Wednesday, June 18, 2008

Muflis keintelektualan hancurkan umat

Bersama Prof Dr Sidek Baba

PENGERUSI Institut Kemajuan Islam Malaysia (Ikim), Tan Sri Ahmad Sarji, dalam Majlis Pelancaran Projek Akademik Mega Ahmad Ibrahim ‘Sebuah Biografi dan Telaah Pemikiran’ menyatakan pentingnya ahli ilmu dihargai dan diteliti ilmu dan pemikirannya supaya generasi akan datang mengenal sejarah silamnya dengan kekuatan berfikir wira karyawan, ilmuan dan seniman berwibawa.

Saranan ini amat penting dalam konteks menghasilkan peribadi unggul berjasa menterjemahkan pemikiran bernas dan praktik terhadap zamannya. Ia penting supaya warisan silam diletakkan pada tempatnya dan menjadi sumber rujukan untuk generasi depan.

Sekarang kita sedang berdepan dengan cabaran generasi muda yang kurang cenderung mengkaji warisan pemikiran dan ilmu wira bangsa dan umatnya terdahulu. Kecenderungan lebih banyak tertumpu kepada ‘wira’ popular semasa di sekitar dunia hiburan dan artis, sukan dan muzik sehingga wira gigih memberikan sumbangan ilmu dan tradisi intelektualisme semakin dilupakan. Budaya santai dalam pembacaan, ‘chatting’, web-log dan hiburan sudah menjadi trend atau aliran ketara.

Akibatnya fokus sebahagian besar generasi muda, malah masyarakat umum lebih banyak berkisar kepada kehidupan artis dan penghibur popular, gosip bertiup silih berganti, tinjauan kisah filem cinta yang dangkal dan kenafsian, lirik lagu mengalunkan ratapan sedih dan kecewa, adegan tahyul dan sensasi dalam sinetron yang mengasyikkan penonton di samping anugerah dan festival yang mengangkat ‘martabat’ budaya popular saduran daripada budaya Hollywood dan Bollywood.

Dalam suatu arus yang lain, umat Islam dianjurkan supaya membangun modal insan berkualiti, mendukung peribadi unggul perlu diteladani, membanteras amalan salah guna dadah dan ketagihan terhadap budaya hedonistik dan kembali kepada jalur ketamadunan berasaskan acuan kita sendiri.

Dilema ini menuntut daya renung yang tinggi dan mendalam betapa kita menghadirkan dua keadaan yang sifatnya tidak saling melengkapi malah boleh melanjutkan kekeliruan dan pertentangan yang sempadan akhirnya mempertajamkan lagi jurang dan konflik yang sedia ada.

Banyak terbazir memikirkan jalan keluar dari kemelut keruntuhan akhlak yang sedang berlaku. Selalunya pendekatan natijah akhir yang dijadikan tumpuan sedangkan punca atau akar sebab daripadanya terabai. Lalu pendekatan diambil banyak bersifat ‘superficial’ dan wabak berlaku semakin merebak.

Di sinilah perlunya tradisi intelektualisme berteraskan ilmu dan keahlian dibina supaya acuan kita sendiri berdiri atas asas tradisi dan warisan kukuh, menghargai pemikiran ilmuan tersohor, menjadikan wira besar dan kecil dalam memperjuangkan budaya tinggi sebagai teladan dan akhirnya bersikap terbuka terhadap manfaat berbanding dari Barat dan Timur sifatnya menyumbang.

Budaya santai boleh menjadi penghalang terhadap pertumbuhan ilmu dan intelektualisme. Buku dibaca dan bahan ditonton dalam media cetak dan elektronik banyak menampilkan tema cinta murahan berunsur lucah, adegan sensasi yang merangsang nafsu dan akhirnya kecenderungan hedonistik menjadi makanan minda dan hati. Budaya ilmu tidak akan lahir dan akhirnya budaya santai boleh menyebabkan ketandusan berfikir dan juga kemuflisan daya intelek.

Tamadun Islam di zaman puncaknya terbangun dengan budaya intelek yang tinggi. Umara dalam beberapa tradisi kepimpinan menjadi penaung kepada tradisi intelektualisme yang sihat. Perdebatan dan perbezaan pendapat berlaku tetapi di kalangan mereka mempunyai etika tinggi untuk menerima yang berbeza itu berbeza dan yang sama itu sama. Asas ini mencetuskan perkembangan idea dan ilmu dan akhirnya lahir tamadun ilmu dalam banyak bidang sama ada berkisar kepada ilmu wahyu mahupun ilmu berkaitan dengan pengurusan sistem.

Ketika ini sebahagian besar umat Islam tidak saja kagum setia terhadap sesuatu yang datang dari Barat, malah sesetengah dari mereka mula meremeh warisan dan tamadun yang pernah lahir dari tradisinya sendiri. Lalu mereka menjadi penganut faham liberal dan pluralis yang melulu sehingga faham feminisme dan hak asasi tafsiran Barat menjadi petunjuk utama untuk maju dan membangun.

Daya intelektual umat Islam seharusnya reflektif terhadap keunggulan tradisi ilmu zaman lalu dan proaktif terhadap perubahan hari ini. Prinsip dan tradisi yang diasaskan tamadun silam seharusnya menjadi penggerak kepada kemajuan berfikir yang tidak menolak kepentingan syarak untuk mengembalikan umat Islam ke landasan yang betul. Konsep maju dan berubah dalam acuan sendiri seharusnya memberi ruang kepada tradisi unggul pada masa lalu berkembang dan tidak menolak faedah berbanding dari lingkungan budaya lain bermanfaat supaya tercetus suatu paradigma baru mengembalikan manusia dan sistemnya kepada fitrah.

Kelesuan berfikir di kalangan umat mesti diatasi menerusi keperkasaan ilmu dan ketrampilan, pendidikan integratif sewajarnya melandasi pembinaan peribadi holistik, pemikiran yang kreatif dan inovatif sepatutnya berkembang dan akhirnya upaya strategik dalam pemikiran dan perancangan sepatutnya menjadi agenda yang hidup di sepanjang zaman.

Tanpa asas ini tradisi intelektualisme tidak akan lahir, sebaliknya bakal lahir golongan populis menguasai massa tanpa mementingkan keteguhan ilmu dan nilai dan akhirnya bakal menjadikan generasi muda muflis dengan daya intelektualisme dan korban pemujaan terhadap proses pembaratan yang sedang bermaharajalela.


Al-Quran tidak menolak kebaikan tradisi Orang lain.

MENGINSAFI bahawa sifat zaman berubah dan berdaya maju, ilmuwan dan ulama Islam sepanjang zaman membina tradisi ilmu, berfikir dan intelektual. Mereka merujuk al-Quran dan sunnah sebagai landasan mengembangkan prinsip asas yang Qurani. Begitu juga melakukan ijtihad dan pengembangan berasaskan fatwa dan kesepakatan ulama, ilmuwan dan profesional dalam kepakaran masing-masing. Ia faktor maju dan membangun tidak ditolak, tetapi tetap berlaku dalam acuan yang Islami.


Gambaran dunia Islam hari ini berlainan berbanding pada zaman Rasulullah SAW, sahabat, tabieen dan yang mencetuskan tamadun besar. Pada waktu itu, prinsip murni Islam tidak saja dihayati dan dikembangkan dalam tradisi ilmu dan sistem pengurusan. Malah, sifatnya amat bersepadu. Keadaan itu menyebabkan ulama dan ilmuwan tidak saja amat ahli dalam ilmu mengurus diri, malah berkembang dalam ilmu mengurus sistem. Akhirnya, mencetuskan tamadun besar yang membolehkan Islam dilihat hebat dari sudut pengembangan ajarannya. Hebat juga dalam keupayaan ulama ilmuwan dan penganutnya dengan menampilkan peribadi besar untuk menjana kemajuan dan menggerakkan perubahan.


Pada hari ini wujud kebekuan ilmu dan tradisi berfikir yang amat ketara. Keadaan itu hingga menyebabkan umat Islam menjadi pengguna kepada kekuatan tamadun Barat. Mereka belum mampu melepasi diri untuk menyumbang ke arah pembangunan tamadun umat manusia. Namun, ia tidak bermakna ajaran Islam itu lemah atau tidak lengkap bagi mengatasi cabaran sezaman dan kerenah lingkungan. Namun, ia akibat suburnya dualisme dan sekularisasi ilmu serta pendidikan yang menyebabkan ajaran Islam sebenar atau sepatutnya terpinggir.Tradisi ‘turath’ atau bercorak tradisi tidak dapat dikembangkan bagi menghubungi metodologi berfikir kini yang lebih banyak menumpu kepada tradisi kajian dan fakta yang terputus dengan nilai tauhid dan nilai murni.


Teori ilmu berkembang secara empirikal dan asas ilmu yang bercorak keagamaan dianggap dogmatik dan tidak berorientasikan asas saintifik. Faham rasionalisme, humanisme, pragmatisme dan saintisme Barat berkembang pesat. Ia menjadi sumber rujukan dan kaedah utama dalam memperkasa proses pengilmuan dan pendidikan di kalangan sistem di negara umat Islam sendiri. Akhirnya, generasi yang lahir di kalangan warga umat ialah yang menyisihkan tasawwur atau ‘worldview’ ilmu dan pendidikan yang berteraskan nilai. Sebaliknya, berkembangnya sistem yang tidak menjadikan nilai dan etika sesuatu yang amat utama.


Skop pemikiran tidak lagi menghasilkan ilmuwan yang mempunyai upaya berfikir yang reflektif terhadap zaman dan perubahan. Tetapi sedang melakukan liberalisasi ilmu dan pemikiran berasaskan acuan Barat. Apa yang berlaku terhadap umat Islam ada sejarahnya. Sejarah itu menyebabkan wujudnya acuan yang menghasilkan ilmuwan Islam yang sifatnya terpinggir. Ilmuwan Islam tidak lagi menjadikan tradisi tadabbur dalam erti kata yang luas sebagai pedoman dalam melakukan kajian dan pengembangan.Sebaliknya, pendekatan kuantitatif dan kualitatif dalam kaedah penyelidikan hanya bersandarkan kepada fakta dan data yang dianalisis. Ia kemudian dijadikan rumusan atas hipotesis yang tidak terhubung langsung dengan nilai rohaniah dan kemanusiaan itu sendiri.Latihan intelektual ini tidak mampu menemui makna sesuatu yang terkait langsung dengan proses kejadian dan penciptaan, takdir dan musibah. Ia menyebabkan formula mengatasi masalah kemanusiaan yang parah semakin kehilangan punca.


Pada prinsipnya umat Islam tidak menentang Barat dari sudut faedah berbanding yang boleh didapati daripadanya. Apa yang disanggah oleh umat Islam ialah proses pembaratan yang memiliki tekad dan perancangan bagaimana minda dan tradisi keilmuan orang Islam dapat ditukar menjadi Barat. Seterusnya, meremehkan tradisi keilmuan dan pendidikan Islam yang terbina sekian lama dan terbukti pada masa yang lalu menghasilkan tamadun besar yang menyumbang kepada Barat dan Timur.
Perkara ini harus jelas di kalangan umat Islam supaya tidak timbul tanggapan bahawa Islam mengajar tradisi keilmuan yang tertutup. Seolah-olah al-Quran tidak mengajar pentingnya ilmu yang bermanfaat daripada tradisi dan tamadun orang lain. Pengalaman proses ketamadunan umat Islam pada masa lalu, tidak menolak kepentingan berbanding yang baik dan bermanfaat daripada tradisi orang lain. Keterbukaan Islam untuk menerimanya menjadi faktor yang sentiasa hidup dan perlu dihidupkan, terutama di tengah penguasaan Barat terhadap ilmu alat pada masa ini.

Fasih BM, BI tingkat kualiti modal insan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

Isu kemandulan bahasa Melayu dibangkitkan dalam perbahasan di Parlimen baru-baru ini. Polimiknya menjalar ke media dan kepentingan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu kian dirasakan penting.

Perkara 152 dalam Perlembagaan adalah jelas dalam menyangkut persoalan bahasa Melayu dan aplikasinya. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disentuh kerana menyebabkan kemandulan bahasa berlaku.

Memang sifat bahasa adalah dinamik. Dalam bahasa Melayu ada ribuan istilah Arab dan ratusan istilah Inggeris kerana pengalaman budaya, keilmuan serta aplikasi pendidikan, agama dan kegunaan hidup menjadikannya sedemikian.



Bahasa mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan ilmu, sains, penyelidikan, budaya dan teknologi. Dalam perumusan istilah, terma yang dipilih sudah tentu merujuk kepada kaedah sudah ada dalam menerima istilah asing ke dalam bahasa Melayu.

Bagi saya, kemandulan berlaku apabila sesuatu bahasa itu tidak lagi digunakan sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi. Oleh kerana fokus dunia pendidikan lebih banyak tertumpu kepada kemajuan sains dan teknologi, jika bahasa Melayu tidak ikut serta dalam penggunaannya, ia boleh menyebabkan pemandulan.

Mandul bermakna benih yang tidak subur atau benih tidak menjadi. Jika bahasa Melayu dianggap sebagai benih yang baik, maka benih itu perlu disuburkan aplikasinya dalam matematik, sains dan teknologi.

Terbukti sejak beberapa dekad lalu, walaupun cabaran penggunaannya ada tetapi penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara tidak menghadapi masalah.

Kemandulan akan berlaku jika bahasa Melayu dipinggirkan penggunaan dan akhirnya bahasa Melayu menjadi tidak penting.

Pendidikan masa kini pada setiap peringkat memberikan fokus terhadap matematik, sains dan teknologi sebagai asas untuk maju.

Ia dikatakan bernilai ekonomi dan sumber kemajuan, khususnya dalam strategi pembangunan modal insan. Bidang agama dan ilmu kemanusiaan seperti dianggap tidak penting kerana nilai ekonominya hampir tidak ada.

Tanggapan itu akan memberi kesan kepada jenis manusia yang bakal kita lahirkan. Manusia pada prinsipnya memerlukan adunan seimbang antara ilmu sains dan sains kemanusiaan. Fokus terhadap teknologi tinggi tidak memadai tetapi fokus terhadap sentuhan keinsanan amat perlu.

Bagi Malaysia, jenis modal insan yang diperlukan ialah di kalangan mereka yang memiliki keahlian dan kepakaran, dalam masa sama mempunyai kualiti akhlak dan kemanusiaan tinggi.

Oleh itu, aplikasi bahasa Melayu perlu disuburkan dalam bidang sains dan teknologi kerana ia adalah tumpuan pembangunan modal insan hari ini dan masa depan.

Jika tidak, bahasa Melayu akan mengalami proses kemandulan yang parah. Ia menuntut kerjasama semua pihak. Apa maknanya sudut perundangan bahasa Melayu jelas ada, tetapi media dan swasta memandang remeh keperluan bahasa Melayu yang baku. Bahasa rojak makin berleluasa digunakan. Pemimpin dan tokoh korporat berlumba-lumba tidak cenderung menggunakan bahasa Melayu di media.

Sistem pendidikan peringkat perdana dan swasta sedang berlumba-lumba tidak menjadikan bahasa Melayu penting sebagai bahasa ilmu dan komunikasi.

Keadaan ini boleh menyebabkan kemandulan berlaku, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa pasar dan orang tidak berasa bangga menggunakannya malah secara psikologi orang berasa rendah diri apabila berbahasa Melayu.

Ini tidak bermakna bahasa Inggeris tidak penting. Sebagai sumber ilmu pengetahuan, bahasa Inggeris perlu diperkasakan tetapi jangan sampai memandulkan bahasa Melayu dalam aplikasi ilmu.

Orang terdahulu menghubungkan bahasa sebagai jiwa bangsa kerana ia adalah pancaran aspirasi dan cita-cita sesuatu bangsa.

Cita-cita bina negara di Malaysia ialah untuk melihat wujudnya asas integrasi antara kaum dan bahasa Melayu boleh memainkan peranannya.

Kita juga ingin melihat bahasa Melayu sebagai bahasa bagi mendapatkan sumber ilmu. Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti lain membuktikan kemajuan dari sudut kepakaran dan keahlian dalam disiplin ilmu seperti kedoktoran, sains dan teknologi.

Untuk mengelak kemandulan, kita perlu berjiwa besar dan yakin bahawa menguasai bahasa Melayu dengan baik dan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris tidak menjadikan kita mundur atau ketinggalan dalam menguasai ilmu pengetahuan.

DBP perlu berjiwa besar melakukan kerja penterjemahan, mempercepatkan proses penilaian buku berkualiti untuk diterbitkan, mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi yang menghasilkan kajian, merancang dan melaksanakan program penyelidikannya sendiri.

Dengan kerjasama sarjana berwibawa bagi menambah buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu seperti diperuntukkan oleh undang-undang akan dihormati dan digunakan semua pihak. Jika hal ini dapat dilakukan, maka penyakit mandul akan dapat diatasi secara strategik.

Ramadan jana produktiviti rohaniah

Bersama Prof Dr Sidek Baba

SERING timbul persoalan pada Ramadan upaya kerja seseorang manusia ada batasnya. Secara fizikal ia ada kebenarannya, tetapi itu tidak bermakna Ramadan menyediakan ruang kepada yang malas dan culas kerana ia bakal menjejas produktiviti.

Suatu hal yang harus diinsafi ialah menghayati Ramadan dalam erti kata sebenarnya, ia bakal menjana produktiviti rohaniah yang amat penting bagi seseorang manusia dan sesebuah organisasi.

Produktiviti rohaniah bermaksud bagaimana mengawal diri daripada lapar dan dahaga menimbulkan insaf kemanusiaan yang tinggi terhadap golongan miskin. Ia bakal melahirkan manusia yang bersyukur terhadap rezeki diterima dan sentiasa ingat serta sedia membantu golongan tidak berada dan amat memerlukan.

Produktiviti rohaniah juga membawa insaf-ketuhanan yang tinggi bahawa apa saja kita lakukan dalam hidup ini, tidak akan terlepas daripada pengetahuan dan pemerhatian Allah. Inilah yang dikatakan jiwa muttaqin.

Jiwa muttaqin terpancar kerana asas keimanan manusia dengan Allah amat hebat dan darinya lahir jiwa takwa yang sentiasa mengaitkan perbuatan dan amalan untuk mendapat reda-Nya. Allah memberikan matlamat melakukan puasa ialah untuk membangunkan jiwa muttaqin.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa seperti diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
(Surah al Baqarah, ayat 183)

Malah, ukuran kecemerlangan manusia juga diukur di kalangan orang yang muttaqin seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa." (Surah al Hujurat, ayat 13)

Jiwa muttaqin dalam bahasa manusiawinya ialah membawa asas takut. Kita menghormati undang-undang bukan kerana kita takut kepada polis atau penguatkuasa. Undang-undang itu dipatuhi kerana ia memberi kebaikan kepada manusia dan pengguna.

Sifat patuh itu adalah ciri orang yang muttaqin. Manusia patuh kepada arahan ketua bukan kerana takut kepada ketua, tetapi hikmah kepatuhan kepada ketua membawa kebaikan kepada organisasi.

Manusia patuh kepada pemimpin yang amanah dan adil bukan kerana takut dengan kedudukan yang ada pada pemimpin, tetapi hikmah kepatuhan kepada pemimpin menyebabkan amanah dan keadilan dapat berjalan dengan baik.

Landasan patuh itu dilakukan kerana Allah (ikhlas) baik pemimpin dan orang yang dipimpin perlu ada suatu ikatan yang menyebabkan wujudnya ketelusan yang menghubungkan dirinya dengan Allah.

Jiwa muttaqin dalam bahasa rohaniahnya membimbing manusia kepada kawalan hawa nafsu secara fitrah. Sifat jelik dalam batasan nafsu amarah bissuk atau nafsu haiwani dimurnikan supaya batasan nafsu mutmainnah atau nafsu insani mengambil tempat.

Jika Ramadan dilalui dengan keinsafan mendalam terhadap kelemahan dan kekurangan diri, ia bakal menampilkan manusia kembali kepada fitrah. Melupuskan sifat mazmumah iaitu yang terkeji daripada diri ke arah sifat mahmudah atau terpuji adalah suatu proses rohaniah.

Ramadan memberi peluang sangat luas bagi manusia kembali kepada fitrah diri dan melupakan hal jelik dalam hidup dan perangainya supaya perubahan itu memberi hikmah kepada diri, keluarga, masyarakat dan sistem pentadbiran.

Produktiviti rohaniah mempunyai talian rapat dengan nilai. Kukuhnya nilai rohaniah bermakna sifat amanah, adil, jujur, ikhlas, telus dan tulus akan sentiasa subur dalam diri manusia. Ahli ibadah menghubungkan amalannya langsung dengan Allah.

Ketika kita berpuasa, kita menahan lapar dan dahaga daripada makan dan minum. Perkara itu mungkin boleh diatasi dengan mengunci diri di dalam bilik kemudian melakukan sesuatu yang menyalahi rukun berpuasa sekiranya pertimbangan terhadap manusia menjadi sandaran.

Tetapi apabila pertimbangan Allah mengambil tempat, kita memiliki pertimbangan, walaupun manusia tidak melihat, dalam melakukan ibadat ini, kita berasakan Allah melihat perilaku kita. Inilah yang disebutkan Rasulullah SAW, sifat ihsan yang tinggi bagi seseorang insan.

Keihsananlah menjadi titik tolak yang amat penting dalam melakukan sesuatu. Kita yakin dalam melakukan sesuatu khususnya yang bernilai ibadat, walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi wujud keyakinan yang kuat bahawa Allah melihat kita. Asas amalan ini jika dikembangkan dalam diri, kepemimpinan keluarga dan organisasi, ia menjadikan seseorang itu berjiwa muttaqin.

Nilai yang bersifat rohaniah adalah sesuatu yang boleh dimanifestasikan. Ia terlihat dalam amal, perbuatan dan pekerti. Pekerti Rasulullah SAW yang mulia memang boleh dilihat. Kesabarannya, kebijaksanaannya, kejujuran dan kecekalan menjadi amalan hidupnya.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik untuk kita. Oleh itu, memahami faktor kekuatan rohaniah tidak saja memahami kekuatan dalaman diri manusia, tetapi sifatnya terpancar di luar diri dalam bentuk amalan dan perbuatan yang baik.

Ramadan diibaratkan bateri yang memiliki kuasa menggerakkan sesuatu. Pada diri manusia memerlukan kekuatan supaya kehidupan dapat berjalan dengan baik. Bateri perlu melalui proses cas dan dicas.

Berpuasa, solat tarawih, tadarus, berbuka, bersahur, menahan diri daripada lapar dan dahaga, menjaga pancaindera daripada amalan buruk, melakukan doa dan istighfar sebanyak-banyaknya adalah amalan bersifat rohaniah dan memberikan cas terhadap jiwa dan hati.

Jika proses itu berlaku dengan baik dan sempurna, manusia akan memiliki kekuatan dalaman yang tinggi dan boleh menggerakkan diri serta kehidupan ke arah yang diredai Allah. Sekolah Ramadan ini yang memberikan fokus kepada produktiviti rohaniah bakal menggilap peribadi hamba Allah yang bakal lahir sebagai manusia baru dengan jiwa baru tunjangan jiwa muttaqin.

Jika matlamat itu dirasakan berlaku dalam hidup seseorang, maka penghayatan Ramadan memberi kesan perubahan. Sebaliknya selepas menjalani Sekolah Ramadan, tidak ada perubahan sikap, mentaliti dan amalan berlaku, bermakna Ramadan hanya suatu rutin bukan membangunkan jiwa muttaqin.

Interaksi masyarakat mampu tangani kecelaruan remaja

Oleh Prof Dr Sidek Baba


ISU identiti sering dihubungkan dengan persoalan imej. Imej remaja tidak saja dihubungkan dengan peri lakunya, malah dihubungkan dengan idealisme, aliran kegiatan dan dikaitkan dengan potensi hari depan.



Lebih jauh daripada itu identiti remaja berkait rapat dengan jenis kepemimpinan dan kepengikutan yang bakal mewarisi kepemimpinan dan kepengikutan negara. Ia sama ada remaja adalah pendukung idealisme bina negara atau menjadi beban yang berpanjangan kepada masyarakat.

Ada petanda yang merisaukan banyak pihak mengenai identiti remaja kini.

Remaja pada masa lalu menghubungkan diri dengan isu perjuangan ke arah membangunkan negara. Imej remaja sejak 30 tahun lalu cenderung kepada mengukuhkan imej keagamaan sebagai landasan membangunkan sistem dan masyarakat.

Akibat kemajuan yang dicapai dan cabaran globalisasi menghimpit, kecenderungan sebahagian remaja banyak terjebak dalam zon selesa yang mengheret mereka ke arah kerosakan diri. Mereka turut terjebak dengan kemelut sosial yang merimaskan dan terpaut dengan pemikiran hedonistik mengasyikkan dan alpa kepada tanggungjawab bina ilmu dan bina negara.

Statistik di kalangan remaja yang terjebak dengan ketagihan rokok, dadah, arak, zina dan jenayah amat membimbangkan. Jumlah yang menjadi mangsa kepada gejala Aids/HIV juga menakutkan.

Apakah imej yang sedang melanda remaja kini disebabkan ketidakmampuan kita mengurus kemajuan dan pembangunan hingga remaja menjadi mangsanya? Adakah ia akibat kealpaan kita terhadap peranan mendidik, memberikan idea pendorong betapa pentingnya imej diri, bangsa, umat dan negara diterjemahkan secara bijaksana dan strategik kepada mereka?

Kecelaruan sering dikaitkan dengan keadaan yang hilang pedoman. Ia juga dikaitkan isu hala tuju perjuangan yang kehilangan visi dan misi. Kecelaruan juga sering difahamkan terhadap perbuatan dan amalan yang tidak selari dengan norma positif dalam kehidupan.

Lebih pedih lagi kecelaruan dikaitkan dengan remaja yang sudah hilang pertimbangan diri iaitu membina idola yang bukan fitrah sifatnya. Ia juga dikaitkan dengan remaja yang mengagumi proses pembaratan secara melulu dan hilang pertimbangan kenegaraan hingga menyebabkan imej dirinya tidak lagi dapat diharapkan sebagai penyumbang berkesan terhadap pembangunan tamadun bangsa.

Remaja yang terjebak dengan kecelaruan itu bakal menjadi beban kepada masyarakat dan negara.

Amat tidak adil jika anggapan dibuat bahawa semua remaja terjebak dengan masalah kecelaruan ini. Tetapi, petanda yang ada di sekeliling kita memadai untuk membina rasa bimbang dan resah. Asas kebimbangan dan keresahan ini dibina atas:-


Gelagat remaja yang amat terpengaruh dengan proses pembaratan yang sedang berjalan.


Proses pembaratan yang mencorakkan gaya hidup dan pemikiran baru menjadikan mereka tercabut daripada akar jati diri dan kabur hala tuju hidup, menjadikan imej mereka semakin suram dan kehilangan arah.


Kehidupan beragama sedang menjadi pertikaian antara halal haram, pelanggaran salah benar dan makruf mungkar.


Memburu makna maju dan moden tidak dalam acuan nilai yang baik, sebaliknya memajukan gaya hidup dengan pemikiran kebendaan dan semangat berfoya-foya (hedonistik).


Hilangnya rasa hormat dan adab terhadap tradisi, hilang malu terhadap orang tua, ibu bapa, guru malah masyarakat.


Tiadanya cita-cita besar untuk bina bangsa, bina umat dan bina tamadun hingga menyebabkannya pudar.

Banyak sebab yang boleh diberikan mengapa kecelaruan berlaku di kalangan remaja. Zaman remaja adalah masa amat kritikal dalam hidup seseorang manusia.

Remaja mempunyai potensi tinggi yang boleh diarahkan kepada kebaikan malah boleh juga terjebak ke arah keburukan. Ia bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan suasana persekitaran yang membentuk.

Membentuk imej, watak dan tingkah laku remaja banyak bersandarkan kepada orientasi didikan yang diterima di rumah, sekolah, masyarakat dan juga sistem. Banyak faktor yang dapat dikesan menyebabkan wujudnya kecelaruan ini. Ia termasuk :-


Kecelaruan bermula apabila rumah tangga dan keluarga tidak memainkan peranan sewajarnya dalam pembentukan watak anak.

Masa berkualiti banyak dihabiskan di luar rumah. Anak yang menuntut pengisian, belaian, kasih sayang, perhatian dan bimbingan tidak merasakan limpahan rasa keibuan dan kebapaan.

Media elektronik banyak berperanan mengambil tugas mendidik anak. Ramai anak yang mengalami 'keciciran' sejak awal umur lagi.


Ibu bapa tidak mempunyai ilmu dan keterampilan keibubapaan berkesan dalam mendidik anak-anak. Tidak ramai ibu bapa yang faham proses pertumbuhan minda anak-anak, perkembangan psikik dan emosi mereka serta hubung kaitnya dengan tingkah laku yang diamalkan.

Akibatnya wujud kelompangan dalam hati dan minda anak. Akhirnya anak membentuk minda, hati dan tingkah laku berasaskan pendedahan yang ada dan pengaruh sekitarnya.


Sekolah banyak berperanan menyediakan anak untuk tujuan peperiksaan. Membangunkan jiwa dan hati tidak diberikan fokus dan keutamaan. Akhirnya pembentukan watak yang holistik tidak berlaku.

Berlakulah 'keciciran' kedua di kalangan anak. Umur yang amat kritikal bagi seseorang manusia dari sudut Islam adalah dari kelahiran hari pertama hingga ke tahap akil baligh.

Sekiranya seseorang manusia terlepas daripada proses didik pada tahap ini, kebimbangan tetap ada bahawa seseorang anak sudah diibaratkan seperti rebung yang sukar dilentur semula.


Masyarakat tidak menyediakan suasana yang kondusif supaya remaja dapat membentuk diri dan peribadinya ke arah peka masyarakat dan keadaan sekeliling secara positif.

Sebahagian remaja terbabit dengan kerenah rakan sebaya yang menampilkan kegiatan negatif dan akhirnya terjebak dengan amalan merokok, ketagih dadah dan pergaulan lepas bebas.


Sistem kenegaraan sendiri tidak mengambil pendekatan sepadu dalam proses pembangunan remaja.

Orientasi dalam keluarga dan sekolah sedikit sebanyak menekankan pentingnya adab dan akhlak dalam pembinaan diri remaja. Tetapi, media cetak dan elektronik tidak dikawal programnya hingga menyebabkan percanggahan ketara apa yang dididik di sekolah dan rumah dengan apa yang dipaparkan media.

Akhirnya wujud konflik di kalangan remaja dan keadaan seperti ini melahirkan kecelaruan.


Keadaan di atas diburukkan dengan isu keagamaan yang dipertikaikan secara terbuka tanpa pendekatan mendidik dan ilmiah sehingga menyebabkan sumber rujukan remaja bercelaru.

Ada isu yang bercorak keagamaan boleh dibahaskan secara terbuka dan ada yang perlu dibincangkan di kalangan yang mempunyai keahlian.

Bayangkan isu agama, imej ula-ma dan persepsi mengenai Islam menjadi polemik tidak sihat. Keadaan ini boleh mempengaruhi remaja yang sedang mencari identiti diri dan sumber pengetahuan yang boleh dijadikan sandaran pembentukan pemikiran dan keyakinan dirinya.

Kerap bersoal 'mengapa' bimbing anak mengenal hikmah

Bersama Prof Dr Sidek Baba

GENERASI muda memerlukan pendekatan bersepadu dalam membangun kecemerlangan ilmu dan watak. Zaman kritikal pembentukan kesantunan dan adab anak ialah daripada hari pertama lahirnya hingga akil baligh perlu didekati dengan bijaksana menerusi teladan.

Institusi keluarga adalah asas bagi membangunkan generasi. Ibu bapa sewajarnya mempunyai ilmu dan kemahiran asas bagaimana pendidikan harus berlaku pada masa kini. Ketrampilan komunikasi dan kaunseling, memahami pertumbuhan jiwa dan perkembangan tabiat adalah amat perlu.

Upaya kasih sayang dan belaian yang dimiliki ibu seharusnya menjadi pemangkin terhadap pembinaan diri anak. Pada tahap ini, rasa ingin tahu anak adalah tinggi, naluri ingin dihargai dan disantuni segar dan mencontohi sesuatu terhadap yang lebih dewasa amat subur.

Mendekati anak dengan rangsangan positif adalah perlu. Pendedahan anak dengan rangsangan media cetak dan elektronik serta pengaruh rakan sebaya harus diimbangi dengan keupayaan ibu bapa memberikan pendekatan alternatif yang dapat membentuk jalan berfikir serta sikap yang betul supaya pendewasaan berada dalam pimpinan dan bimbingan yang terarah.

Asas binaan anak di rumah adalah amat penting bagi mengelakkan kekontangan jiwa dan kelompangan emosi berlaku. Anak yang sudah terbina asas potensinya bakal menjadi cemerlang dan menyumbang terhadap sekolah. Kurikulum pengajaran dan pembelajaran dinamik harus dibekalkan kepada mereka secara bersepadu supaya setiap subjek diajarkan terkandung asas nilai yang jelas.

Metodologi pengajaran dan pembelajaran sewajarnya merangsang minat anak untuk belajar supaya pemahamannya meningkat, upaya berfikirnya berkembang dan daya penyerapan nilai menjadi kuat. Oleh itu, sukatan ilmu harus mampu meraikan yang cerdik, sederhana dan lemah.

Pengajaran sains umpamanya, tidak hanya mendidik mereka mengenai 'apa' tetapi harus didekati dengan persoalan 'mengapa'. Air yang diciptakan secara saintifiknya menemukan hidrogen dan oksigen.

Menimbulkan persoalan 'mengapa' membimbing anak mengenai hikmah di sebalik diciptakan air. Tanpa air, kehidupan tidak akan berlaku. Hikmah di sebalik kewujudan air menyebabkan kehidupan berlaku, pohon tumbuh menghasilkan buah, ikan dan haiwan membiak untuk rezeki manusia.

Ia membangkitkan kesedaran mempelajari sains, mengenai keadaan kejadian mendekatkan pelajar dengan Pencipta. Begitu juga pengajaran geografi yang dulu dikenal sebagai ilmu alam. Memahami maksud alam tidak saja memberi fokus kepada alam tofografik dan fizikal. Amat penting dikaji mengenai alam angkasa yang ada kaitan dengan bumi dan alam ghaib.

Mengkaji faktor ghaibiyyat seperti Allah berkait rapat dengan alam nyata dan alam benda. Adanya yang nyata kerana wujudnya yang ghaib. Tubuh badan tidak akan bergerak, otak tidak akan berfikir, hati tidak akan berasa jika faktor ghaib iaitu roh tiada di dalam diri seseorang. Menghidupkan jasad yang nyata berpunca daripada roh yang menghasilkan hayat. Jasad tidak akan memberi makna apa-apa jika roh tercabut daripadanya.

Mendidik pelajar mengenai alam ghaib iaitu Pencipta, berkait dengan alam nyata dan benda sebagai limpah rahmah dan nikmat daripada-Nya. Menginsafi bahawa benda di dunia ini sebagai amanah Penciptanya iaitu Allah, maka pengurusan benda berlaku dengan adil bagi mewujudkan kesejahteraan.

Hal sama apabila pelajar diajar mengenai sejarah. Al-Quran menyatakan, banyak kisah manusia terdahulu dan jatuh bangunnya sesuatu tamadun. Ia bermaksud memberikan teladan kepada manusia kini dan masa depan bahawa sifat sejarah dan peristiwa yang berlaku resamnya berulang.

Sirah Rasulullah SAW memberikan manusia sempadan yang sifatnya jahiliah dan batasan yang dilandasi akidah. Memahami batasan itu, manusia harus mampu hidup, maju dan bertamadun berasaskan sempadan ini.

Ilmu yang diambil daripada tradisi Barat dan Timur adalah sesuatu yang boleh memberi manfaat. Ilmu yang tumbuh daripada sikap berfikir terhadap tamadun Islam harus mampu menemukan ilmu berbanding yang berguna dan sistem nilai jelas secara dinamik supaya faktor rohaniah menampilkan nilai amanah, jujur, adil, telus dan tulus dapat berperanan secara berkesan dalam membangun peribadi unggul Islami.

Ia menuntut penyelarasan pendidikan secara bersepadu bagi mencetuskan keinsafan bahawa di mana pun kita berperanan dan apa sektor pun kita berada, amanah pendidikan dan penyuburan nilai murni menjadi sesuatu yang penting.

Membentuk kepemimpinan ummah mapan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

RASULULLAH SAW adalah pemimpin yang terbukti mampu menawarkan perubahan akidah dan perubahan sistem terhadap masyarakat zamannya. Landasan itu diperkukuhkan oleh sahabat, tabi'-tabii'n, ulama ilmuwan dan khalifah terkemudian hingga prinsip dan nilai Qurani mampu membangun tamadun.

Di Madinah Rasulullah SAW membina asas contoh makna persaudaraan sejagat dan asas masyarakat majmuk berlandaskan suatu piagam unik yang menjadikan Madinah landasan tamadun atau umran hadhara (Ibn Khaldun).

Umat terkemudian menghadapi cabaran merealisasikan Islam dengan segala kepayahan kerana rasa persaudaraan semakin tiris dan pemahaman terhadap masyarakat majmuk berada pada tahap amat rendah. Lalu terlihat faktor agama terpinggir dan faktor bangsa menjadi sesuatu yang dominan.

Hampir 700 tahun Barat membina tamadun kebendaan, ia memikat umat Islam dan setengahnya menjadi penciplak setia tanpa melihat keperluan manfaat berbanding. Ada di kalangan umat membeku dalam lingkungan tradisi dan hilang keupayaan untuk melakukan tajdid atau islah yang mampu merintis perubahan dalam kerangka Islami.

Barat dan metodologinya dilihat sebagai musuh ketat sehingga hilang daya saring yang tinggi untuk memanfaatkan faedah berbanding sifatnya menyumbang. Malah, wujud secara rakus melulu dalam menciplak Barat sehingga faktor jati diri tidak menjadi pertimbangan lagi.

Inilah krisis mendepani umat yang memerlukan kepemimpinan berkualiti, responsif dan kreatif pada segenap lapangan.

Wujud bukti yang jelas bagaimana puncak kepemimpinan Islam di Sepanyol, orang Kristian dan Yahudi berasa terlindung di bawah kepemimpinan Islam. Islam tidak hanya dilihat sebagai suatu agama, tetapi digarap hasilnya sebagai sumber tamadun.

Islam mendukung risalah alamiah yang tidak saja menjadikan Islam dan umatnya sejahtera, tetapi pada masa sama memberi erti mengenai kemanusiaan itu sendiri. Pemikiran dan tradisi keilmuan umat Islam menyumbang kepada kebangkitan Barat dan Eropah.

Tamadun Islam menawarkan mereka ilmu mengenai sains dan teknologi, matematik dan perubatan, geografi dan falsafah sehingga mereka menemui kebijaksanaan membangun zaman dan tamadun baru.

Sejak abad ke-13 hingga kini, umat Islam berada di persimpangan antara kejatuhan yang parah, memperlihatkan kemampuan untuk terus bangun dan pada masa sama kehilangan lonjakan untuk memperkasa diri.

Ia menyebabkan faktor globalisasi menemui keberaniannya melebarkan jaringan penjajahan bentuk baru yang amat meresahkan umat Islam di mana-mana. Wujud kebimbangan mengenai terpinggirnya umat di semua lapangan hingga mencetuskan polimik tajam dan krisis keyakinan di kalangan umat Islam sendiri.

Kepemimpinan umat Islam di Malaysia harus memperkukuhkan dimensi sebagai sebuah masyarakat yang majmuk, penampilan sebagai kepemimpinan teras harus ada. Kepemimpinan teras tidak saja mempunyai upaya membangun masyarakatnya, malah turut menjadi sumber teladan dan ikutan orang lain.

Mengolah corak kepemimpinan berasaskan kerangka kaum adalah sesuatu yang lazim pada tahap faktor persaingan menjadi sengit. Tetapi, gagasan membangunkan masyarakat teras yang menjadi pelindung kepada yang lain seharusnya dijadikan keutamaan.

Hal ini boleh berlaku jika makna amanah kepemimpinan, maksud keadilan dan akauntabiliti dapat dilihat dalam perspektif yang luas dan merangkumi. Kepemimpinan umat Islam yang menjadi teras kepemimpinan di Malaysia seharusnya mampu mencerminkan wibawa lebih jelas supaya syak wasangka dan konflik dapat dielakkan.

Dalam tradisi Islam, kepemimpinan adalah suatu amanah yang menuntut nilai Islami menjadi faktor dapat diterima. Jika kepemimpinan umat Islam terdiri daripada mereka yang mempunyai asas ilmu kukuh, daya profesionalisme tinggi dan upaya strategik yang merintis ke arah kebijaksanaan, ia mampu memikat perhatian orang lain.

Pada prinsipnya yang menjadi isu di kalangan rakyat ialah asas mengenai hak untuk hidup dan bekerja, hak untuk diberi khidmat saksama dan hak untuk bersuara dalam etika diizinkan.

Kepemimpinan sebagai agen perubahan mestilah dipilih di kalangan mereka yang terbaik. Ia tidak saja memiliki prasyarat kepemimpinan yang sifatnya mewakili, tetapi mempunyai tekad politik tinggi ke arah perubahan dan kemajuan mapan.

Arah tuju pembangunan dan kemajuan Malaysia perlu mengambil kira acuan sendiri yang tidak menolak faktor positif dan menyumbang daripada tamadun orang lain.

Kepemimpinan era globalisasi tidak menjadikan pendekatan tradisional sebagai sesuatu yang mutlak dan membelenggu. Asas tradisi harus dijadikan mata rantai untuk melahirkan lonjakan ke arah kemajuan dan perubahan.

Asas tradisi seharusnya dijadikan kekuatan meneroka jalan perubahan lebih dinamik supaya antara sifat zaman dinamik berubah dengan faktor tradisi yang dijadikan pedoman boleh melahirkan sinergi amat bermakna menemukan maqasid syariah dengan faktor maslahah.

Jika sinergi ini dapat dicetuskan, pendekatan ketamadunan akan dapat diolah secara bersepadu, mengambil kira faktor tradisi yang menawarkan prinsip, pedoman serta faktor perubahan yang merintis jalan tamadun dan peradaban.

Islam galakkan semangat toleransi, nilai sejagat

Bersama Prof Dr Sidek Baba

KEPEMIMPINAN dalam masyarakat pelbagai bangsa adalah satu amanah yang rumit. Kepelbagaian dalam agama, bangsa dan budaya memerlukan pendekatan bijaksana supaya kepemimpinan yang ditawarkan mendukung faktor menyatukan.

Keupayaan Rasulullah SAW melaksanakan Piagam Madinah dalam situasi masyarakat berbilang menjadi contoh terbaik bagaimana faktor teras mendasari corak kepemimpinan yang mampu mendukung kerjasama dan persefahaman.

Maksud faktor teras ialah bagaimana elemen agama atas tunjangan nilai membina landasan kerjasama yang tinggi ke arah cita-cita menyatupadu. Yang berbeza akan tetap berbeza, tetapi perbezaan yang ada didekati secara bijaksana. Cita-cita seperti amanah kepemimpinan, kebebasan menyatakan sudut pandangan, jaminan hak dan layanan, asas keadilan dan kesaksamaan sentiasa terpelihara.

Kepemimpinan di Malaysia memerlukan faktor teras dipertahankan. Faktor teras bermaksud bagaimana faktor sejarah, budaya, bahasa, agama dan kelainan dijadikan sandaran utama dalam membangun kepemimpinan berwibawa.

Berwibawa di sini bermaksud bagaimana Islam umpamanya mampu menawarkan nilai sejagat yang dapat dikongsi oleh semua. Nilai lain yang terpancar daripada tamadun yang mendukung nilai kemanusiaan tinggi harus disuburkan sama.

Berwibawa juga merujuk kepada pemimpin yang berilmu dan memiliki upaya profesionalisme tinggi, memiliki peribadi contoh yang memancarkan teladan baik, tidak hanya berfikir dalam lingkungan kaumnya semata, tetapi mempunyai kemampuan memperluaskan dimensi kemanusiaan tidak bercanggah dengan fitrah manusia.

Kepemimpinan di kalangan umat Islam sering berlegar di kalangan kaumnya dalam lingkungan setempat dan kurang upaya memancarkan nilai sejagat Islam dalam melaksanakan taklif atau amanah yang tercermin nilai keadilan serta kesaksamaan terhadap yang lain.

Kepemimpinan Islam yang diperlukan kini memberi fokus terhadap pemantapan nilai bersama yang tidak bercanggah dengan fitrah dan bagaimana asas nilai itu dibangunkan dalam sistem supaya penterjemahannya ke dalam sistem membawa asas keadilan serta kesaksamaan yang tinggi.

Upaya itu perlu melampaui batas kaum yang sempit, mengiktiraf wujudnya kepelbagaian dan memahami pentingnya tolak ansur serta kesabaran tinggi asal saja kemurnian nilai yang menyatupadu tidak tercemar.

Kepemimpinan Islam tidak saja mempunyai latar kefahaman terhadap idealisme yang sifatnya memandu, tetapi upaya melaksana yang tinggi supaya Islam tidak hanya terpancar dalam semangat serta kata-kata indah semata-mata, tetapi terlihat keindahannya dalam peribadi dan sistem.

Islam sebagai faktor menyatupadu perlu diungkapkan dalam pengertian wujudnya kepelbagaian dan kelainan dalam strategi binaan kaum serta bangsa supaya tidak lari daripada kepentingan untuk berkenal-kenalan.

Kesediaan mempelajari sesuatu yang positif daripada orang lain dan mengemukakan sesuatu yang positif daripada budaya sendiri penting supaya pengertian dan persefahaman pentingnya kepemimpinan berilmu dan berakhlak dijadikan rujukan teras untuk kejayaan proses kepemimpinan.

Umat Melayu yang kebetulan diberikan amanah kepemimpinan perlu menjadi pemimpin teras yang mempunyai wibawa ilmu dan kebijaksanaan yang perlu dikembangkan dan perubahan diraikan. Faktor ini penting difahami kerana daripadanya bakal lahir pendekatan kepemimpinan bersifat merentasi.

Kepemimpinan bukan Melayu perlu menerima asas yang boleh membawa kepada titik persefahaman tinggi bahawa faktor etika dan nilai dapat mengukuhkan kualiti amanah dan keadilan, mengurangi perbezaan dan menyuburkan persamaan, daya toleransi tinggi sebagai cara menyatupadu.

Malaysia memerlukan kepemimpinan yang mampu menjalin serta memperkukuh integrasi dan toleransi. Integrasi dipupuk dalam konteks nilai bersama yang boleh dikongsi dan nilai sejagat yang boleh diterima.

Toleransi bermakna perbezaan yang ada tidak dijadikan asas untuk berkonflik, tetapi persamaan yang banyak harus disuburkan secara sedar supaya kebaikan daripada nilai bersama yang dikongsi boleh menghilang perbezaan akibat kejahilan dan prasangka.

Oleh itu, kepemimpinan yang mempunyai kualiti menyatupadu amat dituntut supaya jenis pembangunan dan perubahan ingin dilakukan mengambil kira pertimbangan masyarakat yang berbilang dan dalam masa sama menyuburkan maksud amanah, keadilan, kesaksamaan dan toleransi dalam hal yang tidak menjejaskan nilai murni yang boleh membawa kebaikan kepada semua.

Pada prinsipnya memang Islam menganjurkan konsep berkenal-kenalan dengan bangsa serta tamadun lain. Sari pati budaya dan tradisi yang baik dan sesuai daripada orang lain harus dapat disesuaikan supaya menjadi elemen mengukuhkan lagi kesuburan tamadun.

Sejarah silam tamadun Islam terbukti berfaedah untuk Barat dan Timur. Betapa tradisi itu dapat dijadikan strategi menyatupadu supaya realiti yang pelbagai mampu didekati dengan bijaksana kerana matlamat akhir konteks bina negara ialah sikap saling menghargai dan melaksanakan sesuatu demi kebaikan semua.

Intipati

Keupayaan Rasulullah SAW melaksanakan Piagam Madinah dalam situasi masyarakat berbilang menjadi contoh terbaik bagaimana faktor teras mendasari corak kepemimpinan yang mampu mendukung kerjasama dan persefahaman.

Kepemimpinan di Malaysia memerlukan faktor teras dipertahankan. Faktor teras bermaksud bagaimana faktor sejarah, budaya, bahasa, agama dan kelainan dijadikan sandaran utama dalam membangun kepemimpinan berwibawa.

Pemimpin yang berilmu dan memiliki upaya profesionalisme tinggi, memiliki peribadi contoh yang memancarkan teladan baik, tidak hanya berfikir dalam lingkungan kaumnya semata, tetapi mempunyai kemampuan memperluaskan dimensi ke-manusiaan tidak bercanggah dengan fitrah manusia.

Kepemimpinan Islam tidak saja mempunyai latar kefahaman terhadap idealisme yang sifatnya memandu, tetapi upaya melaksana yang tinggi supaya Islam tidak hanya terpancar dalam semangat serta kata-kata indah semata-mata, tetapi terlihat keindahannya dalam peribadi dan sistem.

Muhajirin, Ansar model persaudaraan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

Semangat Piagam Madinah harus jadi landasan bangunkan masyarakat majmuk

RASULULLAH SAW dalam asas pembinaan Madinah berjaya membentuk masyarakat berbilang agama sebagai landasan persefahaman yang unik. Kaum Muhajirin dan Ansar diikat persaudaraan mereka dengan talian akidah yang sama.

Orang Yahudi, Nasrani dan Majusi dikaitkan hubungannya dengan orang Islam berasaskan suatu Sahifah atau piagam yang sepakat bersama. Dari situ Madinah berkembang menjadi sebuah kota yang akhirnya menjadi model bagi sebuah tamadun.

Meneliti perkembangan pemerintahan Islam di Andalusia pada zaman puncaknya, kaum Yahudi dan Nasrani hidup dalam keadaan aman bersama dengan masyarakat Islam. Pada zaman ini, ilmu pengetahuan amat berkembang dan orang Barat mengunjungi Andalusia bagi mendalami ilmu pengetahuan orang Islam dan akhirnya ilmu Islam dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi, falsafah dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Ibrani serta menjadi pencetus kepada dunia baru dalam sejarah sains dan teknologi di Barat.

Asas di atas memperjelaskan kepada kita, Barat terhutang ilmu kepada Islam. Konsep rahmah alamiah dalam perkongsian ilmu pengetahuan adalah sesuatu yang unik menghubungkan dunia Islam, Barat dan Timur yang banyak membawa kebaikan kepada umat manusia sehingga hari ini.

Semangat Sahifah Madinah ini seharusnya menjadi landasan membangunkan masyarakat majmuk. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk boleh mengambil landasan ini sebagai asas membentuk negaranya. Yang berbeza hanya akidah dan kepercayaan terhadap Tuhan. Etika perbezaan harus di pupuk dan difahami dan asas persamaan berdasarkan nilai fitrah dan bersama dikongsi harus disuburkan supaya hubungan sosial dan komunikasi antara kaum berdiri atas asas amanah, adil, saksama, timbang rasa, tulus dan telus.

Asas nilai ini amat penting menjadi pedoman setiap warga Malaysia kerana daripadanya lahir keyakinan dan kepercayaan tinggi di kalangan warganya dan menjadi asas ke arah integrasi kaum. Orientasi pembangunan dan pengurusan negara akan berlaku secara seimbang supaya wujud penyertaan adil ke arah bina negara terarah yang akhirnya bakal melahirkan rasa sejahtera di kalangan setiap warganya.

Piagam Madinah cukup jelas mengenai hubungan dan hak orang Muhajirin dan Ansar dan hubungan serta hak orang yang bukan Islam. Golongan Muhajirin dan Ansar menjadi kelompok teras mencerminkan rasa persaudaraan tinggi dan teladan yang memperlihatkan contoh ikutan.

Rasulullah boleh diterima oleh semua sebagai pemimpin dipercayai, menjadi melindungi kepentingan dan kebebasan orang bukan Islam. Asas ini penting dikembangkan kerana walaupun Nabi Muhammad SAW seorang Islam, tetapi kualiti dirinya memancarkan rasa amanah yang tinggi, keadilan jelas, daya kepemimpinan telus dan pengendalian pengurusan amanah.

Kualiti nilai ini tidak saja penting bagi orang Islam tetapi juga bermanfaat bagi bukan Islam. Yang diutamakan orang bukan Islam ialah pemimpin adil, amanah, jujur dan ikhlas. Inilah inti sari risalah al-Quran yang serasi dengan fitrah manusia. Nilai Qurani menganjurkan kemakrufan iaitu amalan baik dan menolak kemungkaran atau nilai buruk.

Pancaran nilai Qurani tidak hanya terlihat dalam kekuatan rohaniah insan tetapi ia terpancar dalam amal, program memajukan dan merubah masyarakat, memperkasa ilmu pengetahuan, tolak ansur terhadap nilai budaya dan tamadun berbeza dan dalam masa yang sama memanfaatkan nilai budaya yang menyumbang ke arah kebaikan dan pembangunan masyarakat.

Masyarakat Malaysia yang kompleks memerlukan ramuan yang dapat membimbing warganya ke arah persefahaman tinggi dan pengertian mendalam bahawa perbalahan disebabkan adanya perbezaan kepercayaan boleh menyebabkan ketidakstabilan berlaku. Tetapi asas kepercayaan yang memancarkan nilai dan etika baik seharusnya berkembang dan dijadikan sandaran untuk disuburkan. Nilai kasih sayang dan saling hormat antara satu sama lain adalah kualiti komunikasi yang amat penting dalam berjiran dan berjual beli.

Sekiranya jiran seorang Islam dan bukan Islam nilai saling hormat menyebabkan hak jiran terjaga dan menghasilkan rasa percaya yang tinggi dan menyebabkan rasa menghargai wujud. Sekiranya penjual durian itu adalah orang Islam yang tahu makna amanah dan jujur berasaskan nilai agamanya, pembeli bukan Islam tidak akan tertipu kerana orang Islam menghubungkan keuntungan jual beli sebagai sesuatu yang halal dan berkat. Lalu penipuan harga dan curi timbang tidak akan berlaku.

Apa lagi dalam pengurusan negara, orang Islam yang diamanahkan menjadi teras kepemimpinan negara akan sentiasa ingat bahawa menzalimi dan menafikan hak orang lain adalah sesuatu yang tidak selari dengan ajaran al-Quran. Menjadikan kepemimpinan Islam sebagai suatu contoh adalah menjadi suatu tuntutan supaya maksud rahmah alamiah yang menjadi tujuan utama Rasulullah dihantar dan al-Quran diturunkan bakal memberikan rasa selamat dan sejahtera bagi setiap warganya.

Ia bakal mencetuskan rasa percaya yang tinggi dan Islam tidak dilihat sebagai agama yang mendalamkan lagi rasa perkauman yang tinggi tetapi sebagai sumber amanah, adil, telus dan tulus.

Ketuanan Melayu perlu pendekatan baru

Bersama Prof Dr. Sidek Baba

ISU ketuanan umat Melayu adalah sesuatu yang amat unik bagi Malaysia. Tiga tempoh dalam hampir setiap tiga dekad sejarah Malaysia memperlihatkan isu ketuanan Melayu berada dalam pertikaian.

Pada 1946, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, isu Malayan Union berbangkit. Ia mencetuskan kebangkitan umat Melayu terhadap penjajah Inggeris. Pada 1969, tercetusnya peristiwa 13 Mei, yang menyebabkan terhasilnya Dasar Ekonomi Baru bertujuan memperkasa ekonomi dan pendidikan orang Melayu.

Pada 2008 keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 memperlihatkan kegoncangan kuasa politik kaum Melayu dan lahir Pakatan Rakyat yang cuba memberikan alternatif terhadap politik orang Melayu dan bukan Melayu.

Sejak 50 tahun Malaysia merdeka, banyak perubahan berlaku terhadap dasar pendidikan, bahasa, ekonomi, budaya, malah pendekatan beragama di kalangan orang Melayu. Walaupun perlembagaan negara memperuntukkan kedaulatan raja dan sultan, hak istimewa orang Melayu, tanah simpanan Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan.

Tetapi, faktor perubahan akibat globalisasi memberi kesan besar terhadap integriti umat Melayu membabitkan cara berfikir, gaya hidup dan pengaruh budaya popular yang amat menjejas mentaliti generasi muda.

Harus ada tinjauan menyeluruh mengenai faktor umat Melayu sebagai faktor teras yang memayungi Melayu dan juga bukan Melayu. Sebagai faktor teras ada asas penting membolehkan faktor pemayung untuk berkongsi asas kemajuan dan pembangunan berasaskan prinsip keadilan, amanah, timbang rasa dan juga kemanusiaan supaya asas kestabilan dan keamanan terus wujud dalam negara.

Kewujudan Baba Peranakan dan India Peranakan pada suatu ketika di Negeri Selat terutama di Melaka membayangkan bagaimana proses adaptasi atas penyesuaian budaya berlaku dengan baik terhadap budaya masyarakat teras.

Sejak merdeka, walaupun umat Melayu dibantu dalam banyak lapangan, dari satu segi ia melahirkan kumpulan menengah Melayu yang agak besar dan pada masa sama mencetuskan mentaliti bergantung yang boleh menghambat daya saing orang Melayu menghadapi cabaran masa kini dan masa depan.

Tidak kurang juga pendekatan membangunkan kaum Melayu didekati secara kroni dan salah guna kuasa yang menyebabkan orang Melayu dan bukan Melayu berasa agak kritikal kepada pelaksanaan yang berjalan.

Cabaran yang ada lebih banyak menuntut keupayaan ilmu, ketrampilan dan modal insan yang tidak saja mempunyai kekuatan pemikiran Islam berorientasikan tamadun, tetapi pada masa sama mempunyai ilmu berbanding sumber tamadun yang maju.

Globalisasi yang datang kepada umat Melayu memberikan cabaran sengit. Faktor tradisi dan agama yang menjadi dukungan umat Melayu dalam kehidupan serta pentadbiran didepani budaya langit terbuka yang banyak memberi kesan terhadap pemikiran orang Melayu.

Setengah orang Melayu masih berpaut dengan fahaman sekular yang tebal. Setengahnya pula memberikan interpretasi yang liberal terhadap agama sehingga dasar media, budaya popular dan seni diberikan interpretasi Barat yang merugikan generasi muda.

Orientasi pendidikan sifatnya lebih mekanistik yang mendukung teknologi tinggi, tetapi tidak melihat peranan 'sentuhan tinggi' sebagai asas hubungan keinsanan yang penting dalam proses pembangunan tamadun.

Ramai orang Melayu yang berjaya lupa kepada amanah membangunkan bangsanya, terlalu sombong dengan jawatan dan kedudukan sehingga lupa bahawa ramai di kalangan generasi terdidik Melayu melihat gelagat mereka dengan rasa kesal.

Malah, faktor yang menjadi asas ketuanan tidak lagi dilihat sebagai amanah untuk dipertahankan. Meremehkan kedudukan Bahasa Melayu dalam subjek Matematik dan Sains adalah satu daripada contoh penghakisan ketuanan Melayu.

Dalam tradisi Islam, memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama, memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia, mempelajari bahasa Cina sebagai bahasa penting pada masa depan tidaklah salah.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu harus dipelihara ditingkatkan penguasaan dan penggunaannya di semua lapangan. Oleh kerana krisis identiti melanda orang Melayu sehingga pemimpin Melayu berasa rendah diri untuk bercakap bahasa ibundanya kerana ia dilihat sebagai gambaran tidak maju dan global.

Hal yang sama berkaitan dengan pendidikan yang menuntut integrasi ilmu berjalan supaya asas agama dan nilai murni mendasari sistem. Kita memerlukan modal insan menyeluruh supaya nilai murni yang mendasari ilmu memungkinkan pengurusan negara berjalan dengan adil dan saksama.

Perancang kebudayaan seni dan hiburan yang terpancar dalam media cetak dan elektronik seharusnya memiliki kepekaan bahawa umat Melayu sebagai asas ketuanan Malaysia memerlukan pendekatan baru yang kreatif dalam pemaparan karya seni serta hiburan supaya seni tinggi di kalangan orang Melayu dan peradaban lain dapat ditampilkan, memberi nilai adab terhadap pembangunan budaya sihat.

Umat Melayu dan agenda pemerkasaan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

KRISIS dan konflik adalah lumrah bagi sesuatu umat yang sentiasa bergerak ke arah maju dan berwibawa. Krisis dan konflik menjadikan umat sedar bahawa cabaran dalam kepemimpinan dan orang yang dipimpin adalah sesuatu yang tidak boleh diremehkan.

Dalam konteks umat Melayu, krisis dan konflik boleh membawa kepada natijah positif dan negatif. Ia menuntut kebijaksanaan tinggi untuk mengenal pasti punca konflik kemudian strategi merawatnya dengan berkesan.

Umat Melayu di Malaysia hari ini menuntut wujud faktor penyatuan dalam pembangunan politik, ekonomi, pendidikan, agama dan pembudayaan. Tanpa kekuatan teras, proses peminggiran boleh berlaku.

Arus globalisasi yang sedang menunda boleh menyebabkan daya saing umat beransur-ansur hilang dan akibatnya umat Melayu akan mengalami kecairan dan ketirisan dalam semua lapangan.

Isu kepemimpinan adalah isu pokok dalam proses memperkasa umat Melayu. Ia berkaitan dengan amanah tinggi tidak saja dalam pendekatan dasar tetapi juga menuntut ketelusan serta kebijaksanaan dalam strategi pelaksanaan.

Pada masa lalu wujud dasar yang baik untuk memperkukuh umat Melayu dalam semua bidang, tetapi di tahap pelaksanaan wujud ketirisan akibat kepimpinan pada semua peringkat alpa mengenai amanah kepimpinan dan menyebabkan tahap pengikut menjadi longgar.

Hal sama berlaku dalam proses memperkasa pembabitan ekonomi yang menuntut tidak saja ilmu urus niaga dan muamalah yang baik tetapi dalam masa sama suntikan jiwa mandiri perlu diperkukuh. Mentaliti subsidi bukanlah jawapan terbaik untuk menghasilkan daya saing akibat ekonomi terbuka.

Menjadikan jihad ekonomi sebagai suatu lonjakan adalah perlu. Johor Coporation umpamanya adalah suatu contoh keupayaan kepemimpinan ekonomi umat Melayu yang patut dijadikan model bagaimana disiplin kepemimpinan dan landasan pengurusan berasaskan Islam mampu menempatkan diri antara kepemimpinan korporat disegani di Malaysia.

Begitu juga mobiliti umat Melayu dalam dunia pendidikan adalah sesuatu yang utama. Reformasi pendidikan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat membangun insan yang harmonis serta seimbang menuntut upaya pelaksanaan kreatif dan strategik.

Sifat ilmu yang berkembang dan strategik, pendidikan dunia cepat berubah jangan sampai menyebabkan kita melenyapkan asas seperti kepentingan pendidikan menggunakan bahasa Melayu, pendidikan secara bersepadu supaya pendidikan nilai dan agama mampu mengangkat pemikiran generasi muda ke arah tamadun tinggi.

Orientasi pendidikan ke arah peperiksaan harus diubah kerana keperluan kepemimpinan dan umat Melayu yang dipimpin hari ini serta masa depan tidak saja dalam batasan teknologi tinggi tetapi kepentingan ketrampilan keinsanan adalah sesuatu yang amat dituntut.

Membangun sistem pendidikan secara mekanistik dan robotik boleh menyebabkan generasi muda hilang sentuhan keinsanannya dan terdedah dengan proses pembudayaan Barat popular menyebabkan kecairan dan ketirisan jati diri umat Melayunya.

Memperkasa bahasa asing yang memiliki faedah berbanding tinggi seperti bahasa Inggeris dan Mandarin tidaklah menjadi suatu kesalahan. Ia boleh menjadi alat untuk menimba ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan melengkapkan umat Melayu dalam memperkasa dirinya tanpa meremehkan kepentingan bahasa ibunda.

Lebih-lebih lagi memberikan fokus memimpin dan memberi pedoman terbaik di kalangan generasi muda dalam aspek pembudayaan, hiburan dan permainan mestilah mampu meningkatkan disiplin minda yang tinggi, ketahanan rohaniah dan kreativiti semasa yang tidak melanggar susila umat Melayu sebagai umat teras.

Selama ini banyak kegiatan sia-sia berlaku menyebabkan kecairan dan ketirisan peribadi berlaku di kalangan generasi muda akibat proses pembudayaan liberal yang popular hingga tradisi ilmu dan pembelajaran yang terbina di rumah dan dalam sistem pendidikan menjadi sanggahan oleh peranan media cetak dan elektronik tidak peka kepentingan jati diri Melayu dipertahan.

Malah, ilmu dan pendidikan Islam harus dirombak pendekatannya. Pendekatan dakwah di Malaysia harus melalui fasa yang mempertingkat tasawur Islami pemeluknya. Harus wujud pendekatan islah dan tajdid dalam memahami agama dan tuntutan sezaman.

Dinamik Islam harus dikembangkan untuk memperkasa tamadun. Memperkasa asas fardu ain tanpa mengembangkan pemahaman bijak dalam aplikasi fardu kifayah boleh menyebabkan cabaran sebenar tidak dijadikan fokus.

Cabaran sebenar umat Melayu kini ialah keupayaan menguasai dan menterjemah maksud nilai Islami dan Qurani dalam sistem. Oleh itu proses integrasi ilmu di semua peringkat harus menjadi agenda utama memperkasa umat.

Daripadanya bakal lahir profesional dan saintis yang hafiz dan faham asas ilmu usuludin, syariah, fiqh di samping memperteguhkan penguasaan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai disiplin.

Ia boleh dilakukan dengan tekad tinggi bahawa biasan terhadap kekuatan tamadun Islam adalah suatu tuntutan di samping keterbukaan ilmuwan Islam untuk menyaring, menilai dan melakukan adaptasi terhadap sumber luar yang mampu memberi manfaat untuk memperkasa umat Melayu.

Pendekatan jihad perkasa modal insan Melayu

Bersama Prof Dr Sidek Baba

KESAN peristiwa 13 Mei antara lain membangkitkan orang Melayu daripada alpa dan lalai terhadap pentingnya ikut serta dalam pembangunan negara secara aktif dan terancang. Kesan daripada pilihan raya umum ke-12, menyedarkan mereka mengenai pentingnya faktor bersatu dalam politik.

Natijahnya, mengajak orang Melayu sentiasa berwaspada mengenai pentingnya kualiti kepemimpinan dengan memperkasakan ilmu dan ketrampilan. Perubahan boleh berlaku dalam diri orang Melayu sendiri dan ia boleh berlaku hasil pengaruh luar sehingga memberi kesan kepada ketahanan dalam jangka panjang.

Pola diterima sekian lama dalam kepemimpinan orang Melayu ialah sebagai teras dan memberikan perlindungan terhadap orang bukan Melayu dan menyebabkan mereka berasa selesa dengan kepemimpinan yang adil dan amanah.

Maksud adil dan amanah harus dilihat dalam konteksnya. Di Malaysia, orang Melayu masih ramai dibelenggu faktor kemiskinan dan ketinggalan dalam perniagaan. Orang Melayu sebahagiannya belum mengalami proses perubahan mental dan fizikal yang mantap.

Hasilnya kesediaan untuk bersaing dan berlumba serta menghadapi cabaran baru agak terkebelakang. Oleh itu, harus ada perancangan strategik yang bijaksana supaya generasi muda dapat dibangunkan secara agresif dengan keupayaan memperkasa jiwa dan memiliki tekad serta azam untuk turut sama dalam arus perubahan adalah cemerlang.

Pembangunan modal insan adalah jawapan terbaik bagaimana mobiliti ilmu dan pendidikan dalam pelbagai jurusan diutuhkan supaya generasi muda dapat dibekalkan dengan pendedahan yang wajar serta memberikan lonjakan serta berdaya saing.

Di kalangan generasi muda ramai yang pintar dan cerdik. Selalunya anak ini mempunyai peluang terbuka untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai kepakaran. Anak daripada kelompok ini harus dijadikan fokus supaya bakat dan kecerdikannya disuburkan dan dapat menyumbang untuk kemajuan negara.

Melayu masih lemah dalam bidang perniagaan. Pendekatan jihad dalam bidang itu harus ditanam sejak awal supaya penyertaan keusahawanan dapat diseimbangkan. Kalau sekadar mempelajari teori dan mendapat ijazah dalam bidang berkaitan, belum memadai.

Keupayaan menjadikan asas ilmu dan kemahiran sebagai modal, ia harus berkembang dan bertekad untuk maju sehingga pada peringkat global.

Keupayaan yang terancang dan bijaksana, bakal memberi kesan terhadap perubahan ekuiti atau pegangan orang Melayu dalam ekonomi negara. Satu aspek negatif bagaimana sebahagian generasi muda memberikan tumpuan ialah budaya dari Barat.

Kesannya generasi muda semakin hilang daripada arus perdana untuk memperkasa diri. Yang pastinya keruntuhan cara berfikir dan kerosakan peribadi boleh memberikan kesan terhadap corak kepemimpinan pada masa depan.

Amat penting modal insan di kalangan generasi muda dijaga dengan baik dan disuburkan dengan pembinaan watak yang seimbang. Mereka adalah generasi penerus yang bakal mewarisi kepemimpinan bakal mencerminkan kesinambungan baik dan saling mengukuh sifatnya.

Nilai kerohanian suburkan integrasi

Bersama Prof Dr Sidek Baba


NILAI KEHIDUPAN: Semangat perpaduan dan hubungan baik antara kaum dan agama hendaklah dipertahankan. - Gambar hiasan


Perbezaan fahaman harus ada etika supaya ia tidak berakhir dengan konflik
ISU perpaduan antara kaum dan bangsa adalah isu yang lahir sejak terciptanya manusia. Al-Quran memberikan asas (surah al Hujurat: 13) fitrah jadinya manusia adalah pelbagai. Faktor kepelbagaian ini amat unik dalam tradisi Islam kerana sifat umat Islam itu adalah alamiah. Alamiahnya Islam, ia tidak saja dianut bangsa Arab saja tetapi juga bangsa lain di seluruh dunia. Asas kesatuan bagi umat Islam ialah aqidah tauhidnya.

Kesatuan tidak saja boleh wujud dalam lingkungan suatu agama tetapi pemahaman yang baik mengenai pancaran tamadun yang berasaskan agama membolehkan asas pemahaman nilai bersama dan nilai yang berbeza berlaku. Malah dalam tradisi Islam yang pelbagai, wujud juga perbezaan yang ketara dan kadang-kadang membangkitkan polemik dan perpecahan.

Al-Quran umpamanya terkandung nilai dan prinsip yang menjadi sumber ikutan dan jalan hidup pemeluknya. Dinamiknya Islam ialah membolehkan kelainan dalam budaya berkembang asal saja yang tidak menyalahi faktor prinsip iaitu akidah dan syarak. Umpamanya tradisi pantun, pepatah, petitih, ungkapan dan perumpamaan banyak yang membawa nilai yang selari dengan nilai Islam itu sendiri. Genre atau jenis tradisi ini banyak memancarkan nasihat kepada manusia supaya berbudi tinggi, cintakan ilmu dan membangun hubungan keinsanan secara kasih sayang.

Al-Quran secara jelas memberikan asas La iqra haafiddeen atau tiadanya paksaan dalam agama yang memberikan asas bahawa Islam itu selamanya agama dakwah yang membawa mesej ajakan, seruan dan nasihat. Dalam ayat lain al-Quran juga memberi pedoman mengenai Lakum deenukum walyadeen yang membawa maksud "Kamu agamamu dan kami adalah agama kami". Ia memberi asas mengenai sempadan perbezaan dalam anutan.

Namun begitu ada asas nilai yang fitrah pada setiap tamadun yang terpancar dari nilai keagamaan yang amat diperlukan oleh manusia. Walaupun wujud perbezaan dari sudut asas kepercayaan tetapi keperluan asasi kehidupan yang baik sentiasa menjadi asas nilai bagi manusia dan kemanusiaan.

Nilai jujur, adil, amanah, timbang rasa, persefahaman umpamanya adalah nilai fitrah yang wujud dalam setiap diri manusia yang ingin kebaikan dan hubungan keinsanan berjalan dengan elok. Umpamanya asas kejujuran dalam berkata-kata adalah asas sejagat bagi manusia. Sekiranya manusia berbohong dan dusta dalam percakapan dan tulisan, ia akan memberi kesan tidak baik terhadap hubungan sesama manusia.

Hal yang sama juga terhadap nilai adil yang sangat penting bagi setiap manusia perlu disuburkan dalam percakapan, layanan, membuat keputusan supaya asas nilai ini dapat menyuburkan rasa percaya yang tinggi sesama manusia. Kalau berlaku sebaliknya, manusia akan berdendam dan mudah tercetusnya konflik. Kekacauan yang wujud selama ini sesama seagama, sesama yang berlainan agama atau sesama manusia adalah akibat ketidakadilan yang berlaku.

Oleh itu pancaran tamadun yang dianut oleh banyak bangsa di dunia perlu memberikan fokus mengenai pentingnya nilai yang bersifat spiritual atau rohaniah disuburkan supaya kualiti kemanusiaan dapat diperkasakan. Kualiti kemanusiaan menjadi semakin tiris dan cair akibat manusia menjadikan faktor lain sebagai sumber yang memandu kehidupan. Kecenderungan yang berlebihan terhadap fahaman kebendaan, individualistik dan fahaman hedonistik (berpoya-poya) umpamanya tidak meletakkan nilai yang fitrah sebagai sandaran. Ia sedang berlaku di kalangan sebahagian penganut semua agama di dunia. Sekiranya nilai fitrah tidak dimurnikan dalam anutan agama ia boleh menimbulkan konflik agama kerana sesetengah penganut berlindung di sebalik tirai agama sebagai asas mempertajamkan lagi hubungan kemanusiaan.

Negara kita umpamanya memiliki penganut agama dari pelbagai tamadun. Sekiranya pancaran nilai tamadun yang mendukung kebaikan sesama manusia disuburkan ia bakal meningkatkan rasa toleransi warganya dan dalam masa yang sama jalan hubungan keinsanan tidak tertutup. Yang berbeza biarlah ia berbeza. Tetapi perbezaan juga harus mempunyai etika supaya ia tidak berakhir dengan konflik.

Hubungan keinsanan dan kemanusiaan masih banyak yang boleh dipelajari dan boleh menjadi sumber pengukuhan negara Malaysia. Mempelajari kekuatan tamadun Cina umpamanya memberikan umat Melayu atau India faedah berbanding yang tinggi terutamanya dalam bidang ilmu dan kemahiran. Perbezaan kaum dan tamadun tidak harus dijadikan asas kita berkonflik dan berselisih dan menimbulkan rasa curiga yang tinggi.

Namun begitu sikap kesalingan perlu ada dalam memahami keunggulan tamadun sesuatu bangsa atau penganut. Umat Melayu umpamanya didukung pemikiran, budaya dan cara hidupnya dengan nilai Islam yang murni. Sekiranya umat Melayu mengamalkan daya kepemimpinan yang sifatnya melindungi dan memayungi, berlaku adil dan jujur terhadap yang lain tidak ada sebab umat lain merasa janggal untuk patuh kepada kepimpinan yang baik.

Hal yang sama boleh berlaku terhadap orang Cina yang mengusahakan makanan halal orang Islam, sekiranya asas kejujuran, keadilan dan amanah dijadikan sandaran dalam melakukan kegiatan keusahawanan dan bisnesnya ia mampu mencetuskan rasa percaya yang tinggi sesama kaum dan menyumbang ke arah perpaduan negara. Asas-asas seperti ini harus disuburkan supaya integrasi sebenar tidak saja terlihat pada faktor zahiri tetapi terpancar dari faktor batini yang banyak mempengaruhi gelagat manusia.

Penyerapan unsur budaya, integrasi dalam kehidupan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

ASIMILASI adalah proses bagaimana penyerapan unsur budaya dan kehidupan daripada budaya yang berpengaruh terhadap budaya sukuan. Pengalaman pembudayaan Baba Peranakan di Melaka umpamanya adalah contoh proses penyerapan budaya Melayu terhadap orang mendatang.

Kesannya proses asimilasi mencetuskan rasa kasih sayang yang tinggi. Integrasi adalah proses menemukan nilai budaya yang serasi dan memiliki kepentingan bersama untuk diamalkan.

Nilai murni dalam sistem pendidikan kita sifatnya merentasi dan perlu bagi setiap manusia tidak kira apa latar belakang bangsa dan agamanya. Nilai bersih, bijaksana dan rajin adalah nilai murni yang amat diperlukan dalam hidup.

Apabila nilai itu disepadukan dalam kurikulum pendidikan, ia memberi faedah kepada pengamalnya. Dalam tradisi Islam, pendekatan asimilasi berlaku apabila ajaran Islam yang dominan memberikan corak akidah, pemikiran, resam budaya dan cara hidup penganutnya.

Walaupun Islam menganjurkan kreativiti berasaskan keperluan semasa dan setempat, asas akidah dan syarak tidak harus bercanggah. Sumber ajaran daripada al-Quran memberikan asas prinsip untuk dijadikan pedoman dan panduan.

Kaedah fikah memberikan pedoman bagaimana masalah baru berbangkit dapat didekati secara maslahah. Ia memberikan dinamik antara prinsip, realiti, antara masalah dan kemaslahatan.

Proses integrasi juga berlaku dalam tradisi dan tamadun Islam. Tamadun Islam amat terbuka terhadap faedah berbanding tamadun lain yang memberi manfaat. Konsep memberi manfaat kepada manusia sentiasa menjadi panduan dalam melakukan integrasi supaya ia menghasilkan sesuatu yang boleh dikongsi dan tidak bercanggah dengan Islam.

Mekanisme pengurusan kewangan Islam secara moden umpamanya disepadukan dengan faktor syariah yang mendasari pengurusan dan keputusan dalam urus niaga. Pengurusan kewangan Islam tidak boleh berjalan atas asas riba.

Hal sama juga berlaku dalam menghubungkan kepentingan teknologi tinggi bagi membantu perkembangan produk halal. Bioteknologi umpamanya apabila disepadukan dalam pendekatan menentukan halal haram makanan dan ubat-ubatan amat membantu umat Islam. Teknologi tinggi itu memberi manfaat kepada kualiti kepenggunaan bagi menentukan halal dan kebersihan sesuatu barang.

Proses asimilasi dan integrasi dalam Islam tidak menolak kepentingan budaya sesuatu bangsa berkembang. Orang Melayu menggunakan baju Melayu atau baju kurung, dalam masa sama, orang lelaki bersongkok dan perempuan bertudung. Faktor baju Melayu dan baju kurungnya ialah faktor budaya dan berpakaian secara menutup aurat adalah ajaran Islam.

Orang Cina Islam menggunakan sepit apabila makan. Jenis makanan dan budaya turun-temurunnya adalah sedemikian. Tetapi mereka memakan benda halal dari sudut syarak. Menggunakan sepit adalah budaya dan memakan benda halal sesuatu yang dituntut agama.

Perkembangan berbahasa orang Melayu umpamanya mengalami proses asimilasi dan integrasi sekali gus. Istilah azan dan solat umpamanya mengalami proses asimilasi terhadap panggilan 'bang' dan 'sembahyang'.

Malah, ada ribuan istilah al-Quran dan bahasa Arab yang diasimilasikan ke bahasa Melayu. Perkataan amanah, nasihat, berkat, adil, khurafat, dakwah, hukum umpamanya diasimilasikan ke dalam penggunaan bahasa Melayu supaya ia membawa makna yang tepat dan maksud dikehendaki serta selari dengan syarak.

Genre atau jenis puisi seperti pantun adalah satu-satunya yang asli milik orang Melayu. Kebijaksanaan ulama-seniman-karyawan pada masa lalu mengintegrasikan nilai Islami dengan genre puisi memberikan kesan besar terhadap pemikiran orang Melayu.

Pantun, Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga, membawa mesej budi serta amalan yang tinggi nilainya di sisi budaya manusia dan anjuran agama.

Ia selari hadis Rasulullah SAW yang membawa maksud: "Apabila mati anak Adam, tiga perkara terus terhubung antara yang pergi dan tinggal, iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh."

Faktor globalisasi dalam memberi makna terhadap budaya popular tidak lagi bersifat menyerap dan bersepadu. Ia ibarat pisau tajam yang menusuk diri manusia, menimbulkan kecelaruan dalam memahami budaya yang bermanfaat.

Budaya popular Barat yang menjadi tarikan generasi muda kini adalah pancaran daripada satu masyarakat resah jiwanya dan gundah perasaannya terlihat dalam kreativiti seni yang kacau dan tidak memberi pedoman kepada kehidupan murni. Ia tidak memancarkan gelora jiwa tidak keruan dan akhirnya tidak memancarkan seni tinggi yang mendukung adab serta akhlak insan.

Perkongsian nilai murni pererat hubungan kaum

Bersama Prof Dr Sidek Baba

MASYARAKAT majmuk adalah fitrah dalam kehidupan manusia. Ia terungkap dalam surah al-Hujurat yang menyatakan bahawa pelbagai kaum di dunia memimpin ke arah proses untuk mereka berkenal-kenalan.

Berkenalan membawa maksud yang luas termasuk menyuburkan faktor perbandingan yang memberi manfaat. Ada aspek budaya dan tamadun bangsa yang berbeza menyumbang kepada asas maju dan sifatnya mendukung perubahan.

Pada diri setiap manusia yang diciptakan ada asas fitrah yang sifatnya sejagat. Meskipun ada kelainan dalam sistem kepercayaan, resam budaya dan cara hidup tetapi ada asas perlu dikongsi supaya lahir jalinan kemanusiaan tinggi yang membolehkan kehidupan berlaku dan wujud rasa perkongsian terhadap rasa bersama.

Umat Melayu yang terbina dengan fahaman Islam umpamanya diajar bersikap adil dan amanah. Faktor adil dan amanah adalah faktor sejagat. Sebuah negara Islam, amanah dan keadilan tidak saja berlaku terhadap orang Islam tetapi dituntut berlaku terhadap bukan Islam yang taat kepada negara.

Hakikatnya, mengamalkan ajaran Islam dengan baik menjadikan umat Melayu memiliki kualiti diri yang baik dan menjadi sumber contoh terhadap yang lain. Apabila faktor bangsa menjadi lebih berkuasa, ia mudah mewujudkan persaingan dan konflik.

Tetapi apabila faktor nilai dijadikan pedoman, nilai al-Quran memberikan penganutnya asas jujur, ikhlas dan baik hati. Sebuah negara umat Islam, kepimpinan berasaskan nilai itu sifatnya menaungi bukannya menimbulkan prasangka dan pecah-belah.

Kepelbagaian berasaskan kesuburan nilai sejagat yang membolehkan jalinan komunikasi dan kerjasama berlaku seharusnya menjadi dasar pembentukan negara bangsa supaya integrasi lebih bermakna dapat disuburkan.

Nilai tolak ansur dan timbang rasa umpamanya adalah nilai unggul yang memberi jalan terbaik terhadap kelainan dan perbezaan akibat wujudnya masyarakat majmuk.

Di kalangan ahli perniagaan bukan Melayu yang berjaya umpamanya berasakan penting berkongsi pengalaman dan kaedah terbaik dalam urus niaga dengan peniaga Melayu atas kesedaran bahawa meminggirkan orang Islam boleh menyebabkan wujud ketidakseimbangan penguasaan ekonomi.

Sekiranya hal ini berlarutan, rasa terpinggir boleh menyemai sifat dengki dan dendam. Orang Melayu harus bersedia untuk belajar daripada mereka yang berjaya dan cemerlang, barulah asas kejayaan diraih berasaskan kesungguhan bekerja serta kesabaran menghadapi kerenah.

Melihat gelagat sesetengah orang Cina dalam perniagaan umpamanya tidaklah menggambarkan nilai murni dalam ajaran Kongfuzi. Kongfuzi dalam bukunya “The Analect” menganjurkan falsafah murni seperti adil, kasih sayang, timbang rasa dan berperikemanusiaan.

Seperti juga melihat sesetengah orang Melayu Islam yang suka melanggar peraturan, bengis di jalan raya, suka ketawa dengan jenaka mencarut bukanlah gambaran ajaran Islam yang mulia seperti sabar, timbang rasa, patuh dan taat kepada aturan, bercakap hal bermanfaat.

Kehidupan dalam apa bangsa pun yang tidak dipandu nilai murni terpancar dari agama dan falsafah boleh menyebabkan faktor bangsa menjadi perbezaan yang rapuh terhadap nilai murni. Kehidupan ingin digarap berlandaskan irihati, dendam, syak wasangka akhirnya boleh mencetuskan konflik.

Jika asas kehidupan bangsa bertitik tolak dengan nilai murni, ia mencetuskan rasa kemanusiaan tinggi, pengertian mendalam terhadap maksud perbezaan dan mencari titik persamaan yang didukung atas jalinan kasih sayang.

Perlumbaan manusia hari ini untuk memperkasakan wibawa bangsa tanpa merujuk keunggulan tamadun yang mendukung kualiti kemanusiaan akhirnya mengarah kepada konflik. Yang menemukan kelainan budaya sesuatu bangsa umpamanya ialah asas apresiasi terhadap nilai jujur, peramah, tolak-ansur, setia kawan yang menjadi landasan kerjasama dalam semua aspek kehidupan.

Akhirnya wujud keinsafan bahawa yang berbeza dalam sifat sesuatu bangsa biarlah berbeza dan titik persamaan yang banyak antara bangsa boleh menyumbang ke arah persefahaman dan tolak ansur harus disuburkan.

Tidak ada jalan lain dalam kehidupan masyarakat majmuk yang boleh menemukan nilai fitrah melainkan sesuatu bangsa itu memiliki dukungan ajaran agama dan nilai falsafah menampilkan pekerti bangsa yang murni.

Jika nilai murni dan baik dapat disuburkan dalam interaksi serta komunikasi antara kaum, ia mampu membina acuan integrasi yang bermanfaat. Integrasi kaum bukan bermakna peleburan identiti bangsa.

Islam menekankan pentingnya jiwa berkenal-kenalan dalam wujud rasa saling memahami. Darinya bakal subur nilai bersama dan sejagat yang memungkinkan integrasi berlaku dalam erti kata lebih bermakna.

Tiada integrasi atau perpaduan yang sifatnya luaran, bermuka-muka dan akhirnya boleh meledak dengan pancaran dendam, sakit hati hingga menghasilkan konflik dan pertembungan.

Wednesday, April 23, 2008

WAWANCARA BERSAMA PROF DR SIDEK BABA

BAHAGIAN 1



BAHAGIAN 2



BAHAGIAN 3



BAHAGIAN 4



BAHAGIAN 5



BAHAGIAN 6


Tuesday, March 18, 2008

Kesejagatan nilai Islam untuk semua umat

kredit alqasam

Prof Dr Sidek Baba

ISLAM adalah agama rahmah alamiah. Risalah kenabian bermaksud mendukung rahmat bagi seluruh alam. Islam atau salama membawa maksud 'sejahtera' yang menjadi fitrah bagi manusia. Ada yang bertemu kesejahteraan tetapi ramai yang tidak.

Kesejahteraan manusia tidak saja diukur daripada pencapaian kebendaan yang diperoleh, tetapi ia adalah pancaran ketenangan dan kekuatan hati dengan rasa kesyukuran yang tinggi terhadap pencipta.

Kesejahteraan manusia diukur dengan cara manusia memanfaat limpahan rahmat dan nikmat Allah dalam kehidupan. Rasa kesyukuran yang tinggi menyebabkan manusia sentiasa reda serta mengaitkan usaha dan perjuangan berada dalam berkat Allah.


Berada dalam Islam atau menerima nilai Islam boleh membawa manusia kepada hidup sejahtera. Islam mengajar manusia mengenai sifat amanah, adil, telus, ikhlas dan berbudi supaya asas kesejahteraan menjadi matlamat utama dalam kehidupan.

Daripadanya bakal lahir kekuatan rohaniah yang memancar dalam amal dan pekerti. Inilah asas akhlak yang amat diperlukan manusia kerana pancaran akhlak dalam kata-kata, amal dan perbuatan akan mengukuhkan sifat kekhalifahan insan.

Dalam surah al-Hujurat, ayat 13, Allah memberikan asas mengenai fitrah kejadian manusia yang sifatnya berpasang-pasang, berlainan bangsa dan menganjurkan manusia supaya mempunyai budaya kekenalan (litaarrafu) iaitu memiliki sifat saling bekerjasama, saling memahami dan mempelajari.


Allah memberikan ukur tara bahawa yang terbaik di kalangan manusia ialah mereka yang mempunyai 'insaf ketuhanan' yang tinggi (orang yang berjiwa muttaqin).

Fitrah kejadian manusia sifatnya pelbagai. Asas kepelbagaian apabila terhubung dengan akidah yang sama ia menjelmakan konsep umat. Konsep ummatan wasata atau 'umat pertengahan' mendukung makna sejagat Islam dan umatnya mendukung sikap sederhana dan membimbing jalan pertengahan.

Umat Islam tidak berada dalam dua ekstrem kiri atau kanan tetapi ciri kesejagatannya membimbing manusia ke jalan fitrah. Jalan hidup yang diaturkan Islam membawa asas kesejagatan. Ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahukan kebaikan.

Sifat manusia melakukan interaksi sosial menyebabkan keperluan nilai sejagat dan nilai bersama dikongsi. Islam mengajar sifat kasih sayang sesama manusia. Ia adalah nilai sejagat dan menjadi teras dalam melakukan kerja dakwah.

Islam tidak hanya khusus kepada sesuatu bangsa tetapi menjadi anutan semua bangsa. Seseorang Islam yang baik sentiasa ingin memperlihatkan kebaikan dirinya, amal dan perbuatan kepada orang lain supaya imej Islam padanya menjadi sumber tarikan yang lain.

Apabila orang Islam menepati waktu dan janji, ia adalah sesuatu yang fitrah dan disukai manusia lain. Apabila orang Islam cintakan ilmu dan kebaikan pekerti, ia serasi dengan orang lain kerana sifat itu tuntutan hidup. Apabila orang Islam diberi amanah kepemimpinan dan berlaku amanah serta adil terhadap kepemimpinannya, ia memberi kesan baik terhadap orang lain.

Menghayati hidup yang Islami adalah baik untuk orang Islam dan bukan Islam. Seseorang Islam yang jujur tidak akan melakukan penipuan lantaran agamanya melarang pembohongan berlaku.

Untuk menjadi orang Islam yang baik, ia mestilah berilmu dan ilmu itu diamalkan. Kesan ilmu yang diamalkan tidak saja menjadi suluh kehidupan bagi orang Islam tetapi percikan suluh kebaikan itu akan melimpahi yang bukan Islam.

Konteks litaarrafu atau kekenalan yang luas mendorong orang Islam mengetahui dan memahami keunikan tamadun sesuatu bangsa. Bangsa di Malaysia lahir daripada sumber tamadun berasaskan agama dan falsafah.

Baik Hinduisme, Buddhisme, Konfusionisme atau Sikhisme, ada nilai bersama yang bersifat sejagat sebagai pedoman etika hidup mereka. Jika nilai itu dihayati, mereka boleh menjadi manusia yang faham erti hubungan kemanusiaan dan mengerti makna kepelbagaian.

Bagi orang Islam pula, akhlak murni yang terpancar daripada keyakinan kepada Allah dan pancaran qudwah daripada Rasulullah menjadi sumber nilai tidak saja baik dalam lingkungan orang Islam sendiri tetapi mempunyai keupayaan berinteraksi dengan nilai sejagat daripada sumber tamadun lain.

Kecintaan terhadap ilmu pengetahuan umpamanya adalah sumber utama dalam setiap tamadun. Kemampuan tamadun Cina menghasilkan kertas, mesin cetak, bahan kimia dan lain-lain menjadi sumber sejagat yang dimanfaatkan oleh orang Islam.

Kehebatan al Biruni melakukan penjelajahan ke India dan mengkagumi tradisi matematik mereka menyebabkan tradisi matematik Islam berkembang dengan kreatif. Meneliti buku The Analect yang menukilkan pemikiran ahli falsafah Kungfuzie menemukan banyak titik persamaan mengenai hal keadilan, amanah, kasih-sayang, kejujuran dan memulihara alam sekitar sebagai percikan budaya dan tamadun.

Interaksi antara tamadun adalah tradisi Islam. Islam tidak menolak ilmu yang bermanfaat dan tradisi berguna daripada tamadun lain. Perbezaan sudut akidah dan keyakinan terhadap Tuhan biarlah berbeza.

Persamaan memahami nilai murni dalam resam kehidupan manusia perlu diketahui dan dipelajari supaya lahir daya interaksi yang tinggi untuk berkongsi sesuatu yang baik dan berguna daripada orang lain.

Di sinilah pentingnya dialog peradaban untuk memungkinkan pemahaman terhadap perbezaan dan persamaan berada dalam tahap tinggi serta bijaksana. Yang berbeza biarlah berbeza tetapi titik persamaan dalam budaya harus disuburkan supaya manfaatnya menjadi arus utama dalam kehidupan masyarakat berbilang.