Wednesday, December 20, 2006

Hati-hati dengan proses pembaratan

Oleh: DR. SIDEK BABA

Islam tidak mengambil pendirian anti Barat atau pun Timur. Islam adalah agama dakwah yang mendukung nilai-nilai alamiah. Islam adalah agama rahmah untuk seluruh alam. Pengaruh Islam berada di Barat dan di Timur.

Penganut Islam merupakan penganut agama yang kedua terbesar di kebanyakan negara-negara Barat. Mengambil pendekatan anti Barat bermakna membataskan skop dakwah untuk membawa manusia kembali ke fitrah.

Di Perancis umpamanya terdapat empat cendekiawan terbilang seperti Roger Garaudy, pemikir intelektual Marxis, Maurice Bucaille, seorang pakar ilmu bedah, Jacquis Cocteu, ahli oseanografi dan Bruno Guiderdoni, pakar astrofizik terkemuka kembali kepada fitrah. Islam menjadi lebih menarik di Barat kerana ia didekati secara ilmu dan saintifik dan ia memberi tanda untuk suatu kebangkitan.

Memang benar pada hari ini Barat maju dalam sains dan teknologi. Kemajuan Barat menjadi sumber rujukan utama bagi masyarakat lain yang ingin maju dalam bidang yang sama. Kurikulum dan kaedah pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya mengambil orientasi Barat.

Tidak salah mengambil aspek-aspek berbanding yang boleh memberi menafaat kepada kemajuan kita. Tetapi negara-negara Barat mempunyai orientasinya sendiri bertunjangkan falsafah yang jauh lebih terbuka dan tidak terikat dengan nilai-nilai agama.

Tradisi sains dalam Islam mengambil kira faktor agama. Walaupun al-Quran bukan kitab saintifik, tetapi pedoman-pedoman saintifik di dalamnya memandu tradisi keilmuan berkembang dengan mengambil kira faktor keinsanan, sains dan teknologi supaya manusia menjadi lebih manusiawi.

Para remaja Islam harus insaf bahawa ilmu itu terdapat di mana-mana, sama ada di Barat mahupun di Timur. Oleh itu adalah suatu langkah yang bijak untuk menghantar generasi muda di kalangan yang terbaik untuk menimba ilmu pengetahuan di Eropah, Amerika Syarikat, Russia, Jepun dan China supaya ilmu yang terkini di kalangan mereka dapat diambil dan dibawa kembali ke negara kita.

Usaha seperti ini penting supaya remaja Islam tidak ketinggalan mengetahui dan menguasai ilmu-ilmu terkini yang bermanfaat untuk umat Islam dan juga untuk umat manusia.

Tetapi remaja Islam harus mempunyai persiapan yang baik sebelum dan selepas menguasai ilmu-ilmu dari Barat dan Timur. Pertama fahami dulu falsafah dan tasawwur ilmu dalam tradisi Islam.

Umat Islam pernah melahirkan tamadun yang berasaskan sains, matematik, perubatan, astrofizik pada suatu ketika dulu. Para remaja tentu maklum bahawa Barat amat terhutang ilmu kepada Islam.

Para saintis Islam melakukan penerokaan saintifik yang luar biasa mendahulu orang-orang Barat dalam banyak lapangan. Ini bermakna tradisi sains Islam pernah wujud dan menjadi sumber rujukan Barat dan Timur. Ia diajar di universiti-universiti utama di Eropah untuk berabad-abad.

Memahami falsafah sains Islam adalah amat penting supaya dalam mempelajari ilmu-ilmu Barat, para remaja tidak lupa dengan sejarah dan tamadun sendiri. Menghargai tamadun sendiri menjadikan kita yakin bahawa tradisi sains Islam sentiasa menghubungkan dirinya dengan nilai dan agama.

Mengkaji fenomena yang terjadi dan faktor-faktor alamiah yang terdapat menghubungkannya sebagai ciptaan Allah. Apabila remaja meneliti dan mengkajinya secara Qurani dapat mengukuhkan lagi keimanan dan keyakinan remaja terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah.

Kedua, para remaja harus melakukan kajian berbanding terhadap falsafah tamadun Barat dan juga falsafah tamadun Islam. Di Barat, orientasi keilmuan banyak menumpu untuk mengukuhkan faham sekular dan liberal dan sifatnya bebas nilai.

Pendekatan dalam pembangunan dan perubahan banyak memberikan tumpuan kepada asas-asas yang mekanistik dan menjadikan keupayaan teknologi dan sains sebagai segala-gala. Dalam amalan ekonomi, faham konsumerisme menjadi matlamat.

Dalam media cetak dan elektronik elemen-elemen hedonistik atau berpoya-poya sentiasa menjadi tema dalam penerbitan dan penyiaran.

Globalisasi yang sedang menyemarak pengaruhnya terhadap dunia hari ini bakal memberi kesan terhadap pola-pola kehidupan remaja. Faedah berbanding dari faktor globalisasi perlu diambil.

Dalam masa yang sama para remaja harus mempunyai daya saring yang tinggi membezakan yang bermanfaat atau sebaliknya. Tanpa asas ini globalisasi boleh menjadikan proses pembaratan terhadap umat Islam berlaku secara sistematik.

Ketiga, para remaja yang berpeluang belajar di Barat dan di Timur harus mempelajari aspek-aspek positif dalam sikap dan mentaliti mereka. Kerajinan mereka melakukan penyelidikan, menghasilkan karya-karya dan tulisan yang ilmiah, kesungguhan dalam pengurusan dan kreatif dalam penghasilan kerja seharusnya menjadi sumber teladan dan ikutan.

Ramai remaja kita yang berkesempatan belajar di Barat mengambil aspek-aspek negatif dalam kehidupan, kebudayaan dan gaya hidup Barat sehingga ada yang tercabut akar Islamnya dan menjalani hidup lepas bebas tanpa pegangan agama dan nilai-nilai murni.

Keempat, harus ada tekad dan azam di kalangan remaja Islam untuk menyesuaikan keunggulan ilmu dan teknologi yang diterima ke arah binaan acuan sendiri. Acuan sendiri mengambil kira faktor nilai dan falsafah supaya arah tuju pembinaan dan penyuburan ilmu dalam masyarakat Islam tidak mengenepikan faktor-faktor akidah, akhlak, ibadah dan syariah dalam erti kata yang luas.

Pembinaan ilmu yang integratif dalam tradisi Islam diibaratkan sebagai sebatang pokok. Akarnya diibaratkan akidah. Ilmu tanpa asas akidah akan berdiri atas asas faham sekular, rasionalisme, saintisme, liberalisme dan pragmatisme Barat menolak faktor ghaibiyyah sebagai landasan ilmu. Ilmu tanpa akidah akan kehilangan tapak untuknya berdiri.

Batang bagi pokok diibaratkan sebagai ibadah dalam maksud yang luas. Sembahyang umpamanya sering dikaitkan sebagai tiang agama. Akar tanpa batang tidak membolehkan pokok tegak dan berdiri.

Kekuatan batang menyebabkan tumbuhnya dahan. Dahan adalah cabang-cabang atau disiplin ilmu yang berbagai. Ilmu yang berkembang atas akidah dan ibadah berdiri atas nilai.

Mempelajari sains dan matematik yang terpancar dari akidah dan ibadah mendekatkan remaja dengan Allah. Inilah asas-asas syariah yang menyebabkan ilmu berkembang dalam batasan-batasan yang diredai-Nya.

Puncak dari tegaknya sebatang pokok ialah buah. Buah adalah gambaran akhlak yang ada pada remaja. Ilmu yang berupaya menampilkan akhlak remaja yang baik adalah ilmu dari dahan, batang dan akar yang mengakui kebesaran dan kekuasaan alam terhadap apa yang dicipta-Nya.

Asas ini sangat penting bagi remaja supaya ilmu tidak hanya dipelajari sekadar ilmu tetapi ilmu harus memberi guna kepada remaja supaya dengan menjadi ahli ilmu nantinya remaja akan dapat meningkatkan iman dan amal secara Islami.

Oleh itu, para remaja harus hati-hati dengan proses globalisasi dan pembaratan yang sedang berlangsung. Perancang-perancang globalisasi sudah tentu mempunyai agenda tersendiri mengenai manusia, perubahan, kemajuan dan pemodenan.

Tetapi remaja Islam harus lebih bijaksana untuk menerima sesuatu dari Barat secara melulu sebaliknya dengan kekuatan kefahaman mengenai tasawwur, sejarah dan tamadun Islam, remaja Islam akan terus terpandu untuk memanfaatkan faedah berbanding yang terbaik dari Barat dan Timur dan mengungkapnya kembali dalam acuan sendiri secara bijaksana supaya manfaatnya tidak saja menyumbang kepada pembangunan diri tetapi juga kepada negara, umat dan manusia seluruhnya.

No response to “Hati-hati dengan proses pembaratan”