Wednesday, June 18, 2008

Umat Melayu dan agenda pemerkasaan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

KRISIS dan konflik adalah lumrah bagi sesuatu umat yang sentiasa bergerak ke arah maju dan berwibawa. Krisis dan konflik menjadikan umat sedar bahawa cabaran dalam kepemimpinan dan orang yang dipimpin adalah sesuatu yang tidak boleh diremehkan.

Dalam konteks umat Melayu, krisis dan konflik boleh membawa kepada natijah positif dan negatif. Ia menuntut kebijaksanaan tinggi untuk mengenal pasti punca konflik kemudian strategi merawatnya dengan berkesan.

Umat Melayu di Malaysia hari ini menuntut wujud faktor penyatuan dalam pembangunan politik, ekonomi, pendidikan, agama dan pembudayaan. Tanpa kekuatan teras, proses peminggiran boleh berlaku.

Arus globalisasi yang sedang menunda boleh menyebabkan daya saing umat beransur-ansur hilang dan akibatnya umat Melayu akan mengalami kecairan dan ketirisan dalam semua lapangan.

Isu kepemimpinan adalah isu pokok dalam proses memperkasa umat Melayu. Ia berkaitan dengan amanah tinggi tidak saja dalam pendekatan dasar tetapi juga menuntut ketelusan serta kebijaksanaan dalam strategi pelaksanaan.

Pada masa lalu wujud dasar yang baik untuk memperkukuh umat Melayu dalam semua bidang, tetapi di tahap pelaksanaan wujud ketirisan akibat kepimpinan pada semua peringkat alpa mengenai amanah kepimpinan dan menyebabkan tahap pengikut menjadi longgar.

Hal sama berlaku dalam proses memperkasa pembabitan ekonomi yang menuntut tidak saja ilmu urus niaga dan muamalah yang baik tetapi dalam masa sama suntikan jiwa mandiri perlu diperkukuh. Mentaliti subsidi bukanlah jawapan terbaik untuk menghasilkan daya saing akibat ekonomi terbuka.

Menjadikan jihad ekonomi sebagai suatu lonjakan adalah perlu. Johor Coporation umpamanya adalah suatu contoh keupayaan kepemimpinan ekonomi umat Melayu yang patut dijadikan model bagaimana disiplin kepemimpinan dan landasan pengurusan berasaskan Islam mampu menempatkan diri antara kepemimpinan korporat disegani di Malaysia.

Begitu juga mobiliti umat Melayu dalam dunia pendidikan adalah sesuatu yang utama. Reformasi pendidikan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bermatlamat membangun insan yang harmonis serta seimbang menuntut upaya pelaksanaan kreatif dan strategik.

Sifat ilmu yang berkembang dan strategik, pendidikan dunia cepat berubah jangan sampai menyebabkan kita melenyapkan asas seperti kepentingan pendidikan menggunakan bahasa Melayu, pendidikan secara bersepadu supaya pendidikan nilai dan agama mampu mengangkat pemikiran generasi muda ke arah tamadun tinggi.

Orientasi pendidikan ke arah peperiksaan harus diubah kerana keperluan kepemimpinan dan umat Melayu yang dipimpin hari ini serta masa depan tidak saja dalam batasan teknologi tinggi tetapi kepentingan ketrampilan keinsanan adalah sesuatu yang amat dituntut.

Membangun sistem pendidikan secara mekanistik dan robotik boleh menyebabkan generasi muda hilang sentuhan keinsanannya dan terdedah dengan proses pembudayaan Barat popular menyebabkan kecairan dan ketirisan jati diri umat Melayunya.

Memperkasa bahasa asing yang memiliki faedah berbanding tinggi seperti bahasa Inggeris dan Mandarin tidaklah menjadi suatu kesalahan. Ia boleh menjadi alat untuk menimba ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan melengkapkan umat Melayu dalam memperkasa dirinya tanpa meremehkan kepentingan bahasa ibunda.

Lebih-lebih lagi memberikan fokus memimpin dan memberi pedoman terbaik di kalangan generasi muda dalam aspek pembudayaan, hiburan dan permainan mestilah mampu meningkatkan disiplin minda yang tinggi, ketahanan rohaniah dan kreativiti semasa yang tidak melanggar susila umat Melayu sebagai umat teras.

Selama ini banyak kegiatan sia-sia berlaku menyebabkan kecairan dan ketirisan peribadi berlaku di kalangan generasi muda akibat proses pembudayaan liberal yang popular hingga tradisi ilmu dan pembelajaran yang terbina di rumah dan dalam sistem pendidikan menjadi sanggahan oleh peranan media cetak dan elektronik tidak peka kepentingan jati diri Melayu dipertahan.

Malah, ilmu dan pendidikan Islam harus dirombak pendekatannya. Pendekatan dakwah di Malaysia harus melalui fasa yang mempertingkat tasawur Islami pemeluknya. Harus wujud pendekatan islah dan tajdid dalam memahami agama dan tuntutan sezaman.

Dinamik Islam harus dikembangkan untuk memperkasa tamadun. Memperkasa asas fardu ain tanpa mengembangkan pemahaman bijak dalam aplikasi fardu kifayah boleh menyebabkan cabaran sebenar tidak dijadikan fokus.

Cabaran sebenar umat Melayu kini ialah keupayaan menguasai dan menterjemah maksud nilai Islami dan Qurani dalam sistem. Oleh itu proses integrasi ilmu di semua peringkat harus menjadi agenda utama memperkasa umat.

Daripadanya bakal lahir profesional dan saintis yang hafiz dan faham asas ilmu usuludin, syariah, fiqh di samping memperteguhkan penguasaan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai disiplin.

Ia boleh dilakukan dengan tekad tinggi bahawa biasan terhadap kekuatan tamadun Islam adalah suatu tuntutan di samping keterbukaan ilmuwan Islam untuk menyaring, menilai dan melakukan adaptasi terhadap sumber luar yang mampu memberi manfaat untuk memperkasa umat Melayu.

No response to “Umat Melayu dan agenda pemerkasaan”