Wednesday, March 14, 2007

Terlalu Islam umat tidak akan maju?

Oleh: DR. SIDEK BABA

ISU Islam sering menjadi isu yang kontroversial. Sebahagian orang-orang Barat merasa fobia atau takut kepada Islam. Islam diberikan pelbagai label. Ada yang menghubungkan Islam dengan pengganas, pelampau, fundamentalis dan agama yang jumud dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman.

Tidak kurang juga di kalangan orang-orang Islam sendiri berpendapat terlalu Islam umat tidak akan maju.

Para remaja harus memahami isu-isu berbangkit dengan ilmu dan kebijaksanaan. Tanpa pemahaman yang telus, remaja bakal terheret sama untuk membuat tanggapan bahawa terdapat sesuatu yang negatif pada Islam.

Remaja harus dapat membezakan Islam sebagai agama dengan ajaran yang mendidik manusia menjadi baik dan berilmu dan berperanan mensejahterakan umat manusia. Remaja juga harus memahami bahawa penganut Islam mempunyai berbagai orientasi, tahap keilmuan dan pendedahan terhadap sejarah dan tamadun Islam menyebabkan kefahaman dan penghayatan Islam menjadi berbeza.

Fobia Barat terhadap Islam datang dari rejim Barat yang memerintah dan mempunyai kepentingan tertentu. Semacam ada dendam Salibiyyah terhadap Islam atau tekad zionis untuk melaksanakan protokolnya.

Al-Quran juga memperingatkan kita mengenai strategi musuh-musuh Islam yang sentiasa merancang untuk menghancurkan Islam sama ada ajaran mahupun imej umatnya. Strategi mereka memperkasa program-program media cetak dan letronik dengan budaya popular Barat merupakan salah satu strategi untuk menghancurkan akhlak dan pemikiran generasi muda.

Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa seluruh tipu daya mereka akan di atasi dengan syarat umat Islam kembali menghayati Islam dalam erti kata yang sebenar.

Isu tentang pengganas, lebih merupakan label politik dan ketenteraan. Islam adalah agama sejahtera dan damai. Bila orang-orang Palestin dijajah buminya dan dihalau sebagai pelarian, sudah tentu wujud tentangan kerana mereka ada hak untuk hidup di negaranya sendiri. Orang-orang Palestin juga ada maruah dan perasaan. Apabila makna keadilan tidak lagi ada, hal asasi dinafikan, pencerobohan terus berlaku, penentangan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Begitu juga isu mengenai pelampau mempunyai akar sebab yang hampir serupa. Telah sekian lama negara-negara umat Islam dijajah, hak mereka dinafikan dan faham sekular dan liberal dipaksakan kepada mereka, menyebabkan wujudnya aliran dan kefahaman yang dianggap tidak selari dengan kehendak proses kemodenan yang menganggap sesuatu yang bersifat tradisi itu melampau.

Hal yang sama juga dihubungkan dengan isu fundamentalisme. Apabila Barat mengambil pendekatan anti agama dan anti Tuhan dalam sistem berilmu dan pemerintahan, sebarang aliran yang mendukung prinsip dan nilai agama yang tulen dianggap sebagai memutar jarum jam ke belakang dan ia dianggap sebagai kembali semula kepada fundamental atau perkara-perkara yang asas.

Adalah sesuatu yang logikal apabila umat Islam khususnya generasi muda ingin memurnikan pemahaman dan penghayatan Islamnya maka sudah tentu asas-asas yang fundamental menjadi sumber amalan mereka. Kerajinan mereka melakukan solat, kesediaan menutup aurat, bergaul dalam batasan yang dibenarkan oleh syarak, tidak terlibat dengan maksiat, benci arak dan pergaulan yang lepas bebas adalah perkara-perkara fundamental dalam ajaran Islam.

Lebih fundamental lagi ialah Islam mengajar tentang makna keadilan, amanah, kebijaksanaan, kesederhanaan, kejujuran , keikhlasan dan ketelusan supaya dalam hubungan sesama manusia ia menjadikan pedoman, prinsip dan amalan.

Mengapa timbul tanggapan negatif yang mengatakan bahawa menjadi terlalu Islam menyebabkan umat Islam tidak maju sedangkan menjadi umat Islam yang berilmu dan baik adalah penyumbang kepada kemajuan Islam itu sendiri. Ia tidak saja menyumbang kepada orang-orang Islam tetapi berfaedah kepada yang Bukan Islam.

Tentu ada sebab-sebab tersendiri mengapa puncak kemajuan Islam di Baghdad dan Andalusia suatu ketika dulu menjadi sumber rujukan dan ambilan ilmuan Barat untuk dijadikan sumber membangunkan Barat itu sendiri.

Kalaulah puncak kemajuan sains dan teknologi dalam Islam dianggap menjumudkan manusia dan menghalang faktor kemajuan tidak mungkin kitab-kitab Ibnu Sina seperti Qanun fit Tib diterjemah ke dalam bahasa Latin dan Ibrani dan menjadi sumber rujukan di Eropah dalam bidang ilmu perubatan berabad-abad lamanya.

Contoh yang terbaik bagi remaja ialah bagaimana Malaysia melaksanakan tekad memperkasa Islam menerusi membangunkan bank dan takaful Islam mengikut kaedah hukum syarak dan membangunkan universiti Islam antarabangsa bagi pelajar-pelajar Malaysia dan pelajar di seratus negara di seluruh dunia.

Menerusi sistem perbankan dan insurans Islam asas sistem kewangan Islam sedang terbina dengan baik, memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi, memberi pilihan kepada umat mengenai sistem tanpa riba dan berjaya meyakini orang Bukan Islam bahawa faktor syarak memberikan asas kestabilan dan kemajuan dalam ekonomi.

Hal yang sama berlaku terhadap kemajuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Umpamanya pelajar-pelajar antarabangsa yang sebahagian besar mereka tidak mahir bahasa Inggeris dan bahasa Arab akhirnya menjadi mahir menguasai bahasa tersebut. Bahasa Inggeris penting untuk menguasai ilmu pengetahuan berbanding dan bahasa Arab juga penting untuk memahami al-Quran dan Islam.

Pada masa yang sama UIAM menawarkan dua bidang ilmu dan pendidikan yang berjalan serentak. Pelajar yang mengambil bidang undang-undang awam diwajibkan mengambil bidang syariah dan sebaliknya. Pelajar-pelajar ekonomi dan pengurusan diajar juga tentang ilmu mengenai sistem kewangan dan perbankan Islam.

Hal yang sama juga berlaku di kuliah-kuliah yang lain menghubungkan ilmu dan tamadun Islam dalam pengajaran dan pembelajaran. Bayangkan pendebat-pendebat UIAM sering muncul sebagai pendebat terbaik di dunia, adalah gambaran bahawa mengamalkan prinsip dan ajaran Islam dalam sistem ilmu dan ekonomi negara tidak menjadikan umatnya jumud atau tidak maju.

Yang penting diinsafi oleh remaja ialah Islam para prinsipnya adalah agama damai. Konsep salama pada Islam itu membawa maksud sejahtera. Islam adalah agama dakwah dan tarbiah, mengajak manusia ke jalan yang makruf dan sentiasa bersedia mendidik manusia lain menjadi baik dan kembali kepada fitrah.

Ada ketikanya terdapat kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej yang negatif. Ia tidaklah membayangkan ajaran Islam menganjurkan mereka berbuat begitu. Ada latarbelakang yang mesti difahami mengapa ia berlaku.

Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan kerana ia adalah fitrah kehidupan. Tetapi kemajuan yang dianjurkan oleh Islam semestinya mengukuhkan lagi asas akidah, amalan ibadah dalam erti kata yang luas, landasan syarak yang harus dijadikan pedoman dan ikutan dan kekuatan akhlak yang menjadi rujukan dan teladan.

Asas ini bila dikembangkan dalam proses pengilmuan dan pendidikan ia bakal melahirkan generasi yang faham dan mampu memberikan perimbangan antara idealisme yang dibina dengan realiti yang menuntut cabaran strategik. Inilah cabaran remaja dan umat Islam sebenarnya.

Memahami Islam secara kulit dan isi

Oleh DR. SIDEK BABA

BANYAK kenyataan dibuat bahawa yang penting dalam Islam ialah isinya, bukan kulitnya. Ada tanggapan bahawa umat Islam hari ini hanya mementingkan kulit.

Kulit bermakna hal-hal luaran yang mementingkan isu berpakaian, cara makan, cara berhubung atau berkomunikasi, hal-hal ritual dan kerohanian. Isi bermakna pemikiran, ilmu, kesediaan untuk berubah dan maju dan keupayaan menampilkan idea-idea dan kajian terkini untuk dimanfaatkan kepada negara dan umat.

Dalam tradisi Islam, asas yang mendasari kehidupan sebagai seorang Islam ialah akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Seorang Islam yang baik memahami hubungan dirinya dengan pencipta, dengan alam dan ilmu. Akidah tauhid memberikan kita asas memahami Allah dan hubungan-Nya dengan alam dan ilmu. Ia membentuk cara berfikir bahawa alam ini dijadikan oleh-Nya dan ilmu atau hikmah adalah pertunjuk dari-Nya.

