Friday, December 15, 2006

Krisis nilai berpunca daripada didikan

Oleh DR. SIDEK BABA


BILA seorang remaja berselisih jalan dengan seorang tua dan bertegur sapa, remaja itu mempunyai suatu nilai. Bila remaja lain terjumpa dengan dompet milik orang lain dan memulangkannya ke balai polis, remaja berkenaan juga mempunyai nilai. Bila seseorang remaja tahu bahawa dadah itu tidak baik dan berzina itu dilarang oleh agama dan tidak melakukannya, remaja itu juga mempunyai nilai. Nilai yang diamalkan oleh remaja seperti ini adalah nilai yang baik.

Sebaliknya, jika seorang remaja merosakkan alat telefon kegunaan awam, ia dilihat sebagai perbuatan yang tidak baik. Seorang remaja lain memandu motosikal dengan laju, bunyinya yang bingit, mengganggu ketenteraman orang ramai di tengah malam adalah juga perbuatan yang tidak baik. Seorang remaja lain pula bercumbu-cumbuan di khalayak ramai tanpa rasa malu, juga dianggap perbuatan yang tidak baik. Nilai yang digunakan oleh remaja seperti ini adalah nilai yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Nilai adalah ukur tara tentang baik buruk sesuatu yang digunakan oleh remaja dalam percakapan, perlakuan dan amalan. Nilai sering disandarkan kepada agama, budaya, tradisi, falsafah ataupun sesuatu kepercayaan. Remaja mempunyai naluri, nafsu dan hati. Faktor dalaman diri remaja ini mempunyai dorongan yang amat kuat untuk melakukan sesuatu. Yang mempedoman remaja melakukan sesuatu adalah nilai. Sekiranya nilai hanya disandarkan kepada naluri semata-mata atau mengikut nafsu sahaja atau mengikut hati, kecenderungan perbuatan dan amalan mungkin berasaskan nilai-nilai yang ada dan teringin pada waktu itu dan mungkin cenderung ke arah yang buruk. Sebaliknya, jika perbuatan remaja disandarkan kepada pedoman agama, maka nilainya boleh menjadi baik.

Dalam Islam, nilai al-Quran dan hadis menjadi sumber memandu manusia menerima pedoman, panduan dan petunjuk dalam melakukan sesuatu. Nilai-nilai Islam memandu manusia ke arah kebaikan, kesejahteraan, amanah, keadilan dan kesaksamaan. Islam mengajar remaja supaya berkata benar, bersikap jujur, menghormati ibu bapa, orang tua dan jiran, melakukan sesuatu dengan ikhlas, jangan buruk sangka, menepati waktu, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan selalu tulus dan telus dalam perbuatan dan amalan.

Nilai-nilai baik seperti ini apabila diamalkan oleh remaja, ia bakal menjadikan remaja orang dewasa yang matang, stabil, berhemah, dihormati dan diteladani. Fitrah manusia memang suka mencontohi perkara-perkara yang baik. Naluri dan dorongan nafsu manusia juga boleh mendorong manusia jadi sebaliknya. Sekiranya terdapat di kalangan remaja yang melakukan keburukan, ada kemungkinan nilai kepada perbuatan itu adalah hasil daripada didikan yang diterima, pengaruh persekitaran yang wujud atau pengaruh rakan yang digauli.

Dewasa ini kita melihat sebahagian remaja sedang menghadapi krisis nilai. Krisis nilai bermaksud gelagat atau tingkah laku sesetengah remaja tidak lagi menggambarkan dirinya sebagai orang yang beragama dan jauh lagi untuk mengatakan bahawa mereka itu berbudaya. Cara sikat rambutnya, cara berpakaiannya, cara pergaulannya, cara bercakap dan bahasa yang digunakannya, cara menghabiskan masa hariannya, cara menaiki motosikalnya, menggambarkan ada krisis nilai yang parah yang sedang dialami oleh mereka. Di kalangan mereka ini sudah hilang malu terhadap orang lain, tidak menerima teguran, bersikap agresif bila rasa dirinya tercabar, cenderung merokok dan mengambil dadah malah ramai yang terlibat dengan jenayah yang serius.

Mengapa hal ini berlaku? Jawapan yang mudah adalah pengaruh pergaulan dan pengaruh persekitaran. Sepatutnya dunia yang dikatakan maju dan membangun tidak akan menampilkan watak-watak remaja yang seperti itu. Dunia kemajuan dan pembangunan sepatutnya mendorong remaja menjadi lebih santun dan sopan, cintakan ilmu dan pendidikan, menghargai budaya bangsa dan tamadun umat. Sebaliknya dunia moden hari ini menghasilkan krisis nilai yang amat parah bagi remaja.

Asas yang utama dalam isu ini adalah pendidikan di peringkat awal kanak-kanak. Kalau ditanyakan bilakah tahap yang amat kritikal mendidik anak-anak, pakar pendidikan dan ahli agama akan mengatakan “sejak daripada perut ibu hinggalah ke aqil baligh”. Ini tidaklah bermakna tahap-tahap umur yang lain tidak penting dalam memberikan didikan dan asuhan. Tahap kritikal ini dilihat oleh para pendidik dan ahli agama kerana kanak-kanak akan melalui proses pertumbuhan akal, emosi, kejiwaan dan memiliki kecenderungan atau naluri meniru, mencontohi, meneladani dan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat, ditonton dan disaksikan terutama terhadap perlakuan ibu bapa, di kalangan adik-beradik mahupun di kalangan rakan sebaya. Pada tahap ini bermulanya asas nilai dan perlakuan yang mula membentuk watak kanak-kanak dan ia bakal menjadi landasan membentuk perlakuan ke arah tahap remaja.

Para remaja nanti tanpa disedari atau memang disengajakan akan berasa selesa dengan corak perlakuan yang bermula sejak awal usianya lagi. Sekiranya pola-pola perlakuan tidak diperhatikan oleh ibu bapa dan mengambil langkah membentuknya sejak dari awal, besar kemungkinan apa yang sudah terbiasa dan lazim di peringkat kanak-kanak boleh berterusan sehingga ke tahap remaja, dewasa dan tua.

Terdedah

Krisis nilai adalah akibat daripada tidak berlakunya pemupukan nilai-nilai murni dan baik sejak daripada peringkat umur kritikal lagi. Pendidikan berkualiti daripada ibu bapa tidak berlaku, anak-anak amat terdedah dengan bahan-bahan yang tidak baik daripada media cetak dan elektronik malah bahan-bahan seperti ini banyak mempengaruhi dan mendorong remaja mencontohinya.

Apabila anak-anak mengalami keciciran di rumah dan sekolah pula tidak memberikan kesan penghayatan kepada nilai-nilai baik, contoh-contoh dalam masyarakat juga tidak banyak membantu. Ia menyebabkan para remaja menjadi penganut nilai-nilai negatif dan akhirnya berlaku krisis nilai.

Memang sebahagian besar filem, corak hiburan, majalah-majalah, festival-festival yang berkembang di Barat dan disajikan dalam media cetak dan elektronik hari ini amat mencabar nilai-nilai murni seseorang remaja. Bayangkan seseorang remaja yang sejak zaman kanak-kanaknya lagi tidak diberi peluang untuk diasuh dan dididik dengan nilai-nilai agama, budaya dan tradisi yang baik, tidak mungkin zaman remajanya mempunyai ketahanan dan kekebalan menghadapi kerenah budaya popular yang cenderung merangsang nafsu-nafsi dan jalan berfoya-foya yang mengarah kepada perbuatan melampaui batas.

Ia menyebabkan wujudnya jurang yang dalam antara remaja dengan ibu bapa dan amalan dalam keluarga. Ia juga melahirkan konflik antara golongan lama dan tua dengan golongan muda yang lagaknya lebih agresif. Keadaan seperti ini menyebabkan apa yang remaja lakukan tidak lagi mengambil acuan yang lazim berlaku di mana pemindahan budaya, nilai dan tradisi lazim berlaku secara berterusan walaupun wujud faktor-faktor yang berubah pada setiap zaman. Ia tidak menghalang proses pengukuhan jati diri berasaskan nilai-nilai baik dan murni.

Remaja harus insaf bahawa sebagai orang Islam, remaja ada agama, ada bahasa dan budaya, ada tradisi dan jati diri. Remaja juga harus sedar bahawa sifat zaman adalah berubah. Faktor-faktor perubahan tetap wujud di sepanjang tempoh hidup manusia. Tetapi perubahan yang berlaku tidaklah sampai merobohkan asas-asas nilai, budaya dan tradisi baik yang kita miliki zaman berzaman. Para remaja harus berusaha membina keupayaan bagaimana nilai-nilai baik daripada agama dan budaya boleh menjadi landasan untuk disesuaikan dengan perkembangan hari ini. Nilai-nilai teras dan asasi yang dipedomankan oleh Islam seharusnya menjadi prinsip utama dalam pembentukan watak dan peribadi remaja.

Islam memberikan landasan supaya ilmu dan pendidikan seharusnya berjalan secara fitrah sejak pada awal umur lagi. Islam juga mendidik remaja supaya berpekerti baik dan sentiasa tinggi cita-cita untuk membangun akhlak mulia, berilmu dan cemerlang dalam sesuatu jurusan. Islam juga menganjurkan supaya menjadi orang yang bersyukur dan sentiasa bersedia untuk menyumbang khidmat dan kebaikan kepada orang lain bila sampai masanya nanti.

Sekiranya asas ini dijadikan nilai-nilai teras dalam kehidupan remaja, dewasanya remaja nanti akan menjadi orang yang jelas nilai bukan menghadapi krisis nilai seperti yang dialami oleh sesetengah remaja pada hari ini.

No response to “Krisis nilai berpunca daripada didikan”