Wednesday, March 14, 2007

Tahun baru dalam semangat hijrah

Oleh Dr. Sidek Baba

Tahun baru bakal menjelang tidak lama lagi. Dari sudut umur ia bermakna manusia semakin besar, remaja, dewasa dan tua. Dari sudut pengalaman, lazimnya, ia semakin bertambah. Inilah faktor silih gantian yang berlaku dalam hidup.

Tidak ada sesuatu yang kekal dalam alam ini melainkan Allah. Detik yang kita lalui sekarang akan berlalu untuk menjejaki detik-detik seterusnya.

Hari yang ditempuhi kini akan menjadi kenangan-kenangan apabila esok datang. Minggu yang kita jalani akan menjadi sejarah bila minggu berikutnya menjelang. Bulan yang kita ikuti dengan pelbagai perkara akan menjadi silam bila bulan-bulan berikutnya tiba. Dan tahun yang kita alami akan juga bertukar ke tahun baru untuk dibaharui tekad dan azam.

Lazimnya remaja suka menyambut tahun baru dengan azam. Azam yang dilalui pada tahun-tahun terdahulu diperkukuhkan atau diperbaharui dan azam terkini di bina. Ada remaja menyambut tahun baru dengan bersukaria, berseronok dan berhibur. Tetapi sebagai remaja Islam, tahun baru tentunya disambut dengan jiwa hijrah.

Jiwa hijrah bermakna terdapat perubahan yang bermakna kepada remaja. Semangat hijrah Rasulullah s.a.w yang dijadikan sistem kalendar didasarkan pada hari pertama Rasulullah berpindah iaitu pada tahun 622 Masihi sementara tahun Masihi sistem kalendar Gregorian diperkenalkan di England pada abad ke 18.

Tahun Islam didasarkan kepada perputaran bulan dan berjumlah 354 hari setahun, berbeza dengan tahun Masihi berjumlah sekitar 365 hari. Apa pun perbezaan, kita tetap merayakan detik yang yang sama dan tahun yang serupa. Apa yang berbeza ialah cara dan semangat merayakan tahun baru tersebut.

Merayakan tahun baru dalam semangat hijrah, mengingat kita tentang kesan perubahan yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap umat manusia. Penghijrahan itu adalah amat strategik bagi remaja hari ini kerana kepayahan membimbing manusia ke arah fitrah di awal perjuangannya di Mekah menyebabkan Rasulullah bertekad mengembangkan risalah kebenaran di Madinah.

Ia diterima dengan baik di Madinah dan persaudaraan Ansar dan Muhajirin adalah lambang persaudaraan tulen yang berasaskan tauhid. Akhirnya Rasulullah kembali semula ke Mekah dengan suasana penerimaan yang baru.

Madinah dibangunkan sebagai suatu kota contoh masyarakat berbilang dengan asas syariah dijadikan landasan membangun perubahan dan kemajuan. Dalam tempoh satu abad selepas wafatnya Rasulullah, wilayah pengaruh Islam berkembang di Asia Barat, Afrika Utara, Semenanjung Iberia dan sebahagian benua India. Tradisi ilmu yang berkembang di Baghdad dan Baitul Hikmah dan Andalusia menjadikan tamadun Islam sebagai obor membimbing manusia ke arah tamadun.

Tahun baru dalam semangat hijrah harus membawa remaja berfikir tentang umat Islam kini. Barat yang terhutang ilmu kepada Islam mampu bangun melakukan perubahan dan penjajahan dan akhirnya selama hampir 700 tahun minda Barat menguasai minda umat Islam. Pada hari ini sebahagian remaja Islam menjadikan Barat sebagai rujukan untuk maju, moden dan progresif. Terdapat di kalangan remaja Islam menganggap Islam sebagai agama yang membelenggu, jumud dan ketinggalan zaman. Lalu mereka memeluk apa saja yang datang dari Barat seerat-eratnya sebagai lambang kebebasan dan identiti diri. Agama dan tradisi keilmuan yang membawa umat Islam ke arah tamadun hampir dilupakan.

Semangat hijrah harus mendorong remaja berfikir ke arah perubahan yang fitrah.

Islam tidak menyekat remaja dan manusia untuk maju dan membangun. Konsep maju dan membangun dalam tradisi Islam merujuk kepada kualiti manusianya. Kualiti manusia tidak saja diukur dari sudut pencapaian ekonomi atau teknologinya tetapi juga dinilai dari sudut akhlak dan peribadinya. Apa maknanya kemajuan ekonomi dan teknologi sekiranya manusia menjadi bertambah rakus, zalim dan kejam terhadap sesama manusia.

Membimbing

Apa maknanya pertumbuhan ekonomi dan kecanggihan teknologi maklumat kalau sekiranya kemiskinan, kebuluran, kejahilan umat manusia masih berleluasa dan kecanggihan teknologi menyebabkan manusia menderita kerana peperangan yang dipaksakan oleh kuasa-kuasa Barat. Dalam tradisi Islam kemajuan ilmu, sains, teknologi serta pertumbuhan ekonomi membimbing manusia ke arah kesejahteraan bukan sebaliknya.

Tahun baru dalam semangat hijrah harus mampu membina azam dan tekad remaja Islam untuk kembali kepada fitrah diri. Kemajuan dan perubahan yang menolak kepentingan fitrah menyebabkan gejala-gejala yang tidak baik terus subur merosakkan minda, gaya hidup dan kecenderungan remaja. Terlibatnya remaja dengan dadah, pergaulan yang lepas bebas, ketagihan muzik rock dan rap, hiburan yang berlebihan, faham hedonistik yang melampau, terjebak dengan musibah AIDS/HIV, ‘Mat dan Minah Rempit’ yang merisaukan masyarakat adalah pertanda kerosakan yang sedang menimpa remaja dan bakal merosakkan generasi hari depan umat Islam.

Kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada kehidupan yang baik dan sempurna. Apabila remaja memahami bahawa ilmu dan pendidikan itu penting, ia pertanda bahawa remaja berada di landasan yang betul. Apabila remaja cenderung untuk mengkaji keunggulan tradisi silam yang patut dipelajari dan mengukuhkan jati diri Islami yang terbuka untuk menerima unsur-unsur baik dari budaya lain, ia bermakna remaja Islam memiliki pendirian dan terbuka untuk belajar dari yang lain. Apabila remaja Islam tidak menjadikan hiburan dan pergaulan cara Barat sebagai pertunjuk terbaik, ia mendorong remaja menguasai ilmu dan keterampilan dalam seni hiburan yang terizin dan dalam masa yang sama mampu bergaul secara sihat untuk dewasa dalam kematangan dan kecemerlangan. Ia bermakna remaja menjadi aset kepada umat dan negara.

Oleh itu amat penting bagi remaja Islam kenal dirinya dengan mengenal Allah. Mengenal Allah ialah memahami Kalam-Nya iaitu al-Quran dan pesuruh-Nya iaitu Rasulullah s.a.w. Dari al-Quran terkandung suluh atau pedoman memandu manusia memahami faktor nyata dan memahami faktor ghaib. Darinya remaja dapat mengimbangi antara keupayaan akal dan keupayaan hati atau kalbu supaya wujud titik keseimbangan antara bukti pencarian manusia dengan pedoman Allah membimbing ke arah memahami yang ghaib. Tanpa asas ini para remaja akan kehilangan arah dalam berfikir dan melakukan sesuatu.

Meneliti sunah Rasulullah memberi teladan kepada remaja tentang nilai-nilai manusiawi yang hidup berpaksikan ajaran al-Quran. Darinya Rasulullah meninggalkan jejak-jejak teladan dan ikutan untuk dikembangkan oleh manusia dalam zaman-zaman berikutnya. Dengan pedoman ini remaja akan sentiasa berada dalam keadaan fitrah.

Perubahan yang berlaku di sekitar remaja tidak akan menyebabkan remaja menjadi celaru kerana pancang hidup iaitu akidah, ibadah, syariah dan akhlak akan sentiasa menjadi pedoman terbaik dalam hidup. Tanpa asas ini remaja akan kekosongan dan akhirnya mudah terjebak dalam pengaruh-pengaruh terkini yang bersimpang-siur cuba menyesatkan remaja dan kehidupannya.

Menerima kedatangan tahun baru dengan semangat hijrah iaitu menerima keyakinan bahawa Nabi Isa al Maseh adalah Nabi dan hijrah Rasulullah ke Madinah adalah hijrah seorang Nabi yang cuba melanjutkan tradisi Nabi Isa dalam mentauhidkan Allah. Asas ini kalau dapat dikembangkan oleh remaja dalam azam dan tekad, memperbaharui cita-cita dan amal, ia bakal menjadikan remaja manusia yang memiliki kualiti kecemerlangan. Inilah asas yang bakal mengembalikan remaja Islam sebagai pewaris kekuatan tamadun silam yang memimpin manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran.

No response to “Tahun baru dalam semangat hijrah”