Ibadah tidak saja memperlihatkan talian rohaniah kita dengan Allah tetapi hubungan kita dengan manusia. Solat umpamanya tidak saja merupakan jalan komunikasi kita dengan Allah tetapi jiwa rukuk dan sujud memberikan asas kekuatan kehambaan dan peranan untuk dilakukan dalam kehidupan.

Syariah adalah amat penting bagi manusia Islam. Syariah memberikan kita pedoman, peraturan dan hukum bagaimana jalan dan jalur hidup harus berlaku.

Fitrahnya manusia memerlukan pedoman, batasan dan peraturan. Tanpanya manusia tidak akan faham maksud disiplin dan adab. Tanpa syariah ia bakal melahirkan manusia yang sifatnya melampaui batas.

Akhlak adalah sumber kekuatan kepada manusia. Akhlak adalah contoh dan teladan peribadi yang dipancarkan menerusi amal dan kerja. Tanpa akhlak manusia cenderung merosakkan fitrah diri dan fitrah alam.

Fitrah diri manusia memerlukan pekerti dan teladan yang baik. Fitrah alam memerlukan daya urus dan daya kendali yang baik. Apabila wujud harmoni antara manusia dan alam, manusia dan sistem maka pancaran akhlak akan terlihat. Sebaliknya, manusia yang tidak memiliki pekerti dan teladan, rakus terhadap alam dan sumbernya, ia bakal mewujudkan ketidakharmonian.

Apabila manusia beriman kepada-Nya bermakna manusia menerima amanah sebagai hamba dan khalifah. Sebagai hamba asas ketaatan, kepatuhan, ketundukan dan keakuran datangnya darinya Allah. Alam ini bergerak dengan teratur, tertib dan taat mengikut sunah-Nya. Sebagai manusia asas kehambaan itu melambangkan pentingnya jiwa hamba itu supaya manusia sentiasa berada dalam keadaan fitrah.

Sebagai khalifah manusia ada asas peranan, tanggungjawab dan amanah yang perlu disempurnakan. Diri manusia adalah amanah Allah. Sumber rahmat dan nikmat yang Allah limpahkan kepada manusia adalah amanah Allah. Bumi ini juga adalah amanah Allah.

Manusia sebagai khalifah harus memiliki upaya mengurus , meneraju dan mengendali yang baik. Untuk mengurus diri manusia Islam memerlukan pemahaman terhadap ilmu fardu Ain yang luas skopnya. Untuk mengurus persekitaran dan sistem, manusia Islam memerlukan ilmu, keterampilan, teknologi dan daya pengurusan yang adil, amanah, telus dan tulus menerusi ilmu fardu kifayah yang dipelajari. Ilmu fardu ain (naqliah) dan ilmu fardu kifayah (aqliah) harus bergerak seiring supaya manusia mampu mengurus dirinya sebagai hamba dan mampu mengurus sistem sebagai khalifah.

Apabila asas-asas ini menjadi pedoman kepada manusia Islam tidak timbul masalah isi dan kulit, citra luaran dan keupayaan ilmu. Semuanya terangkum dalam satu ikatan bahawa tanpa kulit tidak mungkin ada isi dan tanpa isi kulit tidak akan memberi makna apa-apa. Kulit menggambarkan citra luaran manusia.

Apabila Allah mewajibkan manusia menutup aurat ia adalah pancaran dari syariat Allah. Daripadanya lahir kesantunan dan jiwa amanah yang tinggi terhadap diri.

Oleh itu seorang gadis yang menutup aurat mempunyai amanah besar untuk menjaga citra Islam itu sendiri. Sebagai gadis yang menjaga kesantunan dan wibawa diri, ia harus mempunyai ilmu. Dari sumber ilmu yang dipelajari menjadikan gadis ini orang yang cerdik dan bijak. Ilmu yang menjadi suluh terhadap dirinya apabila dimanfaatkan kepada masyarakat dan sistem ia akan menjadikan masyarakat dan sistem maju.

Pergaulan antara remaja dengan remaja tidak boleh berlaku tanpa mengambil kira keperluan faktor syarak. Mematuhi faktor syarak tidak membataskan remaja dari bergaul tetapi pergaulan itu berlaku dengan sihat dan terhindar dari fitnah. Remaja yang menuntut ilmu pengetahuan diharuskan untuk berbincang atas maksud ilmu atau maksud-maksud lain yang baik. Batasan pergaulan bukan bermakna menyekat perkembangan ilmu dan intelektual.

Mementingkan perkara-perkara rohaniah tidak harus juga dianggap kulit. Islam adalah agama rohaniah yang menyentuh tentang kepercayaan, nilai, fikir dan hati. Mengukuhkan diri dengan amalan rohaniah mendekatkan manusia dengan Allah. Kedekatan remaja dengan Allah menjadikannya mempunyai keinsafan terhadap Allah Yang Maha Melihat dan Allah Yang Maha Mengetahui. God-Conciousness atau insaf keTuhanan ini menyebabkan remaja sentiasa hidup dalam pedoman dan bimbingan Allah.

Tetapi kekuatan rohaniah harus dipancarkan dengan amal perbuatan yang baik. Al-Quran memberi penegasan tentang pentingnya iman dan amal soleh menjadi kerangka yang amat dasar bagi seseorang Islam. Iman dan amal soleh, rohaniah dan ibadah dalam erti kata yang luas adalah ibarat isi dengan kulit, saling kukuh mengukuh dan saling meneguhkan hubungan manusia dengan Pencipta dan hubungan manusia sesama manusia dan sistem.

Dalam Islam tidak ada dikotomi atau garis pemisah antara isi dan kulit. Islam memberikan remaja asas keseimbangan (wasata) supaya remaja jangan melampaui batas. Apabila qada atau ketentuan Allah berlaku, terciptalah alam dan manusia. Darinya Allah menurunkan rahmat dan nikmatnya. Tetapi semua kejadian itu ditentukan oleh kadarnya. Mengapa manusia tidak tinggi setinggi pohon kelapa tentu ada hikmah di sebaliknya. Mengapa memasak lauk dengan kadar garam, asas, santan yang seimbang. Ia membolehkan memakan bahan-bahan yang seimbang.

Apabila remaja digalakkan menguasai kecemerlangan ilmu dengan sendirinya ia terkait dengan kekuatan keterampilan. Apabila memiliki ilmu dan keterampilan remaja juga perlu mempunyai akhlak yang baik. Ilmu dan keterampilan tanpa akhlak yang baik bakal mendatangkan salahguna.

Akhlak dalam erti kata yang luas ialah komitmen remaja dengan Allah dan komitmen remaja terhadap manusia dan sistem. Apabila remaja mengukuhkan talian hubungannya dengan Allah dengan sendiri pedoman Allah akan sentiasa menjadi sumber ikutannya. Apabila ikutan itu diterjemahkan dalam amal dan perbuatan maka kecemerlangan akan berlaku dan kebaikan akan terjadi.

Melayu itu bangsa, Islam itu agama

Oleh: DR. SIDEK BABA

Remaja Melayu harus dapat membezakan tentang Melayu itu adalah suatu bangsa dan Islam itu adalah suatu agama. Seperti juga suatu ketika dulu Melayu adalah suatu bangsa dan Buddha dan Hindu adalah agamanya. Proses dakwah dan sejarah telah menjadikan bangsa Melayu beragama Islam.

Allah menyebutkan di dalam al-Quran bahawa bangsa-bangsa itu adalah diciptakan. Mesti ada sebab atau hikmah mengapa bangsa-bangsa itu diciptakan. Paling tidak di dalam al-Quran menyebutkan supaya berlaku proses litaarrafu atau berkenalan dalam erti kata yang luas.

Berkenalan boleh membawa kepada perkongsian hal-hal yang memberi manfaat. Ia juga boleh membawa kerjasama dan toleransi. Selain itu, juga boleh memberikan jalan terhadap perkongsian nilai-nilai bersama yang memberi faedah bersama.

Kewujudan suatu bangsa adalah suatu takdir. Apa yang menjadi asas bangunnya sesuatu bangsa berkait rapat dengan agama. Melayu sebagai suatu bangsa apabila ditindikkan dengan Islam, ia membawa konotasi atau maksud ummah. Islam membentuk pandangan alam atau tasawwur orang-orang Melayu.

Islam membentuk jalur berfikir dan bertindak orang-orang Melayu. Sekiranya bangsa Melayu menjadikan Islam sebagai cara hidup, ia bermakna Islam mendasari kehidupan orang Melayu.

Sebaliknya, sekiranya orang-orang Melayu menjadikan Islam tidak lebih sebagai pengenalan atau identifikasi agama, maka tidak banyak jalur hidupnya dipengaruhi oleh agama ini. Bangsa ini bakal terdedah untuk menganut apa saja fahaman baik Barat dan Timur dan tidak menjadikan Islam sebagai dasar hidupnya.

Ia tidak bermakna bahawa menjadi Islam, aspek-aspek budaya yang positif yang ada pada bangsa Melayu harus ditolak. Islam memberikan asas prinsip dan budaya Melayu melakukan adaptasi kepada prinsip tersebut.

Contohnya Islam memberi asas kepada prinsip berpakaian dan menutup aurat. Dengan menggunakan baju Melayu atau baju kurung yang bertudung, prinsip itu dapat dipatuhi walaupun berasaskan budaya Melayu.

