Thursday, December 14, 2006

Ketelusan - Asas pembinaan pekerti

Oleh PROF DR. SIDEK BABA


KETELUSAN ialah suatu sikap berterus terang, jujur dan ikhlas daripada diri remaja sendiri terhadap seseorang atau sesuatu. Ketelusan membayangkan apa yang dilihat pada diri remaja, begitulah juga bayangan zahir dan batinnya. Niat remaja, tutur katanya dan tingkah lakunya adalah bayangan apa yang ada di dalam hati supaya ia tidak dilihat sebagai bertentangan, bercanggah atau tidak selari. Pada peringkat remaja lagi sikap telus kena ada supaya apabila dewasa nanti remaja tidak akan jadi manusia pura-pura atau hipokrit.

Konsep telus ini sangat penting bagi seseorang manusia kerana ketelusan membawa kepada sifat ikhlas dan jujur. Ia menyuburkan rasa percaya dan keyakinan orang terhadap remaja. Sering berlaku umpamanya, remaja berbohong dengan ibu bapa, berdusta dengan kawan-kawan, yang dicakapkan tidak serupa dengan apa yang dilakukan. Ia berlaku kadang-kadang atas desakan perasaan rendah-diri atau rasa ego yang tinggi.

Telus

Islam melihat sifat telus ini adalah asas kepada pembinaan pekerti atau peribadi yang baik. Ada peribadi manusia yang bersahsiah dua atau berwatak dua. Di hadapan seseorang ia berwatak lain, di belakangnya jadi lain. Di majlis resmi lain, di belakang majlis resmi lain. Di pejabat lain tetapi di rumah lain. Di depan ketua kelihatan baik, di belakang berlaku sebaliknya. Ia berlaku akibat tidak ada sifat ketelusan yang akhirnya perlakuan seseorang bersifat dua atau dua piawai. Tetapi kalau para remaja menginsafi bahawa Allah mengetahui apa yang kita lakukan, malaikat mencatatkan apa yang kita buat, remaja mempunyai pedoman yang tinggi bahawa apa saja yang kita lakukan dalam hidup ini, adalah dalam pemerhatian Allah. Oleh itu memiliki sifat yang tidak telus boleh mendorong manusia bersifat munafik, hipokrit, suka berbohong, hilang amanah dan cenderung menyalahgunakan sesuatu.

Ketelusan membawa remaja memiliki peribadi yang tinggi, di hormati dan disegani kerana apabila remaja bercakap benar dengan ibu bapa, guru dan kawan-kawan walau kadang-kadang ia pahit, remaja tidak cuba berpura-pura atau berselindung kerana sesuatu perbuatan yang salah dan sedia mengakui yang baik itu baik dan yang tidak baik itu tidak baik.

Sifat telus ini penting bagi remaja kerana di peringkat remaja, proses pembentukan diri dan watak sedang berlaku. Di peringkat remajalah proses pembinaan identiti diri berjalan. Kalau remaja adalah seorang pelajar, sifat telus boleh membantu remaja menerima ilmu yang baik dan menggunakannya untuk kebaikan. Sekiranya remaja mengakui bahawa ilmu yang diajar adalah sesuatu yang baik, kemudian kebaikan itu tidak dijadikan amalan, remaja sudah menjadi tidak telus pada ilmu. Kalau hal ini terjadi ia bakal membentuk remaja memiliki dua peribadi dan dua watak.

Apabila remaja dewasa nanti, amalan ini akan mengekal dan menjadi sebahagian daripada cara hidup atau gaya hidup. Sebagai pekerja nantinya, amalan tidak telus ini akan berlaku dan ia tidak membantu khidmat kita di tempat kerja. Sebagai ayah atau ibu, nantinya sifat tidak telus menyebabkan imej keibuan atau kebapaan akan jadi cacat. Apabila kita ingin mendidik anak-anak, anak-anak memerhati gelagat dan tingkah laku ibu bapanya. Anak-anak akan akhirnya menyedari ibu bapanya tidak telus. Yang disuruh lain yang dibuatnya lain. Imej seperti ini akan memupuk anak-anaknya membina sifat tidak telus. Akhirnya amalan ketidaktelusan diwarisi. Dan bayangkan sekiranya kita diberi amanah yang tinggi nantinya, sebagai pegawai tinggi, sebagai pensyarah di universiti atau sebagai pemimpin sekiranya sifat telus itu tidak ada, pegawai tidak akan bersifat professional, pensyarah tidak akan menyampaikan ilmu yang benar dan berguna membentuk pemikiran pelajar, dan pemimpin tidak akan berlaku jujur kepada yang dipimpin dan apabila didatangi oleh rakyat ia sering mencari dan memberi dalih.

Berpura-pura

Sifat yang paling dibenci oleh Allah dan Rasul ialah sifat berpura-pura, yang disebut lain dan yang diamalkan lain, lebih-lebih lagi sifat hipokrit atau munafik. Sebab itu sifat utama Rasulullah ialah siddiq atau pun benar. Yang disebut oleh Nabi adalah benar dalam perlakuannya. Yang dinasihat oleh Nabi adalah benar pada amalannya. Yang ditunjukkan oleh Nabi adalah benar pada pekertinya. Contoh seperti Nabi adalah contoh yang terbaik. Daripada contoh yang terbaik menyebabkan timbul rasa yakin dan percaya yang tinggi terhadapnya. Pada hari ini kadang-kadang kita rasa susah untuk mempercayai seseorang, sama ada dari segi cakap mahupun perbuatannya kerana kepura-puraannya terlalu nyata. Semakin payah untuk mencari orang jujur dan ikhlas.

