Wednesday, June 18, 2008

Fasih BM, BI tingkat kualiti modal insan

Bersama Prof Dr Sidek Baba

Isu kemandulan bahasa Melayu dibangkitkan dalam perbahasan di Parlimen baru-baru ini. Polimiknya menjalar ke media dan kepentingan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu kian dirasakan penting.

Perkara 152 dalam Perlembagaan adalah jelas dalam menyangkut persoalan bahasa Melayu dan aplikasinya. Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disentuh kerana menyebabkan kemandulan bahasa berlaku.

Memang sifat bahasa adalah dinamik. Dalam bahasa Melayu ada ribuan istilah Arab dan ratusan istilah Inggeris kerana pengalaman budaya, keilmuan serta aplikasi pendidikan, agama dan kegunaan hidup menjadikannya sedemikian.



Bahasa mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan ilmu, sains, penyelidikan, budaya dan teknologi. Dalam perumusan istilah, terma yang dipilih sudah tentu merujuk kepada kaedah sudah ada dalam menerima istilah asing ke dalam bahasa Melayu.

Bagi saya, kemandulan berlaku apabila sesuatu bahasa itu tidak lagi digunakan sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi. Oleh kerana fokus dunia pendidikan lebih banyak tertumpu kepada kemajuan sains dan teknologi, jika bahasa Melayu tidak ikut serta dalam penggunaannya, ia boleh menyebabkan pemandulan.

Mandul bermakna benih yang tidak subur atau benih tidak menjadi. Jika bahasa Melayu dianggap sebagai benih yang baik, maka benih itu perlu disuburkan aplikasinya dalam matematik, sains dan teknologi.

Terbukti sejak beberapa dekad lalu, walaupun cabaran penggunaannya ada tetapi penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara tidak menghadapi masalah.

Kemandulan akan berlaku jika bahasa Melayu dipinggirkan penggunaan dan akhirnya bahasa Melayu menjadi tidak penting.

Pendidikan masa kini pada setiap peringkat memberikan fokus terhadap matematik, sains dan teknologi sebagai asas untuk maju.

Ia dikatakan bernilai ekonomi dan sumber kemajuan, khususnya dalam strategi pembangunan modal insan. Bidang agama dan ilmu kemanusiaan seperti dianggap tidak penting kerana nilai ekonominya hampir tidak ada.

Tanggapan itu akan memberi kesan kepada jenis manusia yang bakal kita lahirkan. Manusia pada prinsipnya memerlukan adunan seimbang antara ilmu sains dan sains kemanusiaan. Fokus terhadap teknologi tinggi tidak memadai tetapi fokus terhadap sentuhan keinsanan amat perlu.

Bagi Malaysia, jenis modal insan yang diperlukan ialah di kalangan mereka yang memiliki keahlian dan kepakaran, dalam masa sama mempunyai kualiti akhlak dan kemanusiaan tinggi.

Oleh itu, aplikasi bahasa Melayu perlu disuburkan dalam bidang sains dan teknologi kerana ia adalah tumpuan pembangunan modal insan hari ini dan masa depan.

Jika tidak, bahasa Melayu akan mengalami proses kemandulan yang parah. Ia menuntut kerjasama semua pihak. Apa maknanya sudut perundangan bahasa Melayu jelas ada, tetapi media dan swasta memandang remeh keperluan bahasa Melayu yang baku. Bahasa rojak makin berleluasa digunakan. Pemimpin dan tokoh korporat berlumba-lumba tidak cenderung menggunakan bahasa Melayu di media.

Sistem pendidikan peringkat perdana dan swasta sedang berlumba-lumba tidak menjadikan bahasa Melayu penting sebagai bahasa ilmu dan komunikasi.

Keadaan ini boleh menyebabkan kemandulan berlaku, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa pasar dan orang tidak berasa bangga menggunakannya malah secara psikologi orang berasa rendah diri apabila berbahasa Melayu.

Ini tidak bermakna bahasa Inggeris tidak penting. Sebagai sumber ilmu pengetahuan, bahasa Inggeris perlu diperkasakan tetapi jangan sampai memandulkan bahasa Melayu dalam aplikasi ilmu.

Orang terdahulu menghubungkan bahasa sebagai jiwa bangsa kerana ia adalah pancaran aspirasi dan cita-cita sesuatu bangsa.

Cita-cita bina negara di Malaysia ialah untuk melihat wujudnya asas integrasi antara kaum dan bahasa Melayu boleh memainkan peranannya.

Kita juga ingin melihat bahasa Melayu sebagai bahasa bagi mendapatkan sumber ilmu. Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti lain membuktikan kemajuan dari sudut kepakaran dan keahlian dalam disiplin ilmu seperti kedoktoran, sains dan teknologi.

Untuk mengelak kemandulan, kita perlu berjiwa besar dan yakin bahawa menguasai bahasa Melayu dengan baik dan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris tidak menjadikan kita mundur atau ketinggalan dalam menguasai ilmu pengetahuan.

DBP perlu berjiwa besar melakukan kerja penterjemahan, mempercepatkan proses penilaian buku berkualiti untuk diterbitkan, mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi yang menghasilkan kajian, merancang dan melaksanakan program penyelidikannya sendiri.

Dengan kerjasama sarjana berwibawa bagi menambah buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, penggunaan bahasa Melayu seperti diperuntukkan oleh undang-undang akan dihormati dan digunakan semua pihak. Jika hal ini dapat dilakukan, maka penyakit mandul akan dapat diatasi secara strategik.

No response to “Fasih BM, BI tingkat kualiti modal insan”