Gotong-royong adalah amalan orang Melayu turun-temurun. Amalan ini selari dengan prinsip jemaah yang dianjurkan oleh Islam. Apabila semangat gotong-royong berkembang dalam orang Melayu, ia menggalakkan prinsip kerjasama dan muafakat. Ia selari dengan prinsip jemaah yang dianjurkan oleh Islam.

Apabila Islam menjadi anutan bangsa Melayu, konsep ummah menjadi dasar kepada budaya hidup orang- orang Melayu. Faktor akidah yang menjadi faktor penyatuan bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam menjadikan konsep ummah sebagai ikatan yang menghubungkan manusia sesama manusia.

Kelainan dan perbezaan yang ada dari segi taraf dan status bukanlah isu. Ini kerana Islam memberikan prinsip asas bahawa yang terbaik dalam kalangan bangsa-bangsa atau individu ialah umat yang bertakwa. Prinsip takwa tidak saja menghubungkan manusia atau bangsa-bangsa dengan Penciptanya tetapi menghubungkan manusia sesama manusia dalam erti kata yang luas.

Bagi menjadikan bangsa Melayu sebahagian dari ummah yang kuat, penguasaan ilmu pengetahuan menjadi syarat penting. Dalam masa yang sama bangsa Melayu harus menjadi bangsa contoh dalam memberikan khidmat dan amanah, keadilan dalam layanan, akhlak yang terpuji supaya kualiti bangsa itu tegak atas prinsip-prinsip murni yang dianjurkan oleh Islam.

Kalau bangsa Melayu tidak menjadikan Islam sebagai dasar hidup, orang-orang Melayu akan cenderung bersifat perkauman. Pertimbangan dalam tindakan lebih banyak tertumpu kepada pertimbangan bangsa atau kaum tidak pertimbangan agama. Sekiranya perkara seperti ini terjadi kejelasan orang-orang Melayu dengan imej Islamnya akan tercalar.

Remaja Melayu dalam memahami makna bangsa dan agama harus jelas. Memang benar Melayu ialah suatu bangsa. Suatu bangsa itu memerlukan pedoman, sistem nilai, asas tamadun, tradisi dan budaya supaya bangsa itu menjadi hebat dan alamiah atau global sifatnya. Islam adalah agama tamadun dan pernah memimpin pemikiran manusia lebih 700 tahun.

Menghubungkan faktor Melayu dengan faktor Islam menjadikan bangsa Melayu sebahagian dari ummah dalam erti kata yang luas.

Remaja Melayu harus mampu mengisi proses pembinaan diri dengan menjadikan Islam sebagai asas dan prinsip. Dalam bidang ilmu pengetahuan, Islam menganjurkan orang lelaki dan perempuan wajib menuntut ilmu. Pendidikan dalam tradisi Islam adalah pendidikan sepanjang hayat.

Ilmu-ilmu yang dipelajari tidak saja dari tradisi dan tamadun Islam sendiri tetapi diharuskan untuk mempelajari sumber-sumber ilmu dari tamadun lain selagi ia memberi manfaat.

Remaja Melayu harus memiliki sistem nilai yang tinggi supaya asas membezakan baik dan buruk akan sesuatu diambil dari pertimbangan Islam. Kalaulah pertimbangan bangsa dan individu yang dijadikan sandaran ia mungkin cenderung menyuburkan

faham individu, perkauman atau

nafsu-nafsi.

Remaja Melayu dalam menghadapi kerenah zaman harus memahami terlebih dahulu kekuatan yang pernah ada dalam tamadun Melayu yang berasaskan Islam atau tamadun umat yang berkembang di bawah keunggulan peribadi dan ilmu Islam. Menguasai aspek-aspek ini boleh menyumbang ke arah memperkasakan remaja dengan faktor-faktor berbanding yang tinggi dan boleh memandu remaja ke arah membuat pilihan yang betul dan tepat dalam proses untuk maju dan membangun.

Justeru itu cabaran utama bangsa Melayu kini ialah cabaran kepimpinan dan kepengikutan, cabaran keilmuan dan penguasaan teknologi, cabaran ekonomi dan juga pengurusan, cabaran strategik dan mengurus krisis dan cabaran menjadi bangsa penyumbang yang bermakna.

Ia mengundang remaja Melayu supaya memiliki fokus dalam hidup. Ramai remaja Melayu kini sudah hilang fokus dalam menempuh jalur kehidupan. Kemakmuran kebendaan yang ada disalahgunakan untuk terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang merosakkan. Hilangnya fokus ini menyebabkan sebahagian remaja Melayu tidak menjadi aset kepada negara tetapi menjadi beban jangka panjang yang merumitkan.

Di samping fokus, remaja Melayu harus memiliki usaha yang berterusan. Banyak elemen malas, membuang masa, berlagak, melanggar peraturan dan undang-undang, gaya hidup bermewah-mewah, menjadi ‘pak turut’ terhadap sesuatu yang negatif, suka bercinta secara nafsu nafsi.

Malah ramai yang sudah hilang pertimbangan agama dengan menjadi murtad. Tidak tahu dosa pahala dalam amalan dan perlakuan. Akibatnya isu remaja Melayu sering menjadi polemik semasa dan perkembangan yang ada semakin membimbangkan.

Akar kepada masalah ini ialah remaja Melayu mengalami ketirisan akidah dan iman. Darinya timbul masalah akhlak yang semakin subur. Jalan keluarnya perlu diperkasakan mereka dengan fahaman agama yang berasaskan ilmu dan tamadun.

Pendidikan dalam keluarga , institusi pengajian dan pendidikan, masyarakat harus dibentuk ke arah saling menyumbang bagi memperkasa remaja Melayu dengan kekuatan agama dan pemahaman terhadap kepentingan adab dan peradaban.

Makna dialog peradaban bagi remaja

Oleh: DR. SIDEK BABA

DIALOG peradaban adalah sesuatu yang baru malah asing bagi remaja Islam di Malaysia. Meskipun ia baru dan asing, tidak pula bermakna remaja tidak boleh mula membincangkannya dalam batas pemikiran yang ada.

Yang penting, perlu ada pedoman supaya isu ini dapat dibincangkan secara sihat dan berguna kepada remaja apabila dewasa kelak.

Sebagai remaja Islam sudah tentu ada asas akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang dijadikan pedoman dalam kehidupan beragama. Dalam tradisi Islam, agama adalah sumber peradaban. Tentu ada kelainan antara peradaban yang lahir dari sumber wahyu dengan sistem kepercayaan yang lahir dari faktor falsafah, budaya, tradisi nenek moyang dan fahaman tertentu.

Perbezaan seperti itu memang berlaku kerana faktor sejarah, interpretasi, kepentingan kelompok dan banyak sebab yang lain. Dalam konteks beragama, al-Quran memberikan landasan lakum deenukum waliadeen iaitu “Kamu agama kamu dan kami agama kami”.

Asas ini menarik untuk dibincangkan kerana masyarakat Malaysia sifatnya berbilang agama, kepercayaan malah sumber ambilan tamadun juga terdapat sumber yang tidak serupa.

Sudah tentu kelainan dan perbezaan terus wujud sedangkan proses bina negara dan integrasi menuntut adanya toleransi di kalangan pengamal-pengamal agama dan juga peradaban.

Yang penting di sini apakah etika untuk berbeza yang membolehkan lahirnya sifat toleransi supaya tidak wujud salah faham yang boleh menjejaskan akidah dan juga sistem kepercayaan.

Di institusi pengajian tinggi (IPT) terutama di tahap persediaan atau rendah, interaksi sosial berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar berada di tahap yang baik.

Di kantin, di bilik darjah dan di padang permainan anak-anak tidak mengenal makna perbezaan dan kelainan.Tetapi apabila memasuki peringkat menengah, polarisasi mula tampak dan di IPT pola pergaulan semakin ketara dan ia memberi petanda yang kurang enak bagi Malaysia pada masa depan.

Sekolah atau IPT adalah tapak semai yang terbaik bagaimana proses memahami perbezaan dapat di pupuk dan pendekatan memahami persamaan dapat di semai. Yang berbeza biarlah berbeza tetapi aspek yang merintis titik persamaan yang banyak patut disuburkan dan menjadi jambatan kepada hubungan manusia dan kemanusiaan.

Nilai-nilai menghormati manusia sama ada guru dalam kalangan semua bangsa, ibu bapa, orang tua, orang yang memerlukan, jiran umpamanya adalah nilai-nilai fitrah yang sifatnya sejagat dan perlu diamalkan oleh generasi muda.

Adalah suatu amalan yang baik jika seorang remaja Islam sanggup memimpin seorang tua Hindu menyeberangi jalan atau bertegur sapa dengan ibu bapa beragama Buddha bila berselisih atau bertemu. Hal yang sama boleh berlaku bila seorang remaja Kristian berhenti semasa menunggang motosikal untuk menolong seorang Islam yang dilanggar lari dan membawanya ke hospital.

Perbuatan seperti ini walaupun kelihatan ideal tetapi jika ia menjadi amalan generasi muda ia mempunyai kualiti kemanusiaan yang baik dan patut menjadi amalan. Apalagi kalau konteks sosial berlaku secara perkauman, ia menyebabkan tidak berlakunya interaksi atau hubungan sesama manusia yang sihat dan membantu ke arah integrasi.

