Wednesday, December 13, 2006

Perubahan - Remaja harus cermat menerimanya

Islam agama yang mampu memberi tindak balas kepada faktor perubahan.Tetapi perubahan dalam Islam adalah dalam kerangka nilai dan adab, dalam acuan tauhid dan akhlak.

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA

PERUBAHAN membawa maksud peningkatan, perkembangan atau peralihan dari suatu tahap ke tahap yang lain. Perubahan boleh membawa dua pengertian; perubahan ke arah kebaikan dan perubahan ke arah keburukan. Perubahan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan dalam hidup ini. Manusia terus berusaha mencari makna diri dan makna kehidupan, terus meningkatkan mutu ilmu dan mutu teknologi, mempelbagaikan pilihan dalam kehidupan, terpengaruh dengan perkembangan sekitar dan merangka pelan kerja ke arah yang lebih meningkat. Dari sini datangnya perubahan.

Daripada perspektif Islam, sesuatu perubahan sama ada dalam pemikiran, tingkah laku, budaya, sosial dan lain-lain tertakluk kepada nilai yang digunakan dan matlamat daripada perubahan itu. Sekiranya asas perubahan pemikiran, tingkah laku dan sebagainya ialah mengekalkan manusia di dalam keadaan fitrah, mengangkat martabat insan, meninggikan kualiti akhlak, menjadikan manusia lebih berilmu, meningkatkan kualiti amal, ia dikatakan perubahan yang baik atau positif.

Sekiranya perubahan berlaku dalam aspek yang disebutkan tadi menyebabkan pemikiran manusia me-

ngarah kepada kebendaan dan nafsu-nafsi semata-mata, menyebabkan sifat tamak dan rakus bermaharajalela, hilangnya mutu ilmu dan amal, tampilnya gelagat siapa kuat dia dapat, ia adalah perubahan ke arah keburukan.

Remaja kini berada dalam zaman yang cepat berubah. Potensi remaja yang sedang menempuh zaman ingin tahu, ingin belajar, ingin meniru, ingin berubah akan terkesan dengan perubahan sekitarnya. Remaja umpamanya mudah terpengaruh dengan fesyen dan gaya, gelagat hidup dan penampilan berbeza, sedang bertatih mencari identiti diri, sedang bergolak rasa dan impiannya. Peringkat umur seperti ini remaja amat penting mencari pedoman dan panduan.

Remaja berubah tidak semestinya kerana perubahan. Kadang-kadang ada sifat rendah-diri bahawa faktor perubahan sekitar yang bersifat luaran menjadi daya tarik remaja. Contohnya cara berpakaian yang menjolok pandangan, cara pergaulan tanpa batasan, cara bertingkah laku yang hilang adab dan sopan, membaca majalah picisan yang berbaur lucah dan tahyul, berfikir hal-hal yang remeh-temeh dan tidak melihat jauh ke hadapan. Kononnya kalau tidak bersifat semasa, remaja ketinggalan zaman atau tidak moden.

Oleh itu remaja harus hati-hati dan cermat dalam menerima perubahan. Perubahan bagi remaja adalah suatu fitrah. Sekiranya perubahan yang diinginkan oleh remaja ialah peningkatan ilmu dan kualiti pemikiran sama ada menerusi pembacaan, latihan berfikir, ekses kepada sistem maklumat, peningkatan gaya hidup yang memperkasakan lagi penampilan, bersikap terbuka untuk mematangkan pergaulan, melakukan komunikasi yang baik untuk menambahkan pengalaman yang berguna, melalui rutin kehidupan tanpa pembaziran masa, mempunyai disiplin yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara, perubahan yang bakal berlaku pada remaja adalah perubahan yang berfaedah, dan akan menjadikan remaja memiliki kekuatan tersendiri yang sifatnya menyumbang apabila remaja memasuki alam dewasa nanti.

Islam adalah agama yang dinamik. Islam bukan agama yang beku dan kaku. Islam agama yang mampu memberi tindak balas kepada faktor perubahan. Tetapi perubahan dalam Islam adalah dalam kerangka nilai dan adab. Dalam acuan tauhid dan akhlak. Rasulullah s.a.w. umpamanya merubah tradisi jahiliah de-

ngan membawa masyarakatnya daripada sistem syirik kepada sistem tauhid, daripada tradisi membunuh anak perempuan kepada memartabatkan kaum wanita, daripada konsep sempit perhambaan kepada manusia ke arah konsep hamba yang luas terhadap Allah, yang memberikan asas taat dan patuh kepada yang baik dan menghindarkan diri kepada yang buruk.

Tamadun Islam yang berkembang pada zaman keagungannya mengutamakan kepentingan ilmu dan amal. Peribadi-peribadi ilmuan silam tidak menyempitkan ruang-lingkup ilmu. Umat Islam unggul dengan ilmu yang membangun akhlak dan pekerti di samping keterampilan yang luar biasa dalam ilmu alat atau ilmu fardu kifayah. Integrasi ilmu atau kesepaduan ilmu mampu menjelmakan tamadun ikutan. Barat mencontohi Islam dalam pembangunan ilmu dan tamadun. Inilah yang dikatakan perubahan yang berlaku dalam kerangka nilai dan adab, ilmu dan juga amal.

