Thursday, December 14, 2006

Pembangunan modal insan remaja sasaran utamanya

Oleh: PROF DR. SIDEK BABA

MODAL insan menjadi indikator atau petunjuk penting dalam pembangunan sesebuah negara. Negara-negara yang maju menjadikan pembangunan modal insan sebagai sasaran utama. Malaysia juga mengambil pendekatan yang sama dalam strategi membangunkan modal insannya. Para remaja atau tenaga muda menjadi sasaran penting pembangunan modal insan kerana para remaja mempunyai potensi yang amat bernilai untuk dibangunkan. Pada diri remaja, terdapat dinamika diri untuk maju ke hadapan dan sebagai sumber penting bagi membentuk zaman dan kemajuan.

Ada negara yang maju tidak memiliki sumber hasil bumi yang banyak. Negara ini bergantung kepada modal insannya. Banyak negara orang Islam mempunyai sumber hasil bumi yang kaya seperti minyak, gas dan uranium. Tetapi amat lemah dalam pembangunan modal insannya. Akibatnya negara yang memiliki modal insan yang berkualiti, akan mencapai tahap pembangunan yang tinggi. Sementara, negara orang Islam yang kaya dengan hasil buminya tetapi lemah dalam pembangunan modal insannya, negara itu tidak melakukan apa-apa pada hasil kekayaan sumbernya, malah kadang-kadang dieksploitasi oleh negara yang memiliki modal insan yang berkualiti.

Malaysia sedang memberikan tumpuan membangunkan modal insan, tidak saja di kalangan remaja atau generasi mudanya tetapi juga memberi keutamaan ke arah pendidikan sepanjang hayat. Institusi pengajian atau pendidikan berkembang bermula di peringkat rendah sehinggalah di peringkat pengajian tinggi. Ia tidak saja ditaja oleh kerajaan tetapi juga oleh pihak swasta. Prasarana pendidikan di Malaysia sangat berkembang dan para remaja mempunyai peluang yang sangat luas untuk membina bakat diri supaya lahir sebagai modal insan yang berkualiti.

Modal insan berkualiti tidak saja memiliki upaya ilmu dan ketrampilan yang sifatnya semasa dan canggih tetapi ia tidak menolak kepentingan nilai, etika sebagai asas pedoman. Tanpa nilai dan etika remaja akan nantinya kehilangan pedoman dan petunjuk tentang sesuatu yang baik atau buruk, bermanfaat atau membawa akibat buruk, halal atau haram, berguna atau sebaliknya supaya kehidupan dewasanya nanti akan menjadi lebih sejahtera dan baik.

Di peringkat remajalah asas pembangunan modal insan patut di bina. Para remaja adalah manusia yang berangan-angan tinggi. Tukarkan angan-angan menjadi cita-cita. Remaja juga suka berkhayal dan membina imaginasi. Terjemahkan khayalan dan imaginasi kepada idealisme dan faham mengenai realiti. Remaja juga suka mencuba dan ingin dihargai. Jelmakan sikap ingin mencuba kepada kegiatan yang kreatif dan memberi makna kepada kehidupan. Para remaja juga suka berhibur dan berpoya-poya. Alihkan perangai suka berhibur kepada hiburan yang tidak melalaikan dan sikap berpoya-poya kepada sikap menghargai masa. Remaja yang berkualiti ialah remaja yang sentiasa ada disiplin diri. Disiplin diri boleh menjadikan remaja mempunyai daya saing tinggi, fikirannya kreatif dan reflektif, suka berbincang benda-benda yang mempunyai manfaat, cintakan ilmu pengetahuan dan selalu menghubungkan faktor hari depan dengan faktor kualiti dirinya.

Para remaja harus ada keinsafan bahawa faktor-faktor masa lalu dalam pembangunan modal insan adalah tidak sama dengan faktor ilmu dan ketrampilan pada masa kini. Ali bin Abi Talib umpamanya, menasihatkan supaya generasi muda dididik dengan ilmu yang sesuai dengan zamannya. Ia bermakna sifat zaman berkembang sekali gus membawa perkembangan ilmu dan ketrampilan. Manusia terus berfikir untuk mencari dan meneroka sesuatu yang baru. Sekiranya para remaja tidak ada jiwa penerokaan ia bermakna kemajuan tidak akan berkembang. Apabila kemajuan berfikir, berilmu dan daya kreatif tidak ada, kita tidak akan mampu menyumbang apa-apa terhadap orang lain. Sebaliknya kita menjadi manusia pengguna terhadap apa yang orang lain bangunkan.

Sebagai remaja Islam, untuk maju , asas-asas yang fundamental dalam pembangunan diri adalah amat perlu sebelum para remaja mengembangkan bakatnya dalam bidang-bidang yang bakal membawanya kepada kepakaran dan keahlian. Remaja Islam harus terlebih faham dan kukuh akidahnya terhadap Pencipta. Memahami secara ilmu kepentingan akidah terhadap remaja boleh menjadikan remaja orang-orang yang beriman dan bertakwa. Iman dan takwa adalah asas yang sangat penting menjadikan remaja orang-orang yang beradab dan bersyukur.

Remaja juga harus faham tentang maksud ibadah dalam Islam dalam erti kata yang luas. Ibadah tidak hanya dalam batas solat atau puasa, tetapi bagaimana faktor solat dan puasa menjadi faktor penggerak yang menjadikan remaja orang-orang yang memiliki jiwa hamba yang tinggi di mana asas patuh, taat, akur dan tunduk menjadi landasan membangunkan kualiti diri. Inilah maksud rukuk dan sujud dalam solat. Para remaja harus membangun akhlak diri di samping memahami pentingnya faktor syarak dijadikan pedoman dalam melakukan apa saja dalam hidup ini.

Maksud rukuk dan sujud dalam solat umpamanya mendidik kita supaya patuh kepada perkara yang benar dan baik, taat kepada kepimpinan yang baik, akur kepada pentingnya keadilan dan ketulusan dalam hidup dan tunduk kepada keputusan dan peraturan yang memberi kebaikan kepada manusia. Maksud mengamalkan puasa menjadikan kita orang-orang yang bertakwa ialah bagaimana dengan puasa menjadikan kita menginsafi bahawa kawalan hawa nafsu amat penting. Membiarkan hawa nafsu bermaharajalela menyebabkan ramai remaja terjebak dalam salah laku dan maksiat. Mendidik nafsu supaya menjadi jinak dan dapat digunakan ke jalan yang fitrah seharusnya menjadi matlamat remaja. Oleh itu solat dan puasa adalah sesuatu yang amat fundamental bagi remaja amalkan dan hayati supaya akan terbina jiwa-jiwa yang muttaqin yang menjadi asas terhadap pembinaan modal insan.

Kekuatan tamadun Islam pada masa lalu bermula daripada tradisi bina insan yang sepadu yang menyebabkan lahirnya ulama-ilmuan besar, pemikir-pemikir yang agung dan jiwa pelopor yang tinggi. Ia menyebabkan kualiti modal insan tidak saja berkembang dalam budaya zikir, iaitu menghubungkan diri dengan Allah tetapi membangunkan budaya fikir yang amat perlu bagi manusia mengaturkan hidup. Tradisi bina insan berkualiti menghasilkan tokoh-tokoh seperti Ibn Sina, al-Khawarizmi, al- Battani, Ibn-Haytem, Ibn-Nafis, az- Zahrawi, al-Biruni dan ramai lagi yang di peringkat remajanya menghafaz al-Quran, memahami pelbagai bahasa, menekuni bidang tafsir dan agama dan pada zaman dewasanya mengembangkan bakat kepeloporannya dalam bidang perubatan, matematik, astronomi, pakar mata, pakar ilmu darah, pakar bedah dan pakar ilmu falak.

Remaja Islam hari ini tidak hanya harus nostalgik atau kagum dengan pencapaian silam umat Islam tetapi harus bersikap reflektif mengenainya supaya jiwa dan pemikiran reflektif subur ke dalam dirinya. Bagaimana pencapaian silam memberikan dorongan kepada remaja Islam bahawa umat Islam pernah maju dalam semua bidang dan menyumbang kepada terbangunnya tamadun Eropah. Hari ini umat Islam terhina di mana-mana, diperlakukan sesuka hati, dijajah minda dan budaya hidupnya dengan budaya popular Barat hingga menyebabkan sebahagian besar tenaga remajanya hilang jati diri, memeluk budaya Barat seerat-eratnya dan memandang rendah agama dan tradisinya dan akhirnya menjadi si Tenggang kepada sejarah dan tamadun silamnya.

Dalam proses bina insan remaja harus mempunyai tekad dan azam untuk menjadi bangsa atau umat penyumbang. Tidak ada jalan pintas untuk mencapai matlamat tersebut, melainkan para remaja harus bersedia dengan disiplin diri dan tekad yang terancang dan usaha yang bersungguh-sungguh menjadi orang Islam yang baik sekali gus membangunkan bakat diri dengan ilmu-ilmu yang fundamental dan menjurus ke dalam bidang yang menuntut kepakaran dan keahlian. Percayalah, asas inilah yang menjadi asas terbaik dalam pembangunan modal insan supaya para remaja bakal menjadi warga penyumbang bukan saja terhadap negara Malaysia yang dicintai tetapi penyumbang kepada umat Islam dan juga umat manusia.

No response to “Pembangunan modal insan remaja sasaran utamanya”