Dalam konteks Malaysia, acuan bernegara sudah bermula sejak lama. Perjalanan sejarah di Melaka menjadikan kota itu sebuah kota kosmopolitan atau antarabangsa kerana daya tarikan dagang dan kestabilan yang wujud hingga menyebabkan Cina Peranakan, India Peranakan merasa selesa melakukan adaptasi dengan budaya setempat tanpa perlu menukar agama dan sistem kepercayaan.

Di saat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan banyak peristiwa kompromi berlaku di mana status orang-orang yang mendatang diberikan status kekal dan taraf kerakyatan di samping kesediaan mereka melakukan kontrak sosial menghormati status agama Islam, Bahasa Melayu, Hak Istimewa, Tanah Simpanan dan lain-lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Asas-asas teras dalam proses bina negara ini amat penting difahami oleh generasi muda supaya tidak timbul ungkitan atas asas zaman dan suasana sudah berubah maka asas-asas kontrak sosial juga harus berubah sama.

Memahami perjalanan sejarah pembentukan Tanah Melayu dan Malaysia bukanlah suatu hal yang mudah. Integrasi kaum yang terdapat dilihat sebagai suatu kekuatan dan ia juga boleh menjadi suatu asas kebimbangan. Oleh itu amat penting generasi muda Islam memahami sejarah kontrak sosial yang menjadi landasan terbinanya Malaysia pada hari ini.

Generasi remaja bukan Islam juga harus mempunyai kecenderungan yang sama kerana tanpa memahami sejarah silam tidak mungkin wujud pencapaian seperti yang kita lihat pada hari ini. Gangguan seperti 13 Mei 1969 harus memberi peringatan kepada semua bahawa kecenderungan yang melampau oleh mana-mana pihak terhadap asas-asas yang disepakati boleh menyebabkan lahirnya ketidakstabilan.

Oleh itu, dialog tamadun harus berkembang dalam generasi muda. Ada keperluan yang mendesak supaya generasi muda hari ini memulakan dialog sama ada secara formal atau pun tidak terhadap sejarah kemajuan Malaysia hari ini. Apakah asas mengagumi Barat tanpa adanya usul periksa tentang falsafah dan hala tujunya sesuatu yang baik atau sebaliknya. Apakah meremehkan budaya dan sistem kepercayaan sendiri merupakan jalan terbaik ke arah maju dan moden.

Sejarah bangsa-bangsa di Malaysia adalah sejarah tamadun silam yang menyumbang ke arah persefahaman yang tinggi hingga menyebabkan kesedaran ke arah integrasi boleh berlaku.

Orang-orang Melayu yang beragama Islam menjadikan Islam sebagai indikator penting dalam menghadapi proses maju dan membangun. Kesedaran seperti ini adalah wajar kerana Islam adalah agama peradaban. Konsep umat yang ditindikkan kepada bangsa Melayu menyebabkan orang- orang Melayu berfikir lebih alamiah bukannya sempit dalam batasan kaum dan bangsa.

Bayangkan tanpa Islam diperkukuhkan kepada jiwa bangsa Melayu, ia boleh menyebabkan kepimpinan Melayu memiliki pemahaman kaum yang sempit. Akhirnya menimbulkan tidak puas hati kepada bangsa-bangsa lain.

Generasi muda Islam harus melihat pengukuhan jiwa agama terhadap mereka sebagai faktor kestabilan. Tanpa kekuatan agama yang mendasari pembentukan peribadi dan komitmen hidup, generasi muda Melayu boleh menjadi amat liberal dalam berfikir hingga suasana keterbukaan menyebabkan mereka hilang jati diri dan tidak melihat kepentingan agama, nilai dan etika sebagai sesuatu yang amat bermakna dalam masyarakat majmuk.

Asas-asas Islam seperti amanah, adil, jujur, ikhlas, tulus dan telus jika mendasari amalan generasi muda bakal menjadi binaan kukuh apabila mereka dewasa nanti. Dalam memberikan daya kepimpinan terhadap orang lain, mereka tidak lupa asas-asas di atas sebagai sesuatu yang amat tinggi nilainya.

Dalam masa yang sama generasi muda bukan Islam harus juga memiliki nilai-nilai murni yang sama. Ini supaya jalur kemajuan yang berkembang adalah atas nilai-nilai bersama dan kemanusiaan tinggi yang amat diperlukan dalam proses bina negara.

Faham jahiliah dan jiwa hijrah

Oleh: DR. SIDEK BABA

FAKTOR yang utama menyebabkan berlakunya peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah ialah pertentangan faham jahiliah dengan faham berakidah. Faham jahiliah di kalangan masyarakat Arab pada waktu itu bertunjangkan asas keTuhanan yang syirik, sistem kaumiah dan kekabilahan yang sempit, daya kepimpinan yang menzalimi dan daya kepengikutan yang membuta tuli. Darinya lahir sistem “Siapa Kuat, Dia Menguasai” dan “Siapa Lemah Menjadi Mangsa”.

Risalah Nubuwwah atau Kenabian yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah diri. Fitrah diri mengakui bahawa manusia diciptakan. Allah yang Maha Esa menjadi sandaran akidah manusia. Bila keadaan ini berlaku, status manusia berubah. Kemuliaan manusia tidak diukur dari kabilah mana ia datang tetapi dinilai dari sudut ketaqwaan dan keimanannya. Orang seperti Bilal Ibnu Rabah walaupun berasal dari bangsa Habsyi yang hitam legam tetapi kerana akidahnya yang kental dijamin tempatnya di syurga.

Faham jahiliah bukan bermakna seseorang itu tidak berpengetahuan, bermaklumat atau tidak mempunyai kepandaian. Ahli-ahli sains, matematik dan kimia di zaman Mesir Purba umpamanya mempunyai kepandaian tertentu yang dikagumi sejarah dan zaman. Tetapi mereka adalah berfaham jahiliah disebabkan asas pengetahuan, kemahiran dan kepandaian yang ada tidak merujuk kepada faktor pencipta yang esa sebaliknya mereka mengabdikan diri kepada Firaun yang mengaku dirinya Tuhan.

Asas akidah membebaskan manusia daripada belenggu syirik, tahyul dan khurafat. Apabila faktor illahi diletakkan sebagai faktor tertinggi dan mutlak, manusia hanya memiliki status hamba dan khalifah. Asas ini yang membawa faham ketundukan, kepatuhan, ketaatan dan keakuran yang amat perlu bagi manusia. Ia juga perlu bagi manusia berperanan sebagai pengurus yang mentadbirkan kehidupan ini dengan amanah tinggi terhadap penciptanya.

Hijrah Rasulullah s.a.w. adalah suatu keputusan strategik yang datang dari Allah dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan bijaksana. Sewaktu tenaga belum begitu kuat, jumlah belum begitu ramai di Mekah adalah sesuatu yang bijak untuk berundur membina kekuatan baru supaya berlaku lonjakan pada masa depan. Hijrah Rasulullah s.a.w. cuba melepasi halangan yang membelenggu ke arah yang lebih baik supaya natijah akhir matlamat perjuangan menjadi yang terbaik.

Faham jahiliah sebenarnya wujud pada sepanjang zaman kehidupan manusia. Dan hijrah juga berlaku di sepanjang hidup manusia. Yang membezakan faham jahiliah dengan faham berakidah ialah perubahan tetap berlaku tetapi nilai perubahan berasaskan faham jahiliah berlaku di sekitar tumpuan kepada benda dan kebendaan, akal dan kenafsuan yang putus tali hubungannya dengan pencipta.

Perubahan yang berlaku atas jalan akidah ialah terhubungnya akal manusia, pemikiran yang diperoleh, amal yang dilakukan dengan Allah. Dalam bahasa yang mudah, faktor ilahi menjadi faktor penting yang memandu jalan berfikir manusia, pedoman amal dan perbuatannya dan daya komunikasi sesama manusia dan juga persekitaran.

Perubahan yang terbina di zaman Firaun adalah jahiliah sifatnya kerana ia terbina atas asas kezaliman, mengaku diri sebagai Tuhan dan menghapuskan siapa saja yang bangkit menentangnya. Watak Firaun wujud sepanjang zaman hidup manusia sama ada dalam bentuk individu mahupun kuasa.

Oleh itu hijrah dalam semangat Islam, membimbing manusia ke arah perubahan.

Jiwa hijrah akan sentiasa meningkatkan wibawa manusia supaya perubahan yang dialami adalah perubahan ke arah kebaikan. Kebaikan yang dilalui itu tidak saja baik untuk diri seseorang tetapi baik juga untuk orang lain.

Para remaja Islam tidak harus merayakan Maal Hijrah secara rutin. Insan Cemerlang, Umat Terbilang yang menjadi tema sambutan harus ditanggapi secara reflektif dan proaktif. Reflektif bermaksud hasil daripada hijrah Rasulullah s.a.w. menemukan manusia dengan tamadun hebat. Kota Madinah menjadi contoh terbaik bagaimana asas persaudaraan Muhajirin dan Ansar terbina. Sahifah atau Perlembagaan Madinah menjadi tempat bernaung kaum-kaum bukan Islam di sana. Kegiatan keilmuan seperti halaqah dan suffah berjalan dengan baik dan akhirnya Rasulullah s.a.w. menjadikan model Madinah sebagai Model Madani dan asas kepada lonjakan tamadun seterusnya.

