Wednesday, December 13, 2006

KEFAHAMAN ILMU DAN KETRAMPILAN PENDIDIKAN DALAM UPAYA PEMBAHARUAN (TAJDID)

Oleh: Prof . Dr. Sidek Baba

Pembaharuan atau tajdid dalam Islam adalah sesuatu yang fitrah atau tabie sifatnya. Islam bukanlah suatu agama yang beku dalam pemikiran dan statik dalam amalan. Dinamika Islam memberikan ruang kepada kreativiti wujud. Kreativiti dalam pemikiran adalah dituntut tanpa menolak faktor syarak. Berfikir reflektif adalah suatu keperluan kerana perubahan hari ini dan hari depan berasaskan cerminan masa lalu supaya wujud kesinambungan antara yang lepas dengan hari ini. Apa yang berlaku pada masa lalu memberikan kita landasan tradisi yang baik. Keupayaan umat Islam mengimbangi faktor perubahan zaman ialah kebijaksanaan menjembatani faktor tradisi yang baik dan cemerlang dengan faktor perubahan kini yang tidak lari dari kerangka fitrah.

Tajdid Sepanjang Zaman
Pada abad-abad terdahulu wujud pemikir-pemikir yang melakukan pembaharuan dalam situasi umat yang berbeza mendepani cabaran yang juga tidak sama. Tokoh-tokoh seperti Ibn Taimiyyah, Muhammad Abduh, Muhammad Ab. Wahab. Hassan al Banna, Sheikh Muhammad al Ghazali, Ismail Faruqi dan Yusof al Qardawi adalah antara contoh tokoh-tokoh yang membawa pembaharuan pemikiran pada tempoh-tempoh terdahulu hinggalah ke hari ini. Dalam Dunia Melayu tokoh-tokoh seperti Hamzah Fansuri, Wali Songo, Muhammad Nasir, Pendita Zaaba, Sheikh Tahir Jalaluddin, Muhammad Naquib al Attas adalah sebahagian dari tokoh-tokoh pembaharuan dalam pelbagai bidang ilmu Islam. Samada mereka melakukan pemurniaan semula jalan fikir Islam yang sudah tersasar akibat tepunya amalan khurafat yang diamalkan oleh umat mahupun yang kehilangan dinamika dalam kaedah berfikir yang boleh menyebabkan kejumudan yang berpanjangan.

Dengan pembaharuan tidak bermakna umat kini menolak faktor-faktor nas yang qatie atau prinsip asasi Islami yang mutlak sifatnya tetapi zaman-zaman yang berlaku dalam sepanjang sejarah jatuh bagun umat berlaku lintasan-lintasan pengaruh tamadun dan silang-pemikiran yang tidak serasi dengan tasawwur Islami. Lalu umat terjebak dengannya untuk menyesuaikan dirinya dengan perubahan dan kemajuan atau terus berada dalam kebekuan yang tidak memungkinkan pembaharuan berlaku akibat terlalu terikat dengan tradisi yang yang menyebabkan faham taqlidik menyubur.

Strategi Eklektik
Prof. Dr. Taha Jabir , seorang tokoh ilmuan Islam menyebutkan umat Islam berada di tiga persimpangan. Pertama terus menggunakan ilmu-ilmu yang sifatnya traditional dengan metodologinya sekali. Pendekatan ini disebut sebagai pendekatan authentic atau kekal seaslinya. Kedua, umat Islam berhadapan dengan faktor perubahan semasa yang dikatakan moden iaitu berlakunya dinamika ilmu dikembangkan dengan menggunakan kekuatan metodologi terkini.

Pendekatan ini disebut sebagai pendekatan modernistik. Ketiga , umat Islam perlu menyaring asas tradisi, memilih asas-asas prinsipnya dan mengolahnya semula menggunakan pendekatan terkini supaya faktor perubahan berlaku tanpa menghilangkan maksud keaslian dan tradisinya. Ianya disebut sebagai pendekatan eklektik. Pendekatan eklektik belum begitu berkembang dan sering menerima kritik. Pengkritik yang cenderung kepada asas epistemologi atau asas-usul ilmu sering tidak setuju sementara yang lain merasakan ianya suatu kewajaran kerana meskipun metodologinya dinamik, prinsip dan ruh ilmu dan pendidikan tetap tidak berubah.