Bagi remaja, sifat ihsan perlu ada. Ihsan bermaksud ``Walaupun kita tidak melihat Allah, kita harus merasakan bahawa Allah melihat kita''. Asas ihsan ini penting kerana remaja akan sentiasa merasakan bahawa tidak ada apa dalam niat, perkataan apalagi perbuatan kita yang terlepas daripada pengetahuan Allah. Sekiranya sifat ihsan ini mendalam dirasakan oleh remaja, insya-Allah remaja akan membina sifat telus pada diri dan pada orang lain. Apalagi sekiranya remaja boleh mengaitkan bahawa bersifat tidak telus boleh membawa kepada dosa. Diri yang berdosa memerlukan keampunan Allah. Bayangkan sekiranya dosa ini terus terhimpun sehingga kita tua akibat ketidak-telusan sudah menjadi amalan dan sebati dengan tabiat kita, bagaimana kita ingin menghadapi Allah nanti.

Kelemahan

Bayangkan juga sekiranya kita tidak telus, kita suka mencari dalih, kita menjadi pura-pura kerana ingin bergaya dan menunjuk-nunjuk, kita sanggup bercakap bohong untuk menutup kelemahan diri, kita sanggup menipu kerana sifat ego yang tinggi dan ia juga berlaku di kalangan remaja atau orang lain, di manakah harapan dalam hidup ini untuk kita bertemu orang ikhlas, orang yang jujur dan orang yang peribadinya dapat dihormati, cakapnya boleh dipercaya dan perbuatannya boleh dicontohi. Sebab itu perlunya sikap telus dan tulus sejak dari kecil lagi hingga ke peringkat remaja, dewasa malah sehingga tua. Sekiranya sifat ini menjadi amalan manusia, amalan jujur, amanah, profesional akan sentiasa menjadi tunggak kehidupan kita.

Ketelusan dalam Islam dikaitkan ikatan kita dengan Allah s.w.t. Akidah, `aqaid atau ikatan yang jelas memantapkan hubungan manusia dengan Pencipta. Para remaja harus dapat merasakan bahawa hubungan menegak dengan Allah merupakan talian ihsan yang terbaik . Ihsan bermaksud dalam melakukan ibadah walaupun kita tidak melihat Allah, tetapi Allah melihat kita. Sifat ihsan yang tinggi menjadikan remaja telus. Apabila kita ingin melakukan sesuatu kita ingat kepada Allah, tahu akan batasan-batasan yang ditentukan oleh-Nya. Faham akan baik buruk sesuatu. Tahu menilai dosa dan pahala, keadaan ini menjadikan remaja telus. Ketelusan remaja kepada Allah akan mendidik remaja telus kepada orang lain. Sifat ini sangat penting bagi remaja kerana apabila masuk ke alam dewasa nanti, para remaja sudah mempunyai tabiat dan kelaziman yang baik.

Apalagi kalau para remaja bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin, intelektual, saintis, ulama, akauntan, peguam, jurutera dan lain-lain asas ketelusan amat dituntut. Meskipun realiti hidup pada masa ini sangat mencabar, namun tabiat telus perlu ada di kalangan generasi muda Islam. Di antara harga yang terpaksa dibayar akibat wujudnya amalan ketidaktelusan, ialah kita bergantung kepada kepandaian dan kepintaran orang lain. Kita juga sering bersandar kepada kekuatan orang lain. Jalan singkat yang selalu dipilih ialah bersikap mengalah, selalu merasakan diri tidak berupaya dan ikhtiar yang lemah. Akhirnya peluang yang diberikan kepada kita faedahnya lebih dikaut oleh pihak lain.

Cabaran

Lebih-lebih lagi menghadapi cabaran globalisasi yang kuat menghimpit, para remaja perlu ada merit atau kecemerlangan dan mempunyai daya saing yang tinggi. Harus diinsafi bahawa bangsa dan umat yang maju berasaskan merit di mana ketelusan adalah syarat penting yang perlu dipenuhi. Kalau mentaliti remaja sentiasa merasakan bahawa tongkat sakti sentiasa ada untuk tampil menolong, ia menjadikan kita tidak telus menghadapi cabaran yang semakin rumit. Telus di sini bermaksud, kita harus bersedia mengakui bahawa sikap hidup kita mesti berubah, ilmu pengetahuan yang bermanfaat perlu dicari, kemampuan mengimbang antara idealisme dan realiti kena ada, ketangkasan untuk mengatur strategi dan kebijaksanaan untuk melakukan perlu dikuasai, supaya kejayaan kita bukan kerana wujudnya dasar-dasar yang memihak, tetapi kecemerlangan kita ialah disebabkan ketelusan yang tinggi untuk bersaing dan juga menghasilkan yang terbaik.

No response to “Ketelusan - Asas pembinaan pekerti”