Remaja Islam juga harus proaktif terhadap perubahan. Dalam hidup perubahan adalah sesuatu yang tetap berlaku dan ia tidak boleh dielakkan. Tetapi apakah perubahan itu mengambil semangat hijrah Rasulullah s.a.w. iaitu ke arah yang lebih baik dan bermakna.

Semangat hijrah mendukung keteguhan akidah dan kekuatan syariah dalam hidup. Sekiranya perubahan yang berlaku dalam diri remaja sama ada yang berkait dengan pemikiran, gaya hidup, cara berpakaian, cara pergaulan yang tidak berakhlak ia meneruskan amalan jahiliah dalam hidup.

Sekiranya pemikiran remaja berkembang ke arah menguasai ilmu-ilmu yang bermanfaat, gaya hidup yang beradab, cara berpakaian yang santun dan memenuhi keperluan syarak, cara pergaulan yang mengambil kira batasan mahram dan tidak mahram, perubahan yang seperti ini selari dengan semangat hijrah yang diredai oleh Allah.

Hijrah yang diredai Allah mengukuhkan lagi jati diri remaja dalam menghadapi kerenah zaman dan cabaran perubahan. Inilah asas-asas yang fundamental atau bersifat teras yang perlu ada dalam kalangan remaja.

Remaja tidak boleh hanyut dalam arus perubahan yang boleh menghakis jati diri kerana remaja adalah pelanjut dan penerus warisan masa depan negara. Islam tidak menolak faktor-faktor positif dari Barat dan Timur tetapi dalam masa yang sama sebagai remaja Islam sudah tentu memerlukan asas-asas yang kukuh untuk menjadi remaja dan akhirnya dewasa Islam yang berwibawa.

Mengukuh faham berakidah adalah tanggungjawab besar remaja Islam. Menghakis faham jahiliah moden yang sedang berkembang juga sewajarnya menjadi tanggungjawab remaja. Untuk menjadi remaja yang maju dan berubah dalam acuan Islami menuntut penguasaan ilmu dan teknologi yang mempunyai nilai guna yang tinggi untuk kebaikan orang lain. Dalam masa yang sama, contoh peribadi yang boleh diteladani memberi kesan pengaruh yang besar terhadap kehidupan itu sendiri.

Remaja yang berjiwa hijrah harus mampu melakukan lonjakan dalam cita-cita hidupnya. Ia tidak harus merasa puas untuk menguasai ilmu pengetahuan, meneroka bidang-bidang yang akan membawa kepada kepakaran dari sumbernya sendiri apalagi dari sumber orang lain. Strategi ini sangat penting kerana negara-negara yang dikatakan maju melakukan pindahan ilmu dan teknologi, adaptasi kajian dan penyelidikan serta terus melakukan eksperimen secara kreatif dan inovatif.

Remaja Islam wajib mempunyai tekad untuk belajar daripada orang lain, kemudian melakukan adaptasi atau penyesuaian yang tidak bercanggah den gan akidah dan syarak kita dan mampu menghasilkan metodologi yang sifatnya menyumbang terhadap memperkasa imej umat dan pencapaiannya. Tekad ke arah ini boleh melahirkan generasi yang berubah tetapi asasnya ialah acuan yang Islami.

Hijrah dan pengaruh perubahan

Oleh: DR. SIDEK BABA

PERUBAHAN adalah sesuatu yang fitrah. Ia berlaku pada sepanjang sejarah hidup manusia. Kita tidak boleh mengelak dari perubahan. Apa yang berlaku pada hari ini akan menjadi tradisi pada keesokannya. Peristiwa yang terjadi pada masa lalu menjadi sejarah pada hari ini. Peristiwa Hijrah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. adalah suatu sejarah. Tetapi peristiwa itu tetap hidup pada sepanjang sejarah umat Islam. Ada latar belakang mengapa hijrah itu terjadi. Ada kesan besar kepada umat Islam dan umat manusia hasil dari peristiwa tersebut.

Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah suatu peristiwa strategik.

Strategik bermakna bagaimana Rasulullah s.a.w. menghadapi suatu suasana yang amat kritikal dalam perjuangannya menemui jalan keluar yang amat mencabar dan melaluinya dengan perancangan bijaksana yang dibantu oleh Allah s.w.t.

Peristiwa ini juga memperlihatkan pandangan jauh dan futuristik Rasulullah s.a.w. terhadap perubahan dan peradaban.

Membebaskan manusia dari belenggu jahiliah bukanlah suatu hal yang mudah. Fahaman nenek-moyang yang sudah lama terbina, semangat kekabilahan yang sudah berakar umbi, undang-undang rimba yang kuat mengatasi yang lemah yang sudah sekian lama berjalan adalah faktor-faktor penghalang yang menyebabkan pejuang-pejuang jahiliah merasa tergugat dan akhirnya mengambil keputusan untuk menghapuskan Rasulullah s.a.w. dari muka bumi.

Rasulullah s.a.w. tidak panik dengan gugatan tersebut. Dengan pertolongan Allah, Rasulullah s.a.w. melakukan perancangan yang teliti bagaimana dapat melepasi dari gugatan tersebut. Saidina Ali pemuda yang memiliki keberanian dan kecekalan diletakkan di tempat tidurnya. Hijrah berlaku di waktu malam yang amat strategik dan mendapat reda dan pertolongan Allah.

Saidina Abu Bakar dipilih sebagai teman setia yang amat dipercayai. Gua Thur di selatan Mekah dipilih sebagai tempat perlindungan strategik. Asma’ dan Abdullah anak Abu Kabar dipilih sebagai pembekal makanan dan merisik rahsia pergerakan musuh. Pemandu jalan yang bukan Islam dipilih memimpin jalan ke Madinah berlainan dari jalan biasa.

Ia mengelirukan musuh dan akhirnya dengan bantuan Allah Rasulullah s.a.w. sampai ke Madinah dan mendirikan masjid sebagai lambang memulakan suatu perjuangan membebaskan manusia dari belenggu jahiliah.

Fahaman dan amalan jahiliah berlaku di sepanjang zaman umat manusia. Ia berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. boleh berlaku pada masa kini dan boleh berlaku pada masa depan. Asas yang membezakan jahiliah dan tidak jahiliahnya sesuatu keadaan dan zaman ialah faktor akidah, iman dan takwa.

Akidah yang benar memandu manusia tentang adanya Pencipta. Kewujudan Pencipta membina asas iman bahawa Pencipta berkuasa atas segala-gala. Darinya lahir keinsafan yang membawa kepada takwa bahawa dari Allah manusia datang dan kepada Allah manusia akan kembali. Kehidupan umat Islam tidak saja mengambil pertimbangan dunia tetapi juga mengambil pertimbangan akhirat.

Apabila pertimbangan akhirat menjadi agenda utama, kehidupan di dunia akan menjadi lebih sempurna kerana manusia terus ingat akan hari pembalasan.

Ia menyebabkan manusia lebih berhati-hati dan sentiasa dipandu untuk melakukan kebaikan dan mengelak dari melakukan kejahatan.

Jahiliah pada zaman Rasulullah s.a.w. atau sebelumnya tidak bermakna tiadanya perubahan dan kemajuan dari sudut sains dan teknologi. Zaman Yunani, zaman Mesir Purba, zaman Mesopotamia umpamanya sains dan teknologi sudah mula berkembang. Kemajuan sains dan teknologi bukan ukuran mutlak bahawa manusia sudah bebas dari belenggu.

Sains dan teknologi selamanya alat untuk menemukan manusia dan faktor alamiah dan menemukan manusia dengan ilmu alat untuk memudahkan kehidupan.

Dalam tradisi Islam sains mendekatkan manusia dengan pencipta. Teknologi memudahkan manusia melakukan kebaikan dan membina kesejahteraan. Komputer sebagai alat komunikasi dan sistem maklumat tidaklah salah. Tetapi perisian dan program dalam komputer yang menyebabkan maklumat yang salah tersebar dan program yang lucah menjadi subur mencetuskan masalah kepada minda dan pemikiran manusia.

Tanpa akidah yang memandu manusia ke arah keperkasaan dan kebesaran Allah, pengguna komputer akan merasakan komputer itu segala-gala. Pengguna yang mempunyai akidah mantap melihat komputer selamanya alat. Input, perisian dan program yang bermanfaat berkait rapat dengan matlamat. Alat dan matlamat yang baik bakal membangunkan minda dan ilmu yang baik dan ia akan membebaskan manusia daripada belenggu.

Mengambil peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. remaja Islam perlu mengambil iktibar. Amalan jahiliah yang wujud pada zaman Rasulullah boleh berlaku pada zaman kini. Apabila sebahagian remaja hari ini amat mengagumi budaya asing hingga menyebabkan cara hidup mereka menjadi lepas bebas ia bermakna amalan jahiliah itu sedang berlaku.

Apabila terdapat dalam kalangan remaja yang terlibat dengan salahguna dadah, memuja idola dan diva, gemar melalui hidup secara berpoya-poya, ia juga menggambarkan elemen jahiliah sedang mencengkam.

Faham jahiliah tidak melihat agama itu penting. Pedoman baik buruk akan sesuatu dianggap sebagai ketinggalan zaman. Untuk menjadi moden dan maju remaja dikatakan harus melepaskan diri dari ikatan salah-benar dan dosa-pahala.