Terdapat di kalangan ilmuan Islam umpamanya mempunyai asas konsep, definisi dan falsafah yang jelas mengenai ilmu dan pendidikan tetapi tidak dikembangkan dalam tahap kedua yang menuntut berkembangnya metodologi atau kaedah operasi yang mampu menterjemahkan asas falsafah dan konsep dalam tugas-tugas harian pengilmuan dan pendidikan. Dalam masa yang sama terdapat di kalangan penggerak ilmuan dan pendidikan melaksanakan pendekatan mendidik yang sifatnya semasa tetapi tidak berpedomakan jalan falsafah yang selari dengan pembangunan fitrah insan. Akhirnya wujud jurang antara keinginan melakukan penjembatanan supaya peroses pengilmuan dan pendidikan berlaku secara sepadu dengan keinginan bersikap prgamatik dan semasa tetapi tidak dipandu oleh nilai, falsafah dan hikmah.

Pembaharuan dalam pemikiran adalah amat perlu bagi umat Islam kini. Pemikiran yang tajdidi dan islahi sifatnya tidak menolak faktor-faktor asasi dalam aqidah, ibadah, akhlak dan syariyyah tetapi pembaharuan menyentuh tentang metodologi dan pendekatan yang semasa dan sezaman bagi menyuburkan lagi kreativiti supaya umat tidak terpinggir dalam arus perubahan dan mampu mengembangkan asas-asas berfikir yang sedia ada. Di Malaysia sistem pendidikannya berkembang dengan menggariskan asas falsasah untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dengan memberikan penekanan tentang perlunya integrasi ilmu dan pendidikan berlaku. Nilai-nilai murni cuba dijadikan asas merentasi kurikulum dan ko kurikulum. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cuba memperkenalkan program integrasi dan Islamisasi dan kursus-kursusnya supaya jenis modal insan yang dilahirkan mampu mengurus sistem secara holistik.

Strategi penerapan nilai-nilai Islam telah mengubah corak muamalah yang menyangkut tentang transaksi bank, kewangan, insuran dan lain-lain sedang mengalami proses pembaharuan yang agak pesat. Walaupun ianya berasaskan syariah dan mekanisme pengurusan yang konvensional tetapi ianya boleh diterima oleh orang-orang Islam dan juga Bukan Islam. Pendidikan Islam di Malaysia umpamanya memberikan penekanan terhadap pembangunan akal, rohani dan juga jasmani secara sepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni. Ianya juga merupakan pendekatan reformatif bagi melahirkan modal insan yang maju dalam pemikiran, terbangun akhlak dan etikanya dan memiliki ketangkasan dan kelasakan dalam melakukan sesuatu.

Proses pembaharuan dalam ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan terutama bila mendepani proses globalisasi yang amat mencabar kini. Proses ini bukan bermakna kita harus menerima faham-faham Barat secara sewenang-wenang. Faham liberal, sekular, rasionalis, pragmatis, naturalis, humanis dan lain-lain yang bersumber dari akar-masalah dan falsafah orang Barat adalah tidak sesuai dengan tradisi pembangunan orang-orang Islam. Perubahan dan kemajuan adalah sesuatu yang fitrah tetapi hendaklah ianya berjalan atas kerangka tradisi yang sifatnya dinamik dan sifat perubahan itu diibaratkan mata rantai yang menghubungkan zaman-zaman yang berbeza tetapi tetap memiliki kesinambungan dan tali-temali tamadun yang sifatnya menyumbang.
Di sinilah datangnya pembaharuan yang memberikan landasan perubahan bertunjangkan asas ilmu dan pendidikan yang Qurani dan dikembangkan oleh metodologi yang tidak menyalahi. Inilah asas pembaharuan yang mampu mengekalkan wibawa dan maruah umat supaya maju dan berubah dalam kerangka dan acuan sendiri.

Faham Tradisi, Liberal dan Pluralis dalam Islam
Antara isu-isu yang berbangkit di kalangan dan terhadap umat Islam masakini ialah faham tradisi, faham liberal dan faham pluralis di kalangan masyarakat malah umat. Faham tradisi merujuk kepada sesuatu yang telah berlaku dan menjadi asas kepada sistem kepercayaan dan agama. Faham liberal merujuk kepada aliran falsafah pemikiran Barat yang tercabut akar nilai dan tradisinya dan tidak menjadikan agama dan nilai-nilai mutlak sebagai sandaran. Faham pluralis pula ialah wujudnya tanggapan beragama dengan titik-persamaan bahawa semua agama adalah baik dan semua agama membawa kebenaran sehingga tidak dapat membezakan yang mana satu agama samawi, agama budaya dan agama falsafah yang asas konsep dan metlamatnya adalah tidak serupa.

