Friday, December 15, 2006

Berfikir tadabbur

Oleh DR. SIDEK BABA

MAKSUD tadabbur dalam al-Quran ialah memerhati dengan mengkaji dan menyelidik. Allah jadikan alam ini sebagai sumber hikmah dan daripadanya terdapat rahsia-rahsia kebesaran-Nya. Berfikir tadabbur bermaksud pemikiran manusia terhadap sesuatu yang menjadi sumber kajian, telitian dan penyelidikan tidak terputus dengan maksud penciptaan itu sendiri.

Dalam tradisi berfikir orang-orang Barat terdapat kecenderungan mempercayai bahawa alam ini terjadi dengan sendiri atau terjadi secara kebetulan (by accident) lalu lahir teori evolusi dan teori-teori yang seumpama dengannya mengenai manusia, alam dan kehidupan. Dalam tradisi berfikir orang-orang Islam, alam ini diciptakan oleh Allah dan manusia dijadikan dalam keadaan yang sempurna.

Berfikir tadabbur mendidik manusia untuk menghubungkan faktor kajian dan penyelidikan dengan faktor penciptaan dan hikmah di sebalik penciptaan. Allah tidak mencipta sesuatu dengan sia-sia. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian.

Berfikir tadabburlah yang boleh menghubungkan manusia dengan Pencipta dan persekitarannya. Berfikir tadabburlah yang membimbing manusia mengetahui hakikat yang nyata dan keajaiban yang ghaib. Faktor ghaibiyyat atau yang ghaib menjadi faktor yang amat penting dalam membina jalan berfikir orang-orang Islam.

Para remaja perlu berfikir secara tadabbur dalam memahami diri, Pencipta dan persekitarannya. Alam ini tidak terjadi dengan sendiri. Alam ini ada Penciptanya. Para remaja tidak harus berfikir sesuatu dalam hidup ini hanya dalam lingkungan faktor benda. Faktor benda membimbing pemikiran kepada yang wujud dan maujud. Faktor benda memimpin pemikiran remaja hanya percaya kepada sesuatu yang wujud dan nyata wujudnya dalam penglihatan.

Sesuatu yang ghaib dianggap tahyul dan dogma. Pemikiran saintifik mengikut cara Barat berasaskan pendekatan rasional dan empiris di mana sesuatu itu di katakan wujud selepas melalui proses pemerhatian, adanya data dan fakta dan diuji kaji dalam makmal. Faktor ghaibiyyah dianggap tidak rasional sebab tidak boleh diuji kaji.

Berfikir tadabbur tidak menyamakan upaya manusia dengan upaya Pencipta. Menyamakan upaya manusia dengan upaya Allah seolah-olah mensetarafkan manusia dengan Allah. Apabila upaya manusia dikongsikan atau disyarikahkan dengan Allah ia membawa kepada syirik. Allah Pencipta alam ini dan seluruh isinya.

Manusia diciptakan dan menjadi sebahagian dari isi bumi. Manusia tidak ada kudrat mutlak terhadap dirinya. Manusia sihat, sakit dan akhirnya akan mati.

Manusia tidak mempunyai keupayaan untuk menahan diri dari mati. Berfikir tadabbur memimpin manusia bahawa upaya manusia terbatas seperti juga upaya makhluk-makhluk yang lain. Kemutlakan hanya ada pada yang mencipta dan mengurus alam ini iaitu Allah.

Sesuatu yang Allah jadikan baik pokok mahupun air terkandung hikmah yang besar. Berfikir saintifik cara Barat melihat faktor itu sebagai faktor nature atau dikatakan sedia jadi atau semulajadi. Berfikir tadabbur melihat faktor itu sebagai faktor tabie yang diciptakan dengan maksud memberi rahmat kepada manusia. Pada pokok terdapat sumber makanan, ubatan, oksigen dan lain-lain untuk kepentingan manusia. Berfikir tadabbur mendorong manusia mengkaji di sebalik wujudnya bunga, buah, akar, kulit, daun dan batang, terdapat hikmat yang besar untuk manfaat manusia dan kehidupan. Pada air terdapat faktor fitrah kejadiannya untuk menghilangkan dahaga, membersihkan kotoran dan menyuburkan pokok-pokok serta kehidupan. Daripada kajian dengan penemuan yang terbatas menjadikan manusia merasakan kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah yang tidak mampu dilakukan oleh manusia.

Mencipta

Para remaja harus menginsafi bahawa proses mencipta datang daripada Allah. Allah mencipta daripada sesuatu yang tidak ada kepada ada. Manusia hanya menggubah mereka daripada sesuatu yang telah diciptakan kepada sesuatu yang lebih kreatif untuk keperluan dan kepentingan manusia. Allah ciptakan pokok-pokok dan daripadanya ditebang serta diracik-racik oleh manusia dan tukang untuk dibuat rumah dan bangunan. Berfikir tadabbur boleh menjadikan remaja dekat dengan Allah kerana bukti penciptaannya amat nyata.

Memahami hakikat kewujudan Allah adalah dengan memahami tanda-tanda kebesaran-Nya. Sekiranya para remaja berada di tepi pantai melihat ada tapak-tapak manusia di situ, para remaja akan percaya bahawa ada manusia pernah lalu di situ walaupun manusianya secara maujud tidak ada. Apabila remaja masuk ke hutan melihat kesan tapak kaki harimau lantas percaya bahawa ada harimau di hutan itu walaupun harimau tidak ada di depan para remaja.

Berfikir tadabbur membimbing remaja bahawa langit, bumi, planet-planet yang berputar, ketepatan dan kelajuan perjalanannya, wujudnya kejadian siang dan malam, hujan dan panas, hidup dan mati adalah tanda-tanda kebesaran Allah. Sunah Allah menentukan kejadian dan perjalanannya.

Manusia tidak mengurus alam ini. Manusia hanya dijadikan khalifah untuk mengurus sebahagian dari kehidupan dan mengurus rahmah serta nikmat yang dikurniakan. Alam ini ditadbir dengan tersusun lagi teratur. Manusia mengaturkan sistem lebuh raya dengan kaedah yang canggih tetapi perlanggaran dan kesesakan tetap juga berlaku.

Ia membayangkan kelemahan dan ketidakupayaan manusia. Berfikir tadabbur boleh membimbing remaja betapa hebatnya rahmat dan nikmat yang menjadi rahsia Allah dan limpahan rahmat serta nikmat itu menjadi hikmah yang perlu dikaji.

Apa yang manusia tahu tentang hikmah dan nikmat Allah itu masih sedikit. Pada Allahlah terdapatnya Keperkasaan, Kebesaran dan meletakkan Allah Yang Maha Mengetahui. Manusia hanya mengetahui sedikit. Ia meletakkan keimanan yang tinggi terhadap Pencipta.

No response to “Berfikir tadabbur”