Wednesday, December 13, 2006

Fitrah diri - Dibina sebelum akil baligh

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA


ANAK-ANAK pada asasnya dilahirkan dalam keadaan fitrah. Rasulullah mengumpamakan fitrah itu ibarat kain putih. Sifatnya bersih dan sedap mata memandang. Persekitaranlah yang bakal mencorakkan anak-anak sama ada kekal dengan fitrahnya atau teradun sebaliknya. Akil baligh adalah sempadan yang mengangkat anak-anak ke tahap remaja. Dari sudut Islam, akil baligh adalah wilayah memulakan tanggungjawab keagamaan secara rasmi. Memasuki wilayah akil baligh menemukan seseorang dengan tempoh remaja yang akhirnya membawa ke alam dewasa. Pendidikan lebih satu dekad sebelum alam baligh amat penting dalam membangun dan mengekalkan fitrah anak-anak. Tempoh yang amat kritikal bagi anak-anak dalam proses memberikan asas pembentukan sikap, tabiat dan budaya diri ialah dari hari pertama kelahiran sehinggalah sempadan akil baligh.

Ia dikatakan kritikal kerana dalam tempoh ini asas pembentukan sikap, pemikiran, emosi, hati dan tingkah laku berlaku. Pembinaan asas tabiat diri ini amat penting bagi anak-anak masuk ke alam remaja dan seterusnya belia dan dewasa. Naluri anak-anak pada tahap ini amat aktif untuk melakukan peniruan terhadap apa yang ada di sekitarnya terutama orang-orang yang terdekat dalam hidupnya. Di tahap ini anak-anak mula belajar mengenal dan memahami sesuatu, iaitu daripada yang mudah kepada yang susah, daripada yang konkrit kepada yang tidak konkrit, daripada pengalaman ibu bapa dan adik-beradik kepada pengalaman kawan-kawan, daripada hanya berasaskan pendengaran kepada penglihatan dan perasaan, dan di tahap ini anak-anak mula membuat tanggapan, kesimpulan awal terhadap sesuatu yang dilihat, didengar dirasa dan dialami. Kritikalnya, proses pembentukan dan pembesaran anak-anak ini bergantung corak didikan yang diberi. Ibu bapa dan anggota keluarga, memainkan peranan awal kepada anak-anak. Sekiranya contoh yang ada di sekitarnya adalah contoh yang baik, ada sumber teladan, faham akan keperluan pertumbuhan dan pembesaran anak-anak, didekati secara fitrah, anak-anak akan mendapat suasana yang baik untuk membentuk diri.

Faktor sekitar

Sebaliknya anak-anak yang tidak terdedah dengan suasana yang fitrah, pendidikan awal tidak akan berlaku terhadap dirinya. Anak-anak mungkin dibentuk oleh faktor sekitar seperti pembantu rumah, televisyen, permainan dalam komputer, rakan sebaya dan pengaruh persekitaran yang lain. Sekiranya baik pengaruh persekitaran itu, maka baiklah proses pembentukan yang berjalan. Tetapi sekiranya buruk pengaruh persekitaran tersebut, maka buruklah proses membentuk minat, sikap, malah tingkah laku anak-anak.

Di tahap remaja asas sikap sudah mula ada. Tabiat sudah mula tersemai. Tingkah laku sudah mula bertunas. Sekiranya dalam tempoh kritikal asas sikap adalah positif ia memberi petanda baik, sikap dalam zaman remajanya juga cenderung positif.

Begitu juga dengan aspek tabiat dan tingkah laku yang terbentuk banyak bergantung kepada faktor persekitaran yang ada. Kalau persekitaran memberikan suasana selesa atau kondusif kepada anak-anak, melalui zaman remaja ia lebih terarah dan persekitaran remajanya boleh mengukuhkan lagi tabiat dan tingkah laku yang baik. Sebaliknya pola tingkah laku boleh cenderung negatif sekiranya pada peringkat awal lagi anak-anak mendapat pengukuhan dan pendedahan amalan serta tabiat yang negatif.

Salah satu tabiat yang ada pada setiap remaja yang `normal' ialah bersifat aktif dalam melalui faktor masa dan ruang. Faktor masa dan ruang selalunya dinamik. Potensi yang ada pada remaja apabila ditemukan dengan faktor masa dan ruang akan memberi kesan tindak-balas yang cepat. Contohnya, para remaja memiliki naluri suka meniru. Naluri meniru ini mudah dihubungkan dengan corak berpakaian, cara mendandan rambut, cara seseorang menyanyi dan lain-lain. Sekiranya naluri ini dibentuk sejak awal umur lagi selari dengan fitrah dan nilai-nilai agama atau nilai-nilai yang baik, kecenderungan naluri itu akan tersalur ke arah kebaikan. Sekiranya naluri itu menempuh faktor masa dan ruang dalam suasana yang negatif, ia boleh memberikan kesan yang negatif juga. Contohnya naluri remaja suka berkawan. Kebetulan kawan yang didampingi sudah ada tabiat menghisap rokok. Perdampingannya boleh memberi kesan pengaruh terhadap dirinya sendiri. Selalunya amalan merokok di kalangan remaja ini adalah akibat pengaruh kawan.