Di kalangan sesetengah anggota umat berpendapat bahawa umat Islam hanya akan maju dan dapat mempertahankan jatidirinya dengan syarat faktor tradisi dijadikan asas kemajuan dan perubahan. Pendapat ini ada betulnya tetapi sifat Islam adalah agama dinamik dan sentiasa releven dengan perkembangan zaman dan cabaran lingkungan. Faktor ruang dan waktu adalah antara cabaran utama yang memerlukan pendekatan yang lebih kreatif dan reflektif dilakukan tanpa perlu merombak prinsip asasi yang ada pada tradisi.

Terdapat juga di kalangan sesetengah anggota umat berpendapat bahawa untuk memajukan umat, faham semasa adalah perlu. Untuk itu perubahan ke arah faham liberal dan pluralis amat perlu supaya pengaruh perubahan dari Barat umpamanya harus menjadi metlamat dalam memberi makna perubahan dan kemajuan bagi umat Islam. Mereka berpendapat berpegang kepada tradisi bakal membawa kejumudan dan umat Islam bakal terpinggir dalam arus globalisasi.

Terdapat juga di kalangan mereka yang memiliki latar kesedaran dan pendidikan Islam dan dalam masa yang sama terdedah dengan pengalaman keilmuan dan pendidikan Barat berpendapat bahawa faktor tradisi adalah amat penting sebagai asas kesinambungan tetapi dalam masa yang sama umat Islam harus bersikap proaktif dan selektif terhadap ilmu-ilmu Barat dan metodologi pendidikan yang semasa supaya wujud integrasi yang harmoni antara faktor-faktor lalu yang memberikan ilmu bertatah nilai dan faktor-faktor terkini yang memberi menfaat kepada umat Islam sendiri.

Aliran pertama boleh menjadikan agama sebagai faktor taklidik atau ikut sesuatu tidak secara kreatif yang memungkinkan tertutupnya pintu ijtihad yang boleh menyebabkan perspektif yang tidak dinamik berkembang. Tradisi adalah sesuatu yang baik tetapi sifat tradisi ibarat batu-bata pemikiran dan pengalaman yang berguna yang terbina sejak zaman Rasulullah SAW, diperkukuh oleh para sahabat dan tabie-tabieen, diperkasa oleh kalangan ulama dan ilmuan terkemudian dan terbangunlah binaan Islam yang menyebabkan lahirnya tamadun yang menjadi rahmah alamiah kepada Barat dan Timur.

Aliran kedua menjadikan agama sebagai faktor sampingan dan bersifat pragmatik dan semasa terhadap perubahan dan kemajuan. Aliran ini melihat tradisi atau faham tradisionalisme sebagai sesuatu yang sudah ketinggalan dan ianya memerlukan faham baru yang lebih sezaman. Sezaman itu pula dihubungkan dengan faham pemBaratan yang memperkenalkan pelbagai aliran fahaman yang asas konsepnya adalah dari sumber yang sama iaitu menjadikan akal sebagai sumber dan metodologi empiris sebagai cara mengembangkan ilmu. Asas ini menolak kehadiran agama dan nilai-nilai Rabbaniah.

Aliran ketiga cuba mengambil pendekatan eklektik atau bersepadu supaya faktor-faktor tradisi yang baik dikembangkan menggunakan metodologi terkini yang sifatnya dinamik supaya ilmu dan pendidikan terus subur dan sezaman sifatnya.

Aliran kedua mempunyai kecenderungan terhadap faham liberal dan pluralis.
Liberalisme di Barat tidak mempunyai akar tradisi yang menjadikan agama dan sistem nilai sebagai sandaran. Faham pluralis melihat agama itu adalah sama sehingga hilang upaya membezakan agama samawi dengan agama falsafah atau gagal memahami faktor aqidah tauhid dengan sesuatu yang bercanggah dengannya hingga menyebabkan faham pluralis mengambil jalan mudah menyatakan semua agama adalah benar.

