Tuesday, March 18, 2008

Kesejagatan nilai Islam untuk semua umat

kredit alqasam

Prof Dr Sidek Baba

ISLAM adalah agama rahmah alamiah. Risalah kenabian bermaksud mendukung rahmat bagi seluruh alam. Islam atau salama membawa maksud 'sejahtera' yang menjadi fitrah bagi manusia. Ada yang bertemu kesejahteraan tetapi ramai yang tidak.

Kesejahteraan manusia tidak saja diukur daripada pencapaian kebendaan yang diperoleh, tetapi ia adalah pancaran ketenangan dan kekuatan hati dengan rasa kesyukuran yang tinggi terhadap pencipta.

Kesejahteraan manusia diukur dengan cara manusia memanfaat limpahan rahmat dan nikmat Allah dalam kehidupan. Rasa kesyukuran yang tinggi menyebabkan manusia sentiasa reda serta mengaitkan usaha dan perjuangan berada dalam berkat Allah.


Berada dalam Islam atau menerima nilai Islam boleh membawa manusia kepada hidup sejahtera. Islam mengajar manusia mengenai sifat amanah, adil, telus, ikhlas dan berbudi supaya asas kesejahteraan menjadi matlamat utama dalam kehidupan.

Daripadanya bakal lahir kekuatan rohaniah yang memancar dalam amal dan pekerti. Inilah asas akhlak yang amat diperlukan manusia kerana pancaran akhlak dalam kata-kata, amal dan perbuatan akan mengukuhkan sifat kekhalifahan insan.

Dalam surah al-Hujurat, ayat 13, Allah memberikan asas mengenai fitrah kejadian manusia yang sifatnya berpasang-pasang, berlainan bangsa dan menganjurkan manusia supaya mempunyai budaya kekenalan (litaarrafu) iaitu memiliki sifat saling bekerjasama, saling memahami dan mempelajari.


Allah memberikan ukur tara bahawa yang terbaik di kalangan manusia ialah mereka yang mempunyai 'insaf ketuhanan' yang tinggi (orang yang berjiwa muttaqin).

Fitrah kejadian manusia sifatnya pelbagai. Asas kepelbagaian apabila terhubung dengan akidah yang sama ia menjelmakan konsep umat. Konsep ummatan wasata atau 'umat pertengahan' mendukung makna sejagat Islam dan umatnya mendukung sikap sederhana dan membimbing jalan pertengahan.

Umat Islam tidak berada dalam dua ekstrem kiri atau kanan tetapi ciri kesejagatannya membimbing manusia ke jalan fitrah. Jalan hidup yang diaturkan Islam membawa asas kesejagatan. Ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahukan kebaikan.

Sifat manusia melakukan interaksi sosial menyebabkan keperluan nilai sejagat dan nilai bersama dikongsi. Islam mengajar sifat kasih sayang sesama manusia. Ia adalah nilai sejagat dan menjadi teras dalam melakukan kerja dakwah.

Islam tidak hanya khusus kepada sesuatu bangsa tetapi menjadi anutan semua bangsa. Seseorang Islam yang baik sentiasa ingin memperlihatkan kebaikan dirinya, amal dan perbuatan kepada orang lain supaya imej Islam padanya menjadi sumber tarikan yang lain.

Apabila orang Islam menepati waktu dan janji, ia adalah sesuatu yang fitrah dan disukai manusia lain. Apabila orang Islam cintakan ilmu dan kebaikan pekerti, ia serasi dengan orang lain kerana sifat itu tuntutan hidup. Apabila orang Islam diberi amanah kepemimpinan dan berlaku amanah serta adil terhadap kepemimpinannya, ia memberi kesan baik terhadap orang lain.

Menghayati hidup yang Islami adalah baik untuk orang Islam dan bukan Islam. Seseorang Islam yang jujur tidak akan melakukan penipuan lantaran agamanya melarang pembohongan berlaku.

Untuk menjadi orang Islam yang baik, ia mestilah berilmu dan ilmu itu diamalkan. Kesan ilmu yang diamalkan tidak saja menjadi suluh kehidupan bagi orang Islam tetapi percikan suluh kebaikan itu akan melimpahi yang bukan Islam.

Konteks litaarrafu atau kekenalan yang luas mendorong orang Islam mengetahui dan memahami keunikan tamadun sesuatu bangsa. Bangsa di Malaysia lahir daripada sumber tamadun berasaskan agama dan falsafah.

Baik Hinduisme, Buddhisme, Konfusionisme atau Sikhisme, ada nilai bersama yang bersifat sejagat sebagai pedoman etika hidup mereka. Jika nilai itu dihayati, mereka boleh menjadi manusia yang faham erti hubungan kemanusiaan dan mengerti makna kepelbagaian.

Bagi orang Islam pula, akhlak murni yang terpancar daripada keyakinan kepada Allah dan pancaran qudwah daripada Rasulullah menjadi sumber nilai tidak saja baik dalam lingkungan orang Islam sendiri tetapi mempunyai keupayaan berinteraksi dengan nilai sejagat daripada sumber tamadun lain.

Kecintaan terhadap ilmu pengetahuan umpamanya adalah sumber utama dalam setiap tamadun. Kemampuan tamadun Cina menghasilkan kertas, mesin cetak, bahan kimia dan lain-lain menjadi sumber sejagat yang dimanfaatkan oleh orang Islam.

Kehebatan al Biruni melakukan penjelajahan ke India dan mengkagumi tradisi matematik mereka menyebabkan tradisi matematik Islam berkembang dengan kreatif. Meneliti buku The Analect yang menukilkan pemikiran ahli falsafah Kungfuzie menemukan banyak titik persamaan mengenai hal keadilan, amanah, kasih-sayang, kejujuran dan memulihara alam sekitar sebagai percikan budaya dan tamadun.

Interaksi antara tamadun adalah tradisi Islam. Islam tidak menolak ilmu yang bermanfaat dan tradisi berguna daripada tamadun lain. Perbezaan sudut akidah dan keyakinan terhadap Tuhan biarlah berbeza.

Persamaan memahami nilai murni dalam resam kehidupan manusia perlu diketahui dan dipelajari supaya lahir daya interaksi yang tinggi untuk berkongsi sesuatu yang baik dan berguna daripada orang lain.

Di sinilah pentingnya dialog peradaban untuk memungkinkan pemahaman terhadap perbezaan dan persamaan berada dalam tahap tinggi serta bijaksana. Yang berbeza biarlah berbeza tetapi titik persamaan dalam budaya harus disuburkan supaya manfaatnya menjadi arus utama dalam kehidupan masyarakat berbilang.