Wednesday, December 13, 2006

Remaja berpuasa - Membina keinsafan syarak

Remaja & Islam
Oleh PROF. DR. SIDEK BABA
TERDAPAT dua cabaran terbesar yang dihadapi oleh remaja kini. Pertama, orientasi hidup yang banyak menumpu kepada hal-hal kebendaan, dan kedua, rangsangan hiburan yang terlalu banyak menyebabkan wujudnya fahaman hedonisme atau kegemaran bersuka-suka dan berpoya-poya.

Pada asasnya Islam tidak menentang kehadiran benda. Benda memang dijadikan oleh Allah untuk manusia, termasuk remaja. Islam menegah penganutnya bersifat kebendaan kerana bimbang dengan berjiwa kebendaan menyebabkan faktor manusiawinya hilang. Orang yang berjiwa kebendaan mungkin menghabiskan hayat hidupnya memburu benda semata-mata. Dalam proses memburu benda, ia mungkin lupa etika dan adab. Ia mungkin lupa tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak. Ia mungkin lupa melakukan ibadat kepada Allah dan akhirnya benda menjadi ukuran tentang baik buruknya sesuatu.

Banyak contoh menunjukkan bagaimana orang memburu benda bukan kerana Allah, sebaliknya berlagak sombong, takabur, tidak bersyukur, lupa kepada nilai baik dan buruk, jauh ikatannya dengan Allah kerana jiwa dan hatinya sudah dirasuk oleh sifat kebendaan yang melampau. Islam membenarkan manusia memiliki benda tetapi Islam mengatur jalannya sekali. Islam tidak menolak seseorang daripada menjadi kaya tetapi kekayaan hendaklah diperoleh dengan cara yang halal dan baik.

Dalam sepanjang sejarah pembangunan umat Islam, ramai orang Islam menjadi kaya tetapi sentiasa di bawah redha Allah. Kekayaan itu diperoleh berasaskan syariat dan dibelanjakan juga mengikut syariat. Mengikut syariat, bermakna muamalah berlaku berasaskan ketentuan dan peraturan yang telah Allah pedomankan, seperti tidak mengamalkan riba, tidak melakukan eksploitasi dan diskriminasi dalam harga dan jual beli, dan tidak berlaku monopoli sehingga ketentuan harga barangan ditentukan oleh seseorang atau sekumpulan yang berkepentingan sahaja.

Puasa yang remaja tempuhi dapat mengawal diri kita daripada bersifat kebendaan. Memang benar antara faktor untuk maju ialah bagaimana benda dikuasai dan benda dieksploitasi. Tetapi agama kita meletakkan landasan etika dan adab dalam mengurus benda.

Dalam sepanjang sejarah Islam, ramai orang Islam berharta bukan dengan melakukan penipuan, salah urus atau muamalah yang bercanggah dengan syariat kerana mereka adalah orang-orang yang takut kepada balasan Allah. Orang-orang yang berjiwa kebendaan selalunya bersifat sombong dan takabur, dan tidak bersyukur dengan rahmat dan nikmat Allah. Melalui berpuasa remaja yang bercita-cita untuk maju dalam bidang keusahawanan, ekonomi dan perniagaan, hartanah dan pasaran saham harus ada keinsafan syariat.

Sifat sombong, takabur dan tidak bersyukur berpunca jauhnya ikatan kita dengan Allah. Nilai-nilai manusiawi pupus daripada kita dan menyebabkan kita menjadi rakus menguasai apa saja peluang yang ada. Bagaimana benda bagi remaja dapat dihubungkan dengan kesejahteraan di dunia dan juga kebaikan di akhirat? Benda yang ada dalam alam ini semuanya adalah rahmat Allah kepada hamba dan makhluk.

Dari sudut Islam, rahmat yang melimpah ruah ini perlu diuruskan dengan amanah. Antara sebab yang mendorong manusia berkonflik dan bertelagah adalah akibat tidak amanah kepada rahmat Allah yang menyebabkan kemiskinan terus berlarutan, kebuluran terus berlaku, buta huruf terus mencengkam.

Remaja yang beriman harus menginsafi bahawa rahmat yang Allah limpahkan kepada manusia antaranya adalah untuk manfaat manusia. Remaja yang terdidik dengan hikmah berpuasa akan sentiasa insaf bahawa dalam menguruskan kekayaan benda daripada Allah, pertimbangan adil, sejahtera, kemanusiaan tinggi, etika dan adab harus menjadi landasan supaya apabila dewasa nanti jiwa muttaqin akan membawa remaja insaf bahawa sebagai hamba dan khalifah kita mempunyai tanggungjawab besar yang perlu disempurnakan.

Cabaran kedua yang sangat merimaskan anggota keluarga ialah kecenderungan luar biasa para remaja terhadap hiburan. Lebih ekstrem pula ada yang terpaut dengan budaya berpoya-poya (hedonisme). Apakah ia berpunca daripada faktor persekitaran rumah yang tidak selesa menyebabkan remaja mencari alternatif faktor di luar rumah atau faktor tekanan keremajaan yang sukar untuk dicari jalan pelepasnya? Atau pengaruh media elektronik dan cetak yang banyak merangsang elemen-elemen seksual dan hiburan yang berlebihan sehingga potensi remaja terarah kepada perlakuan berseronok-seronok yang menyalahi syariat dan berhibur yang tidak menyuburkan akidah dan taqwa?

Menerusi berpuasa, remaja dilatih mengawal diri supaya mampu membuat perimbangan apabila berhadapan dengan cabaran hiburan dan keseronokan. Nikmat keseronokan dan hiburan ialah apabila remaja berada dalam tahap cintakan al-Quran, membaca dan melagukan al-Quran dengan tajwid dan tartil yang betul dan merasa nikmat ilmu apabila mendalami isi kandungannya.

Membaca al-Quran tanpa memahami makna dan isi tidak banyak menimbulkan keseronokan. Seronoknya membaca dan memahami al-Quran kerana ia adalah sumber ilmu dan sumber petunjuk. Di dalam al-Quran dirakamkan banyak kisah yang berlaku pada zaman nabi dan rasul terhadap kaumnya, terhadap keluarganya dan terhadap golongan yang sering enggan kembali kepada fitrah.

Kisah-kisah itu kelihatan berulang kembali pada masa kini. Kisah keengganan anak dan isteri Nabi Nuh a.s. menerima akidah fitrah terus berlaku pada hari ini. Perlakuan homoseksual atau hubungan sesama jenis yang pernah berlaku pada zaman Nabi Lut a.s. berulang kembali pada hari ini apabila kecenderungan manusia terhadap amalan `gay' dan `lesbian' semakin berleluasa. Oleh kerana naluri remaja untuk mengetahui dan mempelajari yang silam adalah suatu proses menuju kematangan, al-Quran harus didekati secara ilmu yang membolehkan remaja terus berfikir untuk merintis jalan terbaik kehidupan dewasanya nanti.

Berseronok dan berhibur dalam lingkungan semangat al-Quran tidak akan membawa remaja lalai dan lagha sehingga melampaui batas-batas syarak. Bagi yang sering menghampirkan dirinya dengan Allah, membaca dan berfikir adalah suatu keseronokan. Yang menghubungkan faktor alamiah seperti debur ombak, kicau burung, desingan angin, cicipan unggas, titisan hujan adalah getaran bunyi-bunyi alamiah yang bermakna tersendiri, yang sering mengingatkan remaja tentang kebesaran Allah.

Harmoni lagu alam apabila dihubungkan dengan kehidupan membolehkan remaja merenung dan menginfasi tentang kebesaran Allah terhadap kejadian-Nya. Sekiranya harmoni itu dapat disusun dalam bentuk lagu dan irama ia bakal menimbulkan keindahan. Bukannya lagu dan irama yang memancarkan ledakan rasa yang tidak keruan sehingga hilang harmoni dan makna.

Puasa yang dilalui oleh remaja boleh menimbulkan rasa harmoni antara kawalan nafsu dan kawalan hasrat supaya perasaan diungkapkan secara teratur, harmoni dan mempunyai arah. Puasa mendidik hati remaja supaya sentiasa bersyukur dengan rahmat dan nikmat Allah yang amat banyak ini.

Bersyukur terhadap hayat dan umur adalah anugerah yang amat berharga daripada Allah. Sekiranya hayat dan umur digunakan untuk maksud yang sia-sia apabila amalan yang merosakkan seperti terlibat dengan merokok, ketagihan dadah dan seks ia bakal menjerumuskan remaja ke kancah kebinasaan.

Meski ada keseronokan badani tetapi menyeksa fitrah rohani dan akhirnya remaja sering menyesali apa yang berlaku. Selalunya penyesalan berlaku apabila nasi sudah menjadi bubur. Itulah keluhan yang sering terdengar di pusat-pusat serenti dan juga mereka yang sering menunggu maut apabila terjebak dengan musibah AIDS/HIV. Puasa adalah salah satu cara terbaik di samping solat yang boleh mendidik remaja dan membina rasa keinsafan bahawa cabaran yang menunggu untuk membangunkan umat yang terus menerus terhina, diperlakukan sesuka hati oleh manusia yang sudah hilang pertimbangan agama sedang menunggu di hadapan.

Latihan mendidik hati dan peribadi sekiranya dapat dihayati benar-benar, para remaja tidak saja memiliki keinsafan yang mendalam tentang mengapa ia diciptakan, tetapi memiliki kesediaan melaksanakan tanggungjawab membangun umat ke arah kekayaan ilmu dan ketrampilan, kekuatan peribadi dan contoh teladan serta iltizam tinggi untuk menjadikan Islam agama terunggul menyelamatkan umat manusia.

No response to “Remaja berpuasa - Membina keinsafan syarak”