Kepentingan Litarrafu
Dalam meneliti maksud pemahaman antara agama dan tamadun, asas yang boleh dijadikan faktor litaarafu atau kekenalan ialah asas etika yang baik yang mungkin lahir dari saripati kepercayaan terhadap nilai baik yang dilihat tidak bercanggah dengan akidah. Ianya tidak bermakna peleburan asas aqidah bagi maksud adanya saling pengertian dan pemahaman terhadap perbedaan dan persamaan.

Faham ”Islam Liberal” yang sedang menjadi isu dalam masyarakat Islam tidak bertolak atas pertimbangan aqidah dan tasawwur yang jelas. Ada beza pendapat yang menyatakan terdapat nilai-nilai dalam etika dan nilai-nilai baik dalam agama yang dalam beberapa hal sifatnya sejagat dengan menyatakan bahawa semua agama adalah benar. Lalu pendekatan tafasir dan takwil terhadap al Quran dibuat terikat dengan acuan faham liberal dan pluralis. Pendekatan seperti ini amat membahayakan dan boleh merosakkan asas tasawwur Islami dan menjadikan faham agama amat ”superficial”. Islam tidak menolak kepentingan litaarrafu atau kekenalan dalam ertikata yang luas selagi ianya tidak bercanggah dengan faktor aqidah, ibadah , akhlak dan syariah yang tersasas kukuh oleh faktor tradisi. Sebarang usaha untuk melakukan perubahan mestilah mengambil kira faktor tradisi yang telah membangunkan asas epistemologi (ilmu) dan aksiologi (nilai) yang mendukung faktor rahmah alamiah. Perubahan yang berlaku seharusnya dalam kerangka bahawa karamah insan atau kemuliaan manusia terbina dengan keyakinan yang bulat terhadap Pencipta dan dariNya datang hikmah, rahmah dan nikmah untuk kebaikan umat manusia.

Makna Ibadah dalam Perspektif Tajdid
Maksud ibadah dalam Islam adalah untuk melakukan respon terhadap kehidupan dan menjadi pemangkin terhadap perubahan. Kita melakukan solat untuk membolehkan jiwa ruku’ dan sujud menjadi sebati hingga mencetuskan jiwa kehambaan yang tinggi. Kita lakukan siyam atau puasa untuk membolehkan hati dan jiwa mengalami proses transformasi diri supaya diri manusia sentiasa dekat dengan Allah ( taqarrub Ilallah) dalam ertikata yang luas. Kita lakukan zakat, infaq dan sadakah dengan maksud menyuburkan jiwa kemanusiaan tinggi supaya manusia menginsafi bahawa beza antara manusia di sisi Tuhannya ialah taqwa.
Kita lakukan zikir kepadaNya dengan maksud bahawa mengingati Allah atas kebesaranNya bukannya dalam bentuk lafaz saja tetapi Kebesaran Allah itu terlihat di mana-mana saja. Alam ini dengan segala ketakjuban yang kita lihat adalah bukti nyata tentang ayat-ayat Allah untuk dijadikan iktibar, contoh dan bukti tentang kewujudan dan keperkasaanNya.

Kita kerjakan umrah dan Haji dengan maksud mengajak diri kembali kepadaNya. Tawwaf yang kita lakukan adalah simbol kepatuhan kita kepada asas wehdah iaitu kesatuan. Apa pun yang kita tempuh dalam tawwaf samada kita dihimpit, disinggung, ditukis dan dipintas, kesabaranlah menjadi tunggak kekuatan kita. Bayangkan kita hubungkan tawwaf itu sebagai simbolik kehidupan, itulah sebenarnya gambaran cabaran kehidupan dan tawwaf mendidik kita mempunyai khadaf atau arah yang betul dimana menyatukan hati-hati insan supaya mempunyai halatuju yang sama dalam hidup ini iaitu memohon keredhaan Allah SWT. Oleh itu maksud ibadah yang diwajibkan dalam Islam ialah mengekalkan seseorang supaya sentiasa berada dalam keadaan fitrah. Jiwa fitrahlah yang menjadi tunggak membangunkan kekuatan umat.

