Friday, December 15, 2006

Islam menjadikan umatnya hanya berserah?

Oleh: PROF. DR. SIDEK BABA

BANYAK tanggapan dibuat bahawa Islam agama berserah. Umat Islam adalah umat menyerah. Pergantungan kepada Tuhan yang tinggi menyebabkan pergantungan kepada nasib tanpa usaha. Doa umat Islam selalunya panjang tetapi ikhtiar umat Islam lazimnya pendek.

Menerima sesuatu walaupun menyalahi agama dikatakan rezeki. Terjadinya sesuatu walaupun kerana kesilapan sendiri dikatakan takdir Allah. Umat Islam sering memilih menjadi tangan yang menerima, lebih dari tangan yang memberi.

Sikap dan mind-set orang-orang Islam memang pelik. Ibadah solatnya hebat, kesan perubahan diri amat kerdil. Menuding kesilapan orang lain menjadi amalan, menginsafi kelemahan sendiri kurang berlaku. Kuman di seberang laut nyata nampaknya, gajah di bibir mata dilupakan saja.

Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Angan-angan tinggi, kemampuan melaksana kurang. Mencacat sesuatu ghairah belaka, melakukan pembaikan pantang sekali.

Sikap berserah kepada Allah tidaklah salah. Berserah tanpa usaha menjadikan umat kalah. Berserah bukan di awal usaha. Kalau tidak dipecahkan ruyung bagaimana mendapat sagunya. Alang- alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Usaha mendatangkan ikhtiar. Ikhtiar dengan jiwa tawakal menjadikan manusia cekal. Cekal tanpa putus asa membolehkan manusia berjasa. Hujung kejayaan doa dipanjatkan. Antara usaha dan doa, Allah mengkabulkan hati-hati yang ikhlas.

Pergantungan kepada Allah adalah sesuatu yang wajar. Allah memberi manusia akal supaya manusia berfikir. Allah membekalkan manusia hati supaya manusia memiliki neraca pertimbangan.

Ilmu Allah (al-Quran) menjadi suluh kepada akal. Akal yang berkembang tanpa suluh hikmah menjadikan manusia meraba-raba. Pergantungan kepada Allah kerana Allah maha berkuasa dan perkasa. Pergantungan kepada manusia banyak kurangnya.

Doa tidaklah salah. Doa kata Nabi, ibu segala ibadah. Doa juga senjata untuk untuk orang-orang Mukmin. Doa tidak saja permohonan dan harapan, doa adalah usaha dan ikhtiar. Doa adalah dedikasi dan kesabaran. Doa adalah azam dan tekad. Doa adalah roh untuk berjaya.

Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu sendiri mengubah dirinya sendiri. Mengubah diri perlukan ilmu.

Ilmu yang benar dan bermanfaat mendukung akhlak. Ilmu tanpa akhlak sifatnya tidak membimbing. Ilmu tanpa nilai menjadikan manusia hilang pedoman. Al-Quran memberi manusia nilai.

Nilai-nilai Qurani mempedoman manusia jalan yang benar dan jalan yang salah. Mengembalikan diri kepada nilai-nilai Qurani meletakkan manusia sentiasa berada dalam keadaan fitrah. Inilah asas kemajuan dan perubahan dalam Islam. Menolak fitrah bermakna menolak jalan Islam.

Rezeki adalah sesuatu yang baik datang dari Allah. Anugerah Allah ini diperoleh dengan niat yang baik, matlamat yang betul dan cara yang tidak menyalahi syarak.

Mengaitkan sesuatu sebagai rezeki dari Allah ialah menghubungkan usaha dan ikhtiar yang diredainya. Jalan berfikir seperti ini harus jelas supaya sesuatu yang baik dari Allah tidak disalahfaham atau disalahguna. Rahmat dan nikmat Allah adalah untuk kebaikan.

Kebaikan itu apabila dilimpahkan kepada yang berhak ia memberi barakah yang tinggi. Barakah sering menjadi hikmah yang hilang dalam usaha dan ikhtiar manusia.

Takdir Allah boleh berlaku pada sesiapa. Baik dan buruk adalah takdir. Ia terkandung hikmah. Kebaikan dari Allah yang tidak diterima dengan rasa syukur boleh menjadi musibah. Keburukan yang diterima, mendorong seseorang bersyukur ia boleh membawa kepada rahmah. Musibah dari Allah selalunya membawa ujian.

Bagi yang sabar, ia bakal mendapat jawapannya. Bagi yang gopoh dan gelojoh, menyebabkannya hilang pertimbangan. Hidup adalah suatu perjalanan. Ada ketika manusia melalui lebuh raya yang luas. Leka dan lalai boleh menyebabkan kemalangan. Ada ketika manusia melalui jalan yang kecil dan berliku. Berhati-hati menyebabkan perjalanan selamat.

Takdir jangan dipersalahkan. Takdir harus disyukuri. Hikmah dari takdir adalah sekolah hidup. Darinya manusia mengenal Allah dan mengetahui kekuasaan-Nya. Darinya manusia akan sentiasa berjiwa rukuk dan sujud serta berjiwa hamba.

Semangat kekhalifan menyebabkan putus asas tidak ada. Ikhtiar disertai doa, doa diiringi tekad dan azam yang tinggi menjadikan usaha diredai dan diberkati.

Tidak salah menjadi tangan yang menerima sekiranya seseorang itu berhak. Lebih mulia menjadi tangan yang memberi kerana ia menjadi orang yang bersyukur. Orang yang bersyukur memiliki harga diri.

Rahmat dan nikmat yang melimpah maksudnya untuk manusia. Rezeki tidak datang bergolek. Usaha dan doa tidak harus putus. Tangan yang memberi memakmurkan sedekah. Sedekah dari sumber yang halal adalah ibadat. Ibadat yang berterusan membawa berkat.

Remaja Islam harus ada keinsafan. Bukan agama membawa remaja menyerah membuta tuli kepada Allah. Allah berikan rahmat dan nikmat untuk jalan remaja berikhtiar.

Allah berikan akal dan hati supaya remaja ada kekuatan. Kekuatan ilmu dan nilai memberikan jalan terbaik bagi usaha dan ikhtiar. Bekerjalah remaja seolah-olah kehidupan itu 1,000 tahun. Hubungkan kerja sebagai ibadah seolah-olah kematian akan berlaku pada keesokan hari.

Berusaha dengan pedoman Allah, jalannya terang benderang. Berikhtiar dengan reda Allah, natijahnya kemakrufan. Menjadi remaja perlukan pedoman yang baik. Tanpa pedoman yang baik nafsu dan keinginan menjadi liar.

Setiap benda yang Allah jadikan ada hikmah rohaniah di sebaliknya. Bagi remaja yang berfikir, setiap kejadian menjadikan remaja lebih berilmu. Hikmah di sebalik ilmu menjadi hidup remaja lebih bermakna.

Makna dalam hidup berada pada remaja yang sentiasa bersyukur. Remaja yang bersyukur adalah remaja yang dekat dengan Allah. Remaja yang dekat dengan Allah sentiasa diberikan taufik dan hidayah.

Sesetengah remaja menjadikan naluri dan nafsu tanpa batas. Kelazatan dunia tidak kekal. Kelazatan yang berlaku dengan reda Allah memberi kesan bahagia dan sejahtera yang panjang. Kelazatan yang bersifat nafsu-nafsi menjadikan remaja ketagih. Meneruskan ketagihan tanpa reda Allah sering menjerumuskan remaja kepada kebinasaan.

Remaja yang dikasihi Allah adalah remaja yang insaf bahawa hidup ini adalah suatu perjalanan. Perjalanan yang singkat belum cukup memberi pedoman dan arah tentang bukit-bukau dan liku-liku.

Perjalanan jauh belum tentu menemukan remaja dengan destinasi. Belajar dari perjalanan hidup memperkayakan remaja dengan pemandangan dan pengalaman. Ia menjadikan remaja dewasa dan matang. Belajar dari proses dewasa dan matang menjadikan remaja lebih bersedia untuk masuk ke lebuh raya kehidupan iaitu alam dewasa.

Sebagai remaja Islam sikap menyerah membuta-tuli tidak harus ada. Untuk maju dan membangun mesti ada ilmu. Membangun dalam acuan yang Allah reda mesti patuh dengan jalan syarak.

Para remaja jangan membiarkan diri hanyut dalam arus perubahan. Remaja Islam harus mampu menongkah arus. Arus Barat boleh menghanyutkan bagi yang lalai. Arus dari Islam boleh menyelamatkan bagi yang menginsafi. Menyerah kepada Allah selepas azam dan ikhtiar dilakukan. Darinya kurniaan rezeki dan berkat memberi jalan kepada amal soleh. Amal soleh adalah puncak ikhtiar dan takdir.

No response to “Islam menjadikan umatnya hanya berserah?”