Untuk menjadi global, apa yang datang dari Barat adalah lambang maju dan moden. Yang lahir dari tradisi dan agama dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Oleh itu untuk menjadi remaja yang maju dan terkini, Baratlah menjadi segala-gala.

Bukanlah Barat yang harus dibenci oleh remaja. Di Barat terdapat sumber ilmu dan teknologi yang bermanfaat. Tetapi agenda pembaratan yang menyebabkan ramai remaja kita terjebak seharusnya menimbulkan kewaspadaan. Lebih-lebih lagi mengambil faktor kebebasan Barat sebagai ukuran hidup yang maju boleh menjebak remaja kepada elemen-elemen jahiliah yang menjauhkan remaja dari agama.

Oleh itu, semangat hijrah yang dirintis oleh Rasulullah harus hidup pada jiwa remaja di sepanjang zaman. Cintakan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan membina jiwa tadabbur yang tinggi untuk kesejahteraan manusia adalah hijrah yang amat bermakna. Menjaga kepentingan akhlak dan tingkahlaku adalah pra syarat ke arah membina peribadi yang baik. Berhijrah ke arah pembinaan akhlak yang tinggi adalah asas untuk perubahan yang bermakna.

Memiliki upaya menyaring yang tinggi terhadap faktor baik dan buruk adalah syarat penting untuk berinteraksi dengan kehidupan dan zaman. Darinya harus mendorong remaja untuk membina kekuatan ilmu, akhlak dan keterampilan supaya tenaga muda dapat digerakkan ke arah perubahan dan kemajuan yang lebih bermakna.

Jiwa hijrah ke arah kebaikan perlu ada di kalangan remaja. Menebus kehinaan umat Islam mesti bermula dengan ilmu. Ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing remaja ke arah hidup yang fitrah. Mengembalikan tradisi sains dan teknologi yang Islami sewajarnya menjadi tekad remaja supaya pendidikan sains bakal mendekatkan manusia dengan pencipta dan membangunkan teknologi yang memberi menafaat kepada umat manusia.

Jiwa hijrahlah yang mampu mencetuskan kesedaran dan keinsafan di kalangan remaja bahawa tanpa akidah yang benar, iman yang mantap dan takwa yang tinggi tidak mungkin hijrah dalam erti kata yang sebenar boleh berlaku. Hijrah yang didukung oleh kekuatan ilmu, akhlak dan amal bakal merobah corak hidup manusia ke arah perubahan yang lebih bermakna. Hijrah seperti inilah yang amat diperlukan oleh remaja dan umat manusia.

Celik minda dan celik hati

Oleh DR. SIDEK BABA

CELIK minda bermaksud berlakunya proses berfikir yang menyebabkan manusia menjadi tahu. Tahu akan sesuatu adalah asas kepada maklumat dan ilmu. Tidak semua maklumat berstatus ilmu tetapi setiap ilmu terkandung maklumat.

Manusia selalu ingin tahu siapakah dirinya dan apa yang ada di sekitarnya. Mengetahui akan sesuatu menjadikan manusia celik minda.

Celik minda semata-mata tidak memadai. Remaja memerlukan celik hati. Nilai terhadap sesuatu lahirnya dari hati. Celik minda ibarat bateri. Yang memberi makna kepada bateri ialah cahaya. Apabila cahaya memberikan suluhan ia menunjukkan jalan dan pedoman. Hidup tanpa jalan dan pedoman akan membawa kepada kesesatan. Celik minda dan celik hati tidak saja menjadikan remaja tahu akan sesuatu tetapi sesuatu yang diketahui memberi makna kepada diri dan hidupnya.

Para remaja amat memerlukan upaya celik minda ini.

Pancaindera yang digunakan dan akal yang dimanfaatkan bakal menjadikan remaja orang-orang yang berfikir. Berfikir memerlukan pedoman. Berfikir saja mengenai apa yang remaja saksikan dan alami sama ada menerusi pembacaan, pembelajaran, pengamatan, kajian dan telitian belum mampu memberi jawapan terhadap sesuatu. Ia memerlukan upaya celik hati yang sifatnya intuitif supaya asas pedoman dijadikan panduan.

Pedoman bagi remaja Islam ialah al-Quran dan sunah nabi. Sumber- sumber ini memberikan asas dan prinsip yang sangat penting dalam proses berilmu pengetahuan. Terdapat bahan-bahan bacaan, analisis dan kajian terhadap sesuatu menjadikan remaja celik minda. Apa yang tersurat tidak semestinya sama dengan apa yang tersirat . Yang tersurat dibaca dan diteliti berasaskan celik hati, ia akan membantu remaja mengetahui apa yang tersirat.

Penglibatan remaja dengan salahguna dadah, pergaulan yang lepas bebas, bersekedudukkan dan zina, faham hedonistik atau berpoya-poya yang melampau, kesukaan kepada hiburan dan pakaian yang menjolok mata, pengagum terhadap budaya dan cara hidup negatif orang lain dan meremeh tradisi dan nilai hidup yang murni secara celik mindanya dianggap suatu fenomena biasa.

Fenomena

Apabila manusia maju dalam dunia kebendaan, pilihan yang banyak dalam hiburan, tekanan yang meningkat dalam pekerjaan, masa berkualiti yang amat sedikit dengan keluarga, fenomena ini dikatakan akan berlaku. Ada kaitan jiwa yang tertekan, masalah yang membelenggu, keinginan untuk menjadi liberal dan lepas bebas, pupusnya nilai-nilai murni yang sifatnya memandu menyebabkan hal-hal tersebut berlaku.

Menjadikan celik minda sebagai asas mengkaji apa yang tersurat dan celik hati untuk mengetahui apa yang tersirat membimbing remaja kepada kisah-kisah, prinsip dan pedoman yang terkandung dalam al-Quran dan sunah nabi. Al-Quran memfokus kepada ehwal manusia (rijal) dan perilakunya. Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran memperlihatkan gelagat manusia, kaum dan bangsa sepanjang zaman.

Masalah sosial dan keburukan yang dilakukan oleh remaja bukanlah perkara baru dalam sejarah manusia dan kemanusiaan. Yang berlaku masakini adalah pengulangan terhadap apa yang pernah berlaku masa lalu. Apa yang berlaku masakini bakal berulang pada masa depan. Kecuali para remaja dipandu oleh ibrah atau teladan dari kisah yang berlaku dan mengambil pengajaran darinya. Pengajaran itulah yang menjadi pedoman celik hati supaya remaja dapat membezakan buruk dan baik akan sesuatu.

Melakukan sesuatu dengan logik akal semata-mata belum tentu ia benar. Tetapi logik akal yang dipandu oleh faktor naqliah atau wahyu ia memandu ke arah kebenaran yang hakiki. Apabila al-Quran mempedomankan remaja mengenai “jangan mendekati zina”, secara logiknya remaja boleh terdorong untuk berfikir, apa salahnya remaja melakukan zina kerana pada remaja ada nafsu dan keinginan. Kalau keinginan itu berlaku secara bersama apa salahnya menikmati kelazatan melakukan hubungan jenis dan pelbagai jenis.

Kalau isunya ialah takut mengandung atau dijangkiti penyakit, kondom dan ubat-ubatan boleh dijadikan alat untuk mencegah. Celik akal yang sedemikian dipandu oleh nafsu tetapi tidak dipedoman oleh celik hati.

Bila celik hati dijadikan asas, al-Quran dijadikan sumber terbaik. Al-Quran amat mementingkan gelagat manusia dan aspek keturunan supaya gelagat yang baik bakal melahirkan keturunan yang baik. Bayangkan amalan zina berlainan jenis dan sejenis boleh mendatangkan tabiat buruk kepada diri manusia.

Manusia akan hilang batas sempadan halal-haram dan ia mendorong manusia memiliki sifat melampaui batas. Celik hati tentang akibat dan musibah yang bakal berlaku hasil perbuatan yang keji itu memandu manusia tentang akibat perbuatan mungkar tersebut.

Bayangkan hasil perbuatan zina, ia melahirkan anak di luar nikah. Si lelaki akan meninggalkan perempuan itu dengan anak tanpa bapa. Anak tanpa bapa akan membesar dan dewasa dalam keadaan terhina. Anak luar nikah akan sering menyesali mengapa ia dilahirkan ke dunia. Bila al-Quran mempedoman remaja tentang batas mahram dan pergaulan, ia bermaksud supaya remaja jangan melampaui batas.

Ada ketika dorongan nafsu dan syahwat menyebabkan perbuatan yang keji dan terkutuk berlaku. Celik hati tentang salah benar sesuatu berasaskan pedoman dari Allah bakal membimbing remaja untuk menjadikannya orang yang berakhlak mulia. Celik minda dan celik hati apabila menemui titik-keseimbangannya bakal memandu remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Pedoman dari al-Quran terkandung sumber celik hati yang amat bernilai untuk remaja jadikan pedoman dan rujukan.

Faedah

Celik minda juga mendorong remaja untuk mengetahui sumber ilmu dan teknologi yang berkembang. Memahami dan mempelajari kehebatan dari tamadun lain tidaklah salah. Terdapat faedah berbanding dari perkembangan ilmu sains dan teknologi yang sedang berkembang di Barat dan juga di Timur.

