan remaja ilmu asas tentang sains atau ilmu mengenai embriologi.

Bayangkan ilmu ini tidak datang dari Nabi Muhammad yang ummi iaitu tidak boleh membaca dan menulis dan tidak ada universiti-universiti terkenal yang melakukan kajian dan penyelidikan sains tabie seperti yang terdapat sekarang. Sudah tentu ia diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada manusia.

Ayat yang awal dari surah ini juga memberikan asas tentang ilmu dan kalam. Tanpa ilmu dan pemahaman tentang konsep kalam yang luas tidak mungkin manusia mampu membaca alam dan memahami hikmah di sebalik kejadian. Sebab itulah turunnya al-Quran ialah untuk memerangi faham tahyul dan khurafat kerana al-Quran membimbing manusia berfikir rasional, logikal dan mantik iaitu sesuatu yang selari dengan akal. Asas inilah yang perlu dikembangkan secara Qurani tidak hanya menjadikan akal itu segala-gala. Faktor naqliah atau pun yang wahyu yang mempedoman akal, akan mendekatkan remaja kepada Pencipta dan menjadikan remaja orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.

Oleh itu kandungan ilmu fardu ain yang diajarkan harus disemak kembali supaya asas ilmunya berkembang memperkasa pemikiran dan kefahaman remaja. Metodologi pengajaran dan pembelajaran tidak hanya dibatasi dalam skop kerohanian yang terbatas tetapi asas kerohanian yang merujuk kepada kekuatan hati dan nilai-nilai yang terpancar darinya boleh diterjemahkan dalam amalan kehidupan supaya menafaat darinya diperolehi.

Mempelajari nilai-nilai kerohanian tidak hanya menjadikan remaja orang memiliki rasa tawaduk yang melulu. Tetapi kekuatan dalaman remaja harus dipancarkan dalam amal Islaminya supaya keindahan dan kebesaran Allah itu terlihat dalam pekerti manusia. Melakukan tadabbur atau usaha pemerhatian, pengamatan dan pengkajian di kalangan remaja adalah sesuatu yang dianjurkan oleh al Quran.

Menginsafi kebesaran Allah dengan mengagumi tanda-tanda kebesarannya tidak memadai dengan lafaz Subhanallah atau Allahu Akbar tetapi ia akan menjadi lebih bermakna apabila para remaja mempunyai tekad melakukan kajian dan penelitian terhadap ayat-ayat Allah mengenai pelbagai tafsir dan takwil yang dilakukan oleh mufasir yang muktabar tetapi dengan bakat sains yang ada pada remaja tafsir itu didekati secara saintifik, ia akan mengukuhkan keimanan dan ketaqwaan remaja tentang tanda-tanda kebesarannya. Inilah asas yang harus ditinjau kembali supaya pengajaran dan pembelajaran ilmu fardu ain dilihat dalam skop yang luas dan merintis jalan ke arah memperkasa remaja ke arah penguasaan ilmu-ilmu fardu kifayah yang juga menjadi tuntutan terhadap umat Islam khususnya di kalangan yang pakar dan ahli dalam bidang masing-masing.

Remaja perlu kembali kepada jiwa umat Melayu

Oleh DR. SIDEK BABA

MELAYU adalah suatu nama yang dikaitkan dengan suatu bangsa. Lahirnya bangsa-bangsa ke dunia adalah fitrah kejadian Allah (al-Hujurat: 13). Pada sesuatu bangsa terdapat ciri-ciri yang sama dan berbeza.

Faktor iklim, makanan dan pemakanan, cabaran persekitaran, agama, tradisi, ilmu dan warisan membentuk budaya sesuatu bangsa, cabaran yang dilalui membawa perbezaan dan juga persamaan.

Bangsa Melayu juga tidak terkecuali daripada pengaruh agama, tradisi dan warisan yang pelbagai. Orang Melayu pernah menganut faham Hindu-Buddha dan faham warisan yang lain. Orang Melayu akhirnya menganut ajaran Islam.

Islam telah membebaskan bangsa Melayu daripada faham tahyul dan khurafat dan akhirnya menganut faham monoteisme iaitu suatu Tuhan. Asas tauhid ini menjadi sumber wadah (kesatuan) dari sudut akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang bersandar al-Quran dan hadis.

Para remaja Melayu tidak harus berasa rendah diri kerana lahir daripada bangsa Melayu. Malah tidak harus wujud rasa bersalah bila dirinya dikenal sebagai remaja Melayu.

Ada remaja Melayu yang merasa menyesal menjadi bangsa Melayu. Nama Melayu ditukar kepada nama Barat. Kononnya nama Barat menjadikannya moden dan maju. Ada juga merasa janggal menjadi orang Islam, seolah- olah Islam berkaitan kemunduran.

Tidak kurang ramainya remaja Melayu yang sudah hilang identiti keMelayuannya. Malah setengahnya rasa amat berbangga bila dikaitkan dengan budaya lain khususnya dari Barat. Seolah-olah menjadi remaja Melayu Islam mewarisi imej kolot dan jumud.

Remaja Melayu tidak harus menjadi anti-Barat. Barat dan Timur tidak harus dimusuhi kerana di sana terdapat ilmu-ilmu berguna untuk remaja Melayu. Remaja Melayu tidak harus memusuhi teknologi. Teknologi selamanya adalah alat bukannya matlamat.

Membangunkan alat dengan perisian yang berasaskan nilai dan etika adalah tanggungjawab remaja Melayu Islam. Tekad untuk membangunkan program-program media cetak dan elektronik berasaskan acuan sendiri sewajarnya menjadi matlamat remaja Melayu Islam.

Rasulullah s.a.w. diberikan ajaran mengenai kebaikan, kebenaran, kesejahteraan, rahmah dan nikmat supaya disampaikan kepada bangsa Arab. Bangsa Arab di Mekah pada waktu itu menganut ajaran yang mensyirikkan Allah. Bangsa Arab kemudiannya berubah menjadi bangsa yang berakhlak mulia dan menjadi umat contoh.

Remaja Melayu harus bersyukur berada dalam Islam. Melayu sebagai suatu bangsa apabila ditindikkan dengan Islam ia sebenarnya menghubung diri dengan suatu agama yang mengaturkan cara hidup yang lengkap dan sempurna. Menjadi Islam bermakna menjadi sebahagian dari suatu tamadun besar yang mendukung kemuliaan ilmu dan mertabat diri. Makna umat yang dikaitkan dengan orang-orang Melayu menjadikan umat Melayu sebagai bangsa yang berwibawa.

Konsep umat membayangkan suatu kesatuan yang besar antara bangsa-bangsa yang diikat oleh kesatuan akidah yang membentuk ke arah kesatuan ummah.

Al-Quran menyebutkan konsep ummatan wasata iaitu umat pertengahan dan konsep khaira ummah iaitu umat terbaik sebagai landasan contoh. Umat Melayu dalam konteks ummatan wasata dan khaira ummah seharusnya memiliki ciri-ciri mulia sebagai suatu bangsa yang menjadikan Islam sebagai sumber terbaik bagi membentuk watak Melayu contoh.

Watak Melayu contoh ialah memiliki kekuatan akidah yang teguh. Tidak mudah luntur dengan ajaran sesat dan ajaran yang boleh membawa mereka kepada syirik. Tidak mudah cair dengan pengaruh-pengaruh dari Barat dan Timur yang bercanggah dengan nilai-nilai karamah insan atau kemuliaan diri insan.

Watak Melayu seharusnya memiliki akhlak contoh dalam kepimpinan dan kepengikutan, dalam keluarga mahupun masyarakat. Watak Melayu yang unggul dan cemerlang adalah watak yang menterjemahkan makna ibadah dalam pengertian yang luas. Ibadah tidak saja melakukan solat atau siyam tetapi roh as solat atau roh as siyam iaitu natijah amalan solat dan siyam menjadikannya insan yang muttaqin iaitu berjiwa rukuk dan sujud sebagai lambang kehambaan yang tinggi terhadap Allah s.w.t..

Watak Melayu yang cemerlang adalah watak bangsa yang berdisiplin. Faktor syarak menjadikan bangsa Melayu mempunyai adat dan kelaziman, peraturan dan hukum yang mentertibkan kehidupan yang selari dengan keperluan syarak. Tanpa pematuhan kepada jalur syarak menyebabkan umat Melayu kehilangan arah dan akhirnya mengalami kecelaruan dalam hidup.

Kegiatan ‘Mat Rempit’ adalah bayangan remaja Melayu yang sedang kehilangan diri dan kehilangan arah dalam hidup. Jiwa berontak terhadap keluarga, masyarakat, undang-undang dan sistem adalah akibat tidak menjadikan akhlak sebagai sumber kekuatan. Pendidikan keIslaman berlaku dalam batas fikir tetapi tidak dalam batas hayat dan amal. Jiwa keiibuan dan kebapaan kian tercabut dari rumah menyebabkan anak-anak menjadi remaja dalam kekontangan rohaniah dan nilai-nilai murni.

Orientasi kebendaan dan kenafsian sudah mula menjadi buruan remaja. Ragam hiburan yang melampaui batas menjadi bahan sajian yang enak untuk remaja dan menyebabkan perasaan hilang malu menyubur, bertindak liar terhadap sesuatu dan akhirnya menjadi beban kepada negara dan masyarakat.

Memiliki jiwa umat yang kental menjadi jalan kembali yang terbaik. Remaja Melayu harus insaf bahawa kerosakan terhadap mereka adalah dirancang. Musuh-musuh umat menjadikan hiburan, aktiviti kelasakan yang negatif, berfaham santai menyebabkan lahirnya generasi yang tidak berfikir serius, tidak melihat hari depan dalam kecemerlangan, membiarkan dirinya di belenggu dan akhirnya jiwa mereka akan terus dijajah dan boleh menyebabkan remaja Melayu tewas dari persaingan untuk maju dan membangun.

Lebih-lebih lagi bila wujudnya kekacauan di satu pihak yang berusaha ke arah membawa remaja ke jalan kebaikan dan kekuatan peribadi menghadapi pihak lain yang mempunyai kekuatan sumber kewangan, kepakaran dan keahlian, perancangan dan kesempatan, talian dan perisian yang mengizinkan elemen-elemen kerosakan melemahkan jiwa dan peribadi remaja.

Akhirnya umat Islam terjebak di antara dua masalah ingin membangun generasi cemerlang yang memiliki akhlak mulia dan membiarkan peribadi-peribadi ini diratah oleh corak hiburan, peribadi-peribadi negatif, kelasakan melampau yang akhirnya menjerumuskan keadaan mereka yang menghasilkan beban kepada umat dan negara.

Amat penting jiwa remaja Melayu terarah kepada binaan diri, peribadi dan akhlak contoh ke arah hiburan yang merangsang nilai-nilai baik, kelasakan yang merintis daya juang yang tinggi supaya hiburan dan kelasakan dapat jadi pemangkin ke arah kekuatan bukannya keruntuhan, disiplin bukannya kekacauan dan kecelaruan. Kembali kepada jiwa umat Melayu adalah amat perlu kerana jiwa umat adalah jiwa menyelamat.

Umat yang akur dengan kebesaran Allah dan kekerdilan insan adalah umat yang sentiasa insaf akan amanah dan tanggungjawab. Remaja Melayu yang menjadikan Islam sebagai pedoman dan cara hidup akan sentiasa melihat kepentingan akidah, ibadah, akhlak dan syarak untuk kejayaan dan kecemerlangan.

Untuk maju perlukah kita menjadi liberal?

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA

ADA orang berpendapat bahawa untuk maju dan membangun kita mesti bersikap liberal. Liberal bermakna bersikap terbuka, menerima sesuatu daripada orang lain, sentiasa menerima perkara-perkara yang baru dan jangan terikat dengan tradisi dan perkara-perkara lalu yang sudah ketinggalan zaman.

Lalu lahir perasaan yang negatif terhadap tradisi, mengagumi cara hidup dan jalan berfikir orang lain, meremeh budaya dan nilai sendiri dan akhirnya menolak kehidupan yang dipandu oleh nilai- nilai agama.

Di tengah-tengah kebangkitan tamadun kebendaan Barat, umat Islam menjadi kehilangan arah dan pedoman. Meskipun Barat sudah lama meninggalkan kita dari sudut penjajahan fizikal namun penjajahan pemikiran, budaya dan nilai semakin mencengkam.

Umat Islam nampaknya belum lagi merasakan kemerdekaan yang sebenar dan terus menerus menjadi pengagum Barat yang amat luar biasa. Lalu lahir bidasan orang-orang yang ingin kembali kepada asas fundamental agama sebagai usaha memutar jarum jam ke belakang, kolot dan jumud.

Apakah Islam agama yang anti kemajuan dan pembangunan? Apakah faktor tradisi dianggap tidak penting dan yang lalu itu semuanya tidak mustahak dan relevan untuk kehidupan kini. Kalau begitu bagaimana umat yang beriman ingin memahami faktor nabi dan rasul, faktor al-Quran dan sejarah, faktor tamadun dan kecemerlangan ilmu adalah sesuatu yang berlaku pada masa yang silam.

Mengatakan yang silam itu tidak relevan seolah-olah menolak faktor kenabian, al-Quran dan tamadun silam yang amat menyumbang terhadap peradaban manusia. Bersikap terbuka tidak sama dengan membina faham liberal. Bersikap terbuka adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Tetapi keterbukaan tidak bermakna menolak prinsip asasi Islam.

Faham liberal orang-orang Barat umumnya menolak agama dan tradisi. Faham liberal berkembang di Barat menjadikan mereka sekular dan setengahnya anti-agama. Tetapi fahaman keterbukaan orang-orang Islam mestilah dalam konteks litaarafu iaitu proses berkenalan yang memanfaatkan yang baik daripada tradisi orang lain kerana sifat jadinya manusia dan kehidupan adalah beragam atau pelbagai. Keterbukaan dalam tradisi Islam memperkayakan khazanah ilmu dan nilai-nilai baik dalam peradaban lain.

Remaja Islam perlu memahami asas-asas ilmu mengenai perubahan dan kemajuan, pembangunan dan kemodenan, keterbukaan dan tradisi, antara prinsip dan pendekatan supaya mempunyai asas berfikir yang betul dan tidak merugikan umat Islam secara jangka panjang.

Para remaja harus faham bahawa Islam adalah agama tamadun, agama perubahan dan agama kemajuan. Bezanya dengan Barat ialah kemajuan dalam Islam memberi fokus kepada kemajuan manusia. Apabila manusia maju ilmu dan pemikirannya, maju akhlak dan peribadinya maka manusia seperti itu akan memberi kesan baik kepada kemajuan sekitarnya.

Terdapat manusia yang maju ilmu pengetahuan dan penguasaan teknologinya tetapi buruk dari segi akhlak dan peribadinya. Manusia seperti ini boleh meruntuhkan tamadun dan peradaban malah kalau perubahan berlaku pun ialah perubahan ke arah kerosakan dan kefasadan.

Tradisi Islam tidak mengambil pendekatan anti-Barat atau pun anti-Timur semata-mata kerana mereka orang- orang Barat atau orang-orang Timur. Banyak faedah berbanding yang para remaja boleh peroleh daripada orang- orang Barat dan Timur terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Apa yang umat Islam kurang senang ialah cara proses pemBaratan berlaku, seolah-olah memaksakan nilai dan gaya hidup mereka terhadap umat Islam. Inilah yang seharusnya menjadikan kepekaan remaja supaya keterbukaan remaja terhadap Barat tidak menyebabkan remaja hilang jati diri Islamnya.

Tradisi Islam juga tidak menentang teknologi. Teknologi yang bermanafaat selamanya dilihat oleh Islam sebagai alat tetapi bukannya matlamat. Matlamat kepada teknologi bergantung kepada nilai guna teknologi dan juga perisian dan program yang terdapat pada teknologi.

Komputer sebagai alat membawa kesan positif kepada keperluan manusia. Kesan positif itu akan menjadi lebih bermakna sekiranya maklumat yang diperolehi, prisian yang disajikan, program yang ditawarkan memberi menafaat kepada perkembangan ilmu dan juga maklumat.

Apa yang remaja patut lakukan ialah belajar menghargai tradisi. Tradisi yang baik sama ada dari sudut sejarah pengilmuan dan pendidikan berguna untuk dipelajari oleh remaja. Tradisi pengilmuan dan pendidikan dalam Islam sentiasa menitikberatkan kepentingan akhlak dan binaan peribadi di samping ilmu dan keterampilan.

Tetapi para remaja harus akui bahawa Ilmu Mengurus Sistem seperti sains, teknologi, kemahiran berfikir, ekonomi dan pengurusan tidak berkembang dalam tradisi pondok dan madrasah. Kalau ada pun ilmu Mengurus Sistem masih dalam tasawwur Barat.

Hal ini perlu diperbaiki dan diatasi supaya kekuatan ilmu Mengurus Diri (Fardu Ain) yang terpancar dalam kekuatan rohani dan peribadi dapat diimbangi dengan kekuatan Ilmu Mengurus Sistem (Fardu Kifayah) yang tegak atas dukungan atas pancaran nilai-nilai murni dan baik.

Asas ini sangat penting bagi remaja supaya keterbukaan remaja terhadap faktor luar lingkungan memperkayakan khazanah ilmu dan teknologi yang boleh memberi guna kepada umat Islam. Kecenderungan sistem pendidikan dalam dunia Islam hari lebih banyak memberi nilai ekonomi kepada aliran sains dan teknologi tetapi aliran sastera, kemanusiaan dan agama dianggap tidak mempunyai nilai ekonomi.

Kita sebagai manusia tidak sahaja memerlukan kefahaman tentang sains dan teknologi, ekonomi dan pengurusan tetapi manusia sebagai manusia perlukan pedoman nilai, falsafah dan hikmah kerana tanpanya nilai guna manusia akan menjadi negatif dan manusia cenderung melihat alat dan benda sebagai segala-gala bukannya kejujuran, amanah, kebaikan, keadilan, ikhlas, tulus dan telus sebagai asas binaan diri dan juga sistem.

Bersikap terbuka bukan bermakna menjadi liberal. Isu-isu tentang gender atau kejenisan, feminisme pemberatan terhadap wanita bukan sebenarnya isu Islam atau isu umat Islam. Ia timbul di kalangan umat Islam kerana sebahagian di kalangan umat Islam terbentuk dalam orientasi hidup dan berfikir di Barat dan amat kerdil memahami tradisi dan peradaban agamanya. Lalu mereka menjadi liberal dan mula mempersoalkan tentang kejenisan dan pemberatan terhadap wanita.

Para remaja harus cuba memahami hikmah di sebalik kejadian berpasang-pasang. Allah menjadikan manusia dan sekitarnya dalam bentuk berpasang-pasang supaya wujud titik-keseimbangan antara keduanya dalam peranan dan tanggungjawab.

Sekiranya titik-keseimbangan itu terbina atas asas adl wal ihsan maka tidak timbul isu diskriminasi di kalangan sesama manusia. Kalau orang-orang Islam melakukan diskriminasi sesama manusia, bukanlah salah Islam tetapi salah manusia itu sendiri.

Oleh itu apa yang berlaku dalam budaya dan kehidupan di Barat mungkin dianggap sesuai bagi orang-orang Barat dan tidak semestinya sesuai bagi orang-orang Islam. Keterbukaan Islam dan umatnya kepada Barat dan Timur tentulah bertempat supaya proses kemajuan masih lagi dan acuan kita sendiri.

Islam menghalang kemajuan?

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA

Ada orang berpendapat bahawa untuk maju seperti orang Barat, agama jangan dibawa serta. Banyak dari ajaran agama menghalang proses kemajuan. Dari sudut ilmu, ada yang berpendapat bahawa agama sesuatu yang tidak rasional.

Agama dikaitkan dengan dogma. Sehingga seorang pemikir Barat bernama Derrida menyebutkan ‘Tuhan sudah mati’.

Golongan ini berpendapat bahawa akal adalah segala-galanya. Kaedah saintifik adalah kaedah yang selari dengan akal yang berasaskan logik dan rasional. Kaedah agama dikatakan tidak logik dan tidak rasional. Oleh itu menjadikan agama sebagai pedoman hidup dikatakan tidak saintifik.

Untuk maju, sains adalah jawapan. Minda atau akal adalah segala-gala. Yang penting ialah data dan fakta. Sesuatu yang ghaib dianggap tidak berasaskan data dan fakta. Oleh itu kemajuan yang harus didukung ialah kemajuan yang berasaskan sains.

Islam sebenarnya tidak menolak kepentingan akal dan sains. Akal dan sains tidaklah segala-gala. Menjadikan faktor sains dan akal semata-mata sebagai ukuran maju dan membangun tidak senafas dengan makna Islam itu sendiri. Sejarah tamadun Islam menunjukkan sains berkembang dengan subur. Tetapi sains yang didukung oleh nilai Rabbani dan etika yang tinggi.

Akal adalah sesuatu yang amat diutamakan oleh Islam. Al-Quran menyebutkan pada banyak tempat tentang kepentingan akal. Akal membolehkan seseorang mengingat dan menghafaz, berfikir dan mempunyai daya ta’akulan. Al Quran menyebutkan ulul albab dan konsep tadabbur sebagai asas berfikir dan mengetahui. Tetapi pemikiran berasaskan akal tidak cukup untuk memahami diri, persekitaran, alam dan kehidupan apalagi perkara-perkara yang ghaib.

Allah memberikan kita pedoman al-Quran yang terkandung hikmah bagi memimpin akal supaya pemikiran terarah dan mendapat makna yang betul.

Sains mengikut perspektif Islam ialah ikhtiar manusia untuk mengetahui sesuatu sama ada alam, cakerawala, bumi, manusia dan kehidupan - supaya manusia mempunyai jawapan terhadap sesuatu itu. Tetapi tradisi sains Islam tidak saja mengkaji kewujudan sesuatu yang memerlukan kajian dan penelitian, tetapi di sebalik kewujudan sesuatu terdapat hikmah atau rahsia kewujudannya yang dikaitkan dengan pencipta iaitu Allah s.w.t.

Surah al-Alaq yang membawa maksud Iqra' atau baca membawa maksud yang amat luas. Membaca tidak hanya bermaksud menatap apa yang tersurat tetapi mengkaji apa yang tersirat. Al- Quran tidak sekadar dibaca untuk mendapatkan fadilat atau pahala tetapi ayat-ayat Allah terkandung pedoman untuk hidup dan gambaran tentang kehidupan manusia untuk dijadikan ibrah atau pedoman.

Lima ayat pertama surah itu memberikan kita asas tentang ilmu dan sains. Maksud alaqa iaitu darah beku itu selari dengan sains embriologi. Surah al-Mukminun, ayat 24, menyatakan darah beku terhasil dari air mani yang datangnya dari saripati tanah. Saripati tanah dalam erti kata yang luas terkandung bahan-bahan zat seperti kalsium, mineral, protein dan lain-lain dan ia wujud dalam buah-buahan, sayuran-sayuran yang tumbuh dan dimakan oleh manusia. Ia menjadi darah dan daging dan sebahagiannya air mani yang terkandung kromosom X dan Y. Asas saintifik ini tidak bercanggah dengan apa yang terdapat dalam al-Quran.

Asas nilai dan etika

Oleh itu, asas kemajuan saintifik dalam tradisi Islam berasaskan nilai-nilai murni dan juga etika yang baik. Sandaran nilai-nilai murni datangnya dari al-Quran dan sunah Nabi dan sandaran etika yang baik datangnya dari ajaran Islam yang menganjurkan amanah, keikhlasan, kejujuran, keadilan, bijaksana, sifat syukur dan lain-lain. Asas nilai dan etika yang dijadikan pedoman berfikir dan melakukan kajian saintifik akan membimbing manusia dekat kepada pencipta dan memanfaatkan rahmat dan nikmat Allah yang banyak untuk kesejahteraan manusia. Bukan melakukan monopoli atau eksploitasi yang menyebabkan manusia menderita.

Para remaja harus insaf bahawa umat Islam adalah umat yang bertamadun. Al-Quran dan As- sunah adalah sumber utama kepada pembinaan tamadun. Umat Islam yang bertamadun ialah yang menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu dan sunah Nabi sebagai sumber ikutan dalam akhlak dan tingkahlaku.

Sebahagian remaja Islam pada hari ini kagum tentang Barat sebagai sumber tamadun. Apa saja yang datang dari Barat dianggap maju. Sehingga terdapat di kalangan remaja lupa kepada agama dan tamadun yang dicetuskan oleh Islam. Malah terdapat remaja yang menolak tradisi dan budaya baik yang terdapat dalam peradaban bangsanya.

Islam tidak mengambil pendekatan menentang Barat semata-mata kerana ia Barat. Banyak manfaat yang boleh diperoleh di Barat yang berguna kepada umat Islam. Tetapi umat Islam yang menghayati agamanya, akan berasa tidak selesa dengan proses pemBaratan yang sedang berlaku.

Globalisasi yang sedang berjalan membawa maksud pemBaratan. Ukuran maju dan membangun di kalangan sesetengah remaja Islam ialah Barat, fahaman kebendaan, budaya berpoya-poya dan hiburan dan akhirnya terjebak dengan dadah, salah laku sosial dan maksiat.

Remaja harus faham bahawa kemajuan itu terletak kepada diri manusia. Diri manusia harus dibangunkan dengan kekuatan akhlak mulia supaya sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi, manusia dapat berperanan mengurus diri dan mengurus kehidupan dengan baik supaya manfaatnya memberi kebaikan kepada yang lain.

Terlibat dengan salahguna dadah, kegiatan mat rempit, pergaulan yang lepas bebas, ketagih hiburan yang melampau umpamanya bukanlah lambang maju dan membangun. Ia adalah lambang mundur dan kemusnahan. Islam mengajak remaja supaya berilmu dan berketerampilan. Dalam surah Az Zumar, ayat 9, Allah meletakkan kedudukan orang yang berilmu lebih tinggi berbanding orang yang tidak berilmu.

Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa tujuan kenabian ialah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Ilmu dan akhlak adalah asas yang sangat penting untuk remaja maju dalam kehidupan dan perubahan.

Ilmu yang dipandu oleh nilai-nilai yang Qurani, akhlak yang dirujuk dari akhlak Nabi bakal memimpin remaja untuk memiliki kekuatan keilmuan dan contoh peribadi yang mampu memimpin remaja akhirnya ke jalan peradaban atau tamadun. Kemilau kemajuan hari ini yang banyak diwarnai dengan faham kebendaan dan nafsu-nafsi akan akhirnya menjebak remaja ke arah kerosakan dan kebinasaan.

Para remaja harus mempunyai tekad dan azam untuk maju berasaskan acuan kita sendiri. Remaja Islam tidak saja harus reflektif terhadap tamadun umat Islam yang amat bernilai pada masa yang lalu tetapi harus proaktif dengan faktor-faktor kemajuan semasa yang berlaku pada hari ini.

Memahami al-Quran secara ilmu, meneliti sirah dan sunah Nabi sebagai sumber contoh bakal memberikan jalan kepada remaja membina acuan tersebut.

Acuan sendiri tidak menolak kebaikan yang terdapat dari Barat dan Timur tetapi harus ada upaya yang kreatif membangunkan sumber ilmu, sains dan teknologi supaya ia tidak bertentangan dengan faktor maqasid syariah yang bakal memberikan pedoman dan batasan terhadap makna dan maksud kemajuan dan perubahan yang Islami.

Islam menjadikan umatnya hanya berserah?

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

BANYAK tanggapan dibuat bahawa Islam agama berserah. Umat Islam adalah umat menyerah. Pergantungan kepada Tuhan yang tinggi menyebabkan pergantungan kepada nasib tanpa usaha. Doa umat Islam selalunya panjang tetapi ikhtiar umat Islam lazimnya pendek.

Menerima sesuatu walaupun menyalahi agama dikatakan rezeki. Terjadinya sesuatu walaupun kerana kesilapan sendiri dikatakan takdir Allah. Umat Islam sering memilih menjadi tangan yang menerima, lebih dari tangan yang memberi.

Sikap dan mind-set orang-orang Islam memang pelik. Ibadah solatnya hebat, kesan perubahan diri amat kerdil. Menuding kesilapan orang lain menjadi amalan, menginsafi kelemahan sendiri kurang berlaku. Kuman di seberang laut nyata nampaknya, gajah di bibir mata dilupakan saja.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Angan-angan tinggi, kemampuan melaksana kurang. Mencacat sesuatu ghairah belaka, melakukan pembaikan pantang sekali.

Sikap berserah kepada Allah tidaklah salah. Berserah tanpa usaha menjadikan umat kalah. Berserah bukan di awal usaha. Kalau tidak dipecahkan ruyung bagaimana mendapat sagunya. Alang- alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Usaha mendatangkan ikhtiar. Ikhtiar dengan jiwa tawakal menjadikan manusia cekal. Cekal tanpa putus asa membolehkan manusia berjasa. Hujung kejayaan doa dipanjatkan. Antara usaha dan doa, Allah mengkabulkan hati-hati yang ikhlas.

Pergantungan kepada Allah adalah sesuatu yang wajar. Allah memberi manusia akal supaya manusia berfikir. Allah membekalkan manusia hati supaya manusia memiliki neraca pertimbangan.

Ilmu Allah (al-Quran) menjadi suluh kepada akal. Akal yang berkembang tanpa suluh hikmah menjadikan manusia meraba-raba. Pergantungan kepada Allah kerana Allah maha berkuasa dan perkasa. Pergantungan kepada manusia banyak kurangnya.

Doa tidaklah salah. Doa kata Nabi, ibu segala ibadah. Doa juga senjata untuk untuk orang-orang Mukmin. Doa tidak saja permohonan dan harapan, doa adalah usaha dan ikhtiar. Doa adalah dedikasi dan kesabaran. Doa adalah azam dan tekad. Doa adalah roh untuk berjaya.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri mengubah dirinya sendiri. Mengubah diri perlukan ilmu.

Ilmu yang benar dan bermanfaat mendukung akhlak. Ilmu tanpa akhlak sifatnya tidak membimbing. Ilmu tanpa nilai menjadikan manusia hilang pedoman. Al-Quran memberi manusia nilai.

Nilai-nilai Qurani mempedoman manusia jalan yang benar dan jalan yang salah. Mengembalikan diri kepada nilai-nilai Qurani meletakkan manusia sentiasa berada dalam keadaan fitrah. Inilah asas kemajuan dan perubahan dalam Islam. Menolak fitrah bermakna menolak jalan Islam.

Rezeki adalah sesuatu yang baik datang dari Allah. Anugerah Allah ini diperoleh dengan niat yang baik, matlamat yang betul dan cara yang tidak menyalahi syarak.

Mengaitkan sesuatu sebagai rezeki dari Allah ialah menghubungkan usaha dan ikhtiar yang diredainya. Jalan berfikir seperti ini harus jelas supaya sesuatu yang baik dari Allah tidak disalahfaham atau disalahguna. Rahmat dan nikmat Allah adalah untuk kebaikan.

Kebaikan itu apabila dilimpahkan kepada yang berhak ia memberi barakah yang tinggi. Barakah sering menjadi hikmah yang hilang dalam usaha dan ikhtiar manusia.

Takdir Allah boleh berlaku pada sesiapa. Baik dan buruk adalah takdir. Ia terkandung hikmah. Kebaikan dari Allah yang tidak diterima dengan rasa syukur boleh menjadi musibah. Keburukan yang diterima, mendorong seseorang bersyukur ia boleh membawa kepada rahmah. Musibah dari Allah selalunya membawa ujian.

Bagi yang sabar, ia bakal mendapat jawapannya. Bagi yang gopoh dan gelojoh, menyebabkannya hilang pertimbangan. Hidup adalah suatu perjalanan. Ada ketika manusia melalui lebuh raya yang luas. Leka dan lalai boleh menyebabkan kemalangan. Ada ketika manusia melalui jalan yang kecil dan berliku. Berhati-hati menyebabkan perjalanan selamat.

Takdir jangan dipersalahkan. Takdir harus disyukuri. Hikmah dari takdir adalah sekolah hidup. Darinya manusia mengenal Allah dan mengetahui kekuasaan-Nya. Darinya manusia akan sentiasa berjiwa rukuk dan sujud serta berjiwa hamba.

Semangat kekhalifan menyebabkan putus asas tidak ada. Ikhtiar disertai doa, doa diiringi tekad dan azam yang tinggi menjadikan usaha diredai dan diberkati.

Tidak salah menjadi tangan yang menerima sekiranya seseorang itu berhak. Lebih mulia menjadi tangan yang memberi kerana ia menjadi orang yang bersyukur. Orang yang bersyukur memiliki harga diri.

Rahmat dan nikmat yang melimpah maksudnya untuk manusia. Rezeki tidak datang bergolek. Usaha dan doa tidak harus putus. Tangan yang memberi memakmurkan sedekah. Sedekah dari sumber yang halal adalah ibadat. Ibadat yang berterusan membawa berkat.

Remaja Islam harus ada keinsafan. Bukan agama membawa remaja menyerah membuta tuli kepada Allah. Allah berikan rahmat dan nikmat untuk jalan remaja berikhtiar.

Allah berikan akal dan hati supaya remaja ada kekuatan. Kekuatan ilmu dan nilai memberikan jalan terbaik bagi usaha dan ikhtiar. Bekerjalah remaja seolah-olah kehidupan itu 1,000 tahun. Hubungkan kerja sebagai ibadah seolah-olah kematian akan berlaku pada keesokan hari.

Berusaha dengan pedoman Allah, jalannya terang benderang. Berikhtiar dengan reda Allah, natijahnya kemakrufan. Menjadi remaja perlukan pedoman yang baik. Tanpa pedoman yang baik nafsu dan keinginan menjadi liar.

Setiap benda yang Allah jadikan ada hikmah rohaniah di sebaliknya. Bagi remaja yang berfikir, setiap kejadian menjadikan remaja lebih berilmu. Hikmah di sebalik ilmu menjadi hidup remaja lebih bermakna.

Makna dalam hidup berada pada remaja yang sentiasa bersyukur. Remaja yang bersyukur adalah remaja yang dekat dengan Allah. Remaja yang dekat dengan Allah sentiasa diberikan taufik dan hidayah.

Sesetengah remaja menjadikan naluri dan nafsu tanpa batas. Kelazatan dunia tidak kekal. Kelazatan yang berlaku dengan reda Allah memberi kesan bahagia dan sejahtera yang panjang. Kelazatan yang bersifat nafsu-nafsi menjadikan remaja ketagih. Meneruskan ketagihan tanpa reda Allah sering menjerumuskan remaja kepada kebinasaan.

Remaja yang dikasihi Allah adalah remaja yang insaf bahawa hidup ini adalah suatu perjalanan. Perjalanan yang singkat belum cukup memberi pedoman dan arah tentang bukit-bukau dan liku-liku.

Perjalanan jauh belum tentu menemukan remaja dengan destinasi. Belajar dari perjalanan hidup memperkayakan remaja dengan pemandangan dan pengalaman. Ia menjadikan remaja dewasa dan matang. Belajar dari proses dewasa dan matang menjadikan remaja lebih bersedia untuk masuk ke lebuh raya kehidupan iaitu alam dewasa.

Sebagai remaja Islam sikap menyerah membuta-tuli tidak harus ada. Untuk maju dan membangun mesti ada ilmu. Membangun dalam acuan yang Allah reda mesti patuh dengan jalan syarak.

Para remaja jangan membiarkan diri hanyut dalam arus perubahan. Remaja Islam harus mampu menongkah arus. Arus Barat boleh menghanyutkan bagi yang lalai. Arus dari Islam boleh menyelamatkan bagi yang menginsafi. Menyerah kepada Allah selepas azam dan ikhtiar dilakukan. Darinya kurniaan rezeki dan berkat memberi jalan kepada amal soleh. Amal soleh adalah puncak ikhtiar dan takdir.

Benarkah Islam satu agama mundur?

Oleh: DR. SIDEK BABA

Meneliti keadaan umat Islam hari ini , ada yang berpendapat bahawa kemunduran yang dialami akibat kerana agama Islam itu sendiri tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Istilah Islamphobia atau `ketakutan pada Islam’ wujud kerana Islam dihubungkan sebagai agama pengganas, ekstrem dan fanatik. Syariah Islam dianggap tidak sesuai dengan proses kemodenan yang sedang berlangsung. Sesetengah yang lain berpendapat bahawa Islam hanya sesuai untuk ritual atau kerohanian tetapi jangan dicampuradukkan dengan cara hidup.

Kemurnian Islam akan menjadi rosak sekiranya Islam dihubungkan sebagai suatu cara hidup. Malah ramai juga yang berpendapat bahawa kemajuan yang dibawa oleh Barat itu sudah Islam. Mengapa harus heboh-heboh mengenai pengislaman ilmu, ekonomi, pendidikan dan sistem. Ikut saja apa yang Barat buat, maka majulah umat Islam.

Kenyataan seperti di atas harus diperiksa secara ilmiah apakah yang menyebabkan kemunduran umat Islam, mengapa maksud jihad menjadi kebencian orang-orang Barat, mengapa Islam dikaitkan dengan kemunduran dan mengapa Islam sering menjadi ketakutan dan kebencian banyak pihak. Apakah yang silapnya itu ialah penganutnya atau agama Islam itu sendiri. Para remaja sebagai generasi penerus harus memahami dengan baik bahawa menjadi seorang Islam tidak harus dirasakan sebagai beban dan penganut agama itu sewajarnya mempunyai imej maju dan cemerlang.

Remaja hari ini terutama mereka yang sedang berada di pusat-pusat pengajian dan pendidikan negara merupakan generasi yang berpotensi untuk mencetuskan perubahan. Remaja tidak harus menjadi ‘pak turut’ atau pengekor terhadap tanggapan yang negatif kepada Islam. Sebagai remaja Islam, kenyataan-kenyataan yang negatif harus diteliti dengan saksama dan bijaksana di samping kesediaan untuk mengakui bahawa antara kelemahan itu adalah berpunca dari diri remaja dan umat Islam sendiri.

Pertama, harus difahami tentang Islam itu sendiri dari sudut konsep, sejarah dan sumbangannya terhadap pembangunan ilmu dan tamadun. Pemahaman ini amat penting supaya remaja harus dapat membezakan mengenai kekuatan yang ada pada Islam dan kelemahan yang terdapat pada umat. Amat tidak adil kelemahan umat dikaitkan dengan sifat agama itu sendiri. Dan lebih tidak adil jika remaja membuat kesimpulan bahawa agama menghalang umat untuk maju dan moden.

Islam tidak hanya agama dalam bentuk suatu sistem kepercayaan semata-mata. Asas akidah dan iman yang ada pada pemeluknya memberi kesan terhadap akhlak dan cara hidupnya. Kalaulah Islam hanya suatu sistem kepercayaan semata-mata, tidakkah sejarah silamnya mendukung ilmu dan tamadun yang berasaskan sains dan matematik di samping keutamaan kepada sifat amanah, jujur, adil, tulus dan telus.

Oleh itu amat penting remaja Islam memahami agamanya secara menyeluruh dan sumbangan umat Islam terhadap tamadun ilmu di Eropah dan juga umat manusia. Memahami proses sejarah jatuh-bangun sesuatu tamadun memudahkan remaja Islam melihat kekuatan dulu, meneliti kelemahan hari ini dan merancang strategi membangun umat pada masa depan.

Kedua, remaja Islam harus mengkaji pengalaman sejarah penjajahan yang berlaku terhadap umat Islam sehinggalah ke tahap berlakunya globalisasi yang memperlihatkan penguasaan Barat terhadap ilmu, pemikiran dan cara hidup yang mempengaruhi sebahagian besar umat Islam untuk ratusan tahun. Islam tidak mengambil pendekatan menentang Barat dan Timur semata-mata kerana ia berbeza dari sudut geografi atau sejarah.

Sifat Islam yang sejagat mengemukakan nilai-nilai yang fitrah untuk dijadikan pedoman dan pertunjuk untuk seluruh umat manusia. Terdapat manfaat berbanding dalam perkembangan sains dan teknologi Barat yang tidak menghalang umat Islam memanfaatkannya. Cuma Islam memberi keutamaan kepada akhlak pengguna. Teknologi sebagai alat digunakan oleh remaja Islam yang berakhlak dan ia akan memberi nilai guna yang tinggi.

Kritik kita tentang Barat ialah asas pemikiran dan kemajuannya tidak merujuk kepada agama sebagai sumber. Epistemologi atau asas binaan ilmu di Barat banyak bergantung kepada kekuatan akal sedangkan Islam menghubungkan faktor agama untuk memimpin akal. Oleh itu tasawwur atau pandangan semesta Barat tentang sesuatu, banyak yang bercanggah dengan kefahaman Islam itu sendiri.

Agama Islam adalah agama yang memberi pedoman kepada manusia bagaimana ilmu dan pendidikan harus dibangunkan, bagaimana ekonomi dan pengurusan harus berlaku, bagaimana kemajuan yang seimbang dapat dicetuskan dan bagaimana maqasid atau maksud kepada syariah atau hukum Islam menjaga kepentingan agama, keturunan, akal, maruah dan harga diri umat manusia dapat dilaksanakan dengan bijaksana.

Sebagai agama dan Cara Hidup Islam menghubungkan pemikiran, ilmu, pendidikan dan kemajuan dengan nilai-nilai baik supaya manusia mempunyai nilai-nilai manusiawi yang tinggi dan memiliki teladan yang menjadi contoh ikutan.

Ketiga, orientasi berfikir dan hidup masyarakat Islam sudah bercampur aduk. Islam tidak menolak adanya kepelbagaian dan asas litaarafu yang disebutkan dalam al-Quran dengan maksudnya yang luas supaya isu kelainan bangsa, agama, budaya dan sistem nilai didekati dengan bijaksana, namun ayat-ayat Allah atau pun al-Quran adalah pedoman yang sentiasa hidup dan menghidupkan untuk faedah umat manusia.

Ayat al-Quran yang pertama disampaikan kepada Nabi Muhammad iaitu Al Alaq menekankan tentang kepentingan ilmu. Maksud Bacalah dengan nama Tuhanmu memberi asas yang kuat tentang kepentingan ilmu tidak saja meneliti apa yang tersurat tetapi mengkaji apa yang tersirat. Maksud Alaqa dalam surah tersebut memberikan asas tentang ilmu sains embriologi atau kejadian manusia dan konsep al Kalam memberi makna yang amat besar tentang kepentingan ilmu dimana akal dan pancaindera manusia sebagai alat terhadap perkembangan ilmu dan ilmu yang dipandu oleh hikmah atau al-Quran memberikan manusia kekuatan untuk melakukan penerokaan saintifik tetapi dipandu oleh petunjuk dan perisyaratan dari Allah. Darinya bakal lahir ilmuan dan saintis yang melakukan tadabbur (kaji selidik) terhadap hikmah kejadian dan dalam masa yang sama beriman terhadap kebesaran dan keperkasaan Allah mencipta dan mengaturkan alam ini dengan tertib, tersusun berasaskan Qada dan Qadar (ketentuan-Nya) Allah.

Oleh itu dalam siri-siri seterusnya saya akan berkongsi ilmu, pemahaman kepada remaja tentang Islam sebagai agama yang sering menimbulkan salahfaham orang Bukan Islam malah orang Islam sendiri. Islam sering dikaitkan dengan kemunduran sedangkan Islam adalah agama yang maju dan sering mendukung kemajuan.

Bezanya, perspektif Barat dan Islam mengenai kemajuan sudah tentu terdapat perbezaannya. Islam dalam erti kata sebenar diletakkan dalam suatu ‘penjara’ dan umat Islam hari ini diletakkan dalam sebuah ‘rumah kaca’ untuk dilihat serba tak kena dan menjadi punching-bag atau beg tinju bagi mereka memburukkan lagi Islam.

Para remajalah sewajarnya melakukan pencerahan dan penjernihan kembali Islam supaya gambaran tentang ajaran, sejarah dan tamadunnya menyumbang ke arah kemajuan dan perubahan yang sifatnya manusiawi.

Membina kemahiran berfikir

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

BERFIKIR tidak saja suatu kegiatan akal tetapi ia boleh dibentuk sebagai suatu kemahiran. Kemahiran berfikir tidak datang begitu saja tetapi memerlukan latihan dan juga persiapan.

Berfikir sekadar berfikir melihat sesuatu seadanya tidak mendatangkan apa-apa kemahiran. Tetapi sesuatu itu apabila ditanggapi berasaskan perspektif tertentu maka kemahiran mula terbentuk.

Melihat silih gantian siang dan malam, hujan dan panas, angin dan ribut seadanya tidak membimbing seseorang kepada kemahiran berfikir.

Tetapi apabila seseorang mula bertanya hikmah di sebalik hal-hal tersebut, kemahiran berfikir mula wujud. Mengagumi sumber-sumber alam yang banyak, keindahan pemandangan, debur ombak dan kicau burung boleh menjadi fenomena biasa. Ia akan menjadi suatu kemahiran apabila seseorang mula mengkaji secara tafakur dan tadabbur hikmah di sebalik kejadian tersebut. Ia mendorong tidak saja melihat sesuatu itu sebagai fenomena biasa tetapi ada rahsia yang boleh dikongsi tidak saja untuk menafaat kehidupan tetapi ada menafaat yang lebih tinggi dan murni.

Berfikir secara tafakur dan tadabbur tidak saja melihat sesuatu secara zahiri atau gambaran luaran seadanya tetapi ia membimbing manusia bertanya di sebalik adanya sesuatu tentu adanya proses penciptaan. Dan sesuatu itu tidak dicipta atau dijadikan atau wujud dengan begitu saja tetapi tentu bersebab. Walau pun keupayaan berfikir tidak mungkin mampu menjawab semua perkara tetapi ada pedoman asas yang membolehkan seseorang menghubungkan faktor kewujudan dengan faktor penciptaan dan faktor penciptaan sebagai sumber hikmah.

Oleh itu sebagai pemikir yang Islami, proses berfikir harus ditautkan dengan asas tauhid. Faktor tauhid menghubungkan kejadian sebagai ciptaan Allah. Sesuatu tidak terjadi tanpa hikmah tetapi sesuatu terjadi dan dicipta mempunyai maksud tertentu. Maksud itu boleh dikaji oleh akal manusia dalam batasan yang termampu. Dalam batas yang termampu manusia boleh sampai kepada suatu titik tentang keperkasaan dan kebesaran Allah s.w.t..

Apabila al-Quran dalam surah al-Alaq menyebutkan tentang kejadian manusia dari sebutir nutfah, ayat terawal dari Allah itu sudah membuka ruang fikir manusia tentang sains embriologi atau kejadian manusia. Apabila surah al- Mukminun: 12-14 mengisahkan bagaimana Allah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah, meletakkan air benih ‘pada tempat penetapan yang teguh kukuh’, kemudian menjadi sebuku darah beku, kemudian menjadi seketul daging, kemudian beberapa tulang, kemudian dibalut dengan daging-daging dan menjadi manusia yang sempurna.

Hikmah yang terungkap dari al-Quran ini mendorong pemikir mengembangkan pemikirannya dengan mengambil perspektif sains sebagai asas. Perspektif sains mendapati ungkapan al-Quran itu tidak bercanggah dengan kaedah dan dapatan sains moden.

Al-Quran, dalam Surah al-Mukminun ayat 18, menyebutkan tentang bagaimana Allah s.w.t. menurunkan hujan dengan sukatan yang tertentu serta ditempatkan air hujan itu tersimpan di bumi dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa melenyapkannya. Ayat ini memberi perspektif berfikir mengenai matematik, geologi dan juga memahami kekuasaan Allah. Ayat ini kalau dikembangkan dalam pemikiran secara tafakur dan tadabbur, ia mampu membimbing seseorang kepada pemikiran sains yang Qurani.

Oleh itu kemahiran berfikir secara Islami tidak saja memanfaatkan potensi akliah dan indrawiah sebagai sumber mendapatkan ilmu dan maklumat yang berbagai tetapi apabila asas maklumat, ilmu itu dilihat menerusi jendela tafakur dan tadabbur, ia mampu membimbing pemikiran manusia di tahap tinggi. Pemikiran tahap tinggi inilah yang sering menghubungkan kemahiran berfikir tidak secara lepas bebas tetapi kemahiran berfikir yang ditautkan dengan memahami dan menginsafi tanda-tanda kebesaran dan keperkasaan Allah.

Bezanya orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam dalam membangun tradisi pemikiran ialah kemahiran berfikir, baik ia bersifat rasional, logik, reflektif, kreatif, lateral, kritikal atau saintifik tidak saja berkembang dalam potensi akal dan inderawi seadanya menerusi proses pemerhatian dan pengamatan serta uji kaji bagi melahirkan hipotesis, teori dan andaian tentang sesuatu tetapi ia dipandu oleh sumber naqliah atau wahyu sebagai pedoman memahami perkara yang nyata dan juga perkara yang ghaib.

Para remaja Islam perlu memahami asas kemahiran berfikir yang sifatnya integratif. Tidak mungkin remaja Islam mampu berfikir di tahap tinggi tanpa memahami al-Quran sebagai sumber dan sunah Nabi sebagai manifestasi amal Islami. Prasyarat untuk mengembangkan kemahiran berfikir walau dalam apa bentuk pun bermula dengan penguasaan ilmu.

Dengan mendalami ilmu tafsir dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya para remaja boleh membina kemahiran berfikir yang tidak saja mengambil pendekatan akliah dan inderawiah sebagai asas tetapi boleh dilanjutkan lebih jauh lagi supaya asas naqliah dapat dijadikan pedoman dalam membina kemahiran berfikir dalam perspektif yang berbagai.

Alam dan kehidupan, peristiwa dan kejadian adalah sumber-sumber yang amat relevan dalam mengembangkan kemahiran berfikir. Kemahiran berfikir akan subur kerana sentuhan pemikiran tidak saja kepada asas yang tersurat tetapi menjurus kepada hal-hal yang tersirat. Asas berfikir tidak saja melihat kepada fenomena sesuatu yang nyata tetapi juga merasakan nikmat iman mengenai sesuatu yang ghaib. Darinya mendekatkan pemikir kepada Pencipta dan Pengurus alam ini dan darinya lahir jiwa-jiwa yang muttaqin.

Asas berfikir tidak saja menanggapi sesuatu secara zahiri tetapi faktor batini juga diambil kira. Darinya lahir jiwa ihsan yang merasakan kemurnian makna kehidupan yang membolehkan remaja hidup secara sejahtera dan menginsafi bahawa remaja dijadikan oleh-Nya sebagai hamba dan khalifah untuk melaksanakan misi ibadullah dan ibadur rahman.

Jiwa iqra’ yang menjadi asas kepada ditanzilkan al-Quran harus mendorong remaja tidak saja berfikir dalam perspektif yang dangkal. Berfikir secara zahiri yang tidak ditautkan dengan faktor batini menjadikan hasil pemikiran hambar. Jiwa iqra’ harus memandu remaja melihat sesuatu dari jendela yang zahiri dan batini serta mendorong perspektif pemikiran didukung oleh nilai dan etika dan menyebabkan remaja merasai bahawa memahami faktor zahiri saja tidak cukup untuk mencari makna diri, kehidupan dan alam.

Berpandukan sumber nilai yang sifatnya Qurani, ia bakal memberikan kemahiran berfikir yang Islami dan remaja bakal menjadi pemikir yang tidak saja mampu menukil ilmu dan maklumat hasil adanya proses berfikir tetapi ilmu dan maklumat itu sifatnya mempedoman remaja ke arah jalan berfikir yang lebih fitrah.

Berfikir adalah anugerah Allah

Oleh: DR. SIDEK BABA

ALLAH s.w.t. kurniakan manusia dengan akal. Akal adalah sebesar-besar rahmat dan nikmat yang membolehkan manusia berfikir. Yang membezakan haiwan dan manusia ialah kerana manusia dianugerahkan akal yang membolehkan mereka berfikir sedangkan haiwan mempunyai otak tetapi tidak boleh berfikir.

Haiwan dirangsang oleh naluri. Sebab itulah Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian iaitu manusia boleh berfikir.

Berfikir adalah sesuatu yang amat penting bagi kehidupan. Kejadian pada diri manusia itu sendiri, mendorong manusia berfikir. Mengapa akal, nafsu, hati dan pancaindera dijadikan, membawa manusia berfikir. Mengapa hujan, ribut, banjir, gempa bumi, kebakaran berlaku membawa manusia berfikir. Siapa yang mencipta manusia dan alam ini menyebabkan manusia berfikir.

Berfikir membolehkan manusia mengetahui. Tahu tentang sesuatu boleh menjadi asas pengetahuan dan ilmu. Pada hakikatnya, berfikir ialah untuk mencari makna. Manusia faham akan sesuatu berasaskan makna. Apabila ilmu diperolehi hasil adalah proses berfikir manusia menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu.

Bagi benda-benda yang nyata, fikiran dan pancaindera manusia membantu. Kehidupan ini tidak sekadar apa yang kita nampak dan tengok sebagai bukti menjadikan kita tahu. Ada benda-benda yang kita nampak dan tengok adalah benda-benda yang dekat. Betapa benda-benda yang jauh di angkasa raya dan di luh mahfuz yang manusia tidak tahu.

Sudah tentu manusia memerlukan bantuan untuk menjadikannya tahu dan mendapat makna tentang bumi dan kehidupan, planet-planet dan galaksi lain, hubungan antara kehidupan di bumi dengan faktor-faktor alamiah yang amat menakjubkan.

Dalam tradisi Islam, al-Quranlah sebagai sumber maklumat, pertunjuk dan ilmu mengenai faktor yang ghaib dan nyata yang memberi suluh dan pedoman kepada manusia. Bila manusia melakukan fikir dan tadabbur mendorong manusia bertanya tidak sekadar apa yang nyata di hadapan matanya tetapi faktor di sebalik kejadian sesuatu yang tentunya terkandung hikmah, rahsia dan menafaat bagi manusia. Inilah tradisi berfikir yang selari dengan maksud sains Islam.

Tanpa al-Quran manusia hanya melakukan kajian terhadap perkara-perkara yang nyata dan tampak sedangkan alam ini terkandung perkara-perkara yang nampak dan tidak tampak. Tidak mungkin alam ini diurus dengan baik hanya dengan upaya yang tampak. Alam ini sebenarnya diuruskan dengan upaya yang tidak nampak atau ghaib. Manusia sendiri memiliki keterbatasan dalam mengurus muka bumi ini apa lagi mengurus alam yang tidak memiliki batas tepi.

Umumnya akal manusia mempunyai tiga fungsi. Pertama manusia boleh mengingat dan menghafal sesuatu. Kedua, akal membolehkan seseorang berfikir mengenai sesuatu sama ada yang dilihat, dialami mahupun yang dikhayali.

Ketiga akal mempunyai daya taakulan yang membolehkan pertanyaan dibuat, jawapan diberi dan penyelidikan berlaku. Daripada proses ini manusia menjadi faham. Fahamlah yang menjadi puncak kepada proses berfikir. Berfikir menjadi nikmat yang amat luar biasa bagi manusia sekiranya natijah akhirnya ialah faham.

Otak manusia dibahagikan kepada dua iaitu otak kanan dan otak kiri. Otak kanan dikatakan mempunyai upaya berfikir yang berhubung dengan hal-hal yang kreatif, falsafah dan termasuk hal-hal keagamaan. Otak kiri dikatakan mempunyai kecenderungan dan potensi mengenai angka, statistik dan analisis di samping hal-hal mengenai bahasa. Ada manusia dikatakan menjadi kuat kepada salah satu daripada dua dan terdapat juga manusia yang mempunyai kehebatan kedua-duanya.

Para remaja mesti menggunakan kekuatan otak ini untuk menafaat ilmu dan pengetahuan. Seperti juga manusia lain, remaja dibekalkan dengan kekuatan akal yang membolehkannya berfikir.

Meskipun remaja masih lagi muda tetapi bahan yang perlu difikirkan mestilah mampu mencanai akal untuk menghasilkan idea-idea yang bernas dan pemikiran yang baik. Idea yang bernas berlaku hasil dari pembacaan, perkongsian maklumat, pemerhatian, pengalaman yang membimbing remaja berfikir dan meletakkan nilai supaya pemikiran terpedoman.

Pemikiran yang baik bagi remaja ialah pemikiran yang berasaskan nilai. Nilailah yang menjadi pedoman terbaik untuk remaja berfikir.

Al-Quran sebagai sumber pertunjuk terkandung nilai-nilai dalam pelbagai dimensi. Ada nilai yang terpancar dari dimensi akidah, ada nilai yang berkembang dari dimensi ibadah, ada nilai yang memberikan batasan dimensi syariah dan ada nilai yang terlihat daripada kemurnian akhlak yang terdapat.

Apabila Islam menganjurkan remaja supaya selalu bersyukur, memiliki sifat sabar, harus ada kebijaksanaan, bersikap adil dan ihsan terhadap orang lain, amanah dan jujur terhadap sesuatu ia adalah pancaran nilai yang mempedoman jalan berfikir remaja. Sekiranya remaja hanya dirangsang oleh nafsu , keyakinan akliah semata-mata nescaya makna sebenar sesuatu yang dimiliki dan dicari tidak akan ditemui.

Apabila remaja mengaitkan kekuatan berfikir berasaskan nilai-nilai yang sifatnya Qurani, para remaja sedang memilih jalan bagaimana faktor rohaniah dan akal dapat disatukan, faktor fikir dan zikir dapat ditemukan. Asas inilah yang boleh memimpin remaja menjadi pemikir masa depan.

Sama ada pemikiran itu mengambil sudut reflektif, lateral, kritikal, analitikal, strategik, kreatif dan seumpamanya asas nilai seharusnya dijadikan pedoman. Nilailah yang akhirnya bakal membantu remaja untuk membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Sekiranya nilai yang diambil hanya bersifat akliah semata dan tidak dikaitkan dengan sumber naqliah (wahyu) ia tidak melahirkan kebijaksanaan.

*Renungan batini

Berfikir bagi remaja memerlukan renungan batini yang tinggi. Menghubungkan diri dengan Allah dengan mengakui alam ini adalah ciptaan-Nya, rahmah dan nikmat adalah kurniaan-Nya menyebabkan remaja merasa kerdil tentang upaya diri, berusaha untuk menemukan tanda-tanda kebesaran-Nya dan darinya remaja mempunyai asas yang betul bahawa berfikir tanpa redha Allah adalah sesat, berilmu tanpa mengakui kebesaran Allah adalah musibah dan pemikiran yang hanya mengagumi kehebatan duniawi tanpa mengaitkan dengan kepentingan ukhrawi akan memimpin manusia ke arah malapetaka.

Oleh kerana berfikir adalah suatu nikmat Allah yang amat bernilai, faktor kewarasan, keseimbangan dan kematangan harus ada supaya kualiti ilmu dan maklumat yang diperolehi mampu membimbing remaja ke arah jalur kehidupan yang terarah dan memungkinkan remaja menyumbang berasaskan kekuatan ilmu dan kemahiran yang yang lebih bermakna.

Pemikiran dan akal

Oleh: DR. SIDEK BABA

AKTIVITI berfikir selalunya dikaitkan dengan akal. Akal tidak saja membolehkan seseorang mengingat dan menaakul tetapi juga berfikir. Berfikir menghasilkan pemikiran.

Pemikiran mencetuskan idea, gagasan, andaian, pendapat, analisis, hipotesis, dan teori. Tetapi upaya akal tidak segala-gala dan pancaindera juga memiliki upaya yang terbatas. Oleh itu pemikiran manusia mengenai sesuatu juga adalah terbatas.

Keterbatasan itu menyebabkan upaya pemikiran manusia juga terbatas. Bagaimanapun, dalam keterbatasan akal juga manusia dapat berfikir dan pemikiran manusia terus berkembang menghasilkan ilmu dan kemajuan yang menakjubkan. Namun dalam al-Quran, Allah s.w.t. menyatakan dengan jelas bahawa Allah tidak pernah memberikan sebarang ilmu kepada manusia melainkan sedikit sahaja.

Keterbatasan ilmu yang Allah berikan menyebabkan manusia terus melakukan pengamatan, pencarian, penyelidikan dan melakukan rumusan dan hipotesis supaya makna sesuatu yang dicari dapat ditemui jawapan dan jalan keluarnya. Ada teori yang bersifat sementara dan relevan pada waktu-waktu tertentu dan didapati tidak relevan pula pada masa yang kemudian. Manusia terus mencari, meneroka, mengkaji dan menyelidik bagi mendapatkan formula-formula baru bagi mengatasi masalah baru yang berbangkit.

Akal manusia sebenarnya adalah wasilah atau alat, bukannya ghayyah atau matlamat. Sifat alat yang terbatas tetap selamanya terbatas. Ia akan membantu ke arah matlamat sekiranya pemikiran yang ada membantu akal untuk berkembang secara fitrah. Maklumat yang diterima, data yang diperoleh, fakta yang terkumpul memerlukan analisis supaya hikmah di sebalik kajian dan dapatan menemukan manusia dengan sesuatu yang lebih bermakna.

Allah ciptakan sesuatu dalam alam ini. Semuanya terkandung hikmah atau rahsia Allah yang amat menakjubkan. Apabila sesuatu yang dikaji dihubungkan sebagai asas benda seadanya, ia tetap kekal sebagai benda. Tetapi akal yang didukung oleh pedoman nilai melihat benda sesuatu yang lebih daripada itu. Benda akan dikaitkan dengan Penciptanya dan benda akan dihubungkan dengan kebaikan dan kesejahteraan.

Asas pemikiran sebegini memberikan akal pedoman terhadap sesuatu dan menyebabkan manusia sentiasa merasakan kekerdilan diri dalam memahami sesuatu dan kebesaran Allah dalam menciptakan sesuatu. Daripadanya lahir keimanan yang tinggi dan ketakwaan yang kental.

Pemikiran yang Islami dan Qurani tidak menolak kepentingan akal. Islam dan al-Quran terkandung nilai-nilai pemikiran yang tidak saja menghubungkan akal dengan perkara-perkara yang nyata tetapi mempedomankan akal mengenai perkara yang tidak nyata atau ghaib.