Pertama, remaja Islam harus memiliki keupayaan membandingkan yang tinggi. Maksudnya, tidak semua perubahan dari Barat harus ditolak. Banyak manfaat yang boleh kita ambil tetapi remaja harus memiliki upaya menapis mana yang buruk dan mana yang sebaliknya.

Kedua, remaja Islam harus meningkatkan kefahaman terhadap agamanya. Agama Islam bukan hanya agama fardu ain tetapi juga agama yang mendukung tuntutan fardu kifayah. Remaja harus melihat di samping pentingnya kekuatan iman dan akhlak, gambaran iman dan akhlak yang tinggi mestilah juga dikembangkan dengan penguasaan ilmu berasaskan nilai murni, penguasaan ketrampilan berasaskan matlamat yang bermanfaat supaya kefahaman terhadap Islam yang baik membolehkan remaja mengetahui batas pedoman antara yang buruk dengan yang baik, antara yang menyumbang atau yang menyambang (tidak berguna).

Kekuatan ilmu

Ketiga, para remaja Islam harus ada keazaman untuk membangun semula tamadun baru berasaskan acuan kita sendiri. Acuan yang menjadikan tradisi keilmuan dan penyelidikan sebagai sumber yang menyumbang ke arah perubahan yang lebih bermakna. Kekuatan orang-orang Barat pada hari ini terletak kepada kekuatan ilmu yang pelbagai dan berkembang menerusi eksperimen dan penyelidikan. Mereka mampu menawarkan kepada dunia sesuatu yang baru, menarik minat pengguna ilmu dan teknologi dan akhirnya menguasai minda dan budaya kita.

Antara cabaran utama remaja di abad ini ialah kemampuan memahami agama secara ketamadunan iaitu agama bukan hanya suatu ibadah ritual atau kerohanian semata. Kekuatan rohani sememangnya menjadi asas yang penting dalam tindakan hidup seseorang remaja. Keimanan umpamanya menjadikan remaja berjiwa merdeka, iaitu keyakinan dan pergantungan kepada Allah adalah bulat dan tinggi. Kebulatan keyakinan itu menyebabkan remaja memiliki daya juang dan daya saing yang hebat, dan ketinggian keyakinan juga menyebabkan remaja tidak mudah kalah dalam menghadapi cabaran.

Cabaran yang amat genting bagi remaja pada hari ini ialah bagaimana menguasai ilmu, membangun akhlak, melakukan penyesuaian antara kekuatan tradisi dengan pendekatan moden supaya remaja kekal dalam acuan peribadi yang memiliki jati diri.

Meskipun perubahan di luar diri amat mencabar tetapi memiliki jati diri Islam yang kental, bakal menjadikan remaja orang yang yang tidak tenggelam dengan arus tetapi sebaliknya mampu bertahan dengan jati diri sendiri.

Islam sendiri adalah agama yang sentiasa sesuai dengan zaman. Yang penting difahami oleh remaja ialah prinsip-prinsip dan roh Islami dalam memahami sesuatu perkara. Islam umpamanya tidak menolak kepentingan seni kerana seni itu indah dan Allah sukakan keindahan tetapi Islam menjaga kemurnian dan keindahan supaya manusia tidak lalai. Islam tidak menghalang remaja berhibur kerana Allah menjadikan alam dan kehidupan penuh dengan hiburan tetapi hiburan itu janganlah melampaui batas. Islam juga tidak melarang remaja bersukan dan melakukan rekreasi tetapi biarlah dalam batas aurah, batas gaul dan batas waktu. Islam tidak pula melarang remaja bergaul tetapi bergaullah dalam batas syarak, iaitu jangan dalam suasana fitnah apabila bergaul de-

ngan yang bukan mahram. Islam tidak menyekat remaja menggunakan internet dan website, tetapi remaja yang bertaqwa tahu bahawa Allah sentiasa melihat apa yang remaja lihat. Tidak salah juga remaja menonton televisyen, video dan seumpamanya tetapi sebagai remaja yang beriman, akhlak menonton kena ada. Inilah asas-asas jati diri Islam yang perlu kukuh pada remaja kerana tanpanya sebarang perubahan yang berlaku akan menghanyutkan remaja sama tetapi remaja yang mempunyai jati diri akan memiliki peribadi ikan di laut masin, iaitu semasin mana air laut dagingnya tetap tawar atau sehebat mana pergolakan di luar diri, peribadinya tetap teguh dan utuh.

2 Responses to “Perubahan - Remaja harus cermat menerimanya”

insidewinme said...

Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

Anonymous said...

Orang dahulu mungkin tak menduga kebejatan akhlak remaja semakin serius.

Pencapaian kualiti kewangan semasa negara semakin meningkat, ekonomi semakin mengunjur, laporan audit semakin bagus (2012), tapi kualiti akhlak remaja semakin merudum.

Para mujaddid perlu tekankan soal addin dalam pembinaan akhlak bangsa, pemimpin pula memantau dari dekat dengan menunjukkan contoh moral yang tinggi. Hari ini saban hari kita dibebankan dengan kes zina semasa yg meningkat yg menerbitkan anak luar nikah, perogolan, nafsu seksual tak tenang..