Aspek lain yang menjadi tabiat remaja ialah berangan-angan tinggi. Berangan-angan adalah suatu fitrah insan. Dalam proses pembentukan tabiat berangan-angan saja tidak cukup. Angan-angan perlu diterjemahkan sebagai kemahuan atau cita-cita. Kalau tidak ia akan menjadi angan-angan Mat Jenin.

Angan-angan

Untuk menjadikan angan-angan itu suatu cita-cita, remaja kena dilatih tentang kecenderungan berfikir dan memahami realiti. Keupayaan berfikir boleh memberikan asas dalil. Memahami realiti boleh memberikan asas kemampuan. Contohnya seorang remaja berangan-angan untuk menjadi seorang doktor. Angan-angan itu baik. Untuk menjadikan angan-angan itu suatu cita-cita, para remaja perlu diajak berfikir bagaimana proses menjadi seorang doktor di samping kemuliaan menjadi seorang doktor.

Anak-anak akan diajak berfikir tentang persiapan ilmu, cabaran yang akan dihadapi di samping memberikan rangsangan bahawa kerja sebagai doktor adalah kerja yang mulia. Apabila gambaran realiti sudah ada pada mindanya, angan-angan sudah dianjakkan sebagai cita-cita.

Para remaja juga memiliki tabiat atau naluri suka mencuba. Lebih-lebih lagi kepada kegiatan-kegiatan yang lasak. Dalam proses belajar, tabiat mencuba ini adalah sesuatu yang baik. Ada ketikanya naluri suka mencuba itu sekadar memperlihatkan ego remaja. Hasilnya kadang-kadang tidak membantu pertumbuhan diri yang sihat. Naluri ingin mencuba juga boleh membentuk potensi remaja ke arah yang lebih positif asal saja remaja diberi maklumat, ilmu, keterampilan atau pedoman yang cukup dan betul.

Contohnya sifat remaja adalah adventourous. Remaja suka meredah hutan, mendaki bukit atau gunung dan kembara. Sekiranya kecenderungan mencuba hal-hal yang mencabar ini didekati secara ilmu, keterampilan dan pedoman yang tepat dan betul, minat dan bakat mencuba ini akan memberikan pengalaman yang baik. Sebaliknya naluri suka mencuba ini hanya semata-mata kerana dorongan naluri saja ia boleh memberi kesan sebaliknya.

Suatu aspek lain yang ada pada remaja ialah suka mencari identiti diri. Remaja mahukan pengiktirafan dan suka mencari role-model. Mencari identiti diri adalah sesuatu yang fitrah dan mencari role-model atau qudwah juga suatu fitrah. Ada remaja mengaitkan minatnya terhadap bintang filem, penyanyi, pelakon, pemain bola atau lain-lain. Role-model atau qudwah yang ditemui tidak menggambarkan pilihan yang membawa sifat-sifat abadi. Ia bersifat musiman dan sementara. Tetapi fitrah insan dalam membina identiti diri akhirnya akan merujuk qudwah atau contoh atau role-model yang memiliki sifat-sifat terpuji yang didukung oleh faktor sifat yang lebih abadi. Dalam tradisi Islam, qudwah merujuk kepada pekerti Rasulullah s.a.w. sejak zaman kanak-kanaknya, zaman remajanya, zaman belianya sehinggalah ke zaman dewasanya. Tahap-tahap pengalaman dan perjuangan hidup yang dilalui olehnya adalah tahap-tahap yang telah menyumbang ke arah jalan hidup yang murni, bukannya pengalaman hidup yang membawa kerosakan kepada dirinya.

Proses

Oleh kerana manusia memerlukan contoh untuk diikuti dan diteladani, maka manusialah sebaik-baik contoh yang dijadikan sandaran pembentukan diri, watak dan peribadi. Sebab itulah Allah s.w.t. memilih seorang manusia seperti Nabi Muhammad s.a.w. dalam melalui proses didikan dan tarbiyah yang lama sehingga menjadikan manusia maksum. Manusia maksum inilah yang sewajarnya dijadikan contoh para remaja dalam proses pembentukan fitrah diri.

Oleh itu proses keremajaan dalam membangun fitrah diri adalah kesinambungan atau lanjutan daripada asas kukuh yang terbina sebelum akil baligh. Sekiranya naluri dan tabiat remaja disalurkan untuk menuju kematangan, kedewasaan dan amalan yang sihat dan baik, para remaja mempunyai potensi besar untuk dewasa dalam akhlak dan amalan yang baik juga.

Sebaliknya suasana dan persekitaran negatif yang didedahkan kepada para remaja kemungkinan terjebak dengan sikap dan tabiat negatif adalah besar juga. Amat penting bagi remaja membuat pilihan yang betul supaya kedewasaannya menjadi contoh yang baik pula untuk generasi berikutnya.

No response to “Fitrah diri - Dibina sebelum akil baligh”