Faktor ghaibiyyat adalah faktor kejadian Allah. Faktor roh yang menjadi asas hidupnya manusia adalah sesuatu yang ghaib. Manusia yang hidup percaya bahawa dalam dirinya terdapat roh yang memberikannya hayat. Bukti kebesaran faktor yang ghaib itu dilihat daripada tanda-tanda gelagat dan kelakuan yang dimiliki manusia.

Faktor alam lepas adalah faktor yang masih ghaib atau tidak ketahuan kepada manusia. Walaupun manusia mula sampai ke bulan, robot sampai ke Marikh dan ekspedisi lain cuba meneroka angkasa lepas namun maklumat yang diperoleh masih amat terbatas. Ada berbilion galaksi dan planet-planet yang masih menjadi misteri bagi manusia yang terus beredar secara teratur dan tertib sebagai tanda-tanda kebesaran Allah yang Maha Mengatur dan Maha Sempurna.

Para remaja yang menggunakan otak kanan dan otak kiri untuk berfikir tidak hanya menggunakan fungsi otak kiri terhadap sesuatu yang berbentuk angka dan potensi menganalisis atau menggunakan otak kanan berfikir secara kreatif namun pedoman berfikir perlu ada. Sumber maklumat dan ilmu tidak hanya bergantung hasil daripada pengalaman manusia sepanjang sejarah hidup dan kreativitinya tetapi para remaja harus merujuk pedoman al-Quran sebagai sumber perkhabaran, maklumat dan petunjuk supaya pemikiran daripada akal terpedoman. Ia akan membimbing remaja menyuburkan keupayaan berfikir yang berasaskan nilai-nilai yang Rabbani iaitu menghubungkan pemikiran dengan Allah.

Para remaja harus menginsafi pemikiran popular yang berkembang dewasa ini umumnya tidak berasaskan rujukan nilai-nilai Rabbani. Hasilnya lahir faham-faham yang menolak agama atau nilai-nilai keagamaan dalam pemikiran. Faham mengenai hak asasi, faham mengenai humanisme dan saintisme, faham mengenai feminisme dan gender, faham mengenai perubahan dan pembangunan lebih banyak memberi fokus kepada material ataupun benda atau yang menyentuh tentang aspek nafsu-nafsi yang merangsang gelagat seksual manusia.

Remaja Islam harus mampu menggunakan akal sebagai asas untuk berfikir (ulul albab) ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Berfikir secara logik, mantik, rasional dan saintifik tidak akan memberi makna apa-apa sekiranya tidak dipandu oleh nilai. Nilai Rabbani yang menjadi pedoman tentang hubungan remaja dan Allah akan sentiasa memimpin remaja tentang sesuatu yang bersifat mekanistik yang dipandu oleh nilai dan etika yang Islami dan memimpin remaja ke arah amanah sebagai khalifah dan taat sebagai hamba yang soleh.

Mempelajari keterampilan berfikir, teknologi dan sains adalah sesuatu yang mekanistik. Ia tidaklah salah. Tetapi mekanisme yang tidak didukung oleh ilmu yang benar, nilai dan etika yang Islami menyebabkan nilai guna sesuatu tidak membimbing manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan yang sebenar.

Menjadi seorang doktor yang tidak saja melakukan rawatan terhadap penyakit tetapi mengubati jiwa dan hati pesakit; seorang jurutera, tidak saja melakukan pembinaan terhadap bangunan dan jambatan tetapi melakukan pendekatan kejuruteraan sosial terhadap masyarakat dan sistem menyebabkan pemikiran saintifik dan teknologikal tidak hanya terdapat manfaat fizikal sekali gus manfaat bina insan.

Pemikiran seperti inilah yang harus menjadi landasan penyuburan pemikiran remaja supaya para remaja tidak hanya terpaut dengan faedah berbanding yang terdapat dalam proses keilmuan dan teknologi Barat tetapi sekali gus berupaya melakukan pencernaan berasaskan acuan sendiri supaya faktor pemikiran yang berkembang sifatnya integratif dan mampu menghasilkan idea pemikiran yang tidak saja melihat faktor zahiri yang mekanistik tetapi faktor batini yang lebih fitrah.

Berfikir menjana ilmu

Oleh DR. SIDEK BABA

BERFIKIR ialah suatu aktiviti akliah dan rohaniah yang berlaku pada seseorang akibat adanya kecenderungan mengetahui dan mengalami. Ia disusun dengan teratur supaya lahirnya makna, fakta dan kefahaman.

Akal manusia berfungsi untuk mengingat, berfikir dan menaakul. Daripadanya kegiatan berfikir berlaku.

Manusia diberi daya kognitif yang membolehkannya berfikir. Manusia juga diberi daya efektif yang membolehkan emosi, perasaan dan kerja hati berhubung dengan daya kognitif. Daripadanya lahir pemikiran. Pemikiran yang berkembang boleh memberi asas kepada lahirnya ilmu.

Pada diri manusia terdapat sumber ilmu. Persekitaran yang ada pada diri manusia terkandung ilmu. Pohon-pohon yang subur, haiwan pelbagai jenis, sumber-sumber hasil bumi yang banyak terkandung ilmu. Peristiwa yang berlaku, perubahan yang terjadi, rahmah dan nikmat yang banyak terkandung ilmu. Allah jadikan semuanya adalah untuk manfaat manusia. Ia mendorong manusia berfikir kerana daripada aktiviti berfikir manusia akan dapat manfaat ilmu.

Ilmu menyebabkan manusia tahu dan menerima makna akan sesuatu. Akhirnya dengan ilmu manusia tahu nilai guna sesuatu dan hikmah daripada sesuatu kejadian.

Para remaja perlu menyuburkan naluri ingin tahu dengan cara berfikir. Berfikir harus dipandu oleh maklumat, fakta dan ilmu. Sejarah pemikiran bukanlah sesuatu yang baru. Sejak Nabi Adam, manusia pertama, proses berfikir sudah berlaku. Sebab itu Allah ajarkan Nabi Adam tentang nama-nama sesuatu supaya dengan mengetahui nama-nama tersebut menjadikannya serba tahu dan ia amat bermakna untuk memandu kehidupan.

Remaja tidak tiba-tiba dewasa dan matang dalam berfikir apalagi mempunyai nilai yang betul tentang sesuatu perkara. Proses bertatih dalam berfikir adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Naluri ingin tahu, ingin mencuba, ingin mengkaji harus tumbuh dalam hati remaja supaya sesuatu yang dilihat dan diperhati tidak hanya berlaku begitu saja tetapi menyebabkan aktiviti berfikir berlaku. Dengan membaca, menonton, berkomunikasi, melihat gelagat dan masalah manusia yang silih berganti, ia membolehkan remaja berfikir.

Aktiviti berfikir membolehkan remaja mendapat jawapan, melakukan analisis dan ia memberikan asas yang baik untuk remaja mencari jalan keluar, meneliti akar masalah dan akhirnya mampu menghasilkan sudut pandangan terhadap sesuatu.

Ibnu Nafis, Ibnu Sina, Al-Batani, Az-Zahrawi, Newton, Einstein, Kepler, Plato, Aristotle dan ramai lagi ahli ilmu, ahli falsafah dan ahli fikir memulakan aktiviti saintifiknya dengan berfikir. Genius ini memiliki kekuatan berfikir yang luar biasa. Bila melihat langit, bintang-bintang, cakerawala yang beredar, hujan yang turun, petir kilat sambar menyambar, sakit dan kematian, ia mendorong mereka berfikir. Hasil daripada pemikiran lahirlah tanggapan dan kesimpulan terhadap sesuatu. Daripadanya ilmu subur dan hidup lebih bermakna.

Dalam tradisi orang Barat sejak zaman Plato, Aristotle dan Socrates membawa ke zaman Galileo, Bruno sehinggalah ke zaman Descartes, Kant, Derrida dan Michel Foucou pada abad ini, manusia tidak pernah berhenti berfikir. Pemikiran mereka berkembang berasaskan pemerhatian, kajian, dapatan, renungan yang bersandar kepada akal dan pengalaman.

Faktor agama, kitab dan kenabian tidak dijadikan sandaran utama. Akhirnya hipotesis dan teori tentang sesuatu dibina atas asas rasional dan saintifik bukan berasaskan autoriti wahyu atau pun agama.

Wahyu

Dalam tradisi Islam akal itu adalah sesuatu yang penting. Berfikir menerusi pemerhatian dan uji kaji tidak pula ditolak. Tetapi akal itu dipandu oleh nilai dan ilmu yang jauh lebih tinggi daripada apa yang diketahui oleh manusia. Akal manusia dan pancaindera manusia tidak mampu mencapai segala-gala. Walaupun banyak kehebatan dicetuskan oleh akal namun keterbatasannya tidak menjadikan manusia memiliki kudrat dan kuasa terhadap alam dan kehidupan ini secara mutlak.

Tradisi Islam meletakkan sumbersumber wahyu sebagai hikmah dan pedoman untuk manusia berfikir. Sumber wahyu tidak saja menyatakan perkara-perkara yang nyata tetapi juga hal-hal yang ghaib. Yang ghaib tetap wujud walaupun sifatnya tidak maujud. Keyakinan manusia kepada benda yang nyata dan wujud semata-mata belum melengkapi sifat dan hakikat kejadian itu sendiri. Roh manusia adalah sesuatu yang wujud dan tidak maujud dalam bentuk benda.

Namun, manusia yang hidup boleh berkata-kata dalam melakukan pelbagai kegiatan dan ia adalah gambaran adanya roh pada tubuh badan manusia. Sekiranya roh telah tiada, sehebat mana pun akal manusia, hati manusia dan ketangkasan jasmani manusia, ia akan kaku dan mati. Roh ialah ciptaan Allah, bukannya manusia. Yang diketahui oleh manusia tentang roh amat sedikit.

Para remaja harus melihat bahawa berfikir adalah suatu fitrah. Fitrah ini mesti dipandu oleh ilmu dan nilai. Ilmu wahyu dan nilai agama menjadikan proses berfikir lebih bermakna. Proses berfikir menjadikan remaja lebih berilmu, menjadi tahu dan menerima makna akan sesuatu dengan merujuk kepada kebesaran dan keperkasaan Allah.

Apabila sandaran berfikir sifatnya kerana Allah, hikmah berfikir akan memberi rahmat kepada remaja. Remaja akan dilatih tidak saja berfikir secara zahir tetapi faktor batini akan sentiasa menjadi aspek penting dalam kehidupan. Bila remaja melihat dan mengkaji sesuatu dengan mata zahir, ia juga harus menghubungkan objek kajian dan pemerhatian dengan mata hati dan mata batin.

Sekiranya remaja berasa kagum dengan muzik popular Barat, pemikiran yang ada tidak saja untuk hiburan mengisi kehendak hawa nafsu semata-mata tetapi tuntutan batini dan hati yang berasaskan asas rohaniah yang tinggi mahukan hiburan yang tidak membawa kepada lagha dan melalaikan. Ia harus mampu mencetuskan minda dan hati dalam titik harmoni yang mendorong manusia mentertibkan hawa nafsu, menyuburkan nilai-nilai adab dan apresiasi dan menghasilkan keinsafan yang tinggi terhadap kekuasaan Allah s.w.t..

Ilmu inilah yang sebenarnya harus dijana oleh remaja hasil berlakunya proses fikir dan zikir yang membimbing remaja supaya dekat kepada Allah.

Berfikir dalam zikir

Oleh DR. SIDEK BABA


BERFIKIR adalah suatu fitrah. Allah memberi manusia akal membolehkan manusia berfikir. Allah mengurniakan manusia pancaindera membolehkan manusia memandang, memerhati, melihat, menyaksikan, mendengar, menghidu, merasa dan menyentuh supaya darinya manusia memperolehi maklumat, pengalaman dan juga tanggapan.

Darinya manusia berusaha untuk melakukan kajian dan penelitian supaya manusia dapat memahami apa yang ada di sekitarnya dan apa yang diperlukan dalam hidup ini.

Alam ini Allah jadikan seluas-luasnya untuk mengajak manusia berfikir dan mengetahui kebesaran-Nya. Planet bumi di mana manusia hidup dilimpahkan rahmat dan nikmat yang amat banyak. Setiap kejadian yang Allah ciptakan terkandung hikmah yang amat luar biasa sifatnya.

Apa yang mampu dikaji dan diteliti dan dinikmati oleh manusia masih sedikit. Bayangkan alam yang terlalu luas dengan rahsia yang belum diteroka oleh manusia tentunya mengandungi hikmah yang amat menakjubkan. Allah memberikan kita al-Quran supaya manusia mendapat pertunjuk dan pedoman bagaimana memahami benda yang nyata dan benda yang ghaib, bagaimana manusia dapat berfikir tentang sesuatu di sekitarnya dan menghubungkannya dengan Pencipta. Inilah asas berfikir dalam zikir bagi orang-orang yang beriman.

Para remaja amat perlu membina tradisi berfikir dalam zikir supaya asas berfikir yang sebenar dapat dirasai dan dinikmati. Berfikir secara akliah semata-mata selalunya tersisih dengan hikmah mengenai sesuatu. Ia hanya menghubungkan pemikiran dengan asas yang rasional dan logik pada pertimbangan akal semata. Sesuatu yang di luar batas akal dianggap tidak rasional dan tidak logik dan ia ditolak.

Keyakinan remaja kepada kuasa Pencipta sudah tentu tidak sama dengan keupayaan manusia dengan akal dan pancaindera yang terbatas. Sekiranya akal manusia dan kemampuan berfikir adalah segala-gala sudah tentu manusia berupaya menyelesaikan banyak masalah kehidupan yang kelihatan semakin parah dan membimbangkan.

Apa daya manusia menyelesaikan pelbagai jenis penyakit yang datang silih berganti kalau hanya bergantung dengan akal semata-mata. Apa daya manusia mengatasi masalah kerosakan akhlak kalau hanya bergantung dengan pertimbangan akal semata. Dan apakah daya manusia mengatasi musibah banjir, gempa bumi, ribut dan taufan kalau hanya berpandu dengan kajian dan penelitian sahaja.

Para remaja yang menggunakan pendekatan berfikir dalam zikir tentunya mengetahui bahawa tidak semua yang terdapat dalam alam ini diketahui manusia dan tidak semua yang berlaku dalam alam ini di bawah kudrat dan kawalan manusia.

Mengajak remaja berfikir dalam zikir bermakna menghubungkan alam ini dengan Pencipta dan menghubungkan kejadian dan peristiwa dengan kuasa Pencipta.

Berfikir dalam zikir bagi remaja bermakna bagaimana remaja sejak awal umur lagi didedahkan dengan jalan berfikir yang mengingati kebesaran Allah. Memahami faktor ghaibiyyat dalam hidup remaja harus dihubungkan dengan tanda-tanda kebesaran Allah yang terdapat di mana-mana di muka bumi apalagi di angkasa.

Al- Quran memberi remaja pedoman dan panduan bagaimana memahami kebesaran Allah dengan menyaksikan tanda-tandanya. Kejadian siang dan malam, hujan dan panas yang berlaku silih-berganti, kehidupan manusia dan faktor alamiah yang berpasang-pasang, diturunkan hujan menghidupkan pohon-pohon dan haiwan adalah tanda-tanda kebesaran-Nya bagi remaja yang berfikir.

Manusia tidak mampu menguruskan perjalanan kejadian tersebut malah menerima saja apa yang berlaku dengan urus tadbir yang terbatas.

Zikir

Berfikir dalam zikir membimbing remaja untuk memahami bahawa seluruh kejadian alam ini adalah di bawah urus tadbir Allah s.w.t. Manusia yang diberi amanah sebagai khalifah perlu melakukan urus tadbir mengikut pedoman yang Allah telah berikan menerusi kalam-Nya al-Quran supaya ia menjadi pertunjuk bagi manusia. Mengingkari akan menyebabkan kerosakan kepada kehidupan dan muka bumi ini.

Berfikir dalam zikir bagi remaja mampu mendekatkan remaja kepada kebesaran Allah. Berzikir dalam erti kata yang luas bermaksud mengingati dan mengakui kebesaran dan keagungan Allah.

Bila remaja melafazkan kalimah zikir subahanallah atau Allahu Akbar, ia tidak hanya terpancar dengan kalimah dan dibenarkan atau ditasdikkan dalam hati semata tetapi lafaz kalimah itu memberi dorongan ilmu mengenai rahsia kebesaran Allah dalam alam ini yang perlu dikaji oleh remaja supaya manfaatnya dapat dirasai oleh manusia.

Sains dalam tradisi Barat mengkaji sesuatu benda seadanya dan mengkaji sesuatu fenomena seadanya. Dalam tradisi berfikir dan zikir mengkaji sesuatu benda tidak saja dikaji seadanya tetapi dikaji hikmah di sebalik kejadiannya. Apalagi bila mengkaji fenomena sesuatu kejadian ia tidak hanya dikaji mengenai kejadian itu tetapi berfikir dalam zikir memberikan pedoman, hikmah dan iktibar di sebalik sesuatu kejadian supaya manusia mendapat pengajaran dan pertunjuk dari sesuatu benda dan kejadian.

Mengapa manusia dilahirkan ke dunia kemudian dimatikan, mengapa manusia yang sihat kemudian jatuh sakit, mengapa manusia yang zaman mudanya cerdik dan sampai terlalu tua hilang ingatan, mengapa manusia suatu ketika kaya kemudian tiba-tiba jatuh miskin, mengapa suatu ketika manusia berada di tempat yang amat berkuasa kemudian jatuh sebagai manusia yang hina.

Mengapa manusia di suatu zaman membina tamadun yang hebat tetapi kini menjadi penciplak kepada tamadun orang lain, adalah gambaran fenomena kejadian manusia sejak dari dahulu sehingga kini.

Memahami fenomena ini dalam dalam fikir dan zikir memberikan remaja iktibar tentang kejadian dan kuasa Allah yang seharusnya manusia mengambil iktibar darinya.

Penyakit

Hal yang sama juga berlaku terhadap pelbagai jenis penyakit yang sedang menghinggapi manusia kini, keadaan cuaca yang tidak menentu, lapisan ozon yang semakin menipis, sungai-sungai yang tercemar, udara yang semakin kotor adalah gambaran tentang ketidakseimbangan yang berlaku dan sebahagiannya adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia.

Berfikir dalam zikir bagi remaja membawa remaja ke arah dorongan mengkaji dan menyelidik tidak saja dalam batas benda yang nyata tetapi harus memiliki pedoman dari Pencipta tentang pedoman-pedoman mengurus yang betul supaya wujud pemahaman yang seimbang bahawa sesuatu itu adalah kejadian dan milik Allah.

Manusia diberi amanah untuk mengurusnya dengan baik dan betul. Darinya lahir sifat amanah yang tinggi dan terjadinya sesuatu ia ada hikmah yang membimbing manusia berfikir tentang upayanya yang terbatas dan upaya Allah yang tidak terbatas.

Berfikir dalam zikir meningkatkan keyakinan dan keimanan remaja tentang kekuasaan dan kebesaran Allah kerana tidak ada sesuatu yang terjadi dan diciptakan di alam ini tanpa kuasa-Nya.

Ilmu yang ada pada remaja hanya sedikit dan kalau yang sedikit itu remaja tidak bersyukur dengan-Nya malah sesetengah remaja sombong dan takbur terhadap-Nya, ia menyebabkan remaja akan kehilangan pedoman ilmu dan hikmah dan akhirnya remaja akan merasakan ia adalah segala-gala dan ia bakal menjerumuskan remaja ke arah kerosakan dan kebinasaan peribadi dan pemikiran.

Kemahiran berfikir

Oleh DR. SIDEK BABA

KEMAHIRAN berfikir adalah sesuatu yang amat fundamental dalam kemajuan sesuatu negara dan bangsa. Bangsa Yunani terkenal melahirkan ahli-ahli fikir, sekali gus menghasilkan karya-karya besar.

Pemikir seperti Aristotle, Plato, Socrates dan lain-lain, pemikirannya dikaji sehingga kini. Hal yang sama berlaku dalam ketamadunan Islam yang melahirkan pemikir-pemikir besar dalam banyak bidang. Tokoh-tokoh seperti Ibnu Nafis, Ibnu Sina, al-Batani, al-Khwarizmi, al-Biruni, al-Zahrawi, Ibnu Khaldun, IbnuTaimiyyah, Shah Waliyullah dan lain-lain adalah pemikir, pengkaji dan saintis pada zamannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan manusia dan tamadun. Kekuatan yang ada pada mereka bermula dengan tradisi berfikir yang menghasilkan ilmu dan karya.

Kemahiran berfikir harus didedahkan kepada generasi muda sejak zaman remajanya lagi. Kecenderungan al-Farabi, al-Kindi, Ibnu Rushd berfikir bermula sejak umur remaja lagi. Bermula dengan mendekati dan meneliti al-Quran, menguasai aspek-aspek bahasa dan tafsir sehinggalah mendekatkan mereka dengan ilmu-ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik adalah gambaran tradisi berfikir yang cemerlang berlaku di kalangan mereka. Dewasanya mereka menghasilkan karya-karya besar untuk kajian dan tatapan manusia berzaman-zaman.

Berfikir sebagai suatu kemahiran perlu disuburkan di kalangan remaja. Tempoh remaja adalah tempoh yang amat berpotensi membentuk kemahiran berfikir supaya potensi akliah atau mindanya dapat berkembang dengan subur dan baik. Remaja tidak seharusnya di dedah dengan pendekatan mengingat dan menghafaz saja. Ia juga penting sebagai suatu cara merakam maklumat dan ilmu. Tetapi lebih penting lagi ialah bagaimana maklumat dan ilmu dapat difahami dan diaplikasikan kepada diri dan juga di luar diri. Ia sudah tentu menuntut upaya atau kemahiran berfikir.

Kemahiran berfikir adalah amat perlu bagi remaja supaya sudut pandangannya menjadi luas dan mantap. Oleh kerana sifat ilmu dan maklumat adalah berkembang, pemikiran remaja tidak harus statik, beku dan jumud dalam tahap-tahap tertentu sedangkan perkembangan maklumat dan ilmu di sekitarnya berkembang dengan laju. Dalam gelombang perkembangan maklumat yang digerakkan oleh teknologi para remaja harus berkemampuan menyaring yang mana baik dan bermanfaat atau yang mana sebaliknya. Kemahiran berfikir boleh membantu

Apa yang penting bagi remaja ialah kenal pasti potensi, minat dan kecenderungan terhadap bidang-bidang ilmu dan keahlian kemudian latih diri dengan kemahiran berfikir yang sistematik. Maksud berfikir yang sistematik ialah bagaimana pemerhatian, pengkajian, dapatan, penemuan yang dilalui oleh remaja baik dalam hal-hal akademik dan kerja saintifik, mahupun khazanah pengalaman dan pemerhatian mencetuskan daya fikir, perasaan ingin tahu yang tinggi, kecenderungan melihat dalam perspektif yang berbeza, memperkayakan persepsi, tafsir dan taawil terhadap sesuatu adalah jalan-jalan yang menghasilkan kemahiran berfikir.

Remaja di peringkat awal membina kemahiran berfikir harus peka dan sensitif terhadap sesuatu. Ia mendorong rasa ingin tahu yang tinggi. Dorongan ingin tahu harus diikuti dengan pembacaan, perkongsian ilmu dan maklumat, melakukan analisis, mendapatkan maklumat-maklumat berbanding dari sumber-sumber lain kemudian meletakkan sesuatu subjek atau isu dalam perspektifnya. Apabila sesuatu itu berada dalam perspektifnya maka barulah asas pemikiran diletakkan dan subjek itu boleh dilihat secara kritikal, kreatif, reflektif, lateral, analitis, evaluatif dan sebagainya.

Melihat dan menanggapi sesuatu berasaskan perspektif pemikiran boleh menambahkan lagi kesuburan ilmu, menjadikan maklumat berkembang, pendapat diperkayakan dan akhirnya data dan fakta yang diperoleh menjadi lebih tersaring dan rumusan ke arah sesuatu akan menjadi lebih baik. Ia sangat penting memandu remaja berfikir dengan lebih tepat, baik dan sempurna. Ia boleh menyebabkan remaja berfikir dengan berkualiti.

Berfikir

Pada hari ini ramai remaja yang tidak berfikir. Sesuatu itu dilihat secara pergi dan datang tanpa kecenderungan untuk berfikir baik atau buruknya. Sesuatu yang datang dalam hidupnya baik yang bercorak maklumat, hiburan, senikata, bahan pembacaan dan tontonan lebih banyak yang mengisi keperluan naluri dan nafsu. Sekiranya para remaja tidak dibina asas dirinya menjadi remaja yang baik dan berakhlak unsur hiburan dan berfoya-foya sangat digemari.

Remaja jenis ini jarang berfikir tentang baik buruk, bermanfaat atau pun tidak akan sesuatu itu, sebaliknya menjadi pengguna setia hingga akhirnya menyebabkan para remaja terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan terlibat dengan perbuatan yang melampaui batas.

Dalam tradisi Islam kemahiran berfikir sentiasa dihubungkan dengan faktor zikir. Zikir di sini harus dilihat dalam erti kata yang luas. Zikir bukan hanya menyebut nama Allah atau kebesarannya tetapi zikir dalam konteks fikir mengajar remaja memahami faktor kewujudan Allah dengan tanda-tanda kebesaran-Nya. Allah s.w.t. adalah sesuatu yang ghaib. Adanya alam ini, seluruh kejadian yang ada, rahmah dan nikmat yang melimpah, diberikan roh kepada manusia supaya manusia mampu berfikir, merasa dan memilik nilai dalam aplikasi hidup.

Remaja pada peringkat awal umur lagi jangan hanya berfikir terhadap benda-benda yang wujud dan tampak semata-mata. Sesuatu yang wujud dalam alam dan kehidupan ini tidak semestinya maujud dalam bentuk yang nyata dan tampak. Roh yang ada pada tubuh remaja sendiri adalah sesuatu yang ghaib. Tetapi ia wujud pada diri dan memperkasa akal dan hati. Tanpa roh jasad, akal dan rohani tidak akan memberi makna apa-apa. Pemikiran pokoknya ialah siapa yang mencipta roh itu. Al-Quran memberikan pertunjuk bahawa roh itu adalah ciptaan Allah dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit sekali.

Akal adalah anugerah Allah yang amat berharga. Dari akal membolehkan remaja mengingat dan menghafaz. Daripada akal juga menyebabkan pemikiran berkembang dan daya taakulan terjadi. Berfikir adalah suatu proses dan apa yang difikir menjadi sumber maklumat dan ilmu kepada remaja. Tetapi upaya pemikiran remaja terbatas sedangkan alam dan kehidupan yang amat luas ini sifatnya tidak terbatas. Remaja memerlukan pedoman.

Al-Quran sebagai Kalam Allah memberikan kita pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib. Daripadanya remaja belajar memberi perimbangan mengenai pertunjuk, pedoman dan pertanda daripada Allah untuk manusia tahu dan daripadanya manusia dapat mengukuhkan jiwa kehambaan yang tinggi supaya kepatuhan dan ketaatan yang ada membolehkan remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Kalau tidak pemikiran remaja akan berkembang secara pemikiran orang Barat yang sebahagiannya tidak percaya kepada konsep Penciptaan dan menolak konsep ghaib sebagai dogma dan dihubungkan sebagai tidak rasional dan tidak saintifik.

Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang khusus tentang sains. Ulama dan ilmuan Islam pada masa terdahulu berfikir berpandukan zikir iaitu menghubungkan Allah sebagai Pencipta. Sedikit kebesaran dan kehebatan hasil ciptaan-Nya dikaji oleh manusia dalam mengurus hidupnya.

Bagi yang tidak beriman merasakan apa yang ditemui dan didapati dianggap ia hasil kajian saintifik manusia sedangkan bagi pemikir dan saintis Islam ia adalah tanda kebesaran Allah yang menciptakan segala sesuatu dan manusia hanya dapat menemui sedikit rahmah, hikmah dan nikmat-Nya. Dari situ manusia memiliki rasa syukur yang tinggi.

Para remaja Islam perlu bersikap kreatif, inovatif dan kritikal terhadap sesuatu fakta dan data. Tetapi daya kreatif, inovatif dan kritikal jangan sampai kita menolak faktor zikir hingga menyebabkan remaja kehilangan arah dan pedoman dan akhirnya menolak Tuhan dan agama. Faktor zikir adalah faktor yang memandu remaja dekat dengan kebenaran dan faham tentang fitrah kejadian.

Oleh itu berfikir tanpa landasan boleh menyebabkan remaja hilang arah. Berfikir menolak fitrah kejadian akhirnya menyebabkan remaja menolak fitrah kejadian. Berfikir secara Qurani akan membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakiki juga yang akan menjadi pedoman terbaik memandu remaja membina peribadi yang fitrah. Inilah landasan berfikir yang dianjurkan oleh Islam.

Berfikir saintifik Qurani

Oleh DR. SIDEK BABA

Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang berkaitan dengan sains. Surah al-Baqarah ayat 164 menceritakan tentang kejadian langit dan bumi, pertukaran malam dan siang, air hujan yang turun menghidupkan tumbuh-tumbuhan, peredaran angin dan awan yang tunduk terapung-apung antara langit dan bumi dan lain-lain.

Surah al-Anbiyak ayat 33 mengisahkan tentang kejadian siang dan malam, matahari dan bulan. Setiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (angkasa lepas).

Surah az-Zariat ayat 7, merakamkan mengenai langit yang mempunyai jalan-jalan (sistem orbit). Surah az-Zumar ayat 6 menyatakan Allah menjadikan manusia dalam kandungan ibu berperingkat-peringkat dalam satu kejadian ke satu kejadian dalam tiga suasana yang gelap gelita.

Al-Quran sebagai suluh memberikan pedoman berfikir kepada saintis Islam mengkaji hikmah di sebalik setiap kejadian yang diciptakan oleh Allah s.w.t. Muhammad ib Zakaria ar Razi (865-925), Burhanuddin Nafis (1438), Ismail Jurjani(1136), Qutb al Din al Shirazi (1236-1310), Mansur ibn Muhammad, Abu al Qasim al Zahrawi adalah sebahagian saintis Islam yang mengkaji bidang perubatan dan anatomi.

Al Biruni mengkaji ilmu putaran bumi 600 tahun lebih dahulu daripada Galileo dan 700 tahun sebelum Newton. Ali Kushchu, saintis Islam abad ke 15, adalah orang pertama melakar peta mengenai bulan dan sebahagian kawasan bulan mengambil namanya.

Thabit ibn Qurrah, di abad kesembilan menghasilkan kalkulus (differential calculus) berabad-abad sebelum Newton. Battani, saintis abad ke 10 merupakan orang yang pertama menghasilkan ilmu mengenai trigonometri.

Al Maghribi, menghasilkan konsep equation yang hari ini dikenali sebagai Pascal Triangle, 600 tahun sebelum Pascal. Ibn Haitam, hidup di abad ke-11 adalah pengasas kepada ilmu sains optik. Roger Bacon dan Kepler menggunakan asas optik untuk kajian selanjutnya dan Galileo pula menghasilkan teleskop atas asas ilmu optik Ibn Haitam.

Al Kindi memperkenalkan ilmu relatif fizik dan teori mengenai relativiti 1,100 tahun sebelum Einstein. Shamsuddin yang hidup 400 tahun sebelum Pasteur, adalah saintis yang pertama menemui kuman. Ali ibn al Abbas hidup di abad ke 10 adalah doktor yang pertama melakukan pembedahan kanser.

Semua ini berlaku kerana dorongan saintis Islam untuk mengkaji dan memikirkan hikmah di sebalik kejadian dan kebesaran Allah s.w.t..

Berpedomankan al-Quran

Berdasarkan surah-surah yang disebutkan di atas dan contoh-contoh saintis Islam dalam berbagai bidang dan lapangan bagaimana eksplorasi saintifik berpedomankan al-Quran. Al-Quran adalah sumber ilmu. Ia mengandungi prinsip dan perisyaratan mengenai alam dan kehidupan yang perlu diterokai oleh ahli sains supaya kebesaran Allah dan tanda-tanda kehebatan Pencipta dapat dirasai dan mengukuhkan lagi iman manusia tentang kewujudan-Nya.

Para remaja Islam harus akur bahawa tamadun Islam telah merintis jalan ke arah tradisi sains umat manusia malah ke arah tradisi sains moden. Keupayaan saintis Islam melakukan penerokaan saintifik dengan jiwa tadabbur yang tinggi membolehkan tradisi sains berkembang dengan di Barat.

Barat terhutang ilmu kepada tamadun Islam. Remaja hari ini harus insaf bahawa Islam tidak hanya lahir sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi terkandung sumber peradaban yang amat luar biasa tingginya.

Berfikir saintifik Qurani boleh membimbing remaja ke arah kaedah berfikir saintifik dengan merujuk kepada al-Quran. Al-Quran sebagai sumber petunjuk bukan sahaja memberikan pedoman tentang benda yang nyata dan konkrit tetapi menghubungkan faktor ghaibiyyat sebagai faktor penting kehidupan.

Oleh itu, berfikir saintifik Qurani merangkumi faktor nyata dan ghaib dan faktor nyata memberi isyarat terhadap faktor yang ghaib. Faktor tubuh badan manusia yang hidup adalah faktor yang nyata tetapi faktor yang menghidupkan hayat manusia atau faktor roh adalah faktor yang ghaib.

Faktor suburnya tumbuh-tumbuhan dan kehidupan adalah faktor yang nyata tetapi yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan bukanlah faktor manusia kerana manusia tidak melakukan penciptaan tetapi berlaku dari faktor ghaibiyyat iaitu kuasa Allah s.w.t..

Pemahaman asas berfikir seperti ini amat penting bagi remaja yang meyakini bahawa Islam adalah cara hidup. Allah menjadikan akal manusia dan usaha penerokaan saintifik untuk menemukan asas-asas kejadian dan penciptaan dan sedikit maklumat tentang hakikat di sebalik kejadian dan penciptaan. Faktor rohaniah remaja terkait rapat dengan kajian saintifik Qurani.

Faktor rohaniah membawa remaja kepada percaya tentang kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada tanda-tandanya di sekeliling kita. Rahmat dan nikmat yang banyak di sekeliling kita ada tanda-tanda tentang kebesaran Allah.

Membimbing manusia

Untuk membina keimanan yang tinggi kepada-Nya, kajian dan penemuan saintifik Qurani membimbing manusia untuk mengetahui di sebalik kajian terhadap daun, akar dan pohon terdapat hikmah herba yang amat menakjubkan. Di sebalik kajian bahan gas dan uranium terdapat hikmah tenaga yang amat luar biasa kesannya.

Pada kajian bintang-bintang dan sistem orbit terdapat petanda mengenai pengaturan sistem perjalanan dan perputaran yang tidak mampu dilakukan oleh manusia melainkan kuasa yang maha perkasa iaitu Allah.

Para remaja Islam harus bersedia melakukan refleksi dan penerokaan kembali asas-asas ilmu sains yang Qurani supaya kajian saintifik tidak terpisah dengan faktor ghaibiyyah yang memberikan asas keimanan yang luar biasa kepada manusia. Islam tidak dianut secara sentimen dan emosi. Islam mendidik umatnya dengan tradisi ilmu yang saintifik.

Faktor rohaniah apabila dihubungkan dengan faktor saintifik Qurani memberikan jalan berfikir yang serasi antara faktor yang nyata dengan faktor yang ghaib.

Berfikir saintifik Qurani bakal mengembalikan semula asas epistemologi ilmu sains ke arah yang fitrah. Selama ini Barat memperkenalkan kaedah empiris yang melihat faktor uji kaji, pemerhatian, pemerolehan data dan fakta sebagai satu-satunya asas saintifik dalam rumusan dan diagnos. Tetapi tradisi sains Islam tidak menolak faktor ghaibiyyah sebagai landasan membangun epistemologi baru yang sifatnya lebih integratif. Saintis Barat cuba menyatakan bahawa agama, Tuhan dan Quran adalah dogma atau khayali dan tidak ada asas saintifik yang rasional.

Tetapi itulah yang berlaku dalam tradisi sains Islam di mana al-Quran dijadikan sumber melakukan tadabbur iaitu uji kaji dan penyelidikan saintifik.

Memang al-Quran tidak menyediakan formula yang lengkap mengenai sains tetapi al-Quran memberikan manusia perisyaratan tentang kejadian dan manusia melakukan tadabbur hasil dari perisayaratan tersebut dan akhirnya menemui fakta-fakta saintifik yang selari dengan apa yang diisyaratkan.

Asas ini memerlukan pemikiran reflektif remaja melihat kepada pencapaian saintifik kini dan melakukan rekfleksi terhadap pencapaian masa lalu. Kemudian mengolahnya kembali dalam kaedah berfikir saintifik Qurani yang bakal membawa dan membimbing manusia kembali kepada tradisi sains Islam yang asli.

Tradisi itu melakukan penerokaan terhadap yang nyata dengan yang ghaib dan akhirnya menemukan manusia dengan hikmat dan asas hakikat yang besar maknanya terhadap keimanan dan ketakwaan manusia terhadap Pencipta.