Celik hati yang perlu ada para remaja ialah umat Islam sudah pernah memiliki kekuatan tamadun sains dan teknologi. Dunia Barat dan Timur terhutang ilmu kepada tamadun sains dan teknologi Islam suatu ketika dulu.

Para remaja Islam hari ini tidak harus bersikap nostalgik atau kagum dengan kekuatan silam saja. Para remaja harus bersikap reflektif melihat roh kekuatan silam supaya terdorong melihat hikmah di sebaliknya kemudian membina keupayaan menterjemahnya dalam metodologi masakini. Tidak saja remaja celik akal dengan apa yang berlaku kini tetapi dalam masa yang sama para remaja memiliki celik hati tentang tamadun sendiri. Darinya akan tercetus upaya menyaring yang baik bahawa teknologi selamanya alat bukannya matlamat.

Matlamat kepada teknologi ialah selama mana ia memberi manfaat dan kesejahteraan kepada kehidupan. Sains tidak hanya mengkaji sesuatu atau fenomena yang berlaku tetapi celik hati mendorong remaja untuk mengkaji hikmah di sebalik ciptaan dan kejadian Allah supaya para remaja mendapat manfaat yang tidak saja tersurat tetapi juga manfaat yang tersirat.

Inilah pedoman hakiki yang membimbing remaja ke arah kebenaran. Kebenaran adalah ibarat pancaran dari suluh cahaya. Cahaya yang dipedomankan oleh al-Quran membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Inilah matlamat yang amat diperlukan oleh remaja dan manusia pada masakini.

Al-Quran mengandungi petunjuk saintifik

Oleh: DR. SIDEK BABA

Al-Quran terkandung hudan atau petunjuk yang memberi pedoman kepada manusia mengenai sesuatu yang nyata dan sesuatu yang ghaib. Mukjizat yang disampaikan oleh Allah kepada manusia menerusi Rasul-Nya terkandung hikmah yang amat besar untuk direnung dan difikirkan. Konsep ulul albab seperti yang dianjurkan oleh al-Quran membina jiwa tadabbur iaitu berfikir, mengamati dan memerhati supaya lahir kecenderungan mengkaji dan menyelidik.

Setiap surah dalam al-Quran terkandung maksud dan setiap ayat yang mengisinya terkandung makna. Ayat- ayat Allah ini adalah sesuatu yang hidup dan menghidupkan. Alam ini dan kehidupan yang diciptakan adalah gambaran ayat-ayat Allah yang mempunyai makna yang luas. Perjalanan alam dan sumber-sumber alamiah disebut dalam banyak ayat supaya proses silih gantian, keteraturan dan ketertiban membimbing manusia berfikir tentang kebesaran suatu kuasa iaitu Allah s.w.t.

Terciptanya bumi dengan limpahan rahmah dan nikmat yang banyak adalah gambaran Kekuasaan Yang Maha Mencipta untuk kesejahteraan manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Al-Quran terkandung kisah-kisah manusia terdahulu dengan ragam kerenah yang pelbagai untuk menjadi iktibar manusia.

Apa yang berlaku pada Nabi Adam, perjuangan Nabi Nuh menyebarkan risalah tauhid, Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan kaumnya yang ingkar, Nabi Isa yang mengajak manusia kepada kebenaran tauhid, Nabi Yusof dengan fitnah dan keupayaan perancangan ekonominya adalah sebahagian gambaran manusia dan kerenah zamannya.

Ia berlaku pada masa yang lalu, berulang pada masa kini dan bakal berulang semula pada masa akan datang sekiranya manusia tidak menjadikannya ibrah atau teladan yang perlu diikuti.

Al-Quran juga terkandung prinsip dan ajaran, peringatan dan khabar gembira, pernyataan dan simbol-simbol dan yang amat penting ialah mengajak manusia berfikir tidak saja dalam batas alam nyata tetapi juga cuba memahami kewujudan faktor-faktor yang ghaib. Walaupun al-Quran bukan kitab sains umpamanya tetapi pedoman-pedoman saintifik amat banyak untuk dijadikan rujukan tentang bukti kebenaran dan mukjizat yang amat besar ini.

Para remaja tidak harus memanfaatkan al-Quran dalam batasan tilawah dan hafazan semata-mata. Memang benar terdapat fadilat dari amalan tersebut tetapi fadilat yang lebih besar ialah al-Quran terkandung sumber ilmu yang amat bernilai untuk diteliti dan dikaji supaya darinya terbina pertunjuk yang mempedoman remaja ke jalan yang benar dan diredai.

Pada hari ini pengajaran agama terhadap remaja mengambil pendekatan umum dan tradisional hingga menyebabkan daya fikir remaja tidak berkembang, pemahaman maksud rohaniah menjadi terbatas, kesan penghayatan semakin menipis dan akhirnya akhlak Islamiah tidak terlihat dalam menghadapi cabaran semasa yang banyak mencabar asas logik dan rasional.

Ia menyebabkan sebahagian remaja tidak merasakan ajaran agama dan pendidikan al-Quran memungkinkan dirinya atau zaman dewasanya nanti berupaya menghadapi serangan pemikiran dari luar lingkungan kehidupan beragamanya atau menjadi keliru dalam menghadapi cabaran ideologi dan fahaman yang berbagai atau terjebak dalam arus memuja dan mengagumi budaya Barat yang negatif dan akhirnya menjadi bercelaru dan hilang arah dalam memahami makna hidup dan kehidupan yang sebenarnya.

Sedangkan al-Quran pada banyak tempat menyebutkan kepentingan akal dan kepentingan pancaindera untuk berfikir dan melihat sesuatu yang diciptakan dan terjadi serta merangsang hati supaya merasakan sesuatu mengenai kebesaran dan kekuasaannya.

Asas-asas saintifik amat nyata ditunjukkan oleh Allah menerusi al-Quran supaya para remaja mendapat pertunjuk-pertunjuk saintifik mengenai kebenaran pencipta dan perkhabaran tentang sumber ciptaan-Nya.

Meskipun al-Quran diturunkan kira-kira 1,400 tahun yang lalu kepada Rasulullah s.a.w, seorang yang ummi iaitu tidak boleh membaca dan menulis atau menghadiri sistem pendidikan sains seperti hari ini, namun kebenaran mukjizat saintifik terus dibongkar oleh para saintis Islam berabad-abad lamanya dan dibongkar oleh saintis zaman kini atau mula mengakui kebenaran mukjizat al-Quran yang memberikan petunjuk saintifik dan sebahagiannya kembali kepada ajaran tauhid yang fitrah.

Pemenang Hadiah Nobel, Albert Einstein pernah menyebutkan: “Sains tanpa agama adalah palsu dan agama tanpa sains adalah buta.”

Al-Quran bukanlah kitab sains tetapi terkandung signs atau ayat-ayat yang memberi petunjuk. Mengikut Dr. Zakir Naik seorang pendakwah terkenal dari India, terdapat lebih 1,000 ayat yang berhubung dengan sains. Petunjuk-petunjuk saintifik dalam al-Quran terkandung kebenaran dan fakta bukan sekadar hipotesis atau teori yang masih dalam kajian dan persoalan.

Amat penting bagi remaja memahami dan menginsafi tentang kebenaran al-Quran mengenai sains supaya darinya remaja dapat membina kekuatan iman dan keyakinan terhadap Pencipta dan menerusi jendela Qurani remaja boleh menjadi orang-orang yang bertakwa terhadap kebenaran dan fakta saintifik yang tidak boleh diragukan lagi.

Al-Quran 21:30 menyebutkan dengan jelas tentang kejadian alam semesta. Teori Dentuman Besar atau Big Bang yang dipercayai oleh para saintis kini menyebabkan berlakunya pembentukan galaksi. Ia berkembang menjadi bintang, planet, matahari, bulan dan sebagainya. Al-Quran juga menyebutkan tentang makna dukhan atau asap atau gas yang menjadi rujukan utama kepada fakta teori Dentuman Besar (al-Quran 41:11).

Pada zaman awal manusia percaya bahawa bumi ini rata. Al-Quran 31:29 dan 39:5 menyatakan dengan jelas tentang bumi ini bulat (spherical). Mereka juga percaya bahawa bulan bercahaya dan sumbernya sendiri sedangkan al-Quran 25:61 & 10:5 & 71:15-16 menyebutkan ia adalah pantulan dari cahaya matahari.

Al-Quran 51:47 juga menyebutkan tentang sifat alam jagat yang mengembang. Konsep musi’un dalam al- Quran menyatakannya dengan jelas dan ia diakui oleh para saintis seperti Edwin Hubble sejak tahun 1925 lagi mengenai kebenaran fakta saintifik al-Quran.

Konsep atom juga tersebut jelas dalam al-Quran 34:3 dengan rujukan zarah yang mengaitkan Allah mengetahui yang kecil dan besar malah sekecil zarah. Gunung-ganang sebagai pasak-pasak bumi (awtad) disebutkan oleh al-Quran 78:6-7 membayangkan pentingkan faktor penstabil bagi bumi bagi mengelakkan bumi dari bergoncang (al-Quran: 21:13).

Malah kalau diteliti lebih jauh, al-Quran memberi kita petunjuk tentang ilmu biologi, botani, zoologi, perubatan, fisiologi, embriologi, psikologi, sains, teknologi dan lain-lain. Bayangkan kalau para remaja mendekati al-Quran dengan jiwa tadabbur maka fakta dan kebenaran saintifik yang terkandung dalam al-Quran bakal membina keimanan dan keyakinan remaja tentang Allah, kejadian dan kebesaran-Nya.