Apa yang menjadi isu di sini ialah mengapa ketekunan manusia melakukan solat, ketabahan mereka mengerjakan siyam, kesediaan mereka menghulurkan zakat-fitrah dan sadakah, keupayaan mereka melakukan umrah dan haji belum sampai mencetuskan suatu perubahan besar yang memungkinkan umat Islam menjadi sumber kekuatan membangun tamadun. Apakah ibadat yang dilakukan lebih bersifat adat atau ritual hingga menyebabkan keinsafan mendalam terhadap maksud solat sebenarnya tidak dirasakan. Apakah siyam yang dilalui hanya menyebabkan seseorang itu merasa lapar dan dahaga dan ianya bersifat tradisi sehingga semasa idilfitri pekerti sebahagian orang-orang Islam tidak membayangkan maksud hari kemenangan dari pengaruh-pengaruh yang tidak baik. Apakah umrah yang dilakukan berulang-kali dan haji yang disempurnakan lebih dari sekali hanya berlaku kerana ianya adalah suatu tuntutan agama atau ianya berlaku dalam kesedaran dan keinsafan bahawa ke Mekah dan ke Madinah mengingat kita tentang perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat membangun umat dan sekaligus membangun Islam. Ramai yang ditemui selepas mengerjakan umrah dan haji, perangainya tidak banyak berubah. Sikap dan tingkahlakunya serupa dan sumbangan terhadap pembangunan umat Islam pun tidak sebanyak mana.

Pada asasnya ibadat yang disebutkan diatas semuanya memiliki risalah membangun diri, membangun jamaah dan ummah dan menimbulkan keinsafan yang mendalam bahawa Islam dan umatnya tidak akan mampu dihormati dan tidak akan berupaya menyaingi Barat sekiranya ibadat dilihat dalam perspektif yang sempit dan tidak dilihat sebagai sesuatu yang integratif sifatnya. Tidakkah dalam solat yang kita sempurnakan itu menuntut kita membina dan mematuhi kepimpinan yang baik tidak saja dari segi bacaan dan pimpinan sembahyangnya tetapi juga terhadap kepimpinan sistem dan juga negara. Tidakkah dalam siyam yang kita lalui menuntut adanya kualiti kawalan dan kesabaran yang penting bagi menghadapi cabaran. Lebih-lebih lagi cabaran terbesar manusia ialah cabaran hawa nafsu. Hawa nafsu dididik dan diasuh supaya tunduk kepada fitrah insani.

Tidakkah pada amalan zakat terdapat anjuran pentingnya kita mempunyai harta dan pentingnya harta didapati dari sumber yang halal dan mustahaknya harta itu dibersihkan supaya orang lain juga mendapat menafaat darinya. Tidakkah dengan melakukan umrah dan haji semakin mendekatkan kita kepada fitrah iaitu bagaimana kita melihat sepanjang gurun pasir yang maha luas, Rasulullah SAW dan para sahabat serta tabie-tabieen memperjuangkan Islam sehingga Islam sampai kepada kita pada hari ini. Apakah beradanya kita di Arafah tidak memberikan kita kesan simbolik tentang Yaumil Mahsyar dimana kita akan dihisab di depan Allah SWT nanti.

Baik Arkanul Iman atau Rukun Iman mahupun Arkanul Islam atau Rukun Islam, ianya menjadi landasan yang amat penting bagi asas kepercayaan dan asas amal bergerak seiring supaya umat Islam tidak saja hebat dari sudut ibadatnya tetapi menjadikan faktor ibadat sebagai pedoman hidup dalam melakukan apa saja pekerjaan di dunia ini. Sekiranya faktor ibadat dijadikan elemen ritual untuk menentukan dosa dan pahala saja ianya semacam terpisah dengan kepentingan dunia. Amal duniawi kita harus merangkum faktor rohaniah atau ritual dan bagaimana faktor ritual atau rohaniah menjadi landasan atau tunggak membentuk ilmu, pendidikan, ekonomi, teknologi, pengurusan dan lain-lain supaya faktor duniawi itu berkembang dalam kerangka aqidah, syariyyah, akhlak, muamalah yang akhirnya menepati maksud doa kita untuk kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirah. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Oleh itu perspektif memperkasa umat semestinya bertolak dengan memahami faktor ghaibiyyat yang menghubungkan Pencipta dengan Yang Di Cipta, menemukan fikir dan zikir, mempertautkan ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem dan ianya bakal menghasilkan peribadi-peribadi unggul dan cemerlang yang menggunakan kekuatan berfikir sebagai asas mengembangkan ilmu dan modal insan dan menggunakan kekuatan zikir sebagai menghubungkan dirinya dengan hikmah Allah. Hikmahlah merupakan anugerah terbesar Allah kepada yang dikehendakkiNya supaya manusia mempunyai pedoman dan suluh hidup yang sifatnya memandu dan menerangi.

Modal Insan dan Pembangunan Ilmu
Kualiti modal insan bergantung kepada kekuatan ilmu dan kecanggihan ketrampilan yang dimiliki oleh seseorang. Masyarakat Barat memberi fokus yang yang sangat tinggi kepada pembangunan modal insan. Sistem pendidikan yang ditawarkan terutama di peringkat pengajian tinggi mampu melahirkan modal insan yang releven dengan perkembangan sains dan teknologi. Modal insan ini digerakkan untuk menjana kemajuan dalam semua bidang dan akhirnya mereka mampu menempa kemajuan dan perubahan.

Barat tidak saja membangunkan modal insan dalam lingkungannya sendiri dan memajukan sistemnya sendiri tetapi menggunkan kekuatan modal insan ini untuk mengembangkan pengaruhnya ke seluruh alam ini. Strategi globalisasi ini amat gagah cuba melakukan transformasi total atau perubahan yang menyeluruh terhadap cara dan gaya hidup, resam budaya, dominasi ekonomi dan kewangan, perkembangan ilmu dan pendidikan, teknologi komunikasi dan maklumat, media cetak dan letronik terhadap umat manusia.

Bagi umat Islam tidaklah menolak Barat kerana kemajuan sains dan teknologinya atau tradisi keilmuan dan penyelidikan yang dilakukannya. Tetapi tradisi Islam melihat kepentingan falsafah, nilai dan hikmah disebalik perkembangan sains dan teknologi, keilmuan dan penyelidikan yang menghasilkan modal insan yang terlibat dalam arus globalisasi. Falsafah dan faham nilai di Barat banyak menumpu atau dilatari oleh faham materialisme atau kebendaan dan juga faham hedonisme atau berpoya-poya yang mendukung konsep hidup kerana hidup dan hidup tanpa akhirah. Bila pertimbangan akhirah tidak menjadi kepercayaan dan kefahaman mereka maka faktor duniawi dianggap segala-gala.

Oleh itu sistem kapitalisme Barat menghasilkan teori-teori ekonomi yang melihat sumber-sumber ekonomi diuruskan untuk maksud keuntungan, monopoli, eksploitasi kerana faham kapitalisme tidak mengambil pertimbangan keadilan, jurang negara kaya dan miskin, pengagihan sumber ekonomi secara seimbang, keadilan sosial tetapi lebih ideologikal terhadap penguasaan modal. Teori-teori ilmu dan pendidikan juga banyak menghubungkan manusia dengan kemajuan akal secara empirikal atau saintifik dengan menolak faktor agama yang dianggap sebagai dogmatik. Kaji-selidik yang berlaku tampak zahirnya maju dan berkembang tetapi ianya memajukan manusia secara kebendaan tidak terhadap kemanusiaan yang luhur.

Faham utilitarianisme atau keperluan nilaiguna semasa menyebabkan pertimbangan hari pembalasan tidak ada dalam benak mereka. Kalau adapun perlanggaran dan salahlaku hanya dirujuk kepada pertimbangan peraturan dan undang-undang semasa. Hal yang sama terhadap pembangunan teknologi, ianya banyak membantu kehidupan manusia tetapi pada akhirnya pembangunan teknologi menjadi jalan mengisi maksud fahaman kebendaan dan nafsu nafsi. Perkembangan media letronik umpamanya digunakan semahu-mahunya untuk menyuburkan industri hiburan yang bersifat nafsu-nafsi hingga menyebabkan pertimbangan nilai dan akhlak bukan isu bagi mereka. Akibatnya generasi muda di negara-negara lain atau di kalangan remaja Islam terikut-ikut sama dengan rentak dan gerak hiburan dan budaya popular sehingga hilang pertimbangan adab , akhlak dan kesantunan.

Globalisasi dengan strategi mengukuhkan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia (World Bank) , memperkasakan Organisasi Perdagangan Antarabangsa (World Trade Organization) dan Rangkaian Gedung Komersial Antara-Benua (Trans-National Coporation) adalah gerakan gagah untuk memperkasa kewangan dan ekonomi dunia berasaskan sistem liberal kapitalis Barat. Kemajuan bidang teknologi komunikasi dan telekomunikasi (ICT) adalah mekanisme lain yang memperkukuh dan mempercepatkan perkembangan komersial , ekonomi dan ilmu pengetahuan umat manusia dibantu oleh alat-alat teknologi langit terbuka seperti satelit umpamanya yang menawarkan pakej hiburan, muzik, filem yang amat sensasi, separuh lucah dan lucah dan hedonistik sifatnya tetapi juga corak pembudayaan yang menyebabkan kecenderungan meniru cara gaya hidup Barat amat ketara.

Ini bukan bermakna bahawa tidak ada menfaat berbanding dari Barat yang boleh kita ambil. Kelemahan kita ialah membiarkan diri kita sebagai masyarakat pengguna dan penciplak terhadap perubahan orang lain dan tidak mampu menghasilkan sumber-sumber itu berasaskan acuan kita sendiri. Tradisi Islam tidak menolak kepentingan ilmu dan teknologi. Tetapi inti kepada kemajuan Islam pada masa lalu ialah kekuatan aqidah dan akhlak, ilmu dan adab membentuk watak ilmuan dan karyawan, pemimpin dan masyarakat yang peka terhadap faktor duniawi dan ukhrawi, prihatin terhadap pengurusan sumber rahmah dan nikmah dari Allah, melakukan dakwah untuk mengajak manusia kembali kepada fitrah dan mendidik mereka benci kepada kemungkaran, kefasadan dan kezaliman.

Pembangunan Modal Insan dalam konteks acuan kita sendiri mestilah bertunjangkan ilmu yang mampu menyuburkan ketrampilan Mengurus Diri dan keupayaan Mengurus Sistem. Islam tidak menolak kepentingan matematik kerana kejadian alam dan pergerakannya adalah matematikal. Islam tidak menolak usaha penerokaan dan penyelidikan kerana anjuran tadabbur atau kajiselidik dari Allah menganjurkan sifat syukur terhadap penemuan-penemuan yang memperlihatkan kebesaranNya, bukan bersifat takabbur dan menyalahgunakan penemuan saintifik untuk merosakkan alam, kehidupan dan peradaban insan. Jiwa tadabbur harus membimbing manusia kembali dan kekal dalam fitrah kerana manusia tidak melakukan penciptaan kerana manusia hanya mampu mereka dan menggubah sesuatu supaya menjadi lebih kreatif.

Oleh itu kurikulum pendidikan di semua peringkat harus di rombak semula supaya mendidik ilmu Mengurus Diri mestilah mampu disepadukan dengan ilmu Mengurus Sistem. Dalam bahasa yang mudah faktor-faktor nilai, hikmah dan pedoman baik harus sifatnya merentasi disiplin ilmu. Sekiranya ini dapat dilakukan secara bijaksana dan kreatif metodologi pengajaran pembelajaran tidak hanya memperkasa ingatan dan hafalan tetapi menjadikan pelajar faham dan mengembangkan pemikirannya disamping menghasilkan kesan penghayatan dan amalan yang baik. Inilah bentuk Modal Insan yang harus kita bangunkan.

Kebebangan Intelektual
Sejak negara-negara di rantau Alam Melayu mencapai kemerdekaan, masalah pokok yang dihadapi ialah keinginan di kalangan sesetengah pejuang kemerde- kaan untuk melakukan transformasi dan pembaharuan terhadap dasar-dasar yang ditinggalkan oleh penjajah. Ratusan tahun umat Islam di jajah dirantau ini menyebabkan psikik mengkagumi Barat masih lekit dalam pemikiran, psikik feudal masih utuh dalam amalan dan upaya ilmu dan pendidikan yang Islami sifatnya berkembang dalam batas yang amat ritual dan rohaniah sifatnya.

Ianya menyebabkan perubahan yang bersifat simbolik berlaku tetapi tidak berkembang dalam skop ilmu yang integratif dan mampu menjana pembaharuan yang menterjemahkan Islam sebagai Suatu Cara Hidup. Tradisi pondok dan madrasah, pesantren dan maahad masih menumpu memperkasa ilmu mengurus diri secara ritual dan kurang fokus terhadap ilmu-ilmu Mengurus Sistem. Peranan institusi ini amat besar menjadi benteng keyakinan umat terhadap Islam tetapi belum mampu menjadikannya wadah membangun ilmu yang sepadu dan menghasilkan ulama’ dan ilmuan yang dilibatkan dalam arus penggubalan dasar dan strategi pembangunan negara. Keadaan yang dikotomus ini menyebabkan konflik yang berpanjangan berlaku antara pendukung Darul Islam atau Negara Islam dengan kelompok status-quo yang masih teguh dengan strategi keBelandaan dan keInggerisan dan menyebabkan konflik bina negara menghasilkan jurang sehingga ke hari ini.

Munculnya gerakan politik Islam dan gerakan dakwah menjadi faktor yang amat penting dalam upaya pembaharuan yang dicetuskan sejak kemerdekaan di capai. Sayangnya pendekatan umumiyyat yang dipancarkan menerusi retorika dan program-program pendidikan dan pembangunan sosial masih belum mampu memberikan makna dan isi terhadap pembaharuan yang ingin dicetuskan. Akhirnya parti politik Islam dan gerakan dakwah sebahagiannya menjadi parachiol atau sempit dalam kelompoknya dan tidak menjadikan strategi wehdah atau kesatuan fikrah dan arah sebagai gerakan yang sifatnya alamiah dan mampu mengisi pembangunan ilmu yang Islami sifatnya.

Ianya menyebabkan keinginan berubah yang tinggi dengan kemampuan ilmu dan stretaegi yang terbatas. Cita-cita ke arah Darul Islam atau Negara Islam amat kulliyy tetapi upaya transformatif masih di tahap minimal. Tradisi intelektual tidak berkembang dan kejumudan berfikir masih kuat. Keadaan ini menyebabkan
wujudnya penyakit kebebangan intelektual yang parah. Akhirnya lahir suatu keadaan yang amat kritikal dimana strategi hitam-putih berkembang, kaedah menghukum menjadi subur dan isu-isu agama tidak didekati secara ilmu dan intelektual tetapi didekati dengan emosi dan sikap reaktif terhadap situasi. Ianya tidak melahirkan dai’ dan murabbi atau pendakwah dan pendidik yang mampu menekuni kerja-kerja dakwah dengan sabar dan bijaksana berasaskan kefahaman terhadap realiti atau waqie dan faham akan faktor-faktor sezaman dan cabaran lingkungan yang sentiasa menuntut kebijaksanaan dan upaya strategik yang reflektif dan ijtihadik sifatnya.

Acuan Kita Sendiri
Pembaharuan proses pengilmuan dan pendidikan dalam konteks globalisasi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Asas-asas fundamental dalam pembangunan modal insan harus menjadi fokus dalam proses pengilmuan dan pendidikan yang sifatnya integratif. Memberi respon tentang keperluan pasaran serta perkembangan pasaran kerja semata tidak memadai untuk membangun modal insan yang memiliki sahsiah unggul. Jenis cabaran kehidupan manusia pada masakini dan masadepan tidak hanya dalam kepentingan maklumat, ilmu dan penguasaan teknologi yang sifatnya mekanistik tetapi tuntutan terhadap keluhuran hatibudi insan yang menghayati nilai-nilai teras yang tinggi disamping watak kemanusiaan yang memahami erti persaudaraan dan ukuuwwah supaya komunikasi yang berkembang mempertautkan hati-hati insan seutuhnya.

Acuan kita sendiri tidak semestinya menolak faktor Barat dan Timur yang bermenafaat tetapi umat Islam harus memiliki upaya menyaring yang tinggi supaya mereka tidak hanya bertahan sebagai umat pengguna semata-mata tetapi akhirnya mampu menjadi umat penyumbang yang dihoramti dan disegani.

Ilmu dan pendidikanlah yang perlu melalui proses pembaharuan supaya sistem pendidikan yang berjalan, kurikulum integratif yang diajarkan dan sistem nilai yang dijadikan landasan pengajaran-pembelajaran membolehkan lahirnya modal insan yang mampu menekuni karenah zaman dan cabaran lingkungan. Pada masa yang lalu acuan proses pengilmuan dan pendidikan telah menghasilkan produknya. Bagi menghasilkan produk modal insan yang Islami, integrasi Ilmu Mengurus Diri dan Mengurus Sistem harus berlaku dengan perancangan kurikulum yang baik, metodologi pendidikan yang menimbulkan kesan penghayatan dan penguasaan ketrampilan yang terkini supaya ianya menghasilkan jenis modal insan yang mampu mendepani cabaran globalisasi dan menjadikan umat Islam sebagai penyumbang terhadap tamadun umat manusia.

No response to “KEFAHAMAN ILMU DAN KETRAMPILAN PENDIDIKAN DALAM UPAYA PEMBAHARUAN (TAJDID)”