Dari situlah bermula binaan akidah yang diterjemahkan dalam asas ibadah yang luas, berdiri atas faktor syariah yang terkandung maqasid atau maksud dan menghasilkan peribadi-peribadi yang memiliki akhlak tinggi yang memiliki jiwa rukuk dan sujud terhadap pencipta.

Tahun baru dalam semangat hijrah

Oleh Dr. Sidek Baba

Tahun baru bakal menjelang tidak lama lagi. Dari sudut umur ia bermakna manusia semakin besar, remaja, dewasa dan tua. Dari sudut pengalaman, lazimnya, ia semakin bertambah. Inilah faktor silih gantian yang berlaku dalam hidup.

Tidak ada sesuatu yang kekal dalam alam ini melainkan Allah. Detik yang kita lalui sekarang akan berlalu untuk menjejaki detik-detik seterusnya.

Hari yang ditempuhi kini akan menjadi kenangan-kenangan apabila esok datang. Minggu yang kita jalani akan menjadi sejarah bila minggu berikutnya menjelang. Bulan yang kita ikuti dengan pelbagai perkara akan menjadi silam bila bulan-bulan berikutnya tiba. Dan tahun yang kita alami akan juga bertukar ke tahun baru untuk dibaharui tekad dan azam.

Lazimnya remaja suka menyambut tahun baru dengan azam. Azam yang dilalui pada tahun-tahun terdahulu diperkukuhkan atau diperbaharui dan azam terkini di bina. Ada remaja menyambut tahun baru dengan bersukaria, berseronok dan berhibur. Tetapi sebagai remaja Islam, tahun baru tentunya disambut dengan jiwa hijrah.

Jiwa hijrah bermakna terdapat perubahan yang bermakna kepada remaja. Semangat hijrah Rasulullah s.a.w yang dijadikan sistem kalendar didasarkan pada hari pertama Rasulullah berpindah iaitu pada tahun 622 Masihi sementara tahun Masihi sistem kalendar Gregorian diperkenalkan di England pada abad ke 18.

Tahun Islam didasarkan kepada perputaran bulan dan berjumlah 354 hari setahun, berbeza dengan tahun Masihi berjumlah sekitar 365 hari. Apa pun perbezaan, kita tetap merayakan detik yang yang sama dan tahun yang serupa. Apa yang berbeza ialah cara dan semangat merayakan tahun baru tersebut.

Merayakan tahun baru dalam semangat hijrah, mengingat kita tentang kesan perubahan yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap umat manusia. Penghijrahan itu adalah amat strategik bagi remaja hari ini kerana kepayahan membimbing manusia ke arah fitrah di awal perjuangannya di Mekah menyebabkan Rasulullah bertekad mengembangkan risalah kebenaran di Madinah.

Ia diterima dengan baik di Madinah dan persaudaraan Ansar dan Muhajirin adalah lambang persaudaraan tulen yang berasaskan tauhid. Akhirnya Rasulullah kembali semula ke Mekah dengan suasana penerimaan yang baru.

Madinah dibangunkan sebagai suatu kota contoh masyarakat berbilang dengan asas syariah dijadikan landasan membangun perubahan dan kemajuan. Dalam tempoh satu abad selepas wafatnya Rasulullah, wilayah pengaruh Islam berkembang di Asia Barat, Afrika Utara, Semenanjung Iberia dan sebahagian benua India. Tradisi ilmu yang berkembang di Baghdad dan Baitul Hikmah dan Andalusia menjadikan tamadun Islam sebagai obor membimbing manusia ke arah tamadun.

Tahun baru dalam semangat hijrah harus membawa remaja berfikir tentang umat Islam kini. Barat yang terhutang ilmu kepada Islam mampu bangun melakukan perubahan dan penjajahan dan akhirnya selama hampir 700 tahun minda Barat menguasai minda umat Islam. Pada hari ini sebahagian remaja Islam menjadikan Barat sebagai rujukan untuk maju, moden dan progresif. Terdapat di kalangan remaja Islam menganggap Islam sebagai agama yang membelenggu, jumud dan ketinggalan zaman. Lalu mereka memeluk apa saja yang datang dari Barat seerat-eratnya sebagai lambang kebebasan dan identiti diri. Agama dan tradisi keilmuan yang membawa umat Islam ke arah tamadun hampir dilupakan.

Semangat hijrah harus mendorong remaja berfikir ke arah perubahan yang fitrah.

Islam tidak menyekat remaja dan manusia untuk maju dan membangun. Konsep maju dan membangun dalam tradisi Islam merujuk kepada kualiti manusianya. Kualiti manusia tidak saja diukur dari sudut pencapaian ekonomi atau teknologinya tetapi juga dinilai dari sudut akhlak dan peribadinya. Apa maknanya kemajuan ekonomi dan teknologi sekiranya manusia menjadi bertambah rakus, zalim dan kejam terhadap sesama manusia.

Membimbing

Apa maknanya pertumbuhan ekonomi dan kecanggihan teknologi maklumat kalau sekiranya kemiskinan, kebuluran, kejahilan umat manusia masih berleluasa dan kecanggihan teknologi menyebabkan manusia menderita kerana peperangan yang dipaksakan oleh kuasa-kuasa Barat. Dalam tradisi Islam kemajuan ilmu, sains, teknologi serta pertumbuhan ekonomi membimbing manusia ke arah kesejahteraan bukan sebaliknya.

Tahun baru dalam semangat hijrah harus mampu membina azam dan tekad remaja Islam untuk kembali kepada fitrah diri. Kemajuan dan perubahan yang menolak kepentingan fitrah menyebabkan gejala-gejala yang tidak baik terus subur merosakkan minda, gaya hidup dan kecenderungan remaja. Terlibatnya remaja dengan dadah, pergaulan yang lepas bebas, ketagihan muzik rock dan rap, hiburan yang berlebihan, faham hedonistik yang melampau, terjebak dengan musibah AIDS/HIV, ‘Mat dan Minah Rempit’ yang merisaukan masyarakat adalah pertanda kerosakan yang sedang menimpa remaja dan bakal merosakkan generasi hari depan umat Islam.

Kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada kehidupan yang baik dan sempurna. Apabila remaja memahami bahawa ilmu dan pendidikan itu penting, ia pertanda bahawa remaja berada di landasan yang betul. Apabila remaja cenderung untuk mengkaji keunggulan tradisi silam yang patut dipelajari dan mengukuhkan jati diri Islami yang terbuka untuk menerima unsur-unsur baik dari budaya lain, ia bermakna remaja Islam memiliki pendirian dan terbuka untuk belajar dari yang lain. Apabila remaja Islam tidak menjadikan hiburan dan pergaulan cara Barat sebagai pertunjuk terbaik, ia mendorong remaja menguasai ilmu dan keterampilan dalam seni hiburan yang terizin dan dalam masa yang sama mampu bergaul secara sihat untuk dewasa dalam kematangan dan kecemerlangan. Ia bermakna remaja menjadi aset kepada umat dan negara.

Oleh itu amat penting bagi remaja Islam kenal dirinya dengan mengenal Allah. Mengenal Allah ialah memahami Kalam-Nya iaitu al-Quran dan pesuruh-Nya iaitu Rasulullah s.a.w. Dari al-Quran terkandung suluh atau pedoman memandu manusia memahami faktor nyata dan memahami faktor ghaib. Darinya remaja dapat mengimbangi antara keupayaan akal dan keupayaan hati atau kalbu supaya wujud titik keseimbangan antara bukti pencarian manusia dengan pedoman Allah membimbing ke arah memahami yang ghaib. Tanpa asas ini para remaja akan kehilangan arah dalam berfikir dan melakukan sesuatu.

Meneliti sunah Rasulullah memberi teladan kepada remaja tentang nilai-nilai manusiawi yang hidup berpaksikan ajaran al-Quran. Darinya Rasulullah meninggalkan jejak-jejak teladan dan ikutan untuk dikembangkan oleh manusia dalam zaman-zaman berikutnya. Dengan pedoman ini remaja akan sentiasa berada dalam keadaan fitrah.

Perubahan yang berlaku di sekitar remaja tidak akan menyebabkan remaja menjadi celaru kerana pancang hidup iaitu akidah, ibadah, syariah dan akhlak akan sentiasa menjadi pedoman terbaik dalam hidup. Tanpa asas ini remaja akan kekosongan dan akhirnya mudah terjebak dalam pengaruh-pengaruh terkini yang bersimpang-siur cuba menyesatkan remaja dan kehidupannya.

Menerima kedatangan tahun baru dengan semangat hijrah iaitu menerima keyakinan bahawa Nabi Isa al Maseh adalah Nabi dan hijrah Rasulullah ke Madinah adalah hijrah seorang Nabi yang cuba melanjutkan tradisi Nabi Isa dalam mentauhidkan Allah. Asas ini kalau dapat dikembangkan oleh remaja dalam azam dan tekad, memperbaharui cita-cita dan amal, ia bakal menjadikan remaja manusia yang memiliki kualiti kecemerlangan. Inilah asas yang bakal mengembalikan remaja Islam sebagai pewaris kekuatan tamadun silam